Category: Luar Negara

  • Nenek inspirasi filem Disney “Coco” meninggal pada usia 109 tahun

    Nenek inspirasi filem Disney “Coco” meninggal pada usia 109 tahun

    Inspirasi untuk filem animasi popular, “Coco” Maria Salud Ramirez Caballero telah meninggal dunia di Mexico.

    Setiausaha Pelancongan Mexico, Roberto Monroy sahkan kematian Maria pada Ahad lalu namun, sebab kematian tidak didedahkan.

    Monroy gelar Maria sebagai seorang wanita yang tidak pernah penat dan menjadi contoh kehidupan.

    Beliau berkata dalam satu kenyataan, “Sedih untuk saya mengumumkan kematian Maria Salud Ramirez Caballero atau “Mama Coco”, seorang wanita yang tidak tahu erti kepenatan dan seorang tokoh kehidupan. Beliau juga menjadi inspirasi watak yang dikenali seluruh dunia.”

    Maria diberikan gelaran “Mama Coco” selepas keluarganya berkata syarikat filem, Disney datang mengambil inspirasi daripada keluarga mereka walaupun Disney sendiri tidak pernah mengesahkan kenyataan tersebut.

    “Coco” mengaut keuntungan box office sebanyak AS$807.8 juta (RM3.8 bilion) dari seluruh dunia. 

    Maria menghasilkan kraftangan seperti pasu dan benda-benda lain untuk dijual kepada orang kampungnya.

    Dia mempunyai 3 orang anak, cucu dan cicit yang banyak dan meninggal dunia di Santa Fe de Laguna- tempat lahirnya  satu abad lalu.

  • Phuket dilanda banjir, banyak kawasan pelancongan terjejas

    Phuket dilanda banjir, banyak kawasan pelancongan terjejas

    HUJAN lebat semalaman tanpa henti  menyebabkan banyak kawasan di Phuket dilanda banjir dengan jalan-jalan raya ditenggelami air termasuk daerah pelancongan popular, Jalan Bangla di Patong kelmarin.

    Menurut laporan, hujan lebat malam Sabtu lalu telah menyebabkan bandar di pulau peranginan itu dinaiki air, manakala tanah runtuh berlumpur menyekat laluan di Kamala, lapor berita Thaiger.

    Orang ramai  yang berada di kawasan terjejas dibantu oleh pasukan penyelamat. Anggota polis telah diarah untuk mengawal lalu lintas di jalan-jalan utama seperti Jalan Thepkrasattri dan merentasi Bukit Patong di Jalan Phra Baramee.

    Thepkasattri, Srisoonthorn, Patong, Kamala, Cherng Talay dan Pa Khlok merupakan kawasan yang paling teruk terjejas, demikian menurut  Pejabat Mitigasi dan Pencegahan Bencana  Wilayah Phuket.

    “Semua pihak saling menghulurkan  bantuan. Di daerah-daerah kecil yang dilanda banjir, semua organisasi pentadbiran tempatan sedang membantu penduduk yang terjejas,” kata Gabenor Phuket, Narong Woonciew.

    Sementara itu, laman berita The Phuket News melaporkan bahawa tanah runtuh di jalan pantai antara Kamala dan Patong telah menghalang lalu lintas selain jalan-jalan raya di Patong juga sebahagiannya ditenggelami air.

    Air banjir di jalan-jalan bandar di pulau itu dilaporkan berada pada paras lutut dan di sesetengah tempat, ia bahkan mencapai paras pinggang.

    Pejabat Pengangkutan Darat Phuket (PLTO) berkata, terdapat jalan-jalan di mana bas dan lori besar boleh melaluinya, namun kereta dan motosikal diarahkan berpatah balik.

    Selain itu, sebilangan kawasan turut mengalami gangguan bekalan elektrik disebabkan beberapa faktor.

    Sebilangan tiang elektrik dilaporkan tumbang ketika ribut melanda,  manakala sesetengah lokasi memerlukan kerja-kerja pembersihan. Ia menyebabkan bekalan elektrik terpaksa dihentikan untuk seketika.

    Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

  • Bas terbakar, 18 orang maut termasuk 8 kanak-kanak

    Bas terbakar, 18 orang maut termasuk 8 kanak-kanak

    SEKURANG-kurangnya 18 orang termasuk lapan kanak-kanak terkorban manakala 28 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang terbakar di daerah Jamshoro selatan Pakistan, semalam.

    Timbalan Penguasa Polis Wajid Thaheem memberitahu media bahawa bas itu terbakar ketika tiba di kawasan Nooriabad di daerah Jamshoror, Sindh.

    Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku akibat sistem penghawa dingin kenderaan terbabit mengalami kerosakan.

    Bas yang membawa 55 penumpang itu dilaporkan dalam perjalanan dari bandar pelabuhan Karachi ke kawasan Khairpur Nathan Shah di daerah Dadu.

    Anggota polis, pasukan penyelamat dan bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran, serta memindahkan mayat dan penumpang yang cedera ke Hospital Universiti Liaquat di Jamshoro.

    Seramai sembilan wanita turut maut dalam kemalangan itu manakala angka kematian dikhuatiri meningkat.

  • Tragedi berdarah di Stadium Kanjuruhan: 100 anggota polis sujud mohon maaf

    Tragedi berdarah di Stadium Kanjuruhan: 100 anggota polis sujud mohon maaf

    KIRA-KIRA 100 anggota Polis Kota Malang dipimpin Ketuanya, Budi Hermanto bersujud beramai-ramai bagi meminta maaf susulan tragedi berdarah di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, baru-baru ini.

    Tindakan secara spontan itu dilakukan ketika rutin perhimpunan taklimat pagi di dataran Markas Kepolisian Resor Malang Kota, Isnin lalu.

    Menurut Harian Metro yang memetik laporan Kompas, Budi Hermanto mengatakan tindakan bersujud itu juga untuk memohon ampun kepada Tuhan Yang Maha Esa.

    “Kami mendoakan kesejahteraan saudara kita yang terkorban dalam mangsa tragedi Kanjuruhan. Semoga keluarga yang ditinggalkan pula diberi ketabahan dan kita sama-sama memohon keampunan kepada Allah SWT supaya kejadian ini tidak berulang,” kata pegawai kanan polis yang dikenali sebagai Buher itu.

    Pada 1 Oktober lalu, pertembungan ‘derby Jawa Timur’ antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur bertukar menjadi tragedi berdarah apabila sekurang-kurangnya 125 orang termasuk kanak-kanak terkorban dalam insiden rusuhan penyokong selepas perlawanan.

    Sementara itu, Ketua Perhubungan Masyarakat Polis Kota Malang, Eko Novianto menjelaskan tindakan memohon maaf dan mendoakan bersama untuk mangsa tragedi Kanjuruhan itu dilakukan secara spontan.

    Menurutnya, terdapat kira-kira 100 anggota Polis Kota Malang menyertai sujud beramai-ramai pada perhimpunan pagi itu.

  • Thailand banjir: Lebih 154,000 keluarga dari 26 wilayah terjejas

    Thailand banjir: Lebih 154,000 keluarga dari 26 wilayah terjejas

    HUJAN lebat dan limpahan air sungai mencetuskan kejadian banjir di 26 wilayah khususnya di timur laut dan bahagian tengah Thailand.

    Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) lebih 154,000 keluarga di 4,354 perkampungan dilaporkan terjejas setakat Isnin susulan ribut tropika Noru dan monsun barat daya melanda Laut Andaman dan Teluk Thailand.

    Hujan lebat berterusan menyebabkan banjir dan paras air sungai meningkat.

    Pelepasan air dari empangan juga mengakibatkan banyak kawasan rendah ditenggelami air.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand memaklumkan hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Bangkok dan wilayah lain di bahagian utara, timur dan selatan pada Isnin dan Selasa (esok).

    Pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran untuk penduduk berhampiran lembangan sungai Chao Phraya dan Pa Sak.

    Kerajaan turut melaksanakan pelbagai langkah pencegahan bagi menghadapi kemungkinan banjir termasuk meletakkan guni pasir serta menyediakan pam air di sepanjang tebing sungai dan kawasan rendah. – BERNAMA

  • 76 maut akibat bot karam

    76 maut akibat bot karam

    SERAMAI 76 orang maut apabila sebuah bot yang terlebih muatan terbalik di Anambra, tenggara Nigeria, pada Jumaat.

    Kira-kira 85 orang menaiki bot berkenaan ketika kemalangan itu berlaku pada Jumaat di kawasan yang musnah akibat banjir.

    “Bot itu terbalik berikutan peningkatan banjir di kawasan Ogbaru di negeri itu.

    “Badan kecemasan mengesahkan angka kematian ialah 76 orang,” kata Pejabat Buhari yang memetik Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari sebagai berkata seperti dilaporkan oleh AFP.

    Beliau mengarahkan supaya perkhidmatan kecemasan memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa.

    Kemalangan bot adalah perkara biasa di Nigeria kerana muatan berlebihan, kelajuan, penyelenggaraan yang lemah dan mengabaikan peraturan lalu lintas.

    Sejak permulaan musim hujan, banyak wilayah di Nigeria telah dilanda banjir.

  • Bas terbakar punca 12 maut, puluhan cedera

    Bas terbakar punca 12 maut, puluhan cedera

    KURANG-kurangnya 12 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera apabila sebuah bas penumpang terbakar di barat Maharashtra India, lapor Agensi Anadolu.

    Polis memaklumkan bas berkenaan terbakar selepas melanggar sebuah trak di Nashik pada awal Sabtu.

    “Lebih 30 lagi berjaya diselamatkan dan mereka yang cedera telah dirawat serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” kata pegawai kanan polis Amol Tambe.

    Kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat melecur teruk manakala siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan.

    Perdana Menteri Narendra Modi menzahirkan dukacita atas tragedi itu.

    “Saya turut bersedih bersama mereka yang kehilangan orang tersayang. Semoga mereka yang cedera dapat pulih secepat mungkin,” katanya.

    Pentadbiran tempatan turut menyediakan pelbagai bantuan kepada mereka yang terjejas, katanya.

    Modi turut mengumumkan pampasan kepada saudara-mara si mati dan mangsa yang cedera.

  • AS dakwa ‘Datuk Seri’ atas pertuduhan pemerdagangan hidupan liar, pengubahan wang haram

    AS dakwa ‘Datuk Seri’ atas pertuduhan pemerdagangan hidupan liar, pengubahan wang haram

    AMERIKA Syarikat (AS) akan mendakwa seorang lelaki Malaysia, bergelar “Datuk Seri”, kerana melakukan konspirasi untuk terlibat dalam pemerdagangan hidupan liar dan pengubahan wang haram.

    Portal  FMT melaprokan, dalam satu kenyataan, peguam AS bagi daerah selatan New York berkata Teo Boon Ching, 57, diekstradisi dari Thailand semalam selepas ditangkap pada Jun atas kesalahan kedua penyeludupan hidupan liar.

    Peguam itu Damian William berkata Teo adalah ketua perusahaan jenayah rentas negara yang memperdagangkan tanduk badak sumbu dan mengkayakan pemburu haram yang membunuh haiwan terancam.

    Teo yang dikatakan mempunyai perniagaan di Malaysia dan Thailand, didakwa memperdagangkan dan menyeludup tanduk badak sumbu.

    “Teo menjadi penyeludup khusus, mengangkut tanduk badak sumbu daripada operasi pemburuan badak sumbu terutamanya di Afrika kepada pelanggan akhirnya terutamanya di Asia. Teo juga mendakwa boleh menghantar tanduk badak ke AS,” kata kertas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya itu.

    Dia juga didakwa menyeludup kira-kira 73kg tanduk dengan nilai hampir AS$725,472 (RM3.3 juta) pada 2019. Dia juga memberitahu orang ramai bahawa dia adalah orang tengah bagi tanduk badak sumbu buruan di Afrika dan mengenakan bayaran bagi setiap kilogram.

    Sumber sulit di AS, yang bertindak sebagai pembeli, membeli 12 tanduk daripada Teo dan memindahkan wang daripada bank New York ke banyak akaun bank China menerusi kemudahan perbankan “rahsia” di Thailand, kata kenyataan itu.

    Teo berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun kerana melakukan konspirasi penyeludupan hidupan liar dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

    Semalam, Reuters melaporkan bahawa AS telah mengenakan sekatan terhadap kumpulan Malaysia, menuduhnya terlibat dalam “pemerdagangan kejam hidupan liar yang terancam serta produk pemburuan haram”.

    Jabatan Perbendaharaan AS dalam satu kenyataan berkata, ia telah mengenakan sekatan terhadap rakyat Malaysia Teo Boon Ching, Pertubuhan Jenayah Transnasional Pemerdagangan Hidupan Liar Teo Boon Ching dan syarikat Malaysia, Sunrise Greenland.

    Organisasi ini pakar dalam pengangkutan tanduk badak, gading dan tenggiling dari Afrika.

    Ia menggunakan laluan melalui Malaysia dan Laos untuk perkhidmatan kepada pelanggan di Vietnam dan China, kata kenyataan itu.

  • Tiga pelajar maut tembok runtuh di Jakarta Selatan

    Tiga pelajar maut tembok runtuh di Jakarta Selatan

    TIGA pelajar maut manakala dua lagi cedera selepas tembok sempadan sebuah sekolah runtuh di Cilandak, Jakarta Selatan akibat hujan lebat.

    Hujan berterusan di ibu kota semalam dan air sungai yang melimpah menyebabkan tembok sekolah itu runtuh, menurut Agensi Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan.

    Menurut jurucakapnya, Michael, bangunan sekolah itu terletak berhampiran sungai dan di kawasan rendah, sambil menambah bahawa para pegawai masih mengumpul maklumat.

    Mayat dan mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital, manakala pihak berkuasa menghantar pekerja untuk membersihkan serpihan runtuhan.

  • Sembilan maut termasuk lima pelajar sekolah nahas dua bas

    Sembilan maut termasuk lima pelajar sekolah nahas dua bas

    SEMBILAN individu termasuk lima pelajar sekolah maut selepas bas pelancong dinaiki mereka merempuh sebuah bas lain di Kerala, India, semalam.

    Menurut polis, 22 yang lain cedera dalam insiden terbabit, lapor Astro Awani yang memetik berita Hindustan Times.

    Kejadian dipercayai berlaku selepas bas pelancong berkenaan merempuh bahagian belakang bas Kerala State Road Transport Corporation (KSRTC) ketika cuba memotong sebuah kereta di Jalan Walayar-Vadakkancherry.

    Mangsa maut termasuk lima pelajar sekolah, seorang guru, dan tiga penumpang bas KSRTC.

    Menurut Menteri Pengangkutan Antony Raju, siasatan awal mendapati pemandu bas pelancong berkenaan memandu melebihi had laju ditetapkan sebelum terbabas dan merempuh bas KSRTC.

    Beliau turut mengarahkan siasatan terperinci berhubung insiden berkenaan.

    Pemandu bas pelancong, J. Joemon cuba melarikan diri selepas kejadian namun berjaya ditahan polis.

    Ketika kejadian, bas pelancong tersebut membawa 42 pelajar sekolah termasuk lima guru.