Category: Luar Negara

  • Tiga maut insiden tembakan di sekolah

    Tiga maut insiden tembakan di sekolah

    TIGA terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah sekolah menengah di St. Louis, Amerika Syarikat pada Isnin.

    Suspek kemudian ditembak mati oleh polis yang bergegas ke lokasi iaitu sekolah menengah visual dan seni persembahan.

    Ketua Polis St. Louis, Mike Sack berkata, seorang wanita dan remaja perempuan terbunuh dalam insiden itu manakala mangsa ketiga maut selepas dibawa ke hospital akibat kecederaan parah.

    “Polis tiba di sekolah dalam tempoh beberapa minit selepas menerima laporan berlaku tembakan di situ.

    “Pada kira-kira pukul 9.10 pagi, kami menerima panggilan mengenai insiden di sebuah sekolah di Kings Highway dan Arsenal. Anggota polis tiba di lokasi beberapa minit kemudian dan mereka segera masuk ke sekolah.

    “Ketika itu kanak-kanak lari menyelamatkan diri keluar dari bangunan, mereka memaklumkan terdapat seorang lelaki bersenjata masuk ke dalam bangunan.

    “Anggota polis segera menjejaki penembak itu di kawasan sekolah dan insiden berbalas tembakan berlaku,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Menurut Sack, suspek berusia 19 tahun dikenali sebagai Orlando Harris.

    Harris, tamat sekolah berkenaan pada tahun lepas dan tidak mempunyai motif untuk membunuh berdasarkan siasatan awal.

    Insiden tembakan pada Isnin adalah yang ke-40 berlaku tahun ini di sekolah di Amerika Syarikat, sama ada menyebabkan nyawa melayang atau mendatangkan kecederaan, berdasarkan kepada rekod sejak tahun 2018 oleh data Biro Pendidikan.

    Serangan terburuk pernah berlaku termasuk pembunuhan di sekolah di Uvalde, Texas pada Mei lepas apabila 19 kanak-kanak dan dua guru meninggal dunia ditembak seorang remaja.

    Tembakan di St Louis pada Isnin berlaku serentak dengan insiden seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Michigan kerana menembak mati empat rakan sekelasnya tahun lalu menggunakan senjata yang dibeli sebagai hadiah daripada bapanya.

  • Notis writ saman kakak Jho Low menerusi akhbar Singapura

    Notis writ saman kakak Jho Low menerusi akhbar Singapura

    MAHKAMAH Tinggi hari ini membenarkan rayuan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mendapatkan perintah penyampaian ganti bagi menyerahkan notis writ saman kepada May Lin, kakak ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Peguam mewakili 1MDB, K. Siva Kumar berkata, Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz, bersetuju penyampaian ganti menerusi iklan pada akhbar The Straits Times di Singapura kerana May Lin dipercayai berada di negara itu.

    Beliau berkata, itu selepas pihaknya berhujah bahawa dua percubaan penyampaian notis itu secara peribadi gagal.

    “Kami juga hantar surat janji temu tetapi gagal (tiada maklum balas), kerana diberitahu oleh pemastautin bahawa May Lin tidak tinggal di sana (alamat dalam rekod).

    “Oleh itu, penyampaian secara peribadi tidak praktikal, maka kami memohon untuk penyampaian ganti selaras kuasa mahkamah mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

    “Rayuan kami terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar, Haslinda A. Raof, sebelum ini yang menolak permohonan untuk membuat penyampaian ganti itu. Keputusan pendaftar itu diketepikan dan rayuan penyampaian ganti dibenarkan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman AS$3.7837 bilion (RM15.9 bilion) terhadap May Lin, Jho Low; bapa, Tan Sri Larry Low Hock Peng; ibu, Puan Sri Goh Gaik Ewe; adik lelaki, Taek Szen serta rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

    Berdasarkan writ saman itu, 1MDB menuntut AS$661 juta (RM2.8 bilion) daripada Jho Low; masing-masing AS$41 juta (RM172 juta), AS$397 juta (RM1.7 bilion), AS$608 juta (RM2.5 bilion) dan AS$1.9 bilion (RM8 bilion) daripada Jho Low dan Kim Loong; serta AS$325 juta (RM1.4 bilion) daripada Jho Low dan bapanya.

    1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta (RM2.6 bilion) daripada Hock Peng, Jho Low dan Kim Loong, serta AS$2 juta (RM8.4 juta) daripada Taek Szen, Jho Low dan Kim Loong.

    Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta (RM14.7 juta) daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta (RM7.1 juta) daripada Gaik Ewe, Jho Low dan Kim Loong berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia, selain AS$25.5 juta (RM107.1 juta) daripada Jho Low, Kim Loong, Hock Peng dan Taek Szen.

  • Pelajar kolej pakai topi elak tiru jawapan

    Pelajar kolej pakai topi elak tiru jawapan

    PARA pelajar memakai apa yang dipanggil topi anti-penipuan semasa mereka mengambil peperiksaan di kolej telah menjadi tular di media sosial di Filipina baru-baru ini.

    Mereka diminta memakai penutup kepala bagi menghalang mereka daripada mengintip kertas jawapan peperiksaan rakan-rakan lain di sebuah kolej di Bandar Legazpi.

    Ramai antara mereka mencipta topi buatan sendiri daripada kadbod, kotak telur dan bahan kitar semula yang lain.

    Mary Joy Mandane-Ortiz iaitu seorang profesor kejuruteraan mekanikal di Kolej Kejuruteraan Universiti Bicol berkata idea itu sangat berkesan, menurut BBC.

    Ia dilaksanakan untuk peperiksaan pertengahan penggal baru-baru ini yang telah diduduki oleh ratusan pelajar di kolej itu pada minggu ketiga bulan Oktober.

    Profesor itu berkata permintaan awalnya ialah agar pelajar-pelajar membuat topi yang mempunyai reka bentuk mudah daripada kertas.

    Dia mendapat ilham tentang pemakaian topi itu daripada teknik yang dilaporkan digunakan di Thailand beberapa tahun sebelum ini.

    Terdapat juga pelajar yang memakai topi, topi keledar atau topeng Halloween ketika mengambil peperiksaan, lapor Sinar Harian.

  • Isteri berjaya loloskan diri selepas ditanam dalam kubur

    Isteri berjaya loloskan diri selepas ditanam dalam kubur

    SEORANG wanita ditikam dan ditanam dalam kubur di sebuah hutan oleh suaminya di Washington, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

    Mangsa, Young Sook An bagaimanapun berjaya menggali sendiri kuburnya itu yang tidak dalam, sebelum mencari bantuan untuk menyelamatkan diri.

    Kejadian itu berlaku selepas suaminya, Chae Kyong An, 53, yang tidak tinggal bersama wanita itu singgah untuk mencuci pakaian di rumah mereka.

    Menurut anak perempuan pasangan tersebut, si suami telah menyerang isterinya di rumah kira-kira pukul 1 petang pada 16 Oktober lalu.

    Suaminya itu mengikut Sook An ke bilik tidur tempat dia pergi untuk menukar pakaian sebelum menyerangnya.

    Dia yang merupakan bekas anggota tentera kemudian menumbuk isterinya dan mengikat tangan serta menutup matanya dengan pita pelekat.

    Namun, Sook An dapat menghubungi talian kecemasan 911 dengan jam tangan Applenya dan menghantar pemberitahuan kepada anak perempuan serta kawan baiknya.

    Dia kemudian diseret oleh suaminya ke sebuah garaj dan jam tangan itu dipecahkan dengan menggunakan tukul, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, hari ini.

    Wanita tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah van dan dibawa ke suatu tempat di mana dia dapat mendengar suaminya mengorek tanah.

    Kyong An turut menikam dada Sook An dan meletakkannya di dalam lubang manakala sepohon pokok diletakkan di atas kuburnya.

    Bagaimanapun, selepas ditanam, dia dapat mendengar suaminya berjalan di sekeliling lubang.

    Selepas itu, dia menggali bagi membolehkannya keluar dari kubur tersebut serta berjaya menanggalkan pita pelekat pada badannya sekali gus mendapatkan bantuan.

    Suaminya itu kemudian berjaya ditangkap pihak berkuasa dan didakwa melakukan percubaan membunuh.

    Mereka bergaduh disebabkan masalah wang pencen suaminya itu.

  • Takut diserang orang ramai, pencuri hubungi polis merayu untuk diselamatkan

    Takut diserang orang ramai, pencuri hubungi polis merayu untuk diselamatkan

    SEORANG pencuri profesional mengambil keputusan menamatkan kerjaya sebelum waktunya dengan menghubungi sendiri polis selepas perbuatannya dikesan oleh orang awam.

    Ketua Polis tempatan, Asad uz Zaman, berkata pencuri itu, Yasin Khan, 40, dilaporkan memecah masuk kedai runcit di selatan bandar Barisal untuk mencuri barangan dari rak.

    “Apabila dia selesai melakukan kerja itu dan hendak keluar, (Yasin) Khan menyedari hari sudah cerah dan orang ramai mula datang ke pasar,” katanya menurut Berita Harian yang memetik laporan AP.

    Berikutan itu, orang awam yang marah mula berkumpul dan disebabkan takut diserang, Yasin menghubungi talian kecemasan polis untuk merayu untuk diselamatkan.

    “Kami pergi ke kedai dan membawanya keluar sambil diiringi polis sebelum orang ramai bertindak.

    “Saya tidak pernah melihat kejadian sebegitu dalam kerjaya saya,” katanya.

    Sementara itu, pemilik kedai, Jhontu Mia, berkata Yasin telah menyumbat beg besar dengan barang-barang berharga tetapi tidak dapat melarikan diri dari tempat kejadian.

    Dia telah ditangkap dan dihantar ke penjara selepas mengaku pecah masuk, malah turut dikehendaki kerana terbabit dengan beberapa lagi kes pecah rumah di kawasan itu.

  • [VIDEO]Sempat panggil mama 3 kali, budak perempuan maut ditikam ketika balik mengaji al-Quran

    [VIDEO]Sempat panggil mama 3 kali, budak perempuan maut ditikam ketika balik mengaji al-Quran

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut ditikam seorang lelaki misteri ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai kelas mengaji al-Quran, petang kelmarin.

    Kejadian menyayat hati itu berlaku di satu lorong sempit dekat kawasan perumahan Cibeureum, Cimahi Selatan, Jawa Barat kira-kira pukul 6.30 petang.

    Difahamkan, tiada saksi yang melihat kejadian tersebut, tetapi kelibat suspek berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan.

    Tangkap layar rakamaan CCTV memaparkan suspek yang disyaki membunuh seorang kanak-kanak perempuan di Cimahi. GAMBAR: Detik.com.

    Menerusi rakaman CCTV mangsa dilihat pulang berjalan kaki bersama rakannya sebelum sampai ke satu simpang.

    Mangsa yang memakai baju merah bertudung gelap kemudian menghala ke kiri manakala rakannya ke menuju ke kanan jalan.

    Tidak lama selepas itu, kelihatan seorang lelaki misteri menunggang motosikal berselisih dengan mangsa, lalu bertindak menghentikan kenderaan di tepi lorong.

    Suspek yang memakai baju berwarna putih kemudian mengejar mangsa sebelum kembali ke motosikalnya dan kemudian terus melarikan diri.

    Dalam pada itu, menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Tatang, 45, dia mendengar suara seolah-olah satu jeritan orang memanggil ‘mama’, tetapi tidak mengendahkannya kerana menyangka ia datang dari suara kanak-kanak yang sedang bermain.

    “Saya mendengar jeritan mama sebanyak tiga kali, tetapi tiada suara yang meminta tolong.

    “Jika ada (suara meminta tolong), pasti akan keluar untuk memeriksa,” katanya.

    Sementara itu menurut Ketua Rukun Tetangga Tempatan, Aip Sunarya berkata, lokasi kejadian pembunuhan adalah kawasan yang tidak sunyi kerana ramai penduduk menggunakan laluan tersebut.

    Lokasi kejadian kanak-kanak perempuan dibunuh seorang lelaki yang tidak dikenali. GAMBAR: Detik.com.

    “Namun ketika kejadian, cuaca sedang hujan dan matahari terbenam membuatkan jalan tersebut sunyi daripada kebiasaan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cimahi, Asisten Komisioner Rizka Fadilla berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kesan tikaman tajam.

    “Secara fizikalnya hanya menunjukkan satu tikaman, tetapi untuk lebih kepastian perlu menunggu pemeriksaan terperinci daripada doktor bedah siasat,” katanya, lapor Utusan TV.

    Rizka berkata, hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

    Menurut laporan media-media tempatan mangsa ditikam pada bahagian punggung.

  • [VIDEO]Kubah masjid terbakar kerugian lebih RM3 juta

    [VIDEO]Kubah masjid terbakar kerugian lebih RM3 juta

    JUMLAH kerugian akibat kebakaran sebuah kubah besar Masjid Raya di Pusat Islam, Jakarta Utara pada Rabu lalu dianggarkan lebih 10 bilion rupiah (RM3.03 juta).

    Namun Ketua Pusat Pengkajian dan Pengembangan Islam di pusat itu, Muhammad Subki menyatakan pihaknya belum mengetahui nilai kerugian itu secara tepatnya, lapor Republika.

    “Anggaran pembaikan kubah itu sahaja melibatkan belanja lebih 5 bilion rupiah (RM1.05 juta),” katanya menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

    Beliau mengulas tentang kebakaran kubah masjid tersebut yang berlaku pada pukul 3.15 petang waktu tempatan pada Rabu lalu.

    Dalam kejadian itu, kubah tersebut kemudian runtuh selepas terbakar.

    Namun, ketika kejadian, tidak ada seorang pun jemaah yang berada di dalam masjid tersebut kerana kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilakukan menyebabkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Lebih lapan buah jentera bomba digunakan untuk memadamkan kebakaran itu.

    Sementara itu, Ketua polis tempatan, Komisioner Slamet Wibisono Yanto menjelaskan, para penyiasat percaya kebakaran itu berpunca daripada percikan api semasa proses pengubahsuaian bumbung masjid dilakukan.

    Beliau menjelaskan bahawa para pekerja cuba memadamkan api demgan menggunakan alat pemadam api tetapi ia cepat merebak dan membakar kubah sehingga runtuh.

  • Truss letak jawatan PM UK selepas 45 hari pegang jawatan

    Truss letak jawatan PM UK selepas 45 hari pegang jawatan

    LIZ Truss akhirnya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom selepas 45 hari menyusun strategi politiknya.

    Perkembangan itu dilihat bertitik-tolak daripada penyusutan kuasa politiknya susulan pembentangan belanjawan negara yang buruk pada bulan lalu.

    Truss dalam satu kenyataan di pekarangan Downing Street: “Kami membayangkan visi ekonomi bercukai rendah dan berketumbuhan tinggi yang boleh dimanfaatkan menerusi Brexit.  

     “Saya bagaimanapun menyedari, berdasarkan situasi, saya tidak mampu meneruskan mandat sebagai yang telah dipilih oleh Parti Konservatif. Oleh itu, saya telah memaklumkan kepada baginda Raja (Charles III) untuk mengumumkan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai ketua Parti Konservatif.”

    Pengunduran Truss itu adalah selepas satu mesyuarat bersama Grahan Brady, iaitu ahli politik Konservatif yang bertanggungjawab dalam hal undian kepimpinan dan rombakan.

    Brady mempengerusikan 1922 Committee, iaitu kumpulan ahli-ahli Parlimen Konservatif tanpa jawatan menteri, yang boleh mengajukan usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

    “Segalanya sudah berakhir,” ujar sumber yang dipetik portal berita The Guardian.

    Truss, yang menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah United Kingdom, dilihat ‘tewas’ dengan tekanan daripada ahli-ahli Parlimen Tory selepas peletakan jawatan Setiausaha Negara Suella Braverman, selain daripada kekacauan politik dalaman Parti Konservatif sendiri.

    Masih belum jelas sama ada Truss akan berundur serta-merta atau pada tempoh tertentu yang bakal diumumkan.

    Sehubungan perkembangan mengejutkan itu, Ketua Pembangkang Parti Buruh Keir Starmer menggesa pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

  • Sempat lemparkan senyuman, lelaki buang mayat rakan sekerja guna troli

    Sempat lemparkan senyuman, lelaki buang mayat rakan sekerja guna troli

    TINDAKAN seorang lelaki yang membunuh rakan sekerja wanita terbongkar apabila aksinya membawa mayat mangsa dalam sebuah troli dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) lif sebuah apartmen di Jakarta Timur.

    Menurut laporan Detik News, suspek yang dikenali sebagai R telah ditahan selepas mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan berbalut plastik di JI Kalimalang, Pondok Gede, Bekasi.

    Menerusi rakaman CCTV, suspek berusia 36 tahun dilihat dalam keadaan tenang menolak sebuah troli yang berisi beg, bantal dan mayat mangsa yang dibalut rapi dengan plastik.

    Malah, suspek juga dilihat sempat tersenyum dan memberi salam terhadap dua orang lelaki yang berada di dalam lif tersebut.

    Pengarah Siasatan Jenayah Polis Metro Jaya, Hengki Haryadi berkata, kejadian pada Isnin itu berlaku ketika suspek menjemput mangsa berusia 36 tahun di sebuah apartmen.

    Katanya, semasa kedua-dua mereka berbual, mangsa menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki dan tidak disukai suspek.

    “Kedua-dua mereka kemudian bertengkar sebelum suspek bertindak menghempas mangsa ke atas katil.

    “Mangsa kemudian cuba meminta tolong dengan menelefon rakan lain, tetapi suspek bertindak mencekik sehingga mati,” katanya, lapor Utusan TV.

    Siasatan awal, suspek dipercayai bertindak demikian kerana sakit hati.

    Bagaimanapun, polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan.

  • Palestin ucap terima kasih kepada Malaysia selamatkan rakyatnya yang diculik

    Palestin ucap terima kasih kepada Malaysia selamatkan rakyatnya yang diculik

    KEMENTERIAN Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah menyelamatkan seorang warga Palestin yang diculik di Malaysia baru-baru ini.

    Kementerian itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak keselamatan yang terlibat dalam usaha menyelamat itu.

    Ucapan penghargaan Palestin kepada pihak berkuasa Malaysia

    Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia 31 tahun sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia.

    “Selain itu, mereka (polis Malaysia) dapat mendedahkan operasi anggota Mossad dan memburu serta menjejaki rangkaiannya.

    “Kami mengecam jenayah terang-terangan yang dilakukan Israel terhadap seorang daripada rakyat Palestin di Malaysia dan kami menyeru agar pelakunya dikenakan hukuman,” menurut kenyataan itu.

    Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 Sept hingga 4 Okt lalu.

    Seramai 11 individu berusia 21 hingga 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada 14 Okt berhubung penculikan itu.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan. – BERNAMA