Category: Luar Negara

  • Sekurang-kurangnya 13 terkorban dalam banjir kilat

    Sekurang-kurangnya 13 terkorban dalam banjir kilat

    SEKURANG-KURANGNYA 13 orang terkorban pada Jumaat dan ramai lagi hilang selepas hujan lebat semalaman membanjiri beberapa bandar di wilayah Maguindanao di selatan Filipina, lapor Xinhua, memetik seorang pegawai tempatan.

    Memetik laporan awal, ketua pejabat pengurangan risiko dan pengurusan bencana wilayah Maguindanao Nasrullah Imam berkata 13 mati akibat lemas atau tanah runtuh dan pejabat berkenaan masih menilai keadaan.

    Maguindanao ialah wilayah yang terletak di Wilayah Autonomi Bangsamoro Islam Mindanao.

    Media tempatan melaporkan hujan lebat itu ada kaitan dengan ribut tropika Nalgae yang dijangka melanda Ahad ini di pulau utama Luzon.

    Menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina, Nalgae dijangka menjadi ribut tropika yang teruk pada Jumaat dan bertukar kepada taufan menjelang Sabtu.

    Filipina adalah antara negara paling terdedah kepada bencana berrikutan lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan lingkaran taufan Pasifik. Pada puratanya, negara kepulauan itu dilanda 20 taufan setiap tahun dengan beberapa daripadanya teruk dan merosakkan.

  • Enjin pesawat Lion Air terbakar sejurus berlepas

    Enjin pesawat Lion Air terbakar sejurus berlepas

    PESAWAT Lion Air JT330 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sejurus berlepas akibat kebakaran yang berlaku di bahagian enjin.

    Pesawat menuju ke Palembang di wilayah Sumatera Selatan itu membawa 169 penumpang dan enam anak kapal berlepas pada 5.14 petang waktu tempatan pada Rabu, terpaksa berpatah balik 32 minit kemudian dan berjaya mendarat dengan selamat.

    “Pada ketinggian 3,000 kaki, juruterbang mendapati operasi satu daripada komponen kapal terbang tidak berfungsi,” menurut kenyataan syarikat penerbangan tambang murah Indonesia itu.

    Pegawai komunikasinya Danang Mandala Prihantoro berkata siasatan sedang dijalankan.

    Sementara itu, jurucakap Polis Metropolitan Jakarta Endra Zulpan berkata pesawat itu mengalami masalah pada enjin di bahagian kiri pesawat, lapor portal berita tempatan, liputan6.com.

    Penumpang telah dipindahkan ke pesawat lain dan berlepas semula pada 7.40 malam waktu tempatan, katanya. – BERNAMA

  • Perdaya 35 wanita serahkan video alat sulit, ‘doktor’ Malaysia dipenjara 40 bulan

    Perdaya 35 wanita serahkan video alat sulit, ‘doktor’ Malaysia dipenjara 40 bulan

    SEORANG lelaki Malaysia dipenjara 40 bulan oleh Mahkamah Daerah Singapura kerana menipu 35 mangsa perempuan supaya menghantar gambar dan video alat sulit mereka selepas berpura-pura menjadi pakar sakit puan sebuah hospital swasta.

    Ooi Chuen Wei, 37, mengaku salah atas enam tuduhan penyamaran manakala 15 lagi tuduhan serupa diambil kira mahkamah bagi tujuan hukuman.

    Butiran lain mengenai pekerjaan atau kehidupan peribadi Ooi tidak diketahui.

    Mahkamah diberitahu, pada lewat 2016, Ooi mewujudkan akaun Facebook atas nama “Dr Janice Lee Yan Hooi” dari “Gleneagles Medical Singapore” dengan menggunakan gambar rambang seorang wanita Malaysia untuk profilnya.

    Ooi turut menambah “kenalan” wanita dan lelaki dalam Facebooknya itu supaya kelihatan lebih sahih, selain mewujudkan akaun Instagram dan LinkedIn menggunakan nama sama, lapor The Straits Times Singapore.

    Selepas mengenal pasti mangsa wanita sebagai sasaran, Ooi memperkenalkan dirinya sebagai Dr Lee dan menawarkan untuk mengongsikan pelan perubatan bagi kesihatan payudara dan seksual dengan rundingan secara bulanan, kononnya diluluskan oleh “Gleneagles Medical Centre”.

    Ooi kemudian menghantar wanita berkenaan garis panduan teliti mengenai cara mengurut payudara dan kemaluan mereka. Dia turut meminta mangsa menghantar video kepadanya, kononnya untuk membolehkannya mendiagnos sebarang masalah kesihatan seterusnya mencadangkan pelan rawatan.

    Timbalan Pendakwa Raya R Arvindren memberitahu mahkamah, semua mangsa mempercayai tertuduh, malah Ooi turut mengelak bercakap dengan mangsa supaya mereka tidak mengetahui dia sebenarnya lelaki.

    Katanya, 35 mangsanya menghantar 919 gambar dan video antara 2018 hingga 2021. Tembelangnya pecah selepas seorang mangsa mengesyaki sesuatu tidak kena pada 2021 seterusnya membuat kajian sendiri dan mendapati tiada “Dr Janice Lee Yan Hooi” di hospital berkenaan.

    Wanita itu terus membuat laporan polis dan Ooi ditahan pada 11 Nov 2021.

  • Lelaki paling kotor di dunia meninggal beberapa bulan selepas bersihkan diri

    Lelaki paling kotor di dunia meninggal beberapa bulan selepas bersihkan diri

    LELAKI paling kotor di dunia kerana tidak pernah mencuci rambut dan membersihkan dirinya lebih setengah abad, Amou Haji dilaporkan meninggal dunia pada usia 94 tahun.

    Lapor BBC, Amou Haji seorang warga Iran meninggal dunia Ahad lalu selepas beberapa bulan membersihkan dirinya.

    Dia bimbang jatuh sakit selepas terkena air dan sabun pada kulit.

    Lelaki warga emas yang tinggal di wilayah selatan Fars beberapa kali menolak pujukan penduduk kampung yang menyuruhnya membersihkan diri.

    Media Iran memaklumkan, Amou Haji akhirnya tunduk dengan tekanan daripada penduduk kampung dan akhirnya bersetuju.

    Dalam satu temu bual pada tahun 2014, Amou Haji dilaporkan tinggal di sebuah lokasi yang terletak di sebuah lubang bawah tanah yang dibina dengan batu bata hasil bantuan penduduk kampung Dejgah.

    Sikap luar biasanya menarik perhatian dunia apabila tidak pernah mandi bertahun lamanya menyebabkan kulitnya berjelaga dan bernanah.

    Bukan sahaja haiwan landak, malah lelaki ini memilih daging busuk dan air tidak bersih dari tin minyak lama menjadi hidangan harian.

    Dia juga dilihat kuat merokok dan sering menghisap lebih daripada sebatang rokok sekali gus.

    Sementara itu, percubaan penduduk kampung untuk memandikannya atau menawarkan air bersih akan membuatkan lelaki ini sedih.

  • Polis Singapura sangkal dakwaan nelayan Malaysia dihalau

    Polis Singapura sangkal dakwaan nelayan Malaysia dihalau

    PASUKAN Polis Singapura (SPF) menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Ahad lalu.

    Memetik laporan Berita Harian Singapura, SPF dilaporkan, berkata dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Lim Chu Kang.

    SPF berkata, pada Ahad lalu kira-kira 4 petang, sebuah bot PCG sedang meronda di perairan republik itu sebelum mengesan sekumpulan bot nelayan Malaysia masuk dan keluar dari kawasan tembakan peluru hidup di Lim Chu Kang.

    “Berikutan sebarang kapal atau bot tidak dibenarkan memasuki kawasan tembakan itu, pegawai PCG mendekati bot nelayan Malaysia dan menggunakan sistem suara PCG untuk menasihati mereka supaya meninggalkan kawasan itu demi keselamatan mereka sendiri.

    “Kira-kira pukul 5.30 petang, beberapa kapal nelayan Malaysia menghampiri pegawai PCG, dan anak kapal mereka, sambil melahirkan rasa tidak puas hati apabila diminta meninggalkan kawasan itu.

    “Pegawai kami menjelaskan bahawa kapal yang tidak dibenarkan dilarang memasuki kawasan itu dan meminta mereka keluar demi keselamatan mereka sendiri.

    “Selepas berbalas lisan, bot nelayan Malaysia kembali ke perairan Malaysia kira-kira 5.37 petang. Kami ingin mrnegaskan kejadian ini juga berlaku sepenuhnya di perairan wilayah Singapura bukan Malaysia,” kata SPF seperti dilaporkan Berita Harian Singapura.

    Sekumpulan 10 nelayan tempatan kelmarin mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di sini, petang Ahad lalu.

    Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang apabila mereka dihalau menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa negara jiran itu menggunakan kata-kata kesat, walaupun masing-masing berada dalam perairan negara.

    Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang melakukan siasatan terhadap insiden membabitkan kumpulan nelayan Malaysia dan PCG Singapura yang berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura, petang semalam.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, dilaporkan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu ketenteraman awam.

  • Wanita maut ditelan ular sawa 6 meter

    Wanita maut ditelan ular sawa 6 meter

    SEORANG wanita separuh baya ditemukan maut dalam perut seekor ular sawa sepanjang enam meter, semalam sehari setelah kehilangannya dilaporkan.

    Wanita malang itu, Zahara, 52, merupakan seorang penoreh getah dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

    Dia merupakan penduduk RT 04, Dusun Betara 8, Desa Terjun Gajah, Mukim Betara, daerah Tanjung Jabung Barat, Jambi.

    Ketua Kampung Desa Terjun Gajah, Birin berkata, mereka mencari mangsa sehingga ke dalam hutan sejurus dia dilaporkan hilang.

    “Namun pagi tadi (Isnin), Zahara kami temukan di dalam perut ular,” katanya kepada Kompas.com semalam.

    Birin menjelaskan, ketika ditemukan, wanita itu sudah meninggal dunia.

    “Tidak ada yang melihat Zahara ditelan ular, kerana dia menoreh getah sendirian.

    “Kejadian berlaku Ahad pagi semasa wanita itu keluar menoreh namun sehingga petang dia tidak pulang ke rumah,” katanya.

    Mengulas lanjut Birin berkata, berikutan itu, satu pencarian disertai kira-kira 300 penduduk kampung digerakkan bagi mencari mangsa.

    Namun katanya, penduduk langsung tidak menemukan sebarang petunjuk.

    Keesokan paginya kata Birin, penduduk menemukan seekor ular sawa betina besar sepanjang enam meter pada pukul 9 pagi.

    “Ular itu ditangkap dan kemudian dibunuh penduduk. Kerana curiga perutnya yang besar, penduduk kemudiannya membelah perut ular sawa.

    “Akhirnya penduduk menemukan jenazah Zahara sekali gus membuatkan penduduk bertambah bimbang,” kata Birin.

    Menurutnya, ular betina yang pendek tetapi besar itu dipercayai mempunyai pasangan susulan insiden penemuan seekor ular sawa berukuran lapan meter sebelum itu.

    “Ini ularnya betina. Kerana bentuknya yang pendek tapi besar. Seminggu lalu ada warga yang menangkap ular yang lebih panjang sekitar 8 meter, namun terlepas karena keletihan. Mereka cuma bertiga,” kata Birin.

    Untuk itu, penduduk kampung katanya khuatir kerana di hutan masih ada ular yang lebih besar.

    Tambahnya, ular raksasa itu juga telah menelan 2 ekor kambing milik penduduk.

  • WhatsApp kembali pulih, hampir 2 bilion pengguna terjejas

    WhatsApp kembali pulih, hampir 2 bilion pengguna terjejas

    APLIKASI sistem pesanan ringkas popular global, WhatsApp kembali pulih selepas hampir dua jam tergendala sehingga menjejaskan berbilion pengguna di seluruh dunia.

    Di Malaysia, gangguan itu pulih kira-kira pukul 4.45 petang selepas pengguna gagal menerima dan menghantar teks baharu sejak pukul 3 petang hari ini.

    Akibat gangguan perkhidmatan itu, pengguna hanya boleh menaip teks kepada rakan namun ia tersekat dan tidak menghantar mesej itu.

    WhatsApp Web, versi pelayaran internet sistem pesanan ringkas itu turut terjejas dan pulih pada waktu yang sama.

    Ia mengakibatkan kebanyakan pengguna mula membuat aduan di laman Twitter mengenai masalah itu.

    Sementara itu, gergasi media sosial, Meta mengesahkan masalah dialami WhatsApp.

    “Kami sedar ada pengguna mengalami masalah menghantar teks dan kami sedang beruaha memulihkan WhatApp untuk semua secepat mungkin,” kata jurucakap Meta yang dipetik CNBC.

    WhatsApp mempunyai kira-kira 2 bilion pengguna dan popular di negara seperti India dan Brazil.

    Pengguna di seluruh dunia termasuk dari Britain, Turki, India turut melaporkan gangguan serupa.

    Ini bukan gangguan pertama melibatkan aplikasi dimiliki Meta tahun ini kerana Ogos lalu, pengguna Facebook melaporkan gangguan pada aplikasi media sosial berkenaan.

  • Pelajar Malaysia mati di Taiwan akibat dicekik, patah leher

    Pelajar Malaysia mati di Taiwan akibat dicekik, patah leher

    SEORANG pelajar Malaysia yang ditemui mati dalam pangsapurinya di Taipei pada 13 Oktober lalu didapati meninggal dunia akibat sesak nafas dan patah leher, menurut laporan bedah siasat yang baru dikeluarkan.

    Menurut Free Malaysia Today (FMT) yang memetik laporan Taipei Times, hasil bedah siasat turut menunjukkan dadah ditemui dalam badan pelajar itu ketika kematiannya.

    Pelajar berusia 24 tahun itu hanya dikenal pasti dengan nama keluarga, Chai dan dipercayai berasal dari Serdang, Selangor.

    Polis Taipei berkata, minggu lalu, teman lelaki mangsa yang dikenali sebagai Chen mengaku mencekik mangsa selepas mereka bergaduh kerana isu wang. Pasangan itu dilaporkan bersama tidak sampai seminggu.

    Sin Chew Daily sebelum ini melaporkan Chai menuntut di Universiti Ming Chuan di Taiwan.

    Mangsa juga bekerja sebagai model sambilan dan popular dengan penstriman langsung dalam media sosial.

    Taipei Times melaporkan Chai ditemui mati di pangsapuri yang disewanya di daerah Shilin, Taipei pada 13 Okt lalu dan kecederaannya konsisten dengan kesan cekik.

    Chen pula dikejarkan ke hospital pada hari sama akibat terlebih dos ubat.

    Lelaki itu dilaporkan ditahan polis untuk siasatan selepas dibenarkan keluar dari hospital.

    Ketika siasatan, Chen memberitahu kematian Chai tidak disengajakan dan dia hanya mahu menakutkan mangsa ketika bergaduh kerana wang, menurut laporan itu.

  • 11 maut sekolah untuk golongan buta terbakar

    11 maut sekolah untuk golongan buta terbakar

    SERAMAI 11 mangsa, termasuk kanak-kanak, maut dalam kebakaran sebuah sekolah di penempatan luar bandar berhampiran ibu negara Uganda, Kampala, kata pegawai polis, hari ini.

    Jurucakap polis, Luke Owoyesigire memaklumkan insiden semalaman itu berlaku di sekolah untuk golongan buta di daerah Mukono, namun tidak memberikan butiran lanjut.

    Masalah kebakaran di sekolah kerap menjadi kebimbangan pegawai pendidik di negara Afrika Timur, menurut Berita Harian yang memetik laporan AP.

    Pada 2020, dua asrama di sebuah sekolah berasrama yang terkenal di Kampala musnah dalam kejadian berasingan. Bagaimanapun, tiada individu dilaporkan cedera.

    Pada 2008, seramai 19 pelajar terkorban dalam kebakaran yang tercetus pada malam di sebuah sekolah berasrama berhampiran Kampala.

  • WhatsApp tergendala, berbilion pengguna dunia terjejas

    WhatsApp tergendala, berbilion pengguna dunia terjejas

    APLIKASI mesej popular di dunia, WhatsApp dilaporkan sedang menghadapi masalah sekali gus memberi kesan kepada berbilion pengguna di seluruh dunia.

    Pengguna tidak berupaya untuk menerima dan menghantar teks baharu sejak pukul 3 petang hari ini.

    Mereka hanya boleh menaip teks kepada rakan namun ia tersekat dan tidak menghantar mesej itu.

    Buat masa ini, masih tiada kenyataan rasmi dari WhatsApp, kebanyakan pengguna mula membuat aduan di laman Twitter mengenai masalah itu.

    Perkara itu turut dilaporkan portal United Kingdom, The Independent.

    Hindustan Times melaporkan, India juga melaporkan masalah yang sama.

    Sementara itu, gangguan WhatsApp kembali pulih kira-kira pukul 5 petang, dua jam selepas masalah itu dilaporkan.