Category: Luar Negara

  • Selesai penggambaran, Shah Rukh Khan tunai umrah

    Selesai penggambaran, Shah Rukh Khan tunai umrah

    SUPERSTAR Bollywod, Datuk Shah Rukh Khan dilaporkan berada di Tanah Suci Mekah menunaikan ibadah umrah.

    Lapor Astro Awani, pelakon kegemaran ramai itu mengambil kesempatan menunaikan umrah selepas selesai menjalani penggambaran filem terbaharu, Dunki di Arab Saudi.

    Wartawan Arab Saudi, Saud Hafiz dalam perkongsian di akaun Twitternya berkongsi dua keping foto Shah Rukh Khan di Masjidilharam lengkap berpakaian ihram.

    Saud juga menitipkan doa semoga Allah menerima ibadah aktor tersohor dunia itu.

    Perkongsian hantaran Saud itu menyebabkan ramai peminat Shah Rukh Khan menulis kata-kata yang indah selain mendoakan pelakon itu.

    Sebelum berada di Arab Saudi, Shah Rukh Khan dan seluruh krew produksi terlebih dahulu berkunjung ke London bagi menjalani penggambaran filem Dunki.

    Dalam hantaran di akaun Instagramnya, Shah Rukh Khan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi yang telah memberikan layanan mesra buat beliau dan seluruh tenaga produksi filem itu.

  • Anak durjana hidang teh panas beracun bunuh ibu, ayah serta kakak

    Anak durjana hidang teh panas beracun bunuh ibu, ayah serta kakak

    POLIS menahan seorang pemuda selepas dipercayai membunuh tiga ahli keluarganya di sebuah kediaman dekat Mertoyudan, Magelang, Jawa Tengah, semalam.

    Memetik laporan Kompas.com, suspek yang dikenali sebagai DDS, 22, membunuh bapa, ibu dan kakaknya dengan menggunakan racun dipercayai arsenik.

    Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Tengah, Iqbal Alqudusy berkata, mangsa ialah Abbas Ashar, 58, Heri Riyani, 54, dan Dhea Choirunnisa, 24.

    “Suspek yang merupakan anak kedua mengaku telah mencampurkan racun yang dibeli secara dalam talian ke dalam bancuhan teh panas dan kopi ais,” ujarnya.

    Jelasnya, saksi kejadian mendapati ketiga-tiga mangsa mula loya dan muntah sebelum terbaring di dalam tandas.

    “Saksi kemudian memanggil penduduk untuk membawa mangsa ke hospital.

    “Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pegawai perubatan medapati ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

    Iqbal berkata, suspek kini ditahan di Unit Siasatan Jenayah Polis Magelang bagi tindakan lanjut.

    Sementara jenazah tiga sekeluarga itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Sasono Loyo, Prajenan, petang semalam.

  • Isteri, anak tiri cincang lelaki sehingga 22 bahagian kerana curang

    Isteri, anak tiri cincang lelaki sehingga 22 bahagian kerana curang

    POLIS New Delhi menahan seorang ibu dan anaknya selepas membunuh suami sendiri dengan memotong badan dan menyimpan dalam peti sejuk sebelum melupuskannya.

    Mangsa, Anhan Das adalah penduduk di perkampungan Pandav Nagar dan menetap bersama isterinya, Poonam serta anak tirinya, Deepak.

    Polis menahan kedua-dua suspek selepas menjumpai beberapa bahagian badan termasuk dua tangan, dua paha, tengkorak dan lengan di kawasan Trilokpuri, Kalyanpuri dan Pandav Nagar.

    Identiti mangsa dikenal pasti selepas polis menjalankan siasatan dengan melihat kamera litar tertutup (CCTV) menyaksikan ibu dan anaknya bergerak membawa beg ke tanah terbiar.

    Selepas siasatan lanjut, kedua beranak tersebut mengaku melakukan jenayah kejam itu dan mendakwa suaminya menjalinkan hubungan sulit.

    “Pada 30 Mei, mereka meletakkan pil tidur dalam minuman Anjan dan kemudian mengelar lehernya. Mereka meninggalkan mayat dalam rumah selama sehari bagi membuang darah sepenuhnya.

    “Kemudian mereka memotong badan kepada beberapa bahagian. Setakat ini polis hanya menemui enam bahagian,” kata polis, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

    Media tempatan melaporkan kedua-dua suspek mengecat rumah selepas menyimpan mayat dalam peti sejuk untuk mengelakkan bau busuk.

    Difahamkan, pasangan tersebut berkahwin pada 2017 dan kerap bergaduh.

  • Helikopter polis terhempas di Indonesia: Satu mayat ditemukan, 3 masih hilang

    Helikopter polis terhempas di Indonesia: Satu mayat ditemukan, 3 masih hilang

    PASUKAN penyelamat menemukan satu mayat setakat ini dalam insiden helikopter polis terhempas di Kepulauan Bangka Belitung, sehari selepas pesawat itu terputus hubungan.

    Helikopter itu membawa empat penumpang dan misi mencari masih diteruskan di pantai timur Pulau Belitung untuk mengesan mangsa yang masih hilang.

    Pesawat itu berlepas pada Ahad dari wilayah Kalimantan Tengah menuju ke wilayah Kepulauan Bangka Belitung apabila ia terputus hubungan akibat cuaca buruk.

    “Penyelamat menemukan mayat di perairan Manggar pagi ini,” kata jurucakap polis Bangka Belitung A. Maladi dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata nelayan di kawasan itu menemukan tiga headrest dengan lambang pasukan operasi udara polis Indonesia pada Ahad petang.

  • Lima maut helikopter terhempas

    Lima maut helikopter terhempas

    LIMA maut selepas sebuah helikopter terhempas lalu terbakar di daerah Yangyang, wilayah Gangwon, Korea Selatan pada Ahad, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Yonhap.

    Pihak berkuasa bomba menemukan lima mayat selepas memadamkan api.

    Kejadian berlaku kira-kira 10.50 pagi waktu tempatan.

    Helikopter yang disewa bersama oleh kerajaan tempatan Sokcho, Goseong dan Yangyang itu terhempas ketika menjalankan operasi memadamkan kebakaran hutan.

  • Kris Wu dipenjara 13 tahun, perkosa tiga wanita

    Kris Wu dipenjara 13 tahun, perkosa tiga wanita

    BEKAS anggota kumpulan K-Pop popular, EXO, Kris Wu, 32, dipenjara 13 tahun atas kesalahan merogol tiga wanita oleh Mahkamah Daerah Chaoyang Beijing, kelmarin.

    Hasil siasatan pihak berkuasa antara November hingga Disember 2020, model, penyanyi dan pelakon kelahiran Guangzhou, Guangdong, China yang dibesarkan di Kanada itu juga didapati mengumpulkan beberapa individu lain atas skandal pemerkosaan.

    Bagi kesalahan jenayah rogol, Wu dihukum penjara selama 11 tahun enam bulan, manakala 22 bulan lagi atas hukuman mengumpulkan orang untuk aktiviti seksual.

    Sebelum ini, Wu yang memiliki 50 juta pengikut dalam aplikasi Weibo ditahan polis Chaoyang, Beijing pada 31 Julai, tahun lalu selepas didakwa memperdaya wanita untuk melakukan hubungan seks.

    Pemilik nama Wu Yi Fan itu dilaporkan melakukan perbuatan seks bersama tiga wanita di kediamannya tanpa kerelaan mangsa, lapor BH Online.

    Ketika kejadian antara November hingga Disember 2020, semua mangsa didakwa tidak sedarkan diri kerana berada dalam keadaan mabuk.

    Kris Wu memperdaya wanita sebelum melakukan jenayah rogol

    Tahun lalu, seorang pelajar Du Meizhu, 19, mendakwa Wu merogolnya pada usia 17 tahun.

    Meizhu mendakwa, Wu memperdaya ramai wanita dan gadis bawah umur 18 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya dengan alasan merekrut pelakon.

    Kes tersebut mula mendapat liputan meluas daripada pihak media sehingga mendapat kecaman orang ramai.

    Rentetan kes berkenaan, beberapa jenama mewah membatalkan perjanjian untuk bekerjasama dengan Wu.

    Malah, ada beberapa mangsa turut berkongsi perbuatan kakitangan Wu mempelawa ke pesta karaoke dan disuruh minum arak sehingga mabuk sebelum bertindak kasar.

    Susulan itu, satu gerakan dikenali sebagai #MeToo di China diwujudkan yang menyaksikan ramai golongan wanita tampil ke hadapan bagi menyuarakan pengalaman menjadi mangsa gangguan seksual termasuklah membabitkan individu berpengaruh pada 2018.

    Selain kes jenayah rogol, Wu didenda sebanyak 600 juta yuan (RM375 juta) atas kesalahan mengelak membayar cukai Perkhidmatan Cukai Perbandaran Beijing bagi Pentadbiran Percukaian Negeri.

    Dilahirkan pada 6 November 1990, Wu adalah penyanyi, rapper, pelakon dan model.

    Wu sempat bersama EXO selama dua tahun sebelum meninggalkan kumpulan popular itu pada 2014 kerana tidak berpuas hati dengan perjanjian kontrak bersama SM Entertainment.

    Kemudiannya, Wu melebarkan kerjaya solo dan menceburi dunia lakonan.

  • Nekad bakar rumah sendiri selepas menang taruhan Piala Dunia

    Nekad bakar rumah sendiri selepas menang taruhan Piala Dunia

    SEORANG peminat bola sepak di Indonesia nekad membakar rumahnya sendiri selepas tidak berpuas hati dengan jumlah wang taruhan yang diterima.

    Kejadian itu berlaku di Desa Tanaki Lindongan, Kecamatan Siau Barat Selatan di Sitaro, wilayah Sulawesi Utara pada Jumaat lalu.

    Individu dikenali sebagai JD atau Joi dipercayai bertindak sedemikian kerana terlalu gembira setelah menang pertaruhan Piala Dunia 2022.

    “Siasatan awal mendapati Joi bersama rakannya bertaruh 200,000 rupiah (RM57) ketika perlawanan antara Brazil dan Serbia.

    “Kemenangan akhirnya berpihak kepada Joi selepas pasukan Brazil berjaya mengalahkan Serbia 2-0,” kata Ketua Polis Kepulauan Sitaro, Iwan Permadi kepada Detikcom semalam.

    Menurutnya, Joi kecewa selepas rakannya tidak memberikan jumlah wang seperti yang dijanjikan.

    “Temannya hanya memberikan 120,000 rupiah (RM34). Joi kemudiannya membuat kecoh hingga ditegur oleh seorang imam.

    “Dia yang berada di bawah pengaruh alkohol bagaimanapun tidak dapat menerima teguran itu lalu pulang ke rumahnya sambil menjerit-jerit,” jelas Iwan lagi, menurut Sinar Harian yang memetik lapioran Agensi.

    Setibanya di rumah, Joi telah mengusir isteri dan anaknya sebelum mengambil botol berisi minyak tanah dan membakar kediaman keluarganya.

    Akibat tindakan melulu itu, Joi ditahan pihak berkuasa kerana mengganggu ketenteraman awam dan turut mengalami kerugian dianggarkan berjumlah 5 juta rupiah (RM1,427).

  • Soleh, si kucing dilantik sebagai penjawat awam

    Soleh, si kucing dilantik sebagai penjawat awam

    SEEKOR kucing ‘dilantik’ sebagai penjawat awam (PNS) di Pejabat Perkhidmatan Cukai atau KPP Pratama Serpong di Tangerang Selatan, Indonesia.

    Berdasarkan ciapan menerusi akaun rasmi Direktorat Jenderal (Ditjen) Percukaian Kementerian Kewangan, haiwan digelar Soleh itu turut diberikan ‘kad pekerja’.

    Difahamkan, kucing berbulu putih dan hitam itu ditemui di KPP Pratama Serpong ketika ia masih kecil.

    Kedatangannya turut disambut baik oleh pegawai di premis itu sehinggalah ia turut dianggap sebagai ‘kakitangan’ di pejabat berkenaan.

    “Soleh kini sudah menjadi staf kami,” ujar admin akaun Twitter tersebut, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

    Antara ‘tugas’ diberikan kepada Soleh adalah menggembirakan dan menceriakan kakitangan serta pembayar cukai yang hadir di KPP Pratama Serpong.

    “Soleh sering dilihat melakukan ‘tugasnya’ di sekitar rakan sekerjanya lain. Seluruh ruang @pajakserpong adalah tempat kerja Soleh yang dilantik sebagai ‘pelatih ahli meow’,” jelas ciapan itu lagi secara berseloroh.

  • Banjir kilat landa Jeddah, 2 maut

    Banjir kilat landa Jeddah, 2 maut

    SEKURANG-KURANGNYA dua orang maut akibat hujan lebat hampir enam jam yang mencetuskan banjir kilat di Jeddah, Arab Saudi semalam.

    Hujan bermula pukul 8 pagi itu menjejaskan kehidupan seharian penduduk dengan kebanyakan orang ramai terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dimasuki air sebelum diselamatkan.

    Lapor Saudi Gazette, ia kejadian banjir terburuk dalam tempoh 13 tahun.

    Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM), Jeddah merekodkan jumlah hujan sebanyak 179 mm dalam tempoh enam jam melebihi paras dicatatkan pada 2009.

    Trafik penerbangan dan kenderaan terganggu selama beberapa jam kerana laluan utama dan jalan raya ditenggelami air.

    Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA) terpaksa ditunda manakala Lebuhraya Haramain dan beberapa jalan utama lain ditutup selama beberapa jam.

    Beberapa jalan di kawasan perumahan Jeddah dinaiki air akibat hujan lebat, menyebabkan banyak kenderaan rosak.

    Kebanyakan orang ramai yang terperangkap di rumah kemudiannya berkongsikan cuaca buruk dan kenderaan dihanyutkan banjir dalam akaun media sosial mereka.

    Jurucakap Pertahanan Awam, Kolonel Muhammad Al-Qarni berkata, dua kematian dilaporkan akibat hujan lebat di Jeddah.

    Menurutnya, perenang dari Pertahanan Awam Jeddah menyelamatkan ramai pemandu yang terperangkap di dalam kenderaan mereka yang tenggelam dalam terowong Jalan Raja Abdullah yang ditenggelami air.

  • Jokowi lawat daerah Cianjur, angka kematian naik 268 orang

    Jokowi lawat daerah Cianjur, angka kematian naik 268 orang

    PRESIDEN Indonesia Joko Widodo pada Selasa melawat bandar Cugenang di daerah Cianjur, lokasi pusat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter yang mengorbankan 268 orang.

    Beliau mengarahkan agensi mencari dan menyelamat untuk memindah dan mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh. 

    Presiden Indonesia itu turut berikrar membantu daerah berkenaan untuk membina semula infrastruktur selain mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas dalam bencana pada Isnin di wilayah Jawa Barat itu.

    Mangsa akan menerima maksimum 50 juta rupiah setiap seorang untuk membaiki rumah mereka yang rosak, kata Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, selepas melawat pusat perlindungan yang menempatkan ratusan orang yang kehilangan tempat tinggal.

    Menurut kenyataan akhbar, Jokowi meninjau kawasan yang terjejas selain bertemu dengan masyarakat tempatan.

    Beliau diiringi Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Muhadjir Effendy dan Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil.

    Sementara itu, Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Suharyanto dalam taklimat maya berkata selain 268 kematian terdapat 1,083 orang cedera dan 151 masih hilang berdasarkan data yang dikumpul setakat 5 petang waktu tempatan.

    Lebih 56,362 orang ditempatkan di pusat pemindahan selepas 21,282 rumah rosak termasuk kira-kira 6,570 yang runtuh.

    Kedutaan Malaysia di Jakarta dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas. 

    Pusat AHA turut menawarkan bantuan kepada BNPB dan mengesahkan kesediaannya untuk menyokong pihak berkuasa.

    Sistem pemantauan dan tindak balas bencana pusat itu menganggarkan 3.29 juta orang, 981,500 isi rumah dan infrastruktur bernilai US$12.2 bilion rosak akibat gempa itu, menurut AHA dalam kemas kini terkininya. – BERNAMA

    Indonesia, gempa bumi, Jokowi, Kedutaan Malaysia di Jakarta, Pusat AHA