Category: Luar Negara

  • Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    HUJAN lebat disertai ketulan air batu selain ribut petir yang boleh menyebabkan banjir kilat diramal berlaku di kota suci Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA) hari ini memaklumkan amaran hujan lebat yang berlaku sejak petang Ahad kekal aktif sehingga pukul 11 pagi (waktu tempatan) pada Selasa (hari ini).

    Ramalan itu menyatakan, hujan tahap sederhana dan lebat diramal bersama angin kuat, ombak besar serta hujan batu manakala jarak penglihatan pula terhad. 

    “Hujan lebat ini berlarutan di Madinah dan wilayahnya termasuk pantai dan kemudian beredar ke timur di wilayah Riyadh, Hail, Qassim, wilayah timur, timur laut dan utara termasuk wilayah Al-Jouf dan wilayah sempadan utara.

    “Salji lebat diramal di wilayah utara Arab Saudi dan kabus tebal akan terbentuk pada awal pagi Isnin.

    “Orang ramai mesti berhati-hati dan tidak mendekati lokasi air hujan terkumpul untuk memastikan keselamatan mereka,” menurut NCM.

    Sementara itu, Jabatan Tertinggi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menerusi portal rasminya hari ini memaklumkan bahawa pelan kecemasan menghadapi bencana banjir sudah mula dilaksanakan bagi memastikan keselamatan jemaah umrah dan pengunjung Baitullah.

    Pengarah Keselamatan Masjidil Haram, Hussein bin Hassan Al-Asafi berkata: “lebih 200 penyelia dan 4,000 petugas pembersihan digerakkan bagi membantu melancarkan tugas ini”. – BERNAMA

    Masjidil Haram, ribut, hujan lebat, salji, Arab Saudi

  • 50,000 ayam dimusnahkan akibat wabak selesema burung

    50,000 ayam dimusnahkan akibat wabak selesema burung

    KIRA-kira 50,000 ekor ayam perlu dimusnahkan susulan penularan baharu virus selesema burung di sebuah ladang di barat Denmark, menurut kenyataan Kementerian Makanan, Pertanian dan Perikanan negara itu semalam .

    “Ayam itu dijangkiti virus H5N1 yang mudah merebak dan boleh menyebabkan kematian. Kami akan memusnahkan 50,000 ekor ayam dalam tempoh beberapa hari akan datang,” kata ketua bahagian  Pentadbiran Veterinar dan Makanan Denmark (DVFA) Lotte Brink, lapor Xinhua.

    Virus itu pertama kali dikesan pada malam tahun baharu selepas apabila beberapa ekor ayam ditemukan mati di sebuah ladang berhampiran bandar Orum di Perbandaran Hedensted, kira-kira 177 kilometer barat Copenhagen. 

    Semua ayam yang dijangkiti dijangka dihapuskan oleh DVFA dan Agensi Pengurusan Kecemasan Denmark (DEMA) diikuti dengan kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman di seluruh kawasan ladang.

    Semalam, DVFA telah menyenaraikan kawasan yang berada dalam lingkungan 10 kilometer dari ladang itu sebagai Zon Larangan, sebarang pengeluaran telur atau ayam tanpa permit dilarang sama sekali.

    Penularan wabak selesema burung itu kali keempat berlaku sejak Oktober dan yang terbesar setakat ini, menurut kementerian berkenaan.

  • Serangan bersenjata di penjara Mexico ragut 14 nyawa

    Serangan bersenjata di penjara Mexico ragut 14 nyawa

    SERAMAI 10 pengawal dan empat banduan maut selepas lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah penjara di bandar Ciudad Juarez, Mexico pada Ahad, lapor Agensi Anadolu memetik pihak berkuasa tempatan.

    Selain itu, 13 orang turut cedera dan sekurang-kurangnya 24 banduan melarikan diri.

    Lelaki bersenjata lengkap dengan kenderaan berperisai tiba di penjara sekitar 7 pagi waktu tempatan (1400GMT) dan melepaskan tembakan ke arah pengawal.

    Pejabat pendakwa negeri Chihuahua dalam satu pengumuman di media sosial menyatakan anggota tentera, Pengawal Kebangsaan dan polis tempatan telah berjaya mengawal keadaan.

    Ciudad Juarez yang terletak di seberang sempadan El Paso, Texas, terus dicengkam keganasan akibat serangan kumpulan penjenayah yang ingin menguasai bandar itu.

    Pada 11 Ogos tahun lalu, rusuhan di penjara yang sama merebak ke jalan raya dengan penjenayah menggunakan senjata api dan bom molotov untuk menyerang orang awam serta perniagaan tempatan.

    Serangan itu menyebabkan 11 maut termasuk seorang budak lelaki berusia empat tahun.

  • Maghribi bakal larang kemasukan pengembara dari China, Kanada perkenal syarat ujian saringan COVID-19

    Maghribi bakal larang kemasukan pengembara dari China, Kanada perkenal syarat ujian saringan COVID-19

    MAGHRIBI bakal mengenakan larangan masuk kepada pelancong dari China mulai 3 Januari berikutan peningkatan kes COVID-19, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Sabtu.

    “Pihak Berkuasa Maghribi memutuskan untuk melarang akses ke wilayah Maghribi kepada semua pengembara yang datang dari China tanpa mengira kewarganegaraan mereka,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian itu.

    Keputusan itu dibuat untuk mengelakkan gelombang penularan baharu di negara ini.

    Sementara itu, Kanada mengumumkan pada Sabtu, penumpang yang datang dari China, Hong Kong dan Macao perlu menyerahkan keputusan ujian saringan COVID-19 yang negatif sebelum menaiki penerbangan ke negara itu.

    Kementerian Kesihatan Kanada menyatakan bahawa semua pengembara udara dari lokasi itu ‘perlu memberikan bukti keputusan ujian COVID-19 negatif kepada syarikat penerbangan sebelum menaiki pesawat dan ujian saringan itu mesti diambil tidak lebih daripada dua hari sebelum berlepas.’

    Keputusan itu tertakluk kepada pengembara berumur dua tahun dan ke atas berkuat kuasa 5 Jan.

    Langkah itu akan dilaksanakan selama 30 hari dan pihak berkuasa akan menilai semula apabila lebih banyak data dan bukti tersedia.

    Keputusan itu dibuat selepas lonjakan kes dan “data jujukan genom epidemiologi dan virus yang terhad pada kes ini,” menurut Kementerian Kesihatan.

    Sebelum ini Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol turut akan menguatkuasakan keperluan perjalanan baharu untuk mereka yang datang dari China termasuk keputusan ujian negatif COVID-19.

    China baru-baru ini mengumumkan akan mula melonggarkan langkah pencegahan pandemik dan memilih “hidup bersama COVID” selepas tiga tahun sekatan, sempadan ditutup dan kuarantin wajib.

  • Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China

    Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China

    SEMAKIN banyak negara melaksanakan sekatan COVID-19 ke atas pelancong dari China dengan United Kingdom menjadi negara terbaharu pada Jumaat yang mewajibkan ujian COVID-19 sebelum berlepas.

    “Mulai 5 Jan, pelancong dari China ke England diminta mengambil ujian pra-pelepasan,” lapor Agensi Anadolu, memetik Jabatan Kesihatan.

    Di samping itu, Agensi Keselamatan Kesihatan UK melancarkan pengawasan dengan mengambil sampel dari penumpang yang tiba dari China mulai 8 Jan.

    Perancis juga mewajibkan pelancong dari China mempamerkan ujian negatif COVID-19 dan ujian secara rawak akan dijalankan ke atas penumpang semasa ketibaan, menurut laporan media.

    China baru-baru ini mengumumkan akan melonggarkan langkah-langkah pandemik, dan “hidup bersama COVID” selepas tiga tahun sekatan.

    Langkah itu dibuat di tengah-tengah pengumuman baharu oleh Amerika Syarikat, Jepun, Itali dan Sepanyol yang menguatkuasakan langkah pencegahan COVID-19 membabitkan pelancong dari China, termasuk mempamerkan keputusan ujian negatif COVID-19. – BERNAMA

  • COVID-19: AS pertimbang uji kumbahan pesawat antarabangsa dari China

    COVID-19: AS pertimbang uji kumbahan pesawat antarabangsa dari China

    PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan untuk mengambil sampel air kumbahan dari pesawat antarabangsa China bagi mengesan kemunculan varian baharu susulan peningkatan jangkitan kes COVID-19 di negara itu.

    Lapor agensi berita Reuters, tiga pakar penyakit berjangkit berkata, dasar sedemikian berupaya menawarkan penyelesaian lebih baik untuk menjejaki virus itu sekali gus memperlahankan kemasukannya ke AS.

    Ia dikatakan lebih berkesan berbanding sekatan perjalanan diumumkan AS minggu ini, yang turut dilaksanakan negara lain iaitu mewajibkan keputusan ujian saringan negatif bagi pengembara dari China.

    Pakar penyakit berjangkit di Universiti Minnesota, Dr Michael Osterholm berkata, sekatan perjalanan seperti mewajibkan ujian saringan COVID-19 setakat ini gagal mengekang penyebaran wabak itu dengan ia dilihat sebagai alat politik.

    “Ia kelihatan penting dari sudut politik. Saya fikir setiap kerajaan merasakan mereka akan dituduh tidak melakukan yang secukupnya untuk melindungi rakyat jika tidak melaksanakan tindakan sedemikian,” katanya, lapor Berita Harian.

    Minggu ini, AS turut memperluaskan program sukarela iaitu penjujukan genom di lapangan terbang dengan menambah beberapa lokasi termasuk Seattle dan Los Angeles.

    Secara keseluruhan, sebanyak tujuh lapangan terbang mengumpul maklumat untuk program berkenaan.

    Bagaimanapun, kumpulan pakar berkata, ia mungkin tidak berupaya memberikan saiz sampel yang berkesan.

    Pakar genomik dan Pengarah Institut Terjemahan Penyelidikan Scripps di La Jolla, California, Dr Eric Topol, berkata penyelesaian yang lebih baik ialah menguji air kumbahan daripada syarikat penerbangan.

    Ia berupaya memberikan gambaran lebih jelas bagaimana virus itu bermutasi berikutan kekurangan data yang telus dari China.

    Topol berkata, kaedah menguji air kumbahan dari pesawat China adalah taktik yang sangat baik.

    Katanya, AS wajar meningkatkan kaedah pengawasannya kerana China tidak mahu berkongsi data genomiknya.

    China sebelum ini berkata, kritikan terhadap statistik kes COVID-19 yang dikeluarkannya adalah tidak berasas dan melihat risiko varian baharunya adalah lebih kecil dengan menjangkakan mutasi terbaharu boleh berjangkit dengan lebih cepat tetapi tidak menyebabkan komplikasi yang teruk.

    Namun, keraguan terhadap data rasmi China mendorong negara lain termasuk AS, Itali dan Jepun melaksanakan peraturan ujian baharu ke atas pelawat China apabila Beijing menarik balik kawalan perjalanan.

    Dalam pada itu, jurucakap CDC, Kristen Nordlund dalam e-melnya berkata, analisis air kumbahan kapal terbang adalah antara beberapa pilihan yang sedang dipertimbangkan oleh agensi itu dalam usaha memperlahankan kemunculan varian baharu ke AS dari negara lain.

    Agensi itu bergelut terutamanya berhubung ketelusan data COVID-19 dikeluarkan China selepas negara berkenaan secara tiba-tiba menarik balik perintah berkurung dan dasar ujian saringan COVID-19 yang ketat.

    Ia menyebabkan virus itu berpotensi menjangkiti individu yang belum divaksinasi dan populasi yang kurang terdedah kepada wabak berkenaan sebelum ini.

    “Pengawasan air kumbahan COVID-19 sebelum ini telah terbukti sebagai kaedah yang baik dan survelan air kumbahan pesawat boleh menjadi pilihan yang baik,” katanya.

    Julai lalu, kumpulan penyelidik Perancis melaporkan bahawa ujian saringan COVID-19 bagi air kumbahan pesawat perlu menunjukkan hasil negatif memandangkan syarikat penerbangan antarabangsa tidak melindungi daripada penyebaran varian baharu.

  • Kematian Pele: Brazil umum tiga hari berkabung

    Kematian Pele: Brazil umum tiga hari berkabung

    BRAZIL mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari berikutan kematian legenda bola sepak Brazil, Pele pada Khamis.

    “Tempoh berkabung itu bermula dari tarikh penerbitan Dekri ini sebagai tanda kesedihan atas kematian Edson Arantes do Nascimento, Pele, bekas pemain bola sepak,” lapor Anadolu Agensi memetik dekri yang ditandatangani Presiden Jair Bolsonaro.

    Bolsonaro menerusi ciapan di Twitter berkata Pele membawa nama Brazil di persada dunia menerusi bola sepak dan mengubah sukan itu menjadi kesenian dan kegembiraan.

    Penghormatan terakhir untuk Pele akan berlangsung pada Isnin sehingga 10 pagi Selasa, menurut portal berita Brazil G1.

    Orang ramai dibenarkan untuk melakukan penghormatan terakhir dalam tempoh itu.

    Ikon bola sepak itu akan dikebumikan pada 3 Jan di Memorial Necropole Ecumenica.

    Pencapaian ‘Raja Bola Sepak’ belum dapat ditandingi kerana Pele adalah satu-satunya pemain bola sepak yang menjulang Piala Dunia sebanyak tiga kali pada 1958, 1962 dan 1970.

  • Pele meninggal dunia

    Pele meninggal dunia

    IKON bola sepak Brazil Pele yang dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan pemenang Piala Dunia tiga kali meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun.

    “Semua yang boleh kami ungkapkan kepada anda adalah terima kasih. Kami menyayangi anda tidak terhingga. Berehatlah dengan tenang,” tulis anak perempuan Pele, Kely Nascimento di Instagram.

  • Manipulasi pasaran saham: Ahli perniagaan Malaysia dipenjara 36 tahun di Singapura

    Manipulasi pasaran saham: Ahli perniagaan Malaysia dipenjara 36 tahun di Singapura

    SEBUAH mahkamah Singapura menjatuhi hukuman penjara 36 tahun ke atas ahli perniagaan Malaysia John Soh Chee Wen kerana menjadi dalang bagi salah satu manipulasi pasaran saham terbesar republik itu.

    Menurut laporan The Straits Times, pengkomplotnya Quah Su-Ling turut dijatuhi hukuman 20 tahun.

    Kedua-duanya didapati memanipulasi harga saham Kumpulan Blumont, Asiasons Capital dan Lion-Gold Corp – secara kolektif dikenali sebagai BAL – antara Ogos 2012 dan Oktober 2013, dan melenyapkan hampir SGD8 bilion (RM27 bilion) dalam permodalan pasaran pada akhir kegiatan mereka.

    Lapor Free Malaysia Today, kedua-duanya merayu hukuman yang dijatuhkan.

    Soh disabitkan atas beberapa tuduhan, termasuk manipulasi pasaran dan perdagangan palsu.

    Penjatuhan hukuman ini menjadi penutup hampir 200 hari perbicaran, dengan 349 tuduhan berjaya.

    Pendakwa raya memohon hukuman penjara 40 tahun untuk Soh, yang disabitkan atas 180 tuduhan, dan 19 tahun setengah untuk Quah, yang disabitkan atas 169 tuduhan.

    Soh, 63, telah direman sejak 2016, manakala Quah, 58, bekas ketua eksekutif Ipco (kini dinamakan semula sebagai Renaissance United), bebas dengan jaminan SGD4 juta (RM13 juta).

    The Straits Times sebelum ini melaporkan pihak pendakwaan sebagai berkata, skim Soh melibatkan lebih 50 individu, termasuk ketua pegawai eksekutif dan individu bernilai tinggi.

  • Korban banjir di Filipina meningkat kepada 13 orang, 23 lagi hilang

    Korban banjir di Filipina meningkat kepada 13 orang, 23 lagi hilang

    ANGKA korban akibat hujan lebat dan banjir di Filipina meningkat kepada 13 orang manakala sekurang-kurangnya 23 yang lain masih hilang, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC), hari ini.

    Tiga kematian dilaporkan di wilayah Bicol di Luzon, dua di wilayah tengah Filipina manakala lapan lagi di selatan Filipina.

    Menurut NDRRMC berhubung mangsa yang hilang, lapan kes dilaporkan di wilayah Bicol, 12 di tengah Filipina dan tiga di selatan Filipina. Enam yang lain dilaporkan cedera.

    Banjir juga telah menyebabkan hampir 170,000 orang di enam wilayah hilang tempat tinggal dan lebih 45,000 orang kini ditempatkan di sekurang-kurangnya 87 pusat perlindungan kerajaan manakala selebihnya tinggal bersama saudara mara masing-masing.