Category: Luar Negara

  • Padah buang air kecil pada penumpang dalam pesawat

    Padah buang air kecil pada penumpang dalam pesawat

    BEKAS eksekutif syarikat perbankan gergasi Amerika Syarikat (AS) diberkas pihak berkuasa India selepas tindakannya membuang air kecil pada seorang penumpang pesawat Air India, baru-baru ini.

    Shankar Mishra yang dipecat daripada jawatan Naib Presiden Bahagian Operasi Wells Fargo diburu polis setelah seorang wanita warga emas membuat aduan tentang perbuatannya ketika menaiki penerbangan Air India pada November lalu.

    Media tempatan melaporkan Mishra telah menutup telefon bimbitnya, namun dia masih menghubungi rakan-rakannya melalui media sosial malah turut membuat transaksi menggunakan kad kredit di Bangalore yang telah mendedahkan lokasi keberadaannya.

    “Dia telah dibawa ke New Delhi untuk siasatan lanjut,” kata jurucakap polis, semalam lapor Sinar Harian.

    Pada Jumaat, Wells Fargo mengesahkan pemecatan Mishra selepas perbuatan tidak senonohnya mendapat perhatian umum.

    Lelaki tersebut dikatakan berada di bawah pengaruh alkohol ketika menaiki penerbangan dari New York ke Delhi pada 26 November lalu apabila dia membuka zip seluarnya secara tiba-tiba sebelum membuang air kecil pada wanita berusia 72 tahun yang duduk bersebelahannya di kelas perniagaan.

    Air India dalam satu kenyataan mengakui ia gagal menangani insiden itu dengan teratur dan sedang mengkaji polisi berkaitan menyediakan minuman alkohol kepada penumpang.

    Pada awal minggu lalu, pengawal selia penerbangan menegur pengurusan Air India yang baru-baru ini diambil alih konglomerat Tata Group kerana tidak melaporkan kejadian pada masa itu.

    Sementara itu, peguam mewakili Mishra memaklumkan eksekutif perbankan itu telah mencapai penyelesaian kewangan dengan memberikan ganti rugi kepada mangsa termasuk membersihkan bag dan pakaiannya yang dicemari urin.

    Wanita itu bagaimanapun mengembalikan semula wang tersebut dan bertindak memfailkan aduan kepada Air India.

  • China buka semula sempadan selepas 3 tahun

    China buka semula sempadan selepas 3 tahun

    CHINA membuka semula sempadannya pada Ahad selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19.

    Pada 26 Dis Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan tahap COVID-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B. 

    COVID-19 telah ditukar daripada “pneumonia novel coronavirus” kepada “novel coronavirus infection,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan suruhanjaya kesihatan itu.

    Selain itu, China tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu dan pesakit COVID-19 selain menarik balik dasar ketat “sifar-COVID-19”.

    Bagaimanapun, negara itu menghadapi peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu.

    Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Perancis, Maghribi, Qatar, Kanada, Greece, Malaysia, Finland dan Belanda telah mengumumkan mengenai keperluan keputusan ujian negatif COVID-19 kepada mereka yang tiba dari China.

    Sementara itu, Jerman pada Sabtu menasihatkan rakyatnya tidak melakukan perjalanan yang tidak penting ke China dan mengklasifikasikan negara itu sebagai “kawasan ancaman varian virus” disebabkan gelombang COVID-19 yang sedang melanda di China. 

    China pada Jumaat menyatakan bahawa situasi COVID-19 di negara itu terkawal dan banyak negara anggota EU mengalu-alukan pelancong China.

    Mengulas mengenai pertauran yang dikenakan sesetengah negara terhadap pelancong yang datang dari China, jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata semua langkah tindak balas terhadap COVID-19 harus berdasarkan sains dan fakta serta setara. 

    “Seharusnya tidak ada percubaan untuk mempolitikkan isu itu atau mengamalkan amalan diskriminasi yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat,” kata Mao kepada pemberita.

    Beliau berkata pakar China turut menghadiri taklimat dalam talian Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memberikan maklumat terkini mengenai pandemik itu. – BERNAMA

  • 200 juta alamat e-mel pengguna Twitter bocor dicuri penggodam

    200 juta alamat e-mel pengguna Twitter bocor dicuri penggodam

    ALAMAT e-mel lebih 200 juta pengguna Twitter dipercayai dicuri penggodam yang kemudiannya menyiarkan maklumat itu di forum dalam talian.

    Menurut seorang penyelidik keselamatan, Alon Gal, pelanggaran itu malangnya akan membawa kepada lebih banyak penggodaman, pancingan data yang bersasar dan doxxing atau mendedahkan data orang lain dalam talian.

    Beliau yang juga pengasas bersama firma pemantauan keselamatan siber Israel, Hudson Rock, berkata tindakan itu adalah salah satu kebocoran paling ketara yang pernah dilihat.

    Agensi berita Reuters melaporkan, Twitter bagaimanapun tidak mengulas mengenai laporan itu, yang pertama kali disiarkan Gal di media sosial pada 24 Disember lalu selain tidak menjawab pertanyaan mengenai pelanggaran berkenaan sejak tarikh itu.

    Tidak jelas apakah tindakan yang diambil Twitter untuk menyiasat atau membetulkan isu berkenaan.

    Tangkapan layar forum penggodam, di mana data berkenaan muncul Rabu lalu, kini diedarkan secara meluas dalam talian.

    Tiada petunjuk mengenai identiti atau lokasi penggodam di sebalik pelanggaran berkenaan.

    Ia mungkin berlaku seawal 2021, iaitu sebelum Elon Musk mengambil alih syarikat itu tahun lalu.

    Dakwaan megenai saiz dan skop pelanggaran berbeza-beza, di mana pada bulan Disember dinyatakan bahawa 400 juta alamat e-mel dan nombor telefon dicuri.

    Pelanggaran besar di Twitter mungkin menarik minat pengawal selia di kedua-dua belah Atlantik.

    Suruhanjaya Perlindungan Data di Ireland, di mana Twitter mempunyai ibu pejabat di Eropah dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memantau syarikat milik Elon Musk itu bagi mematuhi peraturan perlindungan data Eropah serta perintah persetujuan AS.

  • Lelaki maut, warga emas parah selepas pikap dirempuh kereta api

    Lelaki maut, warga emas parah selepas pikap dirempuh kereta api

    SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dirempuh sebuah kereta api.

    Kejadian dilapor berlaku di Sala Lamduan, Mueang Sa Kaeo, Thailand pada petang semalam.

    Memetik laporan News.ch7, Ketua Polis Muang Sakaeo, Superintendan Akanan Hukaew berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 4 petang.

    Beliau berkata, kemalangan berlaku sewaktu kereta api terbabit daam perjalanan dari Bangkok ke Aranyaprathet.

    “Hasil pemeriksan kamera litar tertutup mendapati pikap terbabit telah bertindak melalui celah laluan penghadang lintasan kereta api sebelum dirempuh.

    “Akibat rempuhan itu, kenderaan terbabit terjatuh ke dalam parit.

    “Seorang warga emas berusia 77 tahun yang turut berada di dalam kenderaan cedera parah,” katanya.

    Sementara itu, hasil soal siasat bersama saksi kejadian mendapati mereka terkejut akan insiden terbabit dan tidak sempat membuat apa-apa.

    “Saya mendengar bunyi wisel kereta api dari jauh ketika kereta terbabit bertindak melintasi bahagian penghadang dengan laju dan tanpa brek.

    “Saya fikir pikap itu akan berjaya melintasi laluan tersebut pada masa yang tepat, tetapi tidak berhasil apabila dilanggar kereta api tersebut,” ujar saksi.

  • Covid-19: WHO pertikai data dikeluar China berhubung kes kematian

    Covid-19: WHO pertikai data dikeluar China berhubung kes kematian

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mempertikai data yang dikeluarkan China berhubung kes kematian akibat Covid-19 yang didakwa statistik rasminya tidak menunjukkan kesan sebenar wabak berkenaan.

    Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata, pihaknya percaya bahawa statistik semasa yang diterbitkan China kurang menggambarkan kesan sebenar wabak dari sudut kemasukan ke hospital, ICU dan jumlah kes kematian.

    Kenyataan Ryan itu menyusul selepas China mengumumkan bahawa situasi Covid-19 di negara tembok besar itu terkawal dan ia berjaya mengawalnya.

    Sebelum ini China bertindak memansuhkan kawalan dan sekatan bulan lalu, lapor Astro Awani.

    Pakar kesihatan antarabangsa meramalkan sekurang-kurangnya sejuta kematian di China tahun lalu namun China hanya melaporkan hanya sekitar lima kematian sehari.

    Bagaimanapun, pandangan pakar antarabangsa itu ditolak China dan mendakwa ia cubaan bermotif politik untuk mencemarkan pencapaiannya dalam memerangi virus.

    China dilapor turut mengkritik keputusan beberapa negara yang mengenakan SOP ketat termasuk ujian Covid-19 terhadap pengembara dari negara itu.

  • Budak terperangkap dalam cerucuk konkrit sejak Sabtu meninggal dunia

    Budak terperangkap dalam cerucuk konkrit sejak Sabtu meninggal dunia

    PIHAK berkuasa Vietnam hari ini mengesahkan budak lelaki yang terjatuh ke dalam cerucuk konkrit terbuka sempit di sebuah tapak pembinaan di wilayah selatan negara itu sejak Sabtu lalu meninggal dunia.

    Berita itu diumumkan setelah pasukan penyelamat menghabiskan masa hampir 100 jam untuk membebaskan Ly Hao Nam, 10, dari tiang sokongan sepanjang 35 meter yang didorong ke dalam tanah.

    Akhbar dalam talian VnExpress memetik seorang pegawai kerajaan tempatan sebagai berkata, usaha mereka tidak berjaya mengesan sekali gus menyelamatkan mangsa.

    “Pihak berkuasa telah menentukan bahawa mangsa telah meninggal dunia dan sedang berusaha mendapatkan mayatnya untuk pengebumian,” kata timbalan pengerusi wilayah selatan Dong Thap, Doan Tan Buu, dipetik sebagai berkata, lapor agensi berita Reuters.

    Sementara itu, Nam didengari menangis meminta tolong sejurus selepas dia terjatuh ke dalam cerucuk konkrit berongga, yang mempunyai diameter 25 sentimeter Sabtu lalu di tapak pembinaan jambatan di wilayah delta Mekong.

    Ketika kejadian dia mencari besi buruk bersama rakan-rakannya.

    Terdahulu pada Rabu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh telah menggesa penyelamat dan pihak berkuasa tempatan untuk menggerakkan semua peralatan dan pasukan yang diperlukan, kata kerajaan.

  • Bekas pemilik rumah pengebumian dihukum penjara 20 tahun jual anggota badan

    Bekas pemilik rumah pengebumian dihukum penjara 20 tahun jual anggota badan

    BEKAS pemilik rumah pengebumian di Colorado, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun pada Selasa selepas didapati bersalah menjual anggota badan si mati.

    Megan Hess, 46 tahun, mengaku bersalah pada Julai tahun lepas atas tuduhan menipu ahli keluarga si mati dengan memotong 560 mayat dan menjual anggota badan tanpa kebenaran.

    Menurut dokumen mahkamah, wanita itu mengendalikan rumah pengebumian Sunset Mesa serta satu lagi syarikat yang membekalkan anggota badan, Donor Services, di bangunan yang sama di Montrose, Colorado.

    Hukuman penjara 20 tahun itu adalah yang paling maksimum di bawah undang-undang Colorado.

    Ibu Hess, Shirley Koch, 69 tahun, juga mengaku bersalah menipu keluarga si mati dan dihukum penjara selama 15 tahun.

    Mahkamah diberitahu, tugas utama Koch adalah untuk memotong anggota badan mayat.

    “Hess dan Koch menggunakan rumah pengebumian mereka untuk mencuri mayat dan anggota badan menggunakan borang penderma yang dipalsukan,” kata Pendakwa Raya Tim Neff.

    Hakim mahkamah mengarahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara serta-merta.

    Di AS, menjual organ manusia seperti jantung, buah pinggang dan serat tisu adalah salah di sisi undang-undang – ia hanya boleh didermakan.

    Namun menjual anggota badan seperti kepala, tangan dan tulang belakang – yang dilakukan Hess – untuk kegunaan kajian atau pendidikan tidak dilaraskan di bawah undang-undang persekutuan.

    Di rumah pengebumiannya, Hess menerima bayaran sebanyak AS$1,000 untuk perkhidmatan pembakaran mayat, namun tidak melakukannya.

    Siasatan polis mendapati Hess menipu lebih 200 keluarga dan memberikan mereka abu daripada pelbagai anggota badan mayat lain yang tidak dapat dijual lapor Astro Awani.

  • Doktor kanan dedah 70 peratus populasi Shanghai dijangkiti COVID-19

    Doktor kanan dedah 70 peratus populasi Shanghai dijangkiti COVID-19

    SEORANG doktor kanan di sebuah hospital terkemuka Shanghai berkata, 70 peratus penduduk di bandar mega itu dijangkiti COVID-19 semasa China berdepan peningkatan besar kes pandemik berkenaan, lapor media tempatan semalam.

    Peningkatan mendadak jangkitan direkodkan selepas beberapa tahun pelaksanaan sekatan ketat yang mula dilonggarkan bulan lalu dengan hampir ketiadaan amaran mahupun persediaan sekali gus mengakibatkan hospital dan rumah pembakaran mayat kembali ‘sesak’.

    Naib Presiden Hospital Rujin, Chen Erzhen yang juga panel pakar penasihat COVID-19 Shanghai, menganggarkan majoriti 25 juta penduduk bandar itu dijangkiti.

    “Sekarang penularan epidemik di Shanghai sangat meluas dan ia mungkin boleh mencecah 70 peratus populasi iaitu 20 hingga 30 kali ganda lebih (pada April dan Mei),” katanya ketika diwawancara Dajiangdong Studio yang dimiliki lidah rasmi Parti Komunis, People’s Daily.

    Shanghai diletakkan dalam perintah berkurung selama dua bulan pada April lalu yang mana lebih 600,000 penduduk dijangkiti dan ramai diheret ke pusat kuarantin beramai-ramai.

    Namun ketika ini, varian Omicron menular dengan pantas di seluruh bandar dan pakar menjangkakan jangkitan akan memuncak pada awal tahun ini.

    Di bandar besar lain termasuk Beijing, Tianjin, Chongqing dan Guanzhou, pegawai kesihatan republik itu mendakwa gelombang sudah mencapai kemuncak.

    Di wilayah berjiran Zhejiang, pihak berkuasa kawalan penyakit hari ini berkata, terdapat satu juta jangkitan baharu dalam beberapa hari kebelakangan ini dan wilayah itu sedang memasuki dataran puncak bagi COVID-19.

    Tambah Erzhen, hospital Shanghai pula merekodkan 1,600 kes kemasukan kecemasan setiap hari iaitu dua kali ganda jumlah sebelum sekatan ditarik balik.

    Katanya, 80 peratus daripada kes berkenaan dalam kalangan pesakit COVID-19.

    “Lebih 100 ambulans tiba di hospital setiap hari,” katanya sambil menambah hampir separuh kemasukan ke unit kecemasan membabitkan golongan berisiko berumur lebih 65 tahun.

    Wartawan AFP di lapangan semalam menyaksikan sendiri keadaan di Hospital Tongren yang sesak dengan pesakit sedang menerima rawatan kecemasan di luar pintu masuk fasiliti berkenaan.

    Dalam temubual dengan stesen penyiaran CCTV kelmarin, pegawai Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), Jiao Yahui mengakui bahawa pihaknya berdepan cabaran besar untuk menangani jangkaan gelombang kemuncak di kawasan luar bandar.

  • EU tawar vaksin Covid-19 percuma kepada China untuk bendung penularan wabak

    EU tawar vaksin Covid-19 percuma kepada China untuk bendung penularan wabak

    KESATUAN Eropah (EU) menawarkan vaksin COVID-19 percuma kepada China untuk membantu negara berkenaan membendung penularan penyakit itu ketika Beijing bersiap sedia bagi menamatkan sekatan pergerakan diperketatkan dan membuka sempadannya, lapor Sputnik.

    The Financial Times memetik pegawai EU sebagai berkata tawaran itu yang dibuat dalam beberapa hari kebelakangan ini menjelang mesyuarat menteri kesihatan EU pada Selasa merupakan sebahagian tindak balas Suruhanjaya Eropah terhadap kemungkinan gelombang baharu kes COVID-19 di seluruh dunia selepas China memutuskan untuk menamatkan ‘dasar toleransi sifar’ terhadap virus itu.

    “Pesuruhjaya Kesihatan EU Stella Kyriakides telah menghubungi rakan sejawatannya dari China untuk menawarkan solidariti dan sokongan termasuk kepakaran kesihatan awam serta sumbangan vaksin EU yang disesuaikan dengan varian,” kata seorang pegawai EU dipetik sebagai berkata.

    Kerajaan China masih belum menjawab tawaran yang dibuat oleh EU itu.

    Pada November, China menyaksikan peningkatan wabak COVID-19 tempatan. Berdasarkan kemerosotan situasi epidemiologi, pihak berkuasa melaksnakan sekatan pergerakan separa di beberapa kawasan selain turut memaksa penduduknya menjalani ujian PCR setiap hari.

    Pada Disember, China mengumumkan pelonggaran dasar toleransi sifar untuk COVID-19 dan bersedia untuk membuka semula sempadannya pada Januari. Pengakhiran hampir tiga tahun langkah ketat di negara berpenduduk 1.4 bilion orang itu dikhuatiri berpotensi membawa kepada penyebaran besar-besaran penyakit itu di seluruh dunia.

    Setakat ini, dua vaksin COVID-19 utama Sinovac dan Sinopharm yang dikeluarkan dalam negara dan digunakan China, tidak diaktifkan. Tiada vaksin mRNA tersedia di China untuk kegunaan besar-besaran, yang boleh menjadi punca prestasi China yang agak buruk dalam menangani wabak itu, menurut pakar Barat.

    Pada akhir Disember, Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata liputan vaksinasi semasa di China tidak mencukupi dan langkah yang lebih aktif diperlukan untuk mengekang penyebaran virus itu.

  • Musk manusia pertama dalam sejarah rugi RM880 bilion

    Musk manusia pertama dalam sejarah rugi RM880 bilion

    PENGASAS Tesla dan pemilik Twitter, Elon Musk, 51, menjadi manusia pertama dalam sejarah kerugian AS$200 bilion (RM880 bilion) daripada nilai kekayaan, demikian menurut Indeks Bilionair Bloomberg.

    Bilionair tersebut kerugian besar selepas beliau pada 2021 menjadi manusia kedua yang mengumpul kekayaan melebihi AS$200 bilion, selepas pengasas Amazon, Jeff Bezos.

    Musk, yang nilai bersihnya mencapai kemuncak pada November 2021 sebanyak AS$340 bilion (RM1.5 trilion), menyaksikan kekayaannya menjunam kepada AS$137 bilion (RM603 bilion) apabila saham Tesla merosot 65 peratus sejak setahun lalu.

    Ia prestasi terburuk pengeluar kereta elektrik itu setakat ini.

    Penurunan itu termasuk kemerosotan 11 peratus lagi pada Selasa lalu selepas Wall Street Journal melaporkan bahawa lonjakan kes Covid-19 memaksa Tesla menghentikan sementara pengeluaran di Shanghai.

    Dalam satu memo yang dihantar kepada kakitangan Rabu lalu, bilionair itu mengucapkan terima kasih di atas ‘usaha luar biasa’ mereka sepanjang tahun, namun tidak terlalu menyentuh mengenai prestasi buruk saham syarikat itu.

    “Jangan terlalu terganggu dengan kegilaan pasaran saham,” kata Musk dalam satu memo yang dilihat oleh CNBC.

    “Apabila kita mempamerkan prestasi cemerlang berterusan, pasaran akan mengiktirafnya,” lapor Berita Harian.

    Musk kehilangan takhta sebagai manusia terkaya di dunia awal bulan lalu, apabila gelaran itu diserahkan kepada Bernard Arnault, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LVMH.