Category: Luar Negara

  • Ahli perniagaan dipenjara 1,155 tahun

    Ahli perniagaan dipenjara 1,155 tahun

    MAHKAMAH Jenayah Thailand pada Isnin menjatuhkan hukuman keseluruhan 1,155 tahun penjara ke atas seorang ahli perniagaan kerana mendalangi skim pelaburan yang tidak wujud.

    Prasit Jeowkok, 52, turut diarah membayar ganti rugi 1 bilion baht (RM132 juta) kepada semua mangsanya.

    Lapor Bangkok Post, Prasit dan dua lagi defendan memujuk orang ramai supaya melabur dalam perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan.

    Kesemua mereka aktif menipu mangsa di dalam talian sekitar 2020 dan 2021.

    Hukuman ke atas Prasit diputuskan selepas dia disabit bersalah terhadap kesemua 321 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

    Bagaimanapun, berdasarkan had hukuman, Prasit sekadar perlu meringkuk selama 20 tahun di dalam penjara.

    Ahli perniagaan itu menyerah diri pada Mei 2021 dan ditahan di Penjara Bang Kwang, Nonthaburi.

    Dia pernah cuba melarikan diri semasa dihadapkan ke Mahkamah Jenayah pada Disember lalu, lapor Sinar Harian.

  • Lelaki kejam, tanam 7 bayi dakwa ‘diperintah’ dukun kalau nak kaya-raya

    Lelaki kejam, tanam 7 bayi dakwa ‘diperintah’ dukun kalau nak kaya-raya

    SEORANG lelaki yang dikenali sebagai R, 57, dipercayai telah membunuh dan menanam hidup-hidup tujuh mayat bayi di satu kawasan hasil daripada perlakuan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sendiri.

    Memetik laporan Kompas, kejadian ini berlaku daripada tahun 2013, 2015, 2016, 2018, 2019, 2020, dan akhir sekali pada tahun 2021 di Banyumas, Jawa Barat, Indonesia.

    Mengikut siasatan, polis mendakwa tujuh daripada bayi yang dibunuh terdiri dari empat bayi perempuan dan tiga bayi lelaki.

    Kata Ketua Polis Banyumas, Agus Supriadi Siswanto, R terkenal dalam kalangan penduduk setempat sebagai dukun.

    “Aktiviti sehariannya adalah memancing selain mengubat orang,” katanya kepada media tempatan.

    R difahamkan memiliki tiga isteri, bagaimanapun isteri pertama dan keduanya telah diceraikan. Sementara E merupakan anak pertama daripada isteri ketiga R.

    Hubungan sumbang mahram antara R dan E pula diketahui oleh isteri ketiga R namun tidak berani melaporkan kepada pihak berkuasa kerana diancam bunuh.

    Menurut laporan media tempatan lagi, R dikatakan melakukan ritual (pembunuhan) itu atas perintah dari seorang pengamal paranormal yang ditemuinya ketika bekerja sebagai buruh binaan pada 2011.

    “Jika kamu ingin kaya, anak kamu ‘digauli’ sampai tujuh kali,” kata R yang meniru ucapan dukun terbabit.

    Ditanya adakah sudah kaya, jawab R ringkas; “Belum.”

    R tidak mempunyai rumah dan tinggal bersama-sama anaknya, E di sebuah pondok berdekatan tempat mayat-mayat bayinya ditanam.

    Kes ini bermula apabila dua pekerja pembersihan tanah telah menemui objek yang disyaki sebagai tulang manusia pada 15 Jun lalu sewaktu pembersihan kawasan di lakukan.

    Sehingga kini, pihak polis masih lagi menjalankan operasi untuk mengesan saki baki peninggalan tulang daripada tujuh rangka bayi manusia yang dikatakan di tanam di sebuah lokasi di Jawa Tengah, Indonesia.

    Pihak polis juga percaya bahawa pelaku tidak bertindak keseorangan dalam melakukan perkara terkutuk itu.

    Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan sama ada itu adalah motif pelaku atau hanya sekadar alasan semata-mata.

  • Tuntutan Sulu: Mahkamah The Hague tolak permohonan Kumpulan Sulu

    Tuntutan Sulu: Mahkamah The Hague tolak permohonan Kumpulan Sulu

    MAHKAMAH Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.

    Penghakiman itu memaklumkan, ‘mahkamah menolak permintaan warga Filipina’ untuk menuntut melaksanakan anugerah timbang tara itu.

    Pada tahun lalu, individu yang mendakwa waris Filipina kepada Sultan Sulu terakhir dianugerahkan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) oleh mahkamah timbang tara Paris dalam pertikaian dengan Malaysia sejak sekian lama berhubung perjanjian tanah pada zaman penjajah.

    Mereka berusaha merampas aset Kerajaan Malaysia di Perancis, Luxembourg dan Belanda, dalam usaha untuk menguatkuasakan anugerah itu. – REUTERS

  • Seramai 1,659,837 jemaah haji berada di Arab Saudi setakat Ahad

    Seramai 1,659,837 jemaah haji berada di Arab Saudi setakat Ahad

    SERAMAI 1,659,837 jemaah telah memasuki Arab Saudi melalui pelabuhan udara, darat dan laut untuk musim haji tahun ini setakat Ahad, menurut Direktorat Am Pasport Arab Saudi.

    Daripada jumlah itu, seramai 1,592,199 jemaah tiba melalui lapangan terbang, termasuk 242,272 penerima ‘Makkah Route Initiative’, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Jumlah ketibaan melalui pelabuhan darat pula seramai 60,807 jemaah, manakala 6,831 jemaah tiba melalui pelabuhan laut.

    Pihak direktorat komited untuk menggunakan semua keupayaan yang ada untuk memudahkan prosedur kemasukan jemaah haji.

    Ini termasuk melengkapkan platform di pelabuhan udara, darat dan laut antarabangsa dengan peranti teknologi terkini dan dikendalikan oleh kakitangan berkelayakan yang mahir dalam pelbagai bahasa.

  • Kapal selam Titan, 5 penumpang termasuk billionair Britain terkorban

    Kapal selam Titan, 5 penumpang termasuk billionair Britain terkorban

    *Dipercayai meletup berdekatan kapal Titanic

    KESEMUA lima penumpang kapal selam Titan yang dalam perjalanan untuk meneroka sisa bangkai kapal persiaran mewah, Titanic dilaporkan telah meninggal dunia.

    Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata, kapal selam berkenaan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu itu dipercayai meletup berdekatan dengan Titanic.

    Ahli keluarga lima-lima mangsa tragedi tersebut telah dimaklumkan, lapor Astro Awani.

    Serpihan kapal selam berkenaan yang ditemui pasukan pencarian dan penyelamat berhampiran Titanic sekali gus menjadi petunjuk Titan telah berakhir di Laut Atlantik.  

    Bahagian ekor Titan bersama serpihan lain ditemui kira-kira 500 meter dari bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 4,000 meter di bawah laut berkenaan.

    Dalam perkembangan sama, syarikat yang mengedalikan ekspedisi berkenaan, OceanGate berkata, kesemua penumpang Titan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stockton Rush, dipercayai telah meninggal dunia.

    Empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Shahzada Dawood serta anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet.

    “Dengan penuh rasa duka, kami kini mempercayai bahawa CEO kami, Stockton Rush, Shahzada Dawood dan anaknya Suleman Dawood, Hamish Harding, dan Paul-Henri Nargeolet, telah hilang,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Dawood merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Pakistan-Britain dan anaknya berusia 19 tahun.

    Harding, 58, pula seorang billionair Britain, manakala, Nargeolet merupakan seorang peneroka berusia 77 tahun dari Perancis.

    “Mereka adalah pengembara sejati yang berkongsi semangat pengembaraan yang unik, dan semangat yang mendalam dalam meneroka dan melindungi lautan dunia.

    “Hati kami bersama lima jiwa ini dan setiap ahli keluarga mereka dalam masa yang tragis ini,” kata OceanGate lagi.

    OceanGate mengenakan bayaran sebanyak AS$250,000 (RM1.2 juta) setiap seorang bagi menyertai ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700 kilometer selatan St John’s, Newfoundland.

    Kapal selam OceanGate yang dilaporkan hilang itu mampu memuatkan lima orang dengan bekalan oksigen selama empat hari.

    Bagaimanapun, OceanGate tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bagaimana ia mengesahkan kesemua penumpang meninggal dunia. 

  • Haji tanpa permit: Boleh dipenjara, denda, tidak boleh masuk Arab Saudi 10 tahun

    Haji tanpa permit: Boleh dipenjara, denda, tidak boleh masuk Arab Saudi 10 tahun

    KERAJAAN Arab Saudi mengulangi amaran akan mengenakan hukuman berat kepada mana-mana individu yang mengerjakan ibadah haji tanpa permit yang sah.

    Jabatan Keselamatan Awam Arab Saudi berkata jemaah haji tanpa permit bakal berdepan dengan hukuman penjara, denda dan larangan memasuki negara berkenaan selama 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

    “Mana-mana rakyat tempatan yang ditahan membawa jemaah haji tanpa permit pula bakal berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga SAR50,000 (RM61.600) bagi setiap kesalahan”, menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA). 

    Menurut kenyataan itu, pesalah dalam kalangan warga asing pula akan dihantar pulang ke negara masing-masing selepas selesai menjalani hukuman dan membayar denda, selain dihalang daripada memasuki Arab Saudi bagi tempoh yang ditetapkan”.

    Arab Saudi mula mengenakan hukuman tegas bagi kesalahan operasi haji tanpa permit sejak tahun 2013.

    Hukuman bagi pesalah warga asing termasuklah dihantar pulang serta-merta dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

    Walaupun Arab Saudi membenarkan pemegang semua jenis visa menunaikan umrah sepanjang tahun, namun visa ini adalah terpakai di luar musim haji sahaja.

  • Wanita mati ‘bangkit semula’ ketuk keranda

    Wanita mati ‘bangkit semula’ ketuk keranda

    SEORANG wanita di Ecuador ‘bangkit semula’ dalam keranda ketika upacara pengebumiannya yang turut menjadi tular di media sosial.

    Gilbert Balberan yang merupakan anak kepada Bella Montoya, 76, memberitahu, ibunya mengetuk keranda itu selepas ‘kembali bernyawa’ dan wanita tersebut kemudiannya dibantu oleh dua lelaki.

    Balberan menjelaskan dia terpaksa mendapatkan keranda yang didermakan untuk keluarga miskin selepas Hospital Awam Marin Icaza di bandar Babahoyo mengesahkan kematian ibunya pada Jumaat.

    “Pihak hospital turut memberikan sijil kematian kepada kami,” katanya sambil menambah ibunya kini dirawat di hospital sama dan memberi tindak balas positif,” menurut Sinar Harian yang memetik laporan AFP.

    Sebelum ‘kematiannya’, Montoya dimasukkan ke hospital kerana strok dan jantungnya dikatakan terhenti.

    Susulan insiden itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyiasat insiden tersebut selain menyelia perkembangan Montoya.

  • Arab Saudi jadi tuan rumah kepada 1,000 jemaah haji Palestin

    Arab Saudi jadi tuan rumah kepada 1,000 jemaah haji Palestin

    RAJA Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud telah mengeluarkan titah diraja untuk menaja dan menjadi tuan rumah kepada 1,000 jemaah haji warga Palestin yang terdiri daripada waris kepada para syuhada dan tahanan serta mereka yang mempunyai ahli keluarga yang cedera, untuk menunaikan haji tahun 1444 Hijrah.

    Inisiatif itu adalah sebahagian daripada acara tahunan program tetamu Penjaga Dua Masjid Suci yang dilaksanakan dan diselia oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi.

    Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Sheikh Dr Abdullatif bin Abdulaziz Al Sheikh, mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman atas sokongan berterusan yang diberikan selama ini.

    Beliau berkata sokongan itu membolehkan dan memudahkan waris para syuhada dan tahanan serta mereka yang mempunyai keluarga yang cedera di Palestin untuk menunaikan ibadah haji.

    “Kesinambungan sikap murah hati terhadap jemaah haji Palestin yang menunaikan haji setiap tahun dengan tajaan Penjaga Dua Masjid Suci ini adalah sebagai tanda kekuatan hubungan dua negara dan penghargaan baginda terhadap pengorbanan besar yang dilakukan oleh rakyat Palestin,” katanya.

    Program untuk tetamu Penjaga Dua Masjid Suci merangkumi semua aspek melaksanakan ibadah haji, termasuk mengunjungi Masjid Nabawi dan tempat-tempat bersejarah, mengadakan pertemuan budaya dan ilmiah serta menyelaraskan pertemuan imam Dua Masjid Suci dengan mereka.

  • Anggota polis maut ditembak di Pattani

    Anggota polis maut ditembak di Pattani

    SEORANG anggota polis yang bertugas di pondok pengawal landasan kereta api maut ditembak sekumpulan lelaki di Khok Pho, Pattani, selatan Thailand.

    Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari Sabtu, anggota polis yang berusia 22 tahun itu bersama dua lagi pegawai State Railway of Thailand (SRT) sedang bertugas di pondok pengawal landasan kereta api.

    Ketua Polis Na Pradu Kol.Pol.Chatchai Chanasit berkata enam lelaki yang menyamar sebagai wanita lengkap bertudung, menunggang tiga buah motosikal telah melepaskan tembakan ke arah pondok pengawal terbabit.

    “Anggota polis itu terkena tembakan di bahagian kepala dan badan manakala dua lagi pegawai SRT dilaporkan selamat. Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Khok Pho kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau menambah bahawa suspek turut merampas pistol milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Mahkamah Rayuan Paris berpihak kepada Malaysia, ketepikan anugerah waris Sulu

    Mahkamah Rayuan Paris berpihak kepada Malaysia, ketepikan anugerah waris Sulu

    MALAYSIA memperoleh kemenangan sekali gus mengetepikan penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards) sebanyak AS$14.94bil (RM68.83 bilion) yang perlu dibayar kepada pewaris Kesultanan Sulu.

    Mahkamah Rayuan Paris memaklumkan kemenangan berpihak kepada Malaysia semasa prosiding di Paris pada Selasa.

    Peguam Tengku Datuk Fuad Ahmad berkata, pengetepian anugerah itu akan menjadikan penganugerahan timbang tara Sepanyol yang kontroversi atas pelantikan Dr. Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam pertikaian Sulu pada 2021 yang berpihak kepada waris Sulu tidak boleh dikuat kuasa.

    “Harta Malaysia adalah selamat, mereka tidak dapat menguatkuasa anugerah yang telah terbatal,” kata Fuad, yang merupakan peguam bagi kerajaan negeri.

    Berdasarkan terjemahan awal keputusan undang-undang mahkamah Perancis, Mahkamah Rayuan Paris mengizinkan permohonan Malaysia berdasarkan Artikel 1520,1 prosedur sivil Perancis yang menyatakan bahawa pelantikan Stampa sebagai hakim adalah tidak kompeten.

    Dalam pada itu, keputusan ini sekali gus membatalkan perintah Presiden Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang memberikan pelaksanaan anugerah arbitraj yang diberikan di Madrid pada 25 Mei 2020 oleh Stampa.

    Stampa, yang mengabaikan keputusan mahkamah di Sepanyol untuk menghentikan kes arbitraj Sulu di Madrid pada tahun 2020, telah memindahkan arbitrasinya ke Paris di mana beliau memberikan US$14.94 (RM68.83 bilion) kepada pihak yang mengemukakan tuntutan Sulu, menurut Astro Awani yang memetik laporan Agensi.

    Terdahulu, Mahkamah Rayuan Hague mendengar permohonan pihak yang didakwa waris Sulu bagi mengiktiraf dan melaksanakan pembayaran pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Kerajaan Malaysia.

    Menerusi prosiding itu, Malaysia mengemukakan pembelaannya bahawa keputusan akhir Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) adalah terbatal dan tidak sah, manakala permohonan penuntut tidak boleh diterima dan perlu dinafikan dalam apa juga keadaan.