Category: Luar Negara

  • 47 mayat dalam guni ditemui bawah lantai kelab malam

    47 mayat dalam guni ditemui bawah lantai kelab malam

    SEBUAH kubur besar yang ditanam dengan 47 mayat dalam guni di bawah lantai sebuah kelab malam di Tenango del Valle, ditemui pihak berkuasa Mexico, minggu lalu.

    Penemuan kubur itu dipercayai ada kaitan dengan Kartel Generasi Baharu Jalisco, kartel paling kejam di Mexico susulan penahanan sembilan individu yang didakwa anggota kumpulan berkenaan.

    Lapor The US Sun, suspek membawa anggota polis ke sebuah gudang perindustrian yang bertukar menjadi kelab malam di Tenango del Valle, kira-kira sejam dari Mexico City.

    Semua mayat berkenaan ditemui selepas polis terpaksa menggunakan penggali tapak bangunan untuk memecahkan lantai bangunan di kejiranan La Joya.

    Pegawai penyiasat terkejut dengan penemuan kubur besar di bawah tanah, di mana sekurang-kurangnya 20 mayat ditemui.

    Sebanyak 47 guni berisi mayat manusia dikeluarkan untuk pemeriksaan forensik.

    Jumlah sebenar mangsa dan identiti mereka masih belum diketahui.

    Pakaian lelaki dan wanita turut ditemui di tapak berkenaan.

    Polis turut dibawa ke beberapa lokasi berbeza, termasuk gudang di Tenango del Valle.

    Antara yang ditahan ialah ketua kartel, Jaime Luis ‘El Pozolero’, yang dituduh menculik seorang wanita di Tenancingo tahun lalu

  • Rancang bakar al-Quran: Turkiye panggil duta Sweden

    Rancang bakar al-Quran: Turkiye panggil duta Sweden

    TURKIYE pada Jumaat memanggil duta Sweden ke Ankara susulan rancangan untuk membakar al-Quran berhampiran Kedutaan Turki di Stockholm.

    Menurut sumber diplomatik Turki, duta itu Staffan Herrstrom telah dimaklumkan mengenai pendirian Turkiye yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif itu yang jelas satu perbuatan jenayah kebencian dan tindakan itu juga tidak boleh diterima. Ankara berharap rancangan berkenaan tidak diteruskan.

    Membenarkan aktiviti propaganda yang sedang dirancang oleh pihak bersekutu PKK di Stockholm jelas sudah melanggar perjanjian tiga pihak, lapor Agensi Anadolu memetik sumber.

    Ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan dikatakan sudah menerima kebenaran untuk membakar Al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, menurut polis Stockholm.

    Minggu lalu, Turkiye meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turkiye dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

    Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu.

    Bagaimanapun, Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

    Pada Jun lalu, Turkiye dan kedua-dua negara Nordic itu menandatangani memorandum pada sidang kemuncak NATO untuk menangani kebimbangan keselamatan Ankara, merintis jalan bagi menjadi ahli dalam perikatan itu. – BERNAMA

  • PM Britain didenda tak pakai tali pinggang keledar

    PM Britain didenda tak pakai tali pinggang keledar

    PERDANA Menteri Britain Rishi Sunak telah menerima notis penalti kerana gagal memakai tali pinggang keledar semasa membuat rakam video di tempat duduk penumpang bahagian belakang kereta yang sedang bergerak, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

    Lapor Bernama, Sunak sebelum ini memohon maaf atas kesalahannya itu yang dilakukannya ketika mengadakan beberapa siri lawatan di Lancashire pada Khamis.

    Menurut pihak Polis Lancashire: “Selepas meneliti perkara ini, kami hari ini (Jumaat, 20 Jan) mengeluarkan notis penalti bersyarat kepada seorang lelaki berusia 42 tahun dari London.”

    Lapor BBC, Sunak menyatakan akan membayar denda yang dikenakan polis.

    Pesalah trafik yang didapati gagal memakai tali pinggang keledar boleh didenda £100 pound (RM530).

    Denda itu boleh meningkat kepada £500 pound (RM2,654) jika kes itu dibawa ke mahkamah.

    Ini kali kedua Sunak menerima notis penalti tetap semasa dalam kerajaan.

    April lalu, beliau didenda bersama Boris Johnson dan isteri Carrie kerana melanggar peraturan Covid apabila menghadiri majlis hari jadi untuk perdana menteri ketika itu di Downing Street pada Jun 2020.

  • 24 hari hanyut di laut, lelaki hanya makan sos tomato, serbuk bawang putih

    24 hari hanyut di laut, lelaki hanya makan sos tomato, serbuk bawang putih

    SEORANG lelaki yang dihanyutkan di Laut Caribbean selama 24 hari hanya bertahan hidup dengan memakan sos tomato sebelum dia diselamatkan Tentera Laut Colombia, Rabu lalu.

    Elvis Francois, 47, dijumpai 120 batu nautika di barat laut Puerto Bolívar di Colombia selepas sebuah pesawat ternampak perkataan “tolong” tertulis pada badan kapal layarnya.

    “Saya tiada makanan. Hanya ada sebotol sos tomato yang berada di atas bot, serbuk bawang putih, dan kiub stok Maggi.

    “Jadi saya campurkannya dengan sedikit air,” kata Francois dalam video yang disediakan oleh tentera Colombia.

    Francois yang berasal dari negara pulau Dominica berkata, dia sedang membuat pembaikan pada botnya di pulau Saint Martin Disember lalu apabila cuaca buruk menghanyutkannya ke laut.

    Disebabkan tiada pengetahuan pelayaran dan tidak dapat menggerakkan bot kembali ke pantai, dia terpaksa menghabiskan tempoh beberapa minggu di laut.

    “Dua puluh empat hari – tiada tanah, tiada siapa untuk bercakap.

    “Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, tidak tahu di mana anda berada. Memang teruk.

    “Pada masa tertentu, saya putus harapan. Saya fikir tentang keluarga saya,” kata Francois, lapor Astro Awani.

    Selepas diselamatkan, Francois dipindahkan ke bandar pelabuhan Cartagena di mana dia menerima rawatan perubatan dan diserahkan kepada pihak imigresen sebelum dihantar pulang.

  • Ganjaran lima papan telur sebagai pemain terbaik perlawanan dikritik

    Ganjaran lima papan telur sebagai pemain terbaik perlawanan dikritik

    BUKAN piala mahu pun pingat. Tapi lima papan telur ayam.

    Itu hadiah yang diterima seorang pemain bola sepak Liga Super Zambia sehingga mencuri perhatian peminat bola sepak antarabangsa.

    Ganjaran itu diterima Kennedy Musonda selepas membantu kelabnya, Power Dynamos mencatat kemenangan 1-0 dalam satu perlawanan.

    Gol yang dijaringkannya membantu kelab Power Dynamos mendapat tiga mata penting.

    Ini melayakkan Musonda dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dan menerima ganjaran lima papan telur ayam sehingga menjadi buah mulut peminat bola sepak.

    Perlawanan antara Power Dynamos menentang Nkana berlangsung pada November lalu namun ia baru menjadi topik perbualan selepas gambarnya dimuat naik akaun Twitter Troll Football.

    Beberapa platform media sukan antarabangsa dan peminat bola sepak mengkritik bentuk ganjaran yang diberikan itu.

    Namun Musonda tidak terkesan, sebaliknya berterima kasih atas hadiah tersebut.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan pengurusan dan saya juga ingin mendedikasikan telur ini kepada salah seorang penyokong kami yang meninggal dunia baru-baru ini,” katanya, lapor Astro AWANI.

  • Pegawai polis mengaku bersalah atas 24 pertuduhan rogol

    Pegawai polis mengaku bersalah atas 24 pertuduhan rogol

    SEORANG pegawai polis London mengaku merogol dan mendera 24 wanita selama hampir dua dekad, menjadikannya salah seorang pesalah seks paling aktif di Britain.

    Menurut Polis Metropolitan dan Pendakwa Raya, David Carrick, 48 tahun, menggunakan kedudukannya untuk mengugut dan menakut-nakutkan mangsanya.

    Pendedahan terbaharu ini terus mencalar imej Polis Metropolitan yang kini berdepan kemerosotan keyakinan dalam kalangan orang awam.

    Ketua Pesuruhjaya Polis, Mark Rowley memohon maaf kerana gagal melihat corak penderaan sebelum ini.

    Suspek menurut beliau, tidak layak menjadi anggota polis, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, jurucakap Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak menyifatkan kes itu sebagai mengerikan.

    Datuk Bandar London, Sadiq Khan pula menuntut pihak berkuasa memberi penjelasan selepas Carrick mengaku bersalah terhadap 49 pertuduhan berkaitan 12 mangsa antara 2003 hingga 2020.

    Carrick menyertai Polis Metropolitan pada 2001 dilaporkan mengasingkan wanita daripada segi sosial dan kewangan.

    Dia akan dijatuhkan hukuman pada 6 Februari.

  • Pesawat terhempas di Nepal, 68 mangsa terkorban

    Pesawat terhempas di Nepal, 68 mangsa terkorban

    SEBUAH pesawat yang membawa 72 penumpang dan anak kapal terhempas berdekatan sebuah lapangan terbang di bahagian tengah Nepal, mengorbankan 68 orang.

    Pesawat Yeti Airlines itu sedang dalam penerbangan dari bandar pelancongan Pokhara ke Kathmandu, dan dipercayai terhempas sewaktu hendak melakukan pendaratan.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan Reuters, saksi kejadian memberitahu, pesawat itu terus terbakar.

    Menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial, pesawat itu kelihatan terbang rendah melintasi sebuah kawasan berkepadatan penduduk tinggi sebelum membuat belokan tajam.

    Dalam video itu juga, kelihatan asap hitam berkepul ke udara serta terdapat serpihan-serpihan pesawat yang masih terbakar.

    Difahamkan, terdapat 68 penumpang berada dalam pesawat, termasuk sekurang-kurangnya 15 warganegara asing dan empat petugas kabin.

    Seramai 200 anggota tentera Nepal digegaskan ke lokasi nahas di kawasan lembah Sungai Seti, yang hanya sejauh 1.5 kilometer dari lapangan terbang.

    “Kami jangka akan dapat menemui lebih banyak mayat… Kapal terbang telah pecah menjadi beberapa bahagian,” kata jurucakap tentera.

    Perdana Menteri Pushpa Kamal Dahal telah memanggil satu mesyuarat tergempar dengan anggota Kabinetnya, selain menggesa agensi-agensi berkaitan segera membantu operasi pencarian mangsa.

    Dari keseluruhan penumpang, sejumlah 53 orang dilaporkan warga Nepal. Turut berada dalam pesawat itu ialah penumpang warga India sejumlah lima orang, warga Rusia (empat) dan Korea (dua), serta masing-masing seorang dari Ireland, Australia, Argentina dan Perancis.

  • Lima rakyat Malaysia akan didakwa di Mahkamah Thailand

    Lima rakyat Malaysia akan didakwa di Mahkamah Thailand

    LIMA rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar akan didakwa di Mahkamah Thailand kerana memasuki negara terbabit tanpa kebenaran.

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang yang membantu menyelamatkan kesemua mangsa terbabit.

    Katanya, kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 33 tahun itu kini berada di Bangkok, Thailand di mana Chon Siang akan bertolak ke sana pada Isnin untuk membawa mereka pulang.

    “Mereka akan dibawa pulang selepas selesai proses dokumentasi dan saya akan membawa mereka pulang ke tanah air pada Selasa.

    “Selepas selesai proses pendakwaan di mahkamah Thailand, kita akan menguruskan pasport sementara untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada program edaran lokam sempena sambutan tahun baharu cina di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom, dekat Penor, di Kuantan, hari ini

    Chon Siang memberitahu, berdasarkan aduan yang diterima, lebih 40 individu warga Malaysia yang menjadi mangsa kekejaman sindiket pemerdagangan manusia masih terperangkap di Myawaddy, Myanmar.

    “Dalam tempoh hampir dua minggu tahun ini , saya menerima 40 aduan daripada mangsa meminta kesemua mereka diselamatkan daripada terus menjadi mangsa sindiket.

    “Jadi, kita akan berusaha mendapat maklumat lanjut sebelum usaha menghubungi waris dilakukan bagi membolehkan laporan polis dibuat terhadap kehilangan anak mereka,” ujarnya lapor SatuBerita.

  • Bapa, dua lagi maut ditembak anak sendiri

    Bapa, dua lagi maut ditembak anak sendiri

    SEORANG lelaki bertindak menembak mati bapa, adik perempuan serta anak saudara lelaki dalam kejadian pada Jumaat malam di Cleveland, Amerika Syarikat (AS).

    Menurut polis, kejadian itu turut mencederakan seorang lagi lelaki dewasa serta kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

    Ketua Polis Cleveland, Wayne Drummond berkata insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai kes domestik terpencil di kawasan kejiranan Brooklyn, beberapa kilometer di barat daya pusat bandar.

    Jelasnya suspek berusia 41 tahun menahan kereta polis yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut bagi memberitahu tentang kejadian.

    Suspek telah pun ditahan pihak polis, menurut laporan media tempatan News 5 Cleveland.

    “Anggota polis yang dikerah ke lokasi kejadian menemui lima individu telah ditembak dan tiga daripada mereka maut manakala dua lagi cedera,” katanya lapor Astro Awani.

    Kanak-kanak tersebut serta bapanya berusia 48 tahun dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini berada dalam keadaan kritikal.

    Mangsa maut dikenal pasti sebagai Miguel Gonzalez, 69 tahun, Angelic Gonzalez, 34 tahun, dan anaknya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

    Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan.

    Motif tembakan sedang dalam siasatan.

  • Yamagami didakwa bunuh bekas Perdana Menteri Jepun

    Yamagami didakwa bunuh bekas Perdana Menteri Jepun

    PEJABAT Pendakwa Raya Daerah Nara pada Jumaat mendakwa Tetsuya Yamagami, 42, atas tuduhan membunuh bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, lapor Xinhua memetik laporan akhbar Yomiuri Shimbun.

    Dia juga didakwa melanggar undang-undang kawalan senjata Jepun, menurut laporan itu.

    Tuduhan rasmi dibuat selepas Yamagami menjalani perbicaraan psikiatri enam bulan bagi menentukan kesihatan mentalnya.

    Yamagami ditahan di tempat kejadian pada 8 Julai tahun lepas selepas didakwa menembak bekas perdana menteri Abe dua kali dari jarak dekat dengan pistol buatan tangan.

    Abe, 67, ketika itu sedang menyampaikan ucapan di wilayah barat Nara, menjelang pilihan raya dewan negara.

    Yamagami, bekas pekerja Pasukan Bela Diri Maritim, didakwa menyimpan dendam terhadap Gereja Penyatuan kerana meminta derma berjumlah sekitar 100 juta yen (AS$774,000) dari ibunya.

    Pembunuh itu dilaporkan percaya Abe mempunyai kaitan dan mempromosikan organisasi itu.