Category: Luar Negara

  • Pencuri tinggalkan nota mohon maaf selepas curi wang tunai RM1,589

    Pencuri tinggalkan nota mohon maaf selepas curi wang tunai RM1,589

    SEORANG pencuri sempat meninggalkan sekeping nota memohon maaf selepas mencuri wang tunai sebanyak RM1,589 (12,213 baht) dari sebuah kedai peralatan elektrik di Chiang Mai, Thailand, Ahad lalu.

    Memetik laporan The Thaiger, suspek berusia lingkungan 30 tahun itu menceroboh kedai terbabit dengan memakai topeng muka pada pukul 1 pagi.

    Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek telah memecah tingkap lalu masuk ke dalam kedai dengan membawa lampu suluh.

    Suspek juga dilihat dengan tenang menanggalkan bolt mesin tunai satu persatu dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk melarikan wang tunai terbabit.

    Sebelum beredar, suspek sempat menulis nota pada sekeping kertas A4 dan meninggalkannya di atas kerusi.

    “Maaf, saya tak makan,” tulis pencuri itu.

    Sementara itu, menurut pemilik kedai yang dikenali sebagai Jatupol, 36, beliau menyedari premisnya dirompak pada hari Isnin.

    Jatupol mengesyaki bahawa pencuri itu telah melakukan perancangan yang rapi kerana kedai tersebut tutup pada hari Ahad.

    Katanya, ini adalah kali pertama premisnya dipecah masuk dan tiada wang tunai yang tinggal selain beberapa keping syiling.

    Malah, Jatupol juga mengakui dia jatuh kasihan terhadap pencuri itu setelah melihat nota yang ditinggalkan.

    Bagaimanapun, Jatupol kemudian memutuskan untuk membuat laporan polis kerana suspek mencuri wang tunai dalam jumlah yang banyak.

    Jatupol berharap pihak polis dapat menangkap suspek bagi mengelakkan perkara sebegini terjadi kepada premis perniagaan yang lain.

  • Dua maut, lima cedera dalam serangan pisau

    Dua maut, lima cedera dalam serangan pisau

    DUA orang terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan menggunakan pisau di utara Jerman pada Rabu, kata pegawai.

    Menurut Xinhua seorang lelaki menyerang penumpang dengan pisau di dalam kereta api yang dalam perjalanan dari Kiel ke Hamburg kira-kira 3 petang waktu tempatan sebelum tiba di stesen Brokstedt.

    Dia ditangkap tidak lama selepas itu, kata jurucakap polis.

    Stesen itu kemudiannya ditutup oleh polis untuk membolehkan perkhidmatan kecemasan meneruskan kerja. Pengendali kereta api milik negara Jerman Deutsche Bahn mengumumkan di Twitter bahawa akan ada pembatalan perjalanan kereta api antara Hamburg, Kiel dan Neumuenster.

    Jurucakap polis di Itzehoe, sebuah bandar berhampiran Brokstedt, berkata mereka masih menunggu butiran lanjut.

  • Pesawat tentera udara Filipina terhempas, 2 juruterbang maut

    Pesawat tentera udara Filipina terhempas, 2 juruterbang maut

    JURUCAKAP tentera berkata sebuah pesawat Tentera Udara Filipina (PAF) terlibat dalam kemalangan semasa sesi latihan pada Rabu.

    Jurucakap PAF Ma. Consuelo Castillo dalam satu kenyataan berkata pesawat SF260 dengan dua juruterbang itu terhempas di wilayah Bataan, barat Manila, lapor Xinhua.

    Castillo berkata pesawat itu berlepas dari pangkalan tentera di Sangley Point di wilayah Cavite sekitar 9.59 pagi waktu tempatan.

    “Kami kehilangan jejak pesawat lebih 30 minit selepas penerbangan berlepas,” katanya.

    Radio tempatan DZBB berkata serpihan pesawat itu ditemui di bandar Pilar di Bataan bersama mayat dua juruterbang itu.

    Pada petang Selasa, sebuah pesawat peribadi enam tempat duduk hilang di wilayah Isabela, utara Manila.

    Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mencari pesawat Cessna itu, juruterbang dan lima penumpangnya.- Bernama

  • Lapar pelajar mati lemas selepas bot karam di Ghana

    Lapar pelajar mati lemas selepas bot karam di Ghana

    LAPAN pelajar sekolah di Wilayah Timur Bono Ghana mati lemas pada Selasa selepas bot yang membawa mereka ke sekolah terbalik di Tasik Volta, menurut pegawai.

    Pertubuhan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMO) memberitahu media lima pelajar lelaki dan tiga perempuan berusia lima hingga 12 tahun itu adalah antara 20 pelajar yang dalam perjalanan ke sekolah di Wayokope, sebuah komuniti di seberang tasik, lapor Xinhua.

    Ibrahim Wudonyim, penyelaras NADMO, berkata Unit Polis Marin Perkhidmatan Polis Ghana, dibantu oleh beberapa penduduk tempatan, menemui mayat pelajar berkenaan.

    Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kemalangan.

  • Cemburu mungkin motif tembakan malam Tahun Baharu Cina

    Cemburu mungkin motif tembakan malam Tahun Baharu Cina

    POLIS sedang menyiasat sama ada cemburu atau pertikaian peribadi menjadi motif insiden tembakan pada malam sambutan Tahun Baru Cina yang mengorbankan 11 orang.

    Huu Can Tran, 72, menggunakan pistol separa automatik dalam insiden amuk di Monterey Park yang terletak di pinggir bandar Los Angeles dan membunuh lelaki dan wanita berusia antara 50 dan 70-an

    Berita Harian yang memetik laporan AFP memaklumkan, penembak kemudian memandu ke lokasi berlainan sebelum tindakan pantas seorang pemuda merampas senjata itu daripadanya, menghalang insiden lain daripada berlaku.

    Beberapa jam kemudian, Tran membunuh diri selepas polis menemui van putih miliknya.

    Penduduk Monterey Park, Chester Hong memberitahu bahawa beliau percaya pertikaian domestik berhubung jemputan ke pesta malam Tahun Baru Cina menjadi punca serangan itu.

    “Isteri (dijemput) menyertai parti (tetapi) suami tidak dijemput. Kemungkinan suami mungkin kecewa dan cemburu,” katanya.

    Kejadian amuk pada malam Sabtu lalu adalah insiden tembakan terburuk di Amerika Syarikat (AS) sejak tragedi bersenjata di Uvalde, Texas membunuh 21 orang di sebuah sekolah rendah, pada Mei tahun lalu.

    Jumlah korban dari Monterey Park, salah satu komuniti Asia terbesar di California, meningkat kepada 11 orang, apabila salah seorang mangsa yang cedera dalam serangan itu, meninggal dunia di hospital.

    Pusat Perubatan Los Angeles dan Universiti Southern California berkata, seramai empat mangsa dirawat di hospital dan seorang masih dalam keadaan kritikal.

    Koroner di Los Angeles berkata, kesemua mangsa yang meninggal dunia berusia antara 50 hingga 70-an.

    Dua wanita yang terkorban dikenali sebagai My Nhan, 65, dan Lilan Li, 63.

    Rakaman keselamatan menunjukkan Brandon Tsay, 26, bergelut dengan Tran di lobi Lai Lai Ballroom & Studio di Alhambra ketika cuba merampas senjata separa automatik 9mm Cobray M11.

    “Saya menerpa ke arah penembak dan merebut senjata dan bergelut. Kami kemudian bergelut di dalam lobi, cuba menjauhkan pistol daripada satu sama lain.

    “Dia memukul belakang kepala saya, ketika cuba menggunakan siku untuk menjauhkan pistol daripadanya,” katanya.

    Tsay akhirnya berjaya menjauhkan pistol dan menolaknya ke tepi.

    “Saya kemudian mengacukan pistol untuk menakut-nakutkannya dan menjerit, ‘Pergi sini. Saya akan tembak. Pergi jauh… Pergi,” katanya.

  • Dua pelajar maut, guru cedera kejadian tembakan di sekolah

    Dua pelajar maut, guru cedera kejadian tembakan di sekolah

    DUA pelajar maut manakala seorang guru cedera parah dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah di Iowa, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

    Menurut jurucakap polis Des Moines, Sarjan Paul Parizek, kejadian berlaku di Sekolah Des Moines kira-kira pukul 1 petang waktu tempatan.

    Polis berjaya mengesan suspek yang cuba melarikan diri menggunakan sebuah kereta dan mengesahkan tiga individu telah ditahan.

    Kejadian berlaku ketika sekolah berkenaan mengadakan program ‘Starts Right Here’ yang bertujuan untuk membantu pelajar berisiko terlibat dalam jenayah.

    Program berkenaan diasaskan Will Holmes, sorang penyanyi rap yang dikenali sebagai Will Keeps.

    Motif kejadian masih dalam siasatan, lapor Astro Awani memetik laporan agensi berita asing.

  • 16 maut bangunan kediaman runtuh di Syria

    16 maut bangunan kediaman runtuh di Syria

    SERAMAI 16 orang awam terbunuh manakala empat lagi cedera pada Ahad selepas bangunan kediaman runtuh di wilayah Aleppo, utara Syria, lapor Xinhua memetik Agensi Berita SANA.

    Menurut Kementerian Dalam Negeri, bangunan kediaman lima tingkat itu menempatkan tujuh keluarga dan terletak di kawasan kejiranan Syeikh Maksoud yang majoriti penduduknya Kurdish.

    Bangunan itu runtuh akibat kebocoran air yang telah menjejaskan struktur asasnya. – BERNAMA

  • Darurat diisytihar di beberapa wilayah, korban protes ganas di Peru cecah 60 orang

    Darurat diisytihar di beberapa wilayah, korban protes ganas di Peru cecah 60 orang

    PROTES ganas yang berlarutan di Peru terus meragut nyawa apabila 60 orang disahkan terkorban setakat ini sejak bantahan meletus pada 11 Disember lalu, lapor Agensi Anadolu.

    Polis turut menyerbu Universiti San Marcos di Lima dan menahan 200 pelajar.

    Kerajaan telah mengisytiharkan darurat di beberapa wilayah yang memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan.

    Protes itu diadakan untuk menuntut Presiden Dina Boluarte meletakkan jawatan selepas penyingkiran bekas Presiden Pedro Castillo.

    Castillo turut ditahan atas tuduhan pemberontakan apabila cuba membubarkan Kongres dan mengeluarkan dekri untuk mengelak didakwa atas kesalahan rasuah.

    Pejabat Pendakwa juga dilaporkan akan membuka kertas siasatan ke atas Boluarte susulan protes yang meragut nyawa orang awam itu.

  • Iran, Kuwait, Pakistan kecam keputusan benarkan bakal Al-Quran

    Iran, Kuwait, Pakistan kecam keputusan benarkan bakal Al-Quran

    BEBERAPA negara mengecam keputusan membenarkan pembakaran al-Quran oleh pelampau sayap kanan Sweden-Denmark serta menyifatkannya sebagai percubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan. 

    Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan menyatakan Eropah berselindung di sebalik kebebasan bersuara dengan ‘membenarkan unsur ekstremis dan radikal menyebarkan kebencian.’ 

    Jurucakap kementerian itu Nasser Kanaani berkata umat Islam di seluruh dunia mengharapkan kerajaan Sweden untuk ‘mencegah’ kejadian seperti itu dan memastikan mereka yang melakukan perbuatan berkenaan tidak terlepas daripada hukuman, lapor Agensi Anadolu. 

    Ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan, dilaporkan telah mendapat  kebenaran untuk membakar senaskhah al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm pada Sabtu.

    Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Kuwait Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah dalam satu kenyataan berkata insiden itu menguris perasaan umat Islam di seluruh dunia dan satu provokasi yang serius.

    Beliau menyeru masyarakat antarabangsa bersama menggalas tanggungjawab untuk menghentikan perbuatan itu serta mengecam semua bentuk kebencian dan ekstremisme serta membawa pelaku ke muka pengadilan, lapor Agensi Berita Iran KUNA.

    Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan Islamofobia yang tidak boleh diterima akal dan provokatif itu menjejaskan sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia, lapor Agensi Anadolu.

    Islamabad menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menunjukkan azam menentang Islamofobia, xenofobia, sikap tidak bertoleransi dan hasutan kepada keganasan atas dasar agama atau kepercayaan dan bekerjasama untuk menggalakkan keharmonian meskipun berbeza pegangan agama.

  • Chris Hipkins dijangka ganti Jacinda Ardern sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand

    Chris Hipkins dijangka ganti Jacinda Ardern sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand

    CHRIS Hipkins dipilih secara rasmi sebagai pemimpin Parti Buruh yang baharu menggantikan perdana menteri Jacinda Ardern pada Ahad.

    Parti Buruh yang memerintah New Zealand mengesahkan pelantikan Hipkins sebagai perdana menteri negara itu dalam undian yang diadakan susulan keputusan mengejut Ardern untuk berundur daripada jawatan.

    Kaukus Buruh yang dianggotai 64 orang sebulat suara mengundi Hipkins, 44, sebagai pemimpin parti yang baharu hari ini tanpa bertanding.

    Ardern akan mengosongkan jawatan secara rasmi pada 7 Februari.

    Pengundian sebahagian besarnya hanyalah formaliti kerana ahli parti telah sepakat menyokong Hipkins selepas pengumuman peletakan jawatan Ardern bagi mengelak pertandingan kepimpinan yang berlarutan menjelang pilihan raya New Zealand tahun ini.

    Dalam sidang akhbar yang diadakan selepas pengundian, Hipkins berkata, kerajaannya akan memberi tumpuan kepada ‘isu kos sara hidup’ yang dihadapi rakyat New Zealand yang berpendapatan rendah dan sederhana, serta pemilik perniagaan kecil.

    Kaukus dalam pada itu juga mengundi Ahli Parlimen Buruh Carmel Sepuloni sebagai timbalan PM.

    Hipkins berkata Sepuloni akan menjadi orang Pasifika pertama memegang jawatan timbalan perdana menteri.

    Menurut laporan Astro Awani, Hipkins akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-41 New Zealand pada Rabu ini.