Category: Luar Negara

  • Gempa Turkiye, Syria: Angka kematian meningkat lebih 4,300 orang

    Gempa Turkiye, Syria: Angka kematian meningkat lebih 4,300 orang

    ANGKA kematian akibat gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, semalam meningkat kepada lebih 4,300 orang hari ini.

    Lapor BBC dan Al Jazeera, gempa dengan kekuatan 7.8 magnitud berhampiran Gaziantep diikuti gempa susulan 7.6 magnitud mengorbankan seramai 2,900 penduduk Turkiye manakala 1,444 lagi di Syria.

    Naib Presiden Turki Fuat Oktay mengesahkan 2,900 penduduk di selatan negara itu terbunuh akibat gempa bumi kuat berkenaan.

    Sebanyak 15,000 orang cedera dalam kejadian dilaporkan berlaku di 10 wilayah Turkiye manakala 7,840 orang diselamatkan daripada runtuhan bangunan.

    Sebanyak 338,000 mangsa terselamat kini berlindung di kemudahan awam termasuk universiti.

    Di Syria, 711 kematian dilaporkan di kawasan yang dikawal kerajaan, menurut agensi berita SANA.

    Agensi Pertahanan Awam Syria, yang dikenali sebagai “White Helmets,” melaporkan terdapat 740 kematian di kawasan yang dikawal oleh pembangkang.

    Operasi mencari dan menyelamat mangsa di kedua-dua negara berdepan kesukaran berikutan kebanyakan mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang diburukkan lagi dengan cuaca sejuk dan bersalji ketika ini.

  • Gempa Turkiye: Ada patah kaki, pendarahan otak, tak bernyawa – Doktor Malaysia

    Gempa Turkiye: Ada patah kaki, pendarahan otak, tak bernyawa – Doktor Malaysia

    RAMAI mangsa yang datang ke hospital selepas dibawa keluar daripada timbunan bangunan dalam keadaan patah kaki, ada yang mengalami pendarahan otak dan ada juga yang sampai dalam keadaan tidak bernyawa.”

    Itu situasi yang diceritakan seorang doktor warga Malaysia Syazwan Abu Bakar yang bertugas di sebuah hospital di bandar Gaziantep, antara kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda selatan Turkiye awal pagi Isnin.

    Doktor am berkenaan memberitahu Bernama bahawa beliau dan petugas lain terpaksa berlari keluar dari hospital untuk menyelamatkan diri setiap kali gempa susulan berlaku yang turut menyebabkan bangunan berkenaan mengalami keretakan.

    “Ketika gempa pertama berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi saya on-call dan sedang berehat. Saya lari keluar dan kemudian saya naik semula untuk tengok pesakit.

    “Ketika gempa kedua berlaku pada tengah hari saya lari keluar bangunan sekali lagi dan selepas itu bertugas di unit kecemasan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin malam (waktu Malaysia).

    Dr Syazwan, 34, berkata beliau mengenali lima lagi rakyat Malaysia yang menetap di Gaziantep dengan dua daripada mereka turut bertugas sebagai doktor. 

    Beliau bagaimanapun tidak mengetahui mengenai keadaan mereka berikutan kesibukan merawat mangsa gempa bumi yang cedera.

    “Pagi tadi (Isnin) ada orang kedutaan telefon saya tetapi ketika itu saya agak sibuk, saya cuma beri nombor telefon dua lagi rakyat Malaysia di sini,” katanya.

    Dr Syazwan yang tinggal seorang diri di Gaziantep berkata beliau tidak dapat pulang ke rumah berikutan bangunan berkenaan juga mengalami keretakan dan berkemungkinan akan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

    Keluarganya pula menetap di daerah lain sejauh tiga jam perjalanan dari Gaziantep.

    “Rumah keluarga saya di sana juga retak jadi mereka akan berpindah ke kawasan di sebelah barat yang lebih selamat,” katanya.

    Sekurang-kurangnya 2,379 orang terbunuh dan 14,483 lagi cedera selepas gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turkiye pada awal pagi Isnin.

    Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang berpusat di daerah Pazarcik itu menggegarkan wilayah Kahramanmaras dan menjejaskan beberapa wilayah lain, termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis.

    Ia diikuti dengan gempa bumi bermagnitud 7.6 pada 13.24 tengah hari yang turut berpusat di Kahramanmaras. – BERNAMA

    Turkiye, gempa bumi, doktor Malaysia, Gaziantep, pengalaman

  • Gempa Turkiye, Syria: Hampir 1,800 terkorban, lebih 1,700 bangunan runtuh

    Gempa Turkiye, Syria: Hampir 1,800 terkorban, lebih 1,700 bangunan runtuh

    GEMPA bumi kuat dengan kekuatan 7.8 magnitud dan satu gempa susulan sekuat 7.6 magnitud meragut nyawa hampir 1,797 orang dan mencederakan ribuan penduduk Turkiye dan Syria, hari ini, meningkat berbanding lebih 500 sebelum ini.

    Kekuatan gempa itu pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan itu meranapkan lebih 1,700 bangunan ketika kebanyakan mangsa sedang nyenyak tidur.

    Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 17.9 kilometer berhampiran bandar Gaziantep dan dapat dirasai hingga Cyprus, Mesir dan Lebanon.

    Angka korban tragedi gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, hari ini, terus meningkat kepada hampir 1,800 orang.

    Lapor AL Jazeera, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, sekurang-kurangnya 1,014 penduduk negara itu maut susulan bencana terbesar dalam tempoh dua dekad pemerintahannya.

    Pihak berkuasa mengisytiharkan amaran tahap 4 yang merayu bantuan antarabangsa.

    Pasukan mencari dan menyelamat sudah dikerah ke lokasi terjejas ketika pasukan tentera mewujudkan koridor udara membolehkan pasukan perubatan dan penyelamat sampai ke lokasi terkesan teruk.

    Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu berkata, terdapat sekurang-kurangnya enam gempa susuan dan menggesa penduduk tidak masuk ke bangunan yang rosak bimbang risiko tumbang.

    Media dan anggota penyelamat di Syria pula memaklumkan, sekurang-kurangnya 783 terkorban di negara itu yang turut menyaksikan bangunan ranap dalam insiden kali ini.

    Seorang mangsa terselamat di Syria, Osama Abdel Hamid, berkata beliau sekeluarga sedang tidur ketika gempa bumi melanda.

    “Saya segera mengejutkan isteri dan anak-anak sebelum kami berlari ke arah pintu sebelum keseluruhan bangunan runtuh,” katanya.

    Jurucakap Pertahanan Awam Syria, Ismail Alabdallah, berkata pasukan SAR masih giat meneruskan usaha mengesan dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri terperangkap di bawah rumah.

    “Banyak bangunan runtuh di bandar dan perkampungan sekitar barat laut Syria. Malah hingga kini, masih banyak mangsa terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.

    Sementara itu, beberapa pemimpin antarabangsa sudah menawarkan bantuan kepada Turkiye dan Syria dengan 10 pasukan dari lapan negara Kesatuan Eropah sudah digerakkan ke Turkiye.

    Malaysia pada masa sama akan menghantar 75 anggota pasukan SMART bagi membantu misi SAR susulan gempa bumi di Turkiye.

  • Gempa Turkiye, Syria: Lebih 500 maut, banyak bangunan musnah ketika mangsa tidur

    Gempa Turkiye, Syria: Lebih 500 maut, banyak bangunan musnah ketika mangsa tidur

    ANGKA kematian akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan tenggara Turkiye berhampiran sempadan Syria awal pagi tadi ketika kebanyakan mangsa sedang tidur meningkat melebihi 500 orang setakat ini.

    Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa dengan kekuatan 7.8 magnitud pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan itu berlaku pada kedalaman 17.9 kilometer di bandar Gaziantep.

    Lapor BBC, Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay berkata, angka kematian di negara itu kini berjumlah 284 orang manakala manakala lebih 2,300 lagi cedera.

    Media tempatan Syria melaporkan 230 orang penduduk terbunuh dalam kejadian itu.

    Kementerian Kesihatan Syria memaklumkan, kebanyakan penduduk terbunuh di wilayah Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.

    Sekurang-kurang 245 dilaporkan maut di kawasan terletak bawah kawalan kerajaan Syria, selain mangsa terkorban di bahagian utara yang dikuasai kumpulan pro-Turkiye, menurut Kementerian Kesihatan dan sebuah hospital tempatan.

    Ketua Pusat Gempa Bumi Nasional Syria, Raed Ahmed, memberitahu radio prokerajaan bahawa ‘ia adalah gempa bumi terbesar pernah direkodkan dalam sejarah pusat itu.

    Terdapat kebimbangan angka korban akan meningkat dalam tempoh beberapa jam lagi.

    Gempa itu meranapkan banyak bangunan, manakala gegaran dapat dirasai hingga sejauh Cyprus dan Mesir.

    Pusat gempada adalah di daerah Pazarcik di wilayah Kahramanmaras. Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, sebanyak 10 bandar terjejas teruk.

    Bandar itu ialah Gaziantep, Kahramanmaras, Hatay, Osmaniye, Adiyaman, Malatya, Sanliurfa, Adana, Diyarbakir dan Kilis.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat diteruskan di beberapa bandar utama Turkiye. Namun, usaha itu berdepan cabaran cuaca buruk musim sejuk dengan ribut salji yang melitupi jalan-jalan utama.

    Rakaman disiarkan televisyen menunjukkan penduduk Turkiye yang kelihatan terkejut dan trauma dengan insiden itu, berdiri dalam salji menyaksikan anggota SAR bertungkus lumus melakukan kerja-kerja menyelamat.

    Pusat perkhidmatan kecemasan Turkiye, AFAD melaporkan gempa pertama dicatat pada 7.4 magnitud dan diikuti lebih 40 gempa susulan.

    Kali terakhir gempa bumi kuat direkodkan di Turkiye adalah pada 1999 dengan lebih 17,000 penduduknya terbunuh.

    Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menzahirkan perasaan simpati dan ucapan takziah.

    “Diharap kita akan dapat melepasi bencana ini bersama-sama dan ia berakhir secepat mungkin dengan kemusnahan paling sedikit,” katanya dalam ciapan.

    Penasihat Keselamatan Nasional Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan, berkata Washington amat prihatin dan bersedia untuk memberi sebarang bantuan diperlukan susulan kejadian itu.

  • Puluhan mangsa maut dalam runtuhan bangunan susulan gempa di Turkiye, Syria

    Puluhan mangsa maut dalam runtuhan bangunan susulan gempa di Turkiye, Syria

    LEBIH 80 mangsa terbunuh selepas gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turkiye dan juga utara Syria.

    Angka kematian di Turkiye meningkat sekurang-kurangnya 44 orang, menurut agensi berita kerajaan yang memetik kenyataan pegawai Turki.

    Sementara di Syria pula, sekurang-kurangnya 42 orang dilaporkan terbunuh di bandar Aleppo, Hama dan Lattakia, menurut kementerian kesihatan Syria, dengan lebih 200 lagi cedera.

    Beberapa bangunan dilaporkan runtuh menyebabkan puluhan mangsa terperangkap apabila gempa berukuran 7.8 magnitud itu melanda Selatan Turkiye awal pagi Isnin.

    Gegaran yang berlarutan kira-kira seminit itu juga turut menyebabkan tingkap bangunan pecah dan orang ramai bergegas turun ke jalanan yang diliputi salji tebal.

    Gegaran dilapor turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

    Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ) dalam satu kenyataan berkata gempa berlaku pada kedalaman 10km berhampiran bandar Kahramanmaras di selatan Turkiye.

    Operasi mencari mangsa yang terbunuh dan terselamat sedang dijalankan.

    Pihak berkuasa juga dilaporkan sedang mengkaji risiko berlakunya tsunami.

    Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan dalam tweetnya mendoakan keselamatan rakyat yang terjejas.

    “Pasukan mencari dan menyelamat telah dihantar ke kawasan yang terjejas,” tulisnya.

    Gempa bumi berkekuatan magnitud 7.8 ini sama dahsyat dengan gempa di timur laut Turki pada Disembar 1939 yang mengorbankan kira-kira 30,000 orang.

    Agensi Pertahanan Awam Syria dalam pada itu mengisytiharkan darurat susulan gempa bumi.

    Dalam kenyataannya di Twitter, puluhan mangsa masih terperangkap di barat laut Syria awal pagi Isnin.

  • Bekas presiden Pakistan Pervez Musharraf meninggal dunia

    Bekas presiden Pakistan Pervez Musharraf meninggal dunia

    BEKAS Presiden Pakistan, Pervez Musharraf meninggal dunia susulan sakit berpanjangan di sebuah hospital di Dubai, lapor media tempatan Pakistan hari ini.

    Tentera Pakistan mengesahkan kematian Musharraf, 79, yang disingkir daripada kuasa pada 2008.

    Bekas ketua tentera itu berada dalam buangan di Dubai.

    Ketua tentera Pakistan, tentera laut dan tentera udara mengucapkan takziah atas kematiannya, kata sayap perhubungan awam tentera.

    Bekas jeneral empat bintang itu, yang merampas kuasa dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 1999.

  • Bekas PM Mesir Sherif Ismail meninggal dunia pada usia 67

    Bekas PM Mesir Sherif Ismail meninggal dunia pada usia 67

    BEKAS Perdana Menteri, Mesir Sherif Ismail meninggal dunia pada usia 67 tahun, lapor Xinhua memetik agensi berita rasmi Mesir MENA.

    Ismail meninggal dunia pada Sabtu dan dilaporkan menghidap penyakit berkaitan sistem penghadaman, menurut laporan media sebelum ini.

    Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri Mesir antara 2015 dan 2018 serta pernah dilantik sebagai menteri petroleum dan sumber mineral dari 2013 hingga 2015.

    Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi menzahirkan ‘kesedihan yang mendalam’ atas kematian Ismail.

    “Beliau benar-benar seorang yang hebat, yang memikul tanggungjawab pada masa yang sukar dan bersedia menggalas tanggungjawab.

    “Saya mengenali beliau sebagai seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, berdedikasi, amanah, menjunjung kepentingan negara dan rakyatnya melebihi kepentingan peribadi,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Al- Sisi.

  • Harimau Sumatera ditangkap selepas empat mangsa cedera parah

    Harimau Sumatera ditangkap selepas empat mangsa cedera parah

    SEEKOR harimau Sumatera yang dipercayai menyerang dan mencederakan petani di wilayah barat Aceh, Indonesia, berjaya ditangkap semalam selepas diburu beberapa hari lalu.

    Penangkapan itu berlaku selepas dua serangan harimau berasingan di bandar Sumatera sepanjang minggu lalu menyebabkan empat orang cedera.

    Haiwan itu ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang anggota jabatan pemuliharaan dalam hutan simpan di bandar Kluet Tengah di Selatan Aceh, semalam.

    Terdapat kesan beberapa kecederaan di badan harimau tersebut.

    “Salah seorang mangsa memberitahu dia mencederakan harimau yang menyerangnya ketika sedang mempertahankan diri. Terdapat beberapa luka di badan haiwan itu termasuk di kaki, leher dan muka,” kata Agensi Pemuliharaan Haiwan Aceh, Agus Rinto memberitahu AFP.

    Gambar diambil polis menunjukkan haiwan berkenaan sedang terbaring dalam kandang serta luka di muka.

    Pemburuan besar-besaran dilancarkan pada minggu lalu selepas empat penduduk tempatan diserang dalam kawasan hutan simpan di Kluet Tengah, menyebabkan salah seorang daripada cedera parah.

    Justeru, askar, pegawai pemuliharaan dan bomba dikerahkan memburu haiwan tersebut.

    Beberapa hari kemudian, dua petani yang bekerja dalam hutan simpan turut diserang dan mengalami kecederaan parah.

    Bagaimanapun, pegawai tidak dapat memastikan sama ada serangan tersebut dilakukan harimau sama.

  • Dakwa kerajaan sibuk, warga emas turap sendiri jalan berlubang

    Dakwa kerajaan sibuk, warga emas turap sendiri jalan berlubang

    BIMBANG insiden buruk bakal menimpa anaknya, seorang pemandu beca di Lamongan, Jawa Timur nekad menurap sendiri jalan berlubang yang gagal dibaiki oleh kerajaan sehingga digelar wira oleh penduduk setempat.

    Lapor Astro AWANI yang memetik Coconut Jakarta, lelaki bernama Gufron berusia 62 tahun itu menghabiskan masa dua hari membaiki jalan berlubang di jalan utama yang menghubungkan daerah Deket dan Karangbinangun yang sering menjadi laluan anak perempuannya.

    “Saya risau. Anak perempuan saya bekerja di bandar dan memandu di jalan ini setiap hari. Saya telah melihat banyak kemalangan di jalan ini, kerana selepas selekoh, jalan terus berlubang,” kata Gufron.

    Dalam pada itu, Gufron nekad menutup lubang dengan membawa kerikil sendiri yang kemudian kerikil diratakan menggunakan sebuah tukul kecil.

    “Saya tahu kerajaan sibuk, jadi jika saya boleh buat maka saya akan buat sendiri,” tambahnya.

    Tambah Gufron, anak-anak adalah segala-galanya baginya selepas isterinya meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis pada Ogos 2022.

    Gufron berkata lagi, dalam tempoh 40 hari sejak isterinya meninggal dunia, dia tidak boleh tidur malam dan tidak mahu kekal begini selamanya.

    “Akhirnya, saya memberitahu anak-anak saya tidak boleh kekal begini selama-lamanya dan saya perlu bangun dan melakukan perkara yang berfaedah,” katanya.

    Kisah Gufron turut mendapat perhatian kerajaan tempatan di negara itu yang ‘segan’ sehingga pihak mereka memutuskan memperbaiki jalan berlubang lain dengan cepat.

  • Burung peliharaan cederakan doktor, pemiliknya diperintah bayar pampasan

    Burung peliharaan cederakan doktor, pemiliknya diperintah bayar pampasan

    SEORANG lelaki di Tainan, Taiwan diperintah membayar ganti rugi NT$3.04 juta (AS$91,350) kepada doktor yang mengalami kecederaan selepas diserang burung kakaktua peliharaan lelaki itu.

    Lelaki bernama Huang itu diarah membayar pampasan kepada doktor yang dikenali sebagai Lin atas kerugian kewangannya selama setengah tahun apabila beliau tidak dapat bekerja akibat kecederaan yang dialaminya, menurut Mahkamah Daerah Tainan dalam keputusan yang dikeluarkan pada 30 Dis 2022, lapor Central News Agency (CNA).

    Sendi pinggul doktor berkenaan terkehel selain patah tulang asetabulum pada pinggul kanannya dalam kejadian pada petang 13 Julai 2020, selepas “diserang” burung kakaktua itu ketika berjoging di Daerah Gueiren.

    Huang melepaskan burung itu tanpa mengambil sebarang langkah berjaga-jaga.

    Walaupun Huang segera menghubungi ambulans untuk membawa Lin ke hospital, Lin terpaksa menjalani rawatan selama seminggu serta berehat di rumah selama lebih setengah tahun dan dijaga oleh penyedia perkhidmatan penjagaan.

    Menurut laporan itu, Lin menyaman Huang untuk pampasan NT$3.68 juta atas kerugian kewangannya termasuk kehilangan gaji bulanan NT$220,000, perbelanjaan perubatan dan yuran penjagaan.

    Mahkamah kemudian menurunkan jumlah itu kepada NT$3.04 juta. 

    Selain itu, Huang dijatuhi hukuman penjara dua bulan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan tanpa sengaja. – BERNAMA