Category: Luar Negara

  • Gempa Turkiye: Sekurang-kurangnya 41,020 terkorban

    Gempa Turkiye: Sekurang-kurangnya 41,020 terkorban

    SEKURANG-kurangnya 41,020 orang terkorban akibat bencana gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Feb lalu, menurut agensi pengurusan bencana negara itu pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

    Menurut agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) seramai 19,436 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tempatan dan antarabangsa sedang menjalankan misi SAR di kawasan bencana dan sejumlah 216,166 khemah telah dibina di zon gempa.

    Misi SAR di zon gempa di wilayah yang terjejas sudah ditamatkan kecuali di wilayah Kahramanmaras dan Hatay, kata ketua AFAD Yunus Sezer kepada pemberita.

    Sezer berkata misi SAR diteruskan di hampir 40 bangunan manakala lebih 6,000 kontena telah disediakan dan lebih 460,900 orang dipindahkan setakat ini.

    “Kami kini menerima 318,970 mangsa yang dipindahkan dari kawasan yang dilanda gempa bumi di rumah tumpangan awam dan hotel.

    “Lebih satu juta mangsa bencana di wilayah itu kini ditempatkan di khemah, kontena dan rumah tumpangan awam,” katanya.

    Sezer berkata bantuan tunai sebanyak 10,000 lira Turki (AS$531) telah diagihkan kepada hampir 800,000 rakyat.

    Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim, Murat Kurum berkata, pemeriksaan di 927,000 bangunan di wilayah Gaziantep telah selesai.

    “Kita akan melaksanakan kempen pembinaan rumah terbesar dalam sejarah negara kita di 11 wilayah yang terjejas dan akan menyediakan rakyat kita rumah yang selamat untuk didiami,” katanya.

    Pada 6 Feb lalu, gempa bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di Kahramanmaras telah menjejaskan 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Hatay, Gaziantep, Malatya, Kilis, Osmaniye, Elazig dan Sanliurfa.

    Lebih 13 juta penduduk terjejas dan beberapa negara di rantau itu termasuk Syria dan Lubnan turut merasai gegaran kuat.

  • Gempa bumi Turkiye: Ibu maut dalam genggaman tangan anak

    Gempa bumi Turkiye: Ibu maut dalam genggaman tangan anak

    RUTIN hidup pada setiap hujung minggu, Hibah Aslan, 30, yang mengetuai misi menjamu makanan di pusat komuniti warga Syria yang menetap di Turkiye berubah selepas berlaku gempa bumi di negara itu baru-baru ini.

    Dia yang merupakan seorang chef di sebuah hotel di bandar Antakya bertanggungjawab bagi memastikan insan senegara, terutamanya kanak-kanak mendapat nutrisi yang lengkap.

    Ini kerana kebanyakan warga Syria yang menetap di negara ini merupakan keluarga yang susah, diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

    Namun segalanya berubah 360 darjah apabila Hibah pula menerima bantuan makanan ekoran kecederaan patah kaki kanan selepas dihempap siling batu rumahnya dalam tragedi gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter di bandar ini pada 6 Februari lalu.

    Hibab kini terpaksa berlindung di Persatuan Bantuan Sosial dan Perpaduan Hama yang dijadikan tempat perlindungan buat mereka yang kehilangan tempat tinggal.

    Bagi Hibah, kecederaan yang dialami tidaklah seberapa melainkan rasa sedih yang teramat selepas ibu yang merupakan satu-satunya ahli keluarga di Turkiye terkorban dihempap dinding rumahnya di tingkat dua bangunan lima tingkat.

    “Saya sangat terkilan kerana sebelum itu saya sempat memegang tangan ibu untuk melarikan diri selepas bangunan kediaman kami bergegar.

    “Ketika berlari menuju ke muka pintu, dalam sekelip mata dinding dan siling rumah runtuh. Ibu tidak dapat menyelamatkan diri dan terkorban dalam runtuhan.

    “Cuma perkataan ‘Allah selamatkan anakku’ yang diucapkan ibu masih terngiang-ngiang di telinga saya. Ketika itu tangan ibu masih menggenggam tangan saya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Hibah sebelum itu menerima rawatan kecemasan daripada pasukan Task Emergency Medical Service (TEMS) selepas kakinya mula membengkak.

    Bercerita lanjut Hibah berkata, selepas diselamatkan jiran dia dikejarkan ke hospital dan dikeluarkan selepas lima hari menerima rawatan.

    “Saya tidak dapat melihat jenazah ibu saya. Tidak dapat untuk mengucup dahinya buat kali terakhir. Tidak dapat memegang tangannya buat kali terakhir dan tidak dapat mengiringinya ke liang lahad,” ceritanya sedih.

    Media bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

    Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

  • Budak 5 tahun dibunuh jiran, mayat disumbat dalam guni

    Budak 5 tahun dibunuh jiran, mayat disumbat dalam guni

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dipercayai dibunuh oleh jirannya dalam satu kejadian berlaku di daerah Kotamobagu di Sulawesi Utara, Indonesia.

    Lebih menyedihkan lagi, selepas dibunuh dengan kejam, mayat kanak-kanak itu kemudian dirogol oleh suspek berkenaan.

    Lapor Detik.com, Ketua Polis Kotamobagu, Dasveri Andi berkata, ketika kejadian, suspek dipercayai membawa mayat mangsa ke sebuah ladang sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu.

    “Selepas mendapati kanak-kanak itu tidak lagi bernyawa, mangsa kemudian disumbat ke dalam guni sebelum dibawa ke ladang untuk dirogol dan dibuang dalam semak samun,” katanya.

    Mayat kanak-kanak itu ditemukan oleh polis dalam keadaan kaki kiri mangsa tidak lengkap.

    “Kami mengandaikan mayat mangsa dimakan oleh haiwan kerana ia dibuang di kawasan ladang dan terdapat banyak binatang liar di sana,” katanya lapor Utusan Malaysia.

    Menurut Dasveri, kaki kiri mangsa hanya tinggal tulang di bahagian peha.

    Justeru, katanya, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kehilangan kaki kiri mangsa.

  • Christian Atsu disahkan antara korban gempa bumi di Turkiye

    Christian Atsu disahkan antara korban gempa bumi di Turkiye

    BEKAS pemain Liga Perdana Inggeris, Christian Atsu, 31, disahkan terkorban dalam tragedi gempa bumi di Turkiye, baru-baru ini.

    Mayat Atsu, yang bermain untuk kelab Hatayspor sejak tahun lalu, ditemui di bawah runtuhan bangunan tempat yang beliau diami di Turkiye.

    Atsu tidak dapat dihubungi selepas gempa bumi melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari, namun terdapat kesilapan dalam pengesanan identiti sebelum ini yang melaporkan dia merupakan antara mangsa yang dirawat di hospital.

    “Dengan berat hati saya mengesahkan mayat Christian Atsu telah ditemui pagi ini.

    “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua atas doa dan sokongan mereka.

    “Sementara kami menguruskan apa yang perlu, saya harap semua pihak menghormati privasi keluarga mendiang dalam tempoh masa yang sukar ini,” kata wakil Atsu, Nana Sechere dalam satu kenyataan.

    Bekas kelab Atsu, Newcastle dalam satu kenyataan meluahkan kesedihan atas pemergian Atsu, yang merupakan sebahagian daripada pasukan yang berjaya kembali ke Liga Perdana pada 2017.

    Berasal dari Ghana, Atsu juga pernah bermain untuk Chelsea, Bournemouth dan Everton.

  • 278 jam terperangkap, beberapa mangsa gempa Turkiye masih hidup

    278 jam terperangkap, beberapa mangsa gempa Turkiye masih hidup

    KEAJAIBAN terus berlaku di Turkiye apabila pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan beberapa lagi mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan bangunan selepas 12 hari dua gempa bumi kuat menggegarkan negara itu dan Syria.

    Mangsa Hakan Yasinoğlu, 45, berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan di daerah Defne, di wilayah Hatay semalam.

    Menurut agensi berita Anadolu dikendalikan kerajaan Turkiye, Yasinoğlu terperangkap 278 jam di bawah runtuhan dan rakaman televisyen menunjukkan lelaki itu dibawa dengan pengusung ke ambulans.

    Lapor agensi berita AP yang dipetik BH, pasukan pencari yang bertungkus lumus sepanjang malam turut menemui seorang wanita dan dua lelaki yang masih hidup bawah runtuhan.

    Usaha menyelamat terbaru itu dilakukan ketika anggota pencarian mula membersihkan serpihan dan runtuhan bangunan di bandar yang musnah akibat gempa bumi.

    Ibu kepada dua anak, Neslihan Kilic, 29, dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Kahramanmaras, selepas terperangkap selama 258 jam, lapor agensi berita swasta DHA lewat Khamis.

    Di bandar Antakya, pasukan penyelamat polis menemui kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bernama Osman, yang masih hidup selepas mengalihkan 17 mayat dari bangunan runtuh.

    “Ketika harapan kami hampir berakhir, kami menemui Osman selepas 260 jam pencarian,” kata ketua pasukan penyelamat polis, Okan Tosun, kepada DHA.

    Sejam selepas itu, pasukan turut menemui dua lelaki di bawah runtuhan hospital di Antakya.

    Seorang daripadanya, Mustafa Avci, menggunakan telefon bimbit seorang penyelamat untuk menghubungi abangnya dan bertanyakan mengenai ahli keluarga lain.

    “Adakah mereka selamat? Biar saya dengar suara mereka,” kata lelaki itu.

    Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu, mengemas kini angka kematian di Turkiye kepada 39,672, meningkatkan jumlah keseluruhan kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria kepada 43,360.

    Angka itu pasti akan meningkat lagi apabila pasukan mencari menemui lebih banyak mayat dalam runtuhan.

  • Gempa Turkiye, Syria: Jumlah korban hampiri angka 42,000

    Gempa Turkiye, Syria: Jumlah korban hampiri angka 42,000

    JUMLAH kematian mangsa gempa bumi dahsyat yang melanda kawasan sempadan Turkiye-Syria kini menghampiri angka 42,000 pada Jumaat.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan agensi berita Anadolu, pihak berkuasa bencana AFAD memberitahu, di Turkiye sahaja, 36,187 orang maut di 11 wilayah.

    Sementara di Syria, angka korban disahkan ialah 5,800 menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 41,838.

    Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dalam misi yang masuk hari ke-10.

    Gempa pertama berukuran 7.8 magnitud dan gegaran susulan 7.5 magnitud yang melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu telah meranapkan lebih 5,000 bangunan di kedua-dua negara.

    Secara keseluruhan, terdapat lebih 3,800 gegaran susulan direkod hingga kini, kata AFAD dalam satu kenyataan pada lewat Rabu.

    Terkini, penduduk di barat laut Syria melaporkan gegaran baharu yang dirasai selama kira-kira 15 saat pada Khamis.

    Gegaran berukuran 5.1 magnitud yang dilaporkan berpusat di Antakya di selatan Turki itu mendorong orang ramai kembali ke jalan raya setelah bimbang rumah mereka bakal runtuh.

  • 248 jam terperangkap runtuhan gempa, remaja perempuan ditemui selamat

    248 jam terperangkap runtuhan gempa, remaja perempuan ditemui selamat

    KISAH keajaiban terus dilaporkan berlaku di lokasi terjejas gempa di Turkiye apabila mangsa masih hidup ditemukan walau sudah lebih seminggu terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan.

    Kali ini, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun selamat dibawa keluar dari runtuhan bangunan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas lebih 248 jam terperangkap di Antakya, Turkiye hari ini.

    Astro AWANI yang memetik agensi antarabangsa, mangsa itu berjaya ditemui, namun dikatakan dalam keadaan lemah akibat kecederaan dan dehidrasi.

    Mangsa dilihat dibawa keluar dari kawasan runtuhan, ditutup dengan selimut haba oleh pasukan menyelamat sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Sebelum ini, beberapa mangsa turut ditemui selamat di sekitar Turkiye, sekali gus dilihat menjadi penyuntik semangat buat pasukan SAR terus mempertingkatkan usaha mereka.

    Bagaimanapun, belum ada angka rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Turkiye dan Syria berhubung jumlah sebenar mangsa yang masih hilang.

    Sehingga kini, lebih 42,000 mangsa disahkan maut dalam kejadian gempa bumi di dua negara itu dan lebih 12,000 bangunan di Turkiye dilaporkan hancur atau rosak.

  • Lebih 36,100 terbunuh sejak gempa bumi dahsyat landa Turkiye

    Lebih 36,100 terbunuh sejak gempa bumi dahsyat landa Turkiye

    SEKURANG-kurangnya 36,187 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye minggu lepas, menurut agensi bencana negara itu pada Khamis.

    Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 pada 6 Feb yang berpusat di wilayah Kahramanmaras, menjejaskan lebih 13 juta orang di 11 wilayah termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

    Beberapa negara di rantau ini, termasuk Syria dan Lubnan, turut merasai gegaran kuat yang melanda Türkiye dalam tempoh kurang 10 jam.

    Lebih 253,000 anggota mencari dan menyelamat kini berada di lapangan, lapor Anadolu memetik kenyataan agensi pengurusan bencana dan kecemasan Turkiye.

    Menurut agensi itu, sekurang-kurangnya 216,347 orang dipindahkan dari kawasan yang dilanda gempa bumi setakat ini.

    Pada Khamis, Kementerian Luar Turkiye berkata 7,098 anggota penyelamat asing dari 74 negara kini meneruskan tugasan di lapangan.

  • Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    DENGAN hanya minum air kencing sendiri, seorang mangsa gempa bumi di Turkiye berjaya diselamatkan selepas 187 jam terperangkap di bawah runtuhan pangsapuri yang didiaminya di Mersin di Wilayah Antakya kelmarin.

    Lelaki warga emas itu diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat selepas salah seorang petugas mendengar suaranya ketika misi mengesan mangsa dijalankan di kawasan runtuhan.

    Huseyin Berber, 62, yang juga pesakit kencing manis menceritakan detik hitam itu kepada agensi berita antarabangsa hari ini.

    Menurutnya, untuk meneruskan hidup, dia tiada pilihan lain selain daripada terpaksa meminum air kencingnya sendiri ketika terperangkap di antara sisa runtuhan.

    “Saya hanya ingat ketika saya sedar telah terperangkap dalam runtuhan. Ketika itu semuanya gelap, terlalu gelap sehingga saya tidak dapat melihat badan saya sendiri.

    “Saya menjerit minta tolong, tetapi tiada siapa mendengar. Bangunan ini 15 tingkat, saya bersyukur bila saya dengar bunyi dari kawasan atas runtuhan, saya terus menjerit walaupun tekak saya mulai bengkak,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Huseyin berkata, gempa kedua yang berlaku mengakibatkan siling turut runtuh, namun tidak mengenainya.

    “Gempa kedua, siling runtuh tapi tidak kena saya. Saya terpaksa sengetkan badan dan duduk di antara runtuhan yang menimpa peti sejuk dan kabinet rumah saya.

    “Hanya permaidani saya guna untuk menyelimut saya sepanjang masa sebelum saya dapat mencapai satu kerusi berhampiran dan duduk menunggu diselamatkan.

    “Saya pesakit kencing manis, ketika kejadian ubat dan sebotol air jatuh ke arah saya. Saya minum hingga habis, kemudian saya terpaksa kencing dalam botol untuk diminum.

    “Apabila air kencing itu sejuk, saya minum untuk selamatkan diri saya,” katanya lagi.

    Huseyin diselamatkan pasukan penyelamat dan dikejarkan ke Hospital Bandar Mersin untuk diberikan rawatan lanjut.

    Sehingga kini, lebih 41,000 mangsa maut dalam kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria, manakala lebih 12,000 bangunan dilaporkan runtuh akibat gempa itu.

  • Anak syarikat Petronas di Luxembourg disita sekali lagi

    Anak syarikat Petronas di Luxembourg disita sekali lagi

    SEBUAH mahkamah di Luxembourg mengeluarkan arahan sita terbaharu terhadap dua anak syarikat Petronas berhubung tuntutan waris kumpulan Sulu bagi kuat kuasa anugerah AS$15 bilion yang diperolehi mereka terhadap aset kerajaan Malaysia.

    Lapor Astro AWANI memetik Reuters, berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat agensi itu daripada peguam waris kumpulan Sulu, mereka memohon untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu.

    Ia berhubung tuntutan waris kumpulan itu terhadap Malaysia mengenai hak penguasaan kawasan yang dikatakan dimeterai pada zaman penjajahan.

    Malaysia yang tidak menyertai timbang tara itu kekal menyifatkan proses tersebut sebagai tidak sah.

    Petronas sebelum ini memaklumkan akan menentang sebarang dakwaan yang dibuat ke atas asetnya dan Malaysia kekal berpendirian untuk mengambil segala langkah undang-undang untuk melindungi semua asetnya, termasuk syarikat berkaitan kerajaan daripada disita di luar negara.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 26 Januari lalu memaklumkan, Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai waris kepada Sultan Sulu apabila Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari mengetepikan perintah penahanan (attachment order) yang dipohon pihak terbabit.

    Perintah penahanan yang diketepikan itu dipohon berasaskan dua penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards) yang dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr Gondoza Stampa.

    Katanya, ketika itu Stampa menganugerahkan kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

    Beliau berkata, Malaysia membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang sudah dirancang oleh penuntut dan mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Stampa serta ‘anugerah’ yang diberikan.