Category: Luar Negara

  • Polis Jakarta rampas syabu RM121 juta, tahan 6 lelaki

    Polis Jakarta rampas syabu RM121 juta, tahan 6 lelaki

    POLIS Jakarta Barat menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Malaysia selepas penahanan enam lelaki tempatan.

    Ketuanya Pasma Royce dalam satu kenyataan berkata, pihak polis berjaya merampas 227 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM121 juta dalam empat serbuan berasingan di Tangerang, Riau, Medan dan Aceh.

    Kesemua suspek disiasat di bawah Akta dadah berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

    Pasma berkata penahanan itu dilakukan selepas bukti ditemui dan rangkaian penghantaran terbongkar di kawasan Cengkareng, Jakarta Barat.

    Dadah yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari Malaysia menggunakan jalan laut.

    Sementara itu, di Malaysia, polis Perlis pada Khamis menggagalkan cubaan sindiket dadah menyeludup 1.8 tan syabu menggunakan lori tunda bagi menunda sebuah lagi lori yang membawa bahan terlarang itu. – BERNAMA

  • Paranoid dijangkiti Covid-19, dua beranak kurung diri selama 3 tahun

    Paranoid dijangkiti Covid-19, dua beranak kurung diri selama 3 tahun

    TERLALU paranoid dijangkiti COVID-19, seorang wanita di India mengurung diri dan anak lelakinya di rumah mereka di Chakkarpur, Gurugram dekat New Delhi, selama tiga tahun.

    Portal NDTV dalam laporan yang di petik Berita Harian melaporkan, kisah itu terbongkar apabila suami wanita berkenaan, Sujan Majhi, yang juga jurutera di sebuah syarikat swasta, memaklumkan perkara itu kepada polis bertugas di pos Chakkarpur.

    Sepasukan polis, pegawai kesihatan dan anggota jabatan kebajikan kanak-kanak kemudian tiba di kediaman berkenaan atas permintaan lelaki itu, baru-baru ini.

    Mereka memecah pintu utama rumah itu sebelum menyelamatkan wanita dikenali sebagai Munmun Majhi dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun.

    Imej sempat dirakam menunjukkan timbunan pakaian, rambut, sampah dan barangan runcit berselerak di rumah berkenaan.

    Difahamkan, wanita terbabit turut memotong sendiri rambutnya dan anak di rumah itu.

    Sementara itu, dia memasak menggunakan dapur elektrik dan bukannya dapur gas.

    Sampah di rumah itu tidak dibuang selama tiga tahun dan difahamkan, selama ini, tiada sesiapa yang berkunjung ke situ.

    Kanak-kanak itu pernah membuat lukisan di dinding rumah dan hanya belajar dengan menggunakan pensel.

    Apa yang mengejutkan, anak lelaki wanita itu dikatakan tidak pernah melihat matahari, sejak tiga tahun lalu.

    Difahamkan, selama tempoh sama, jiran sekeliling tidak tahu bahawa dua beranak itu berkurung di dalam rumah.

    Seorang pegawai polis berkata, wanita itu berada dalam keadaan panik akibat COVID-19 dan percaya anaknya akan mati, jika keluar dari rumah.

    Sepanjang tiga tahun berkurung dengan anaknya, wanita itu tidak membenarkan suaminya masuk ke dalam rumah.

    Suaminya dikatakan keluar dari rumah untuk ke pejabat pada 2020 selepas kerajaan menarik balik sekatan pergerakan (lockdown) kali pertama. Sejak itu, lelaki itu tidak dibenarkan memasuki kediaman berkenaan.

    Satu-satunya cara Majhi kekal berhubung dengan keluarganya adalah melalui panggilan video.

    Bagaimanapun, dia tetap membayar sewa bulanan rumah, menjelaskan bil elektrik, mendepositkan yuran sekolah anaknya, membeli barangan runcit dan sayuran, di samping meninggalkan beg barangan keperluan di luar pintu utama rumah itu.

    Selepas diselamatkan, wanita dan anak lelakinya itu dikejarkan ke hospital awam.

  • 62 jemaah umrah Malaysia terkandas sudah berlepas ke Tanah Suci

    62 jemaah umrah Malaysia terkandas sudah berlepas ke Tanah Suci

    SEBANYAK 62 jemaah umrah dari Malaysia yang terkandas di Jakarta, Indonesia semalam selamat berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan Saudi Airlines, pagi ini.

    Kesemua jemaah berlepas secara tiga peringkat sejak awal pagi tadi dan penerbangan kumpulan pertama akan tiba di Jeddah pada pukul 11.28 pagi waktu Arab Saudi (4.28 petang waktu Malaysia).

    Menurut Unit komunikasi pemasaran Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang juga syarikat pengendali umrah, isu kelewatan timbul akibat masalah teknikal melibatkan tiket penerbangan yang menyebabkan jemaah umrah tersebut tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk ke penerbangan dari Jakarta ke Jeddah.

    “Tindakan pantas pihak pengurusan syarikat telah berjaya menyelesaikan isu tersebut dan jemaah yang terkesan telah dibawa ke hotel penginapan sementara menunggu jadual penerbangan mereka yang berikutnya.

    “Situasi ini boleh berlaku sewaktu transit terutama melibatkan musim yang padat seperti cuti sekolah dan pihak syarikat sentiasa memastikan kebajikan jemaah sentiasa dijaga.

    “Pihak Emraz akan terus memastikan semua pelanggan diberikan perkhidmatan terbaik,” kata syarikat itu kepada Astro AWANI.

    Semalam, pihak berkuasa Indonesia menahan 62 jemaah umrah dari Malaysia susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.

    Mereka semuanya terkandas di Lapangan Terbang Soekarno – Hatta, Jakarta selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 2 petang semalam.

    Jemaah berkenaan dijadualkan untuk transit di Jakarta sebelum berlepas ke Jeddah pada pukul 7 petang semalam.

  • Angka korban gempa bumi Turkiye cecah 43,556 orang

    Angka korban gempa bumi Turkiye cecah 43,556 orang

    ANGKA kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye pada 6 Feb kini meningkat kepada 43,556 nyawa, kata Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu pada Rabu.

    Soylu membuat kenyataan itu ketika bersiaran langsung di Hatay, antara 11 wilayah yang dilanda gempa bumi.

    Kerajaan memerlukan tempoh masa tertentu untuk bertindak balas apabila berhadapan dengan situasi 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).

    Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras turut menjejaskan 10 wilayah lain iaitu Hatay, Gaziantep, Adıyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

    Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye akan mula membina lebih 200,000 kediaman seawal Mac di kawasan bencana dan pembinaan dijangka siap dalam tempoh satu tahun. – BERNAMA

  • Gempa kuat 6.8 magnitud landa sempadan China, Tajikistan

    Gempa kuat 6.8 magnitud landa sempadan China, Tajikistan

    GEMPA bumi kuat berukuran 6.8 magnitud menggegarkan sempadan Tajikistan-Rantau Sempadan Xinjiang pada 8.37 pagi tadi.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan, gempa dengan kedalaman 49 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 363km timur laut dari Taloqan, Afghanistan.

    Bagaimanapun, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

    Lapor USGS yang dipetik Astro AWANI, media China bagaimanapun melaporkan gegaran pada 7.3 magnitud.

    Tiada laporan kerosakan bangunan, kecederaan atau kehilangan nyawa dilapor setakat ini.

    Hanya “sedikit atau tiada penduduk” dijangka terjejas kepada insiden tanah runtuh akibat daripada gempa itu.

    Pusat gempa dipercayai terletak di Gorno-Badakhshan, wilayah timur separa autonomi yang bersempadan dengan Afghanistan dan China.

    Gegaran susulan 5.0 magnitud melanda kawasan itu kira-kira 20 minit selepas gempa awal.

    Wilayah yang tidak ramai penduduk itu dikelilingi banjaran pergunungan Pamir.

    gempa bumi, MetMalaysia, Tajikistan-Rantau Sempadan Xinjiang, tsunami

  • Guru maut ditikam pelajar ketika mengajar

    Guru maut ditikam pelajar ketika mengajar

    SEORANG guru di Perancis maut akibat ditikam seorang pelajar ketika mangsa sedang mengajar di sebuah sekolah menengah di barat daya negara itu, hari ini.

    Lapor agensi berita AFP yang dipetik Berita Harian, guru berumur 50-an itu sedang mengajar bahasa Sepanyol di dalam sebuah kelas sebelum pelajar terbabit didakwa menyerangnya dengan menggunakan sebilah pisau.

    Berikutan serangan itu, mangsa segera diberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian.

    Pendakwa Raya Bayonne, Jerome Bourrier memberitahu AFP, guru wanita itu bagaimanapun meninggal dunia akibat cedera parah, manakala pelajar terbabit berjaya ditahan.

    Akhbar tempatan, Sud Ouest, melaporkan pelajar lelaki berumur 16 tahun itu didakwa menyerbu masuk ke kelas berkenaan sambil memegang sebilah pisau sebelum menyerang mangsa.

    Menteri Pendidikan Perancis, Pap Ndiaye, berkata beliau amat sedih dengan insiden berkenaan dan akan ke lokasi kejadian.

  • Sindiket seludup etnik Rohingya ke Malaysia ditumpaskan Polis Indonesia

    Sindiket seludup etnik Rohingya ke Malaysia ditumpaskan Polis Indonesia

    POLIS Indonesia menumpaskan sindiket penyeludupan pelarian etnik Rohingya dari Aceh ke Malaysia yang didalangi lelaki warga Myanmar etnik Rohingya. 

    Menurut laporan media tempatan, lelaki berumur 24 tahun itu ditahan pada 6 Feb lepas ketika hendak memasuki kem pelarian di Yayasan Mina Raya Pidie, Aceh. 

    Ketua Polis Pidie Imam Asfali berkata lelaki itu mengaku menjadi agen kepada ‘bos besar’ yang berada di Malaysia untuk membawa keluar tujuh orang pelarian. 

    “Semakan mendapati individu berkenaan masuk ke Indonesia secara tidak sah pada 24 Januari melalui Dumai, Riau dan telah diserahkan kepada Imigresen Indonesia untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sebelum ini, sindiket itu cuba membawa keluar pelarian di kem Lhokseumawe, Aceh ke Medan untuk diseludup ke Malaysia dengan kerjasama seorang etnik Rohingya, Bodu Zaman. – BERNAMA

  • 6 maut, 296 cedera gempa bumi terbaru Turkiye

    6 maut, 296 cedera gempa bumi terbaru Turkiye

    SEKURANG-kurangnya enam orang terbunuh dan 294 yang lain cedera dalam gempa bumi terbaharu yang melanda wilayah Hatay, selatan Turkiye, pada Isnin, lapor Xinhua.

    Dua gempa bumi masing-masing berukuran 6.4 dan 5.8 pada skala Richter berlaku dua minggu selepas gempa bumi kuat menggegarkan wilayah yang sama pada 6 Februari lalu yang mengorbankan lebih 41,000 orang.

    Gempa bumi pertama menggegarkan daerah Defne di wilayah itu pada kira-kira jam 8.04 malam waktu tempatan (1704 GMT) disusuli gegaran kedua tiga minit kemudian dengan pusat gempa di daerah Samandag, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan. – BERNAMA

  • Dua lagi gempa bumi gegar selatan Turkiye

    Dua lagi gempa bumi gegar selatan Turkiye

    DUA gempa bumi menggegarkan wilayah Hatay di selatan Turkiye pada Isnin, hanya dua minggu selepas gempa kuat melanda wilayah itu, menurut agensi pengurusan bencana negara itu.

    Menurut agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye, gempa pertama berlaku kira-kira 8.04 malam waktu tempatan (1704GMT) di daerah Defne di Hatay, berukuran 6.4 pada skala Richter manakala satu lagi gempa bermagnitud 5.8 berlaku tiga minit kemudian, berpusat di wilayah Samandag di Hatay.

    Gempa pertama berlaku pada kedalaman 16.7 kilometer (km) manakala gempa kedua pada kedalaman 7 km. Kedua-dua gegaran turut dirasai di kawasan sekitar, lapor Agensi Anadolu.

    AFAD mengeluarkan amaran menggesa penduduk supaya mengelak kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko kenaikan paras laut yang boleh mencecah sehingga 50 cm (1.6 kaki).

    Naib Presiden Turki Fuat Oktay pula meminta penduduk di wilayah itu supaya menjauhi bangunan yang rosak ketika pihak berkuasa memeriksa kawasan yang terjejas.

    Menteri dalam negeri negara itu berkata sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 213 yang lain cedera dalam gempa bumi itu.

    “Tiga rakyat terkorban, masing-masing satu di daerah Antakya, Defne dan Samandag,” kata Suleyman Soylu pada taklimat berita.

    Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan di tiga lokasi terbabit, katanya.

    Sekurang-kurangnya 32 gegaran susulan direkodkan setakat ini, menurut AFAD.

    Wartawan Anadolu Agensi melaporkan bahawa beberapa bangunan runtuh selepas gempa bumi yang turut dirasai di negara jiran Syria.

  • Lapan termasuk Ketua Polis Jambi terbabit nahas helikopter

    Lapan termasuk Ketua Polis Jambi terbabit nahas helikopter

    LIMA penumpang dan tiga kru dilaporkan hilang selepas helikopter milik polis dinaiki mereka semalam terhempas di hutan Jambi, Indonesia akibat cuaca buruk, kata pihak polis.

    Nahas itu turut membabitkan Ketua Polis Jambi, Inspektor Jeneral Rusdi Hartono, dengan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang giat dilakukan.

    Menurut jurucakap Polis Persekutuan, Inspektor Jeneral Dedi Prasetyo, semua mangsa nahas terselamat dan rakaman telefon bimbit menunjukkan mereka sudah menerima alat bantuan kecemasan serta makanan yang dijatuhkan pasukan SAR.

    Polis bagaimanapun enggan menyifatkan kejadian itu sebagai nahas dan menegaskan juruterbang helikopter terbabit terpaksa melakukan pendaratan cemas akibat cuaca buruk.

    “Ya, lokasi nahas sudah dikesan dan bantuan sudah diterima rombongan ketua polis. Pasukan SAR sukar untuk ke lokasi nahas susulan keadaan muka bumi di sekitarnya.

    “Alat bantuan kecemasan dan bekalan makanan terpaksa dihantar ke lokasi nahas dan beberapa anggota misi SAR akan tiba ke situ tidak lama lagi.

    “Sembilan anggota pasukan SAR kini menghampiri lokasi nahas. Mereka perlu berjalan sejauh dua kilometer lagi,” katanya merujuk kepada nahas helikopter Bell 412 SP, menurut Berita Harian yang memetika laporan Agensi/portal berita Tempo.