Category: Luar Negara

  • Depoh simpanan minyak terbakar: 17 maut, 50 melecur

    Depoh simpanan minyak terbakar: 17 maut, 50 melecur

    SEKURANG-KURANGNYA 17 orang dilaporkan maut sementara 50 lagi melecur dalam kejadian paip minyak terbakar di Depoh Pertamina Plumpang, Jakarta Utara, malam tadi.

    Jumlah mangsa yang meninggal dunia dan cedera itu diperoleh berdasarkan data sementara yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Khusus Ibukota Jakarta awal hari ini.

    “15 mangsa yang maut terdiri daripada orang dewasa sementara dua lagi ialah kanak-kanak, lapor portal-portal berita Indonesia,” menurut data berkenaan, lapor Astro Awani.

    Menurut laporan media tempatan juga, seramai 49 orang dewasa dan seorang kanak-kanak pula melecur atau mengalami kecederaan berikutan kebakaran itu.

    Sehingga tengah malam tadi, petugas pemadam kebakaran masih memadamkan api di kawasan Depoh Pertamina Plumpang serta di kawasan pemukiman masyarakat sekitar.
    Kebakaran tersebut berlaku sekitar pukul 8.11 waktu tempatan yang bermula selepas paip minyak di kawasan depo meledak.

    Susulan itu, sebanyak 52 jentera dengan 260 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan api.

  • Wanita potong kemaluan teman lelaki ugut sebar video lucah

    Wanita potong kemaluan teman lelaki ugut sebar video lucah

    SEORANG wanita didakwa memotong kemaluan teman lelakinya selepas berang berikutan lelaki itu mengugut untuk membocorkan video seks mereka berikutan keengganannya melakukan hubungan intim.

    Menurut laporan media Indonesia, kisah tragik itu berlaku di sebuah hotel di Kota Sibolga, Sumatera Utara pada 25 Februari lalu.

    Menurut polis, lelaki berusia 28 tahun itu mahu melakukan hubungan seks dengan wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai AST, namun dia menolak kerana ‘tiada mood’.

    Bagaimanapun, lelaki yang hanya dikenali sebagai OG itu kemudian mengugut untuk menyebarkan video hubungan intim mereka.

    Ketua Polis Sibolga, Taryono Rajarja berkata, pasangan berkenaan difahamkan berkenalan sejak tujuh bulan lalu.

    “Apabila dia (lelaki itu) bersedia untuk mandi, suspek melakukan serangan. Dia mengambil pisau milik lelaki itu dan memotong kemaluannya,” katanya menurut Berita Harian yang memetik laporan AGENSI.

    Penyambut tetamu di hotel itu, Evi Wahyuni Siregar berkata, wanita berusia 28 tahun itu mendekatinya untuk mendapatkan bantuan selepas melakukan serangan tersebut.

    Katanya, mangsa dilihat meraung kesakitan dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital berhampiran.

    Wanita itu ditahan polis, tetapi masih belum didakwa kerana polis berkata mereka sedang menunggu untuk menemubual mangsa.

  • Kematian tragedi bot karam Itali melebihi 100 mangsa

    Kematian tragedi bot karam Itali melebihi 100 mangsa

    SEKURANG-kurangnya 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) dikhuatiri maut termasuk 12 kanak-kanak, selepas bot dinaiki mereka pecah dipukul ombak semasa dalam perjalanan ke Crotone, Itali minggu lalu.

    Difahamkan, bot membawa 200 penumpang itu merangkumi warga Afghanistan, Pakistan, Somalia, Syria, Iraq dan Iran.

    Mayat PATI berkenaan ditemui terdampar di pantai pusat peranginan tepi laut berdekatan wilayah Calabria.

    Pengawal pantai berkata, 80 orang ditemui masih hidup manakala selebihnya dikhuatiri maut atau mati lemas dalam tragedi itu.

    Media Itali, Sky TG24, melaporkan sekurang-kurangnya tiga mangsa yang terselamat kini ditahan kerana disyaki membantu melakukan pelayaran haram dari Izmir, Turkiye termasuk seorang yang ditahan atas dakwaan pemerdagangan manusia.

    Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, berkata, lebih 24 warga Pakistan dipercayai antara mereka yang lemas dan meminta diplomat untuk mengesahkan laporan itu secepat mungkin.

    Ketika bantuan dan operasi pemindahan diteruskan, sekumpulan mangsa yang terselamat dari bot karam dilihat meratapi kehilangan orang tersayang mereka.

    Di pusat penerimaan sementara di bandar Isola di Capo Rizzuto, ada di antara mereka yang menangis, ada yang hanya merenung dalam kekosongan sambil dibaluti selimut.

    Wakil badan amal, Médecins Sans Frontières (MSF), Sergio Di Dato berkata, mereka yang terselamat kini mengalami trauma.

    “Sesetengah kanak-kanak dilaporkan kehilangan seluruh keluarga mereka. Kami menawarkan semua sokongan yang kami mampu,” katanya.

    Seorang budak lelaki berusia 16 tahun dari Afghanistan kehilangan kakaknya yang berusia 28 tahun.

    Dia kini tidak dapat mencari kekuatan untuk memberitahu ibu bapanya mengenai kehilangan kakaknya itu.

    Seorang lelaki berusia 43 tahun dari Afghanistan terselamat bersama anak lelakinya berusia 14 tahun, tetapi isteri dan tiga lagi anaknya, yang berusia 13 tahun, sembilan dan lima tahun tidak berjaya diselamatkan.

    Seorang lagi wanita Afghanistan yang menangis ketika diselamatkan tidak berganjak dari pantai selepas kehilangan suaminya.

    Hari ini, dua kapal Pengawal Pantai meneruskan pencarian di perairan luar pesisir dari utara hingga selatan Steccato di Cutro manakala helikopter meninjau kawasan pantai bersama kenderaan di darat.

    Komander bomba wilayah, Roberto Fasano, berkata pihaknya tidak yakin masih ada yang terselamat dalam tragedi itu kerana keadaan laut yang bergelora, namun masih menaruh harapan keajaiban mungkin berlaku. – AGENSI

  • Gempa 5.1 magnitud landa Xinjiang, China

    Gempa 5.1 magnitud landa Xinjiang, China

    GEMPA bumi berukuran 5.1 pada skala Richter menggegarkan daerah Wensu barat laut Xinjiang, China pada 7:58 pagi Isnin, lapor Xinhua.

    Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC), pusat gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) dipantau pada 41.87 darjah utara dan 79.85 darjah timur.

    Pusat gempa terletak 84 km dari bandar Aksu. Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini, menurut pihak berkuasa tempatan.

    Grid kuasa tempatan, pengeluaran minyak dan gas serta perusahaan petrokimia utama dilaporkan tidak terjejas akibat gempa bumi itu, manakala pengeluaran serta operasi diteruskan seperti biasa.

  • Polis temui kepala model Abby Choi dalam periuk sup

    Polis temui kepala model Abby Choi dalam periuk sup

    POLIS Hong Kong berjaya menemui kepala model dan selebriti media sosial Abby Choi, dua hari selepas menjumpai sebahagian anggota badannya di sebuah rumah di Kampung Lung Mei, di daerah Tai Po.

    Pakar forensik menemui kepala mangsa dalam salah satu periuk sup di rumah berkenaan.

    Bekas suami mangsa bersama abang dan ibu bapanya, sudah ditahan berkaitan dengan pembunuhan itu.

    Menurut laporan portal berita HK01, kepala itu ditemui dalam salah satu daripada dua periuk sup yang berada di rumah berkenaan.

    Polis turut menemui pengisar daging, gergaji elektrik dan sebuah beg tangan milik Abby selain dua kaki wanita dalam peti sejuk.

    Ketika polis menemui periuk sup itu, ia dilaporkan penuh dan terdapat daging cincang di dalamnya.

    Bagaimanapun, ketika itu pihak berkuasa hanya boleh mengesahkan bahawa terdapat tisu manusia dalam periuk itu, sebelum menghantarnya untuk ujian lanjut.

    Forensik turut menemui kepala mangsa bersama tulang rusuk, dalam salah satu periuk, lapor Astro Awani.

    Menurut laporan, tengkorak itu masih sempurna, namun dipercayai bahawa terdapat sekurang-kurangnya satu cubaan untuk menghancurkannya.

    Rambut mangsa tidak lagi melekat pada tengkorak yang sudah dimasak itu.

    Pakar forensik juga menemui sejumlah kecil daging cincang, bersama lobak merah dan hijau.

    Lengan dan anggota badan mangsa dilaporkan masih hilang dan polis meneruskan pencarian untuk anggota badan yang lain pada Isnin.

    Selain melakukan pencarian di tanah perkuburan Tseung Kwan O sejak 25 Februari lalu, mereka turut memeriksa longkang di Kampung Lung Mei.

    Saudara bekas suami melaporkan bahawa saudara mereka, Alex Kwong, didakwa atas tuduhan membunuh.

    Bapa Kwong berusia 65 tahun dan abangnya berusia 31 tahun didakwa atas tuduhan membunuh manakala ibu Kwong yang berusia 63 tahun didakwa kerana mengganggu proses keadilan.

    Kes itu akan didengar di mahkamah di Hong Kong pada Isnin.

  • 30 lemas kapal karam di selatan Itali

    30 lemas kapal karam di selatan Itali

    SEKURANG-KURANGNYA 30 orang lemas apabila kapal yang membawa pendatang karam di pantai selatan Itali, menurut laporan media yang memetik kenyataan polis.

    Mayat ditemukan di pantai di Cutro di wilayah Crotone di Calabria dan di laut, lapor dpa memetik laporan Agensi Berita ANSA pada Ahad.

    Setiap tahun ramai pendatang membuat pelayaran berbahaya dari Afrika Utara melalui Mediterranean menuju ke Itali dan Malta untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di Eropah.

    Bot yang mereka naiki selalunya melebihi muatan dan tidak memenuhi aspek keselamatan.

  • Empat terbunuh, 20 cedera dalam letupan bom di Pakistan

    Empat terbunuh, 20 cedera dalam letupan bom di Pakistan

    SEKURANG-KURANGNYA empat orang terbunuh dan lebih 20 cedera dalam satu letupan bom di Pakistan pada Ahad, lapor Agensi Anadolu memetik polis dan media tempatan.

    Letupan berlaku di pasar yang sibuk di daerah terpencil Barkhan di wilayah Balochistan.

    Menurut polis, bom itu dimuatkan dalam sebuah motosikal yang diletakkan di luar sebuah salun di pasar dan mereka yang cedera kini dalam keadaan kritikal.

    Tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu setakat ini namun pemisah etnik Baloch dan Tehreek-e-Taliban Pakistan, sebuah konglomerat beberapa kumpulan militan di Pakistan telah lama menyasarkan pasukan keselamatan di seluruh wilayah itu

    Wilayah Balochistan yang terletak berhampiran negara jiran, Iran dan Afghanistan merupakan kawasan yang penting dan strategik kerana kaya dengan rizab tembaga, zink dan gas.

    Selain itu, wilayah Balochistan juga menjadi laluan utama projek mega Koridor Ekonomi Pakistan-China (PCEC) bernilai AS$64 bilion yang menghubungkan wilayah barat laut Xinxiang ke pelabuhan Gwadar di Balochistan melalui rangkaian jalan raya, kereta api dan saluran paip untuk kargo, pengangkutan minyak dan gas.

  • Empat orang ditahan berhubung kes pembunuhan kejam model dan pempengaruh Abby Choi

    Empat orang ditahan berhubung kes pembunuhan kejam model dan pempengaruh Abby Choi

    EMPAT orang ditahan berhubung kes pembunuhan kejam model dan pempengaruh Abby Choi, selepas sebahagian anggota badan mangsa yang dikerat ditemukan di sebuah rumah sewa di Hong Kong, menurut polis tempatan pada Sabtu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

    Bekas suami Choi, Alex Kwong, 28, ditahan di terminal feri di pantai barat laut Pulau Lantau, Hong Kong pada Sabtu dan pihak berkuasa turut merampas wang tunai 500,000 dolar Hong Kong (kira-kira AS$63,700) dan beberapa jam tangan mewah bernilai kira-kira HK$4 juta (AS$510,000).

    Ibu bapa Kwong dan adik lelakinya berusia 31 tahun telah pun didakwa kerana membunuh model berusia 28 tahun itu. Mangsa dilaporkan hilang pada Selasa.

    Bekas bapa mentua Choi dipercayai menjadi dalang pembunuhan itu yang dikaitkan dengan harta bernilai jutaan dolar.

    Awal minggu ini, pihak berkuasa telah menemukan kaki mangsa yang disembunyikan di dalam peti sejuk di sebuah rumah sewa di Kampung Lung Mei. Polis turut menemukan tisu manusia dalam periuk sup.

    “Kami masih mencari kepala, badan dan tangan yang kami percaya telah dilupuskan,” kata Superintendan unit jenayah wilayah Kowloon West, Alan Chung kepada pemberita Sabtu.

    Pihak berkuasa percaya isu kewangan antara motif utama dalam pembunuhan itu.

    “Kami percaya mangsa dan keluarga bekas suaminya mempunyai pertikaian berkaitan kewangan yang melibatkan jumlah banyak. Seseorang tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengendalikan asetnya,” kata Chung. – Bernama.

  • Suami kerat mayat isteri didakwa atas tuduhan membunuh

    Suami kerat mayat isteri didakwa atas tuduhan membunuh

    SEORANG lelaki yang mengaku membunuh isterinya dengan mayat wanita itu ditemui di sebuah taman di Paris, Perancis didakwa, semalam atas tuduhan membunuh, kata peguamnya dan pendakwa raya.

    Peguam berkenaan, Dominique Beyreuther-Minkov berkata kepada pemberita, lelaki berasal dari Montreuil itu menafikan mempunyai niat untuk membunuh isterinya.

    Suspek yang ditahan polis sejak pagi Khamis membuat laporan bahawa isterinya hilang pada 3 Februari lalu.

    Dia turut memuat naik hantaran mengenai kehilangan isterinya itu di media sosial pada 31 Januari.

    Saluran berita Perancis, BFMTV minggu lalu melaporkan bahawa polis curiga susulan apa yang diceritakan oleh suspek disifatkan sebagai tidak konsisten.

    Pada 13 Februari lalu, pekerja di sebuah taman yang juga lokasi tumpuan keluarga berkelah dan berjoging menemui beg plastik mengandungi bahagian bawah anggota badan mangsa termasuk pehanya di taman Buttes-Chaumont, dekat timur laut Paris.

    Operasi pencarian pada hari berikutnya, menemukan sebahagian lagi anggota badan wanita itu termasuk kepalanya yang kemudian dikenal pasti menggunakan cap jari.

    Pada 17 Februari lalu, polis telah membuka kertas siasatan bagi dakwaan membunuh, selain tindakan memotong dan menyembunyikan mayat itu, lapor Berita Harian.

    Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan lelaki itu, penyiasat dalam kes itu telah menilai semula dan percaya perbuatan itu bukan sesuatu yang dirancang.

    “Anak guam saya yang dalam kekecewaan telah menjelaskan secara manusiawi sebanyak yang boleh,” kata Beyreuther-Minkov.

    Beliau turut memberitahu, pasangan itu telah berkahwin selama 26 tahun dan mempunyai tiga anak.

    Sementara itu, peguam kepada mangsa dan anak-anaknya memberitahu AFP, ahli keluarga mereka masih terkejut dan bingung mengenai kes itu.

    Untuk rekod, mengikut data Kementerian Dalam Negeri, bilangan kes pembunuhan membabitkan wanita di Perancis meningkat sebanyak 20 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya dengan 122 orang wanita dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan.

  • Polis tahan bekas suami model dibunuh kejam, bapa mentua disyaki dalang

    Polis tahan bekas suami model dibunuh kejam, bapa mentua disyaki dalang

    POLIS menahan empat ahli keluarga bekas suami kepada model Hong Kong, Abby Choi yang dibunuh di sebuah rumah sewa yang dijadikan ‘tempat penyembelihan’ mangsa dalam jenayah yang disyaki didalangi bapa mentua mangsa.

    Bekas suami Choi lapor South China Morning Post ditahan hari ini selepas melarikan diri.

    Polis terdahulu menahan ibu bapa dan abang kepada bekas suaminya. Kesemua mereka didakwa membunuh model malang itu.

    Media tempatan memetik sumber polis berkata, bekas bapa mentua Choi yang juga seorang bekas anggota polis dan tidak dikatakan tidak gembira dengan cara model itu menguruskan hartanah mewah yang dipercayai bernilai puluhan juta dolar.

    Semalam polis Hong Kong menyifatkan pembunuhan itu dirancang selepas bahagian badan mangsa ditemukaan di sebuah rumah di Kampung Lung Mei Tsuen di Tai Po.

    Sebuah unit di tingkat bawah rumah tiga tingkat itu dijadikan lokasi penyembelihan, kata polis.

    “Kami masih mencari kepala mangsa,” kata Supritendan Alan Chung kepada media selepas mengumumkan bahagian kaki seorang wanita ditemukan dalam peti ais.

    Gergaji elektrik dan pengisar daging turut ditemui di rumah itu yang disyaki digunakan untuk mengisar daging manusia, tambahnya.

    Chung berkata, dua periuk rebusan dipercayai mengandungi tisu manusia turut dijumpai di tempat kejadian.

    Bahagian badan dan tangan mangsa juga masih belum ditemui polis ketika mengerahkan pasukan penyelam membantu operasi mencari bahagian tubuh yang hilang.

    Menurut sumber polis, bapa mentua mangsa yang menyewa sebuah flat bulan ini sebagai dalang utama kejadian.

    Siasatan juga mendapati Choi tidak pernah mendaftarkan perkahwinannya dengan suami baharunya.

    Choi dilaporkan hilang Selasa lalu selepas gagal menjemput anak perempuannya.