Category: Luar Negara

  • Genap 40 tahun Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais jadi Imam Masjidilharam

    Genap 40 tahun Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais jadi Imam Masjidilharam

    SIAPA sangka, sudah 40 tahun Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais bertugas sebagai Imam Masjidilharam di Mekah.

    Semalam, 22 Syaaban 1444H bersamaan Selasa 14 Mac 2023 (waktu tempatan) menjadi detik bersejarah bagi beliau menyambut ulang tahun ke-40 perkhidmatannya.

    Terkenal dengan bacaan al-Quran yang dianggap sebagai salah satu bacaan yang paling indah dan menyentuh di dunia Islam, Al-Sudais memulakan tugas sebagai Imam di Masjidilharam pada 22 Syaaban 1404 (23 Mei 1984) ketika berusia 24 tahun.

    Memetik laporan Astro AWANI, selain menjadi Imam Masjidilharam sejak 40 tahun lalu, beliau juga dilantik menjadi Presiden Umum Urusan bagi dua masjid suci iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada 2012.

    Ia adalah jawatan yang sangat berprestij di Arab Saudi bertaraf menteri di mana beliau mengawasi pentadbiran dan pengurusan kedua-dua masjid suci berkenaan.

    Shaik Abdul Rahman Al-Sudais merupakan seorang cendekiawan Islam dan dilahirkan pada 10 Februari 1960 di Riyadh, Arab Saudi.

    Al Sudais dilaporkan sudah menghafaz al-Quran pada usia 12 tahun.

    Imam Masjidilharam itu juga mempunyai ijazah dalam Shariah dari Universiti Riyadh, dan mendapat Sarjana dan Ph.D. dalam Shariah Islam dari Universiti Umm al-Qura di Mekah.

    Beliau juga dikenali atas kepakaran dalam undang-undang Islam dan pendirian kukuh beliau menentang ekstremisme dan keganasan.

    Selain itu, beliau sangat dihormati oleh umat Islam di seluruh dunia dan dikenali atas khutbahnya yang penuh semangat dan dedikasinya untuk mempromosikan keamanan, toleransi, dan persatuan dalam komuniti Islam.

    Beliau juga terlibat dalam beberapa inisiatif amal dan kemanusiaan, termasuk memberikan bantuan kepada pelarian dan mangsa bencana alam.

    Ini termasuk bersuara secara terbuka menentang isu-isu ini, menekankan kepentingan keamanan, toleransi, dan persatuan dalam komuniti Islam.

    Al-Sudais telah menerima pelbagai anugerah dan penghormatan atas sumbangannya dalam bidang cendekiawan Islam dan kerja kemanusiaannya.

    Beliau dihormati oleh umat Islam di seluruh dunia dan dianggap sebagai contoh yang baik oleh ramai kerana dedikasinya dalam mempromosikan nilai-nilai Islam, keamanan, dan kasih sayang.

    Beliau dikurniakan sembilan orang anak dan seorang isteri.

  • Putera Mahkota Saudi lancar syarikat penerbangan baharu Riyadh Air

    Putera Mahkota Saudi lancar syarikat penerbangan baharu Riyadh Air

    PUTERA Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud pada Ahad mengumumkan pelancaran syarikat penerbangan nasional baharu, Riyadh Air.

    Syarikat penerbangan itu dimiliki sepenuhnya Dana Pelaburan Awam (PIF) kerajaan, dijangka menyumbang AS$20 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan, lapor Xinhua, memetik laporan Agensi Akhbar Saudi (SPA).

    Syarikat penerbangan nasional baharu itu akan “memanfaatkan lokasi geografi strategik Arab Saudi antara tiga benua, membolehkan Riyadh menjadi pintu masuk utama dan destinasi global untuk pengangkutan, perdagangan dan pelancongan”.

    Syarikat penerbangan baharu itu akan beroperasi di Riyadh dan menjadi hab utamanya.- Bernama

  • Tahniah Michelle Yeoh, Oscar akhirnya dalam genggaman

    Tahniah Michelle Yeoh, Oscar akhirnya dalam genggaman

    TAN Sri Michelle Yeoh melakar sejarah paling gemilang dalam kerjaya seninya apabila ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) sebentar tadi.

    Pada acara gemilang yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat itu, pelakon kelahiran Malaysia merangkul anugerah berkenaan menerusi lakonannya dalam filem ‘Everything Everywhere All at Once’.

    Michelle, 61, yang anggun dalam persalinan berwarna putih tidak mampu menyembunyikan kegembiraan ketika di pentas semasa menerima trofi yang menjadi dambaan pelakon-pelakon dari seluruh dunia, lapor Astro Awani.

    Beliau ditemani tunangnya, Jean Todt, kejayaan bintang asal kelahiran di Ipoh, Perak itu sekali gus menjadi wanita bukan kulit putih pertama yang memenangi kategori itu selepas selang masa dua dekad, sejak Halle Berry memenanginya pada tahun 2002.

    Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Michelle berdepan dengan saingan Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

    Nama aktres yang memegang watak Evelyn Quan Wang dalam filem arahan Dan Kwan dan Daniel Scheinert itu disebut-sebut sebagai calon yang bakal memenangi kategori tersebut.

    Michelle juga sebelum ini meraih trofi sama pada beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).

    Selain kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Michelle, filem ‘Everything Everywhere All at Once’ turut merangkul kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang disandang oleh Jamie Lee Curtis dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi Ke Huy Quan.

    Kategori lain yang turut dimenangin filem ‘Everything Everywhere All at Once’ ialah Lakon Layar Terbaik dan Suntingan Terbaik.

  • Pelajar perempuan maut ditembak depan masjid di Pattani

    Pelajar perempuan maut ditembak depan masjid di Pattani

    SEORANG pesakit mental menembak mati seorang pelajar perempuan dalam satu kejadian di pekarangan sebuah masjid di Pattani, Thailand.

    Ketua Polis Daerah Muang Kolonel Jefferi Saimankul berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat, apabila suspek seorang penolong ketua kampung berusia 49 tahun, melepaskan tembakan ke arah mangsa yang sedang berbual dengan ibunya, di depan sebuah masjid di Mueang Pattani.

    Beliau berkata suspek yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda telah melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.

    Mangsa yang berusia 14 tahun itu merupakan pelajar perempuan sebuah sekolah agama swasta.

    Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian belakang dan dada serta disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    “Suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan pacuan empat rodanya berjaya dikesan bersembunyi di sebuah rumah saudaranya. Selepas dua jam dipujuk, suspek menyerah diri.

    “Berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, polis mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental yang sedang mendapatkan rawatan dengan mengambil ubat disarankan doktor,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Jenazah mangsa selamat dikebumikan pada Jumaat.

  • Kes 1MDB: Roger Ng dihukum penjara 10 tahun

    Kes 1MDB: Roger Ng dihukum penjara 10 tahun

    BEKAS  pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun susulan tuduhan membantu menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Ini selepas Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York pada April lalu mensabitkan Ng dengan tuduhan tersebut.

     Berbilion dolar wang yang dicuri dari dana tersebut digunakan untuk merasuah dan membiayai parti mewah, kapal layar, hartanah serta pembikinan filem Wolf of Wall Street.

    Ng kekal, mempertahankan dia bukan satu-satunya yang bersalah. Sebaliknya, ia merupakan konspirasi dengan dua lagi individu untuk mengubah wang haram dan merasuah, lapor Astro Awani.

    Pendakwa raya Amerika Syarikat sebelum ini meminta hakim agar menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun ke atas Ng.

    Ng, bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman di Malaysia didapati membantu bekas bosnya, Tim Leissner yang pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara menggelapkan wang 1MDB.

    Mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dan merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan.

    Tuduhan ke atas Ng bertitik tolak pada AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) bon yang diterbitkan oleh Goldman bagi membantu 1MDB.

    1MDB diasaskan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia yang dijual pada 2012 dan 2013.

    Namun begitu, pendakwa raya berkata, sebanyak AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu telah digelapkan oleh pegawai, bank dan sekutu mereka dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

  • 21 maut bot terbalik di Laut Merah Yaman

    21 maut bot terbalik di Laut Merah Yaman

    SERAMAI 21 penumpang, termasuk 12 wanita dan tujuh kanak-kanak maut selepas bot yang dinaiki terbalik di Laut Merah,Yaman pada petang Selasa.

    Bot yang membawa 27 penumpang itu dilaporkan terbalik di luar daerah Alluheyah utara bandar pelabuhan Hodeidah, lapor Xinhua.

    Kesemua penumpang dilaporkan dalam perjalanan dari Alluheyah ke Pulau Kamaran, untuk menghadiri majlis perkahwinan.

    “Enam lagi penumpang dilaporkan terselamat dan dibawa ke Hospital Al-Thawra di bandar Hodeidah untuk menerima rawatan,” kata pegawai majlis daerah Akram al-Ahdal

    Kemalangan dipercayai berpunca akibat angin kencang.

  • Lebih 30 jemaah umrah Malaysia terkandas di Mekah

    Lebih 30 jemaah umrah Malaysia terkandas di Mekah

    LEBIH 30 jemaah umrah dari Malaysia yang dijadual pulang ke tanah air tiga hari lepas berhadapan pengalaman pahit apabila masih terkandas di Arab Saudi.

    Seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Am, 40-an berkata, mereka sepatutnya dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia, 4 Mac lalu.

    Namun katanya, perancangan itu tergendala apabila penerbangan pulang telah ditunda kepada 6.40 petang Selasa (waktu Malaysia 11.40 malam).

    “Kami mula terkandas setelah daftar keluar dari sebuah hotel di Mekah pada Sabtu lepas. Kemudian, kami dipindahkan ke sebuah hotel lain dari 4 hingga 5 Mac, sebelum dipindahkan pula ke sebuah hotel bajet di Jeddah dari 5 hingga 7 Mac.

    “Secara keseluruhannya, kami terkandas selama tiga hari sehingga saya terpaksa melanjutkan tempoh cuti disebabkan terkandas di sini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Cik Am memaklumkan, terdapat tiga rombongan yang berlepas ke tanah suci dari 21 hingga 23 Februari lepas di bawah khidmat syarikat pengurusan umrah terbabit

    Katanya, jemaah yang datang pada 21 Februari dan 23 Februari telah mendapat tiket pulang ke tanah air selepas selesai mengerjakan umrah.

    Menurut Cik Am, mereka yang merupakan peserta dari kumpulan yang datang pada 22 Februari baru sahaja menerima tiket untuk pulang pada Selasa.

    Lebih mengecewakan, Cik Am mendakwa, mereka tidak diberikan penjelasan lanjut oleh syarikat pengurusan umrah terbabit tentang punca terkandas di Mekah.

    Katanya, kebanyakan jemaah terdiri daripada warga emas termasuklah ada berkerusi roda terpaksa pindah hotel beberapa kali dalam tempoh semasa menunggu tarikh dan masa penerbangan untuk pulang ke Malaysia.

    “Kami semua kini bukan sahaja letih, malah amat sedih dan tertekan dengan keadaan ini,” katanya.

  • Samun guna pistol, pekerja bank parah ditembak di perut

    Samun guna pistol, pekerja bank parah ditembak di perut

    SEORANG lelaki parah ditembak di perut dalam satu kejadian samun di sebuah bank, di Jalan Tanjung Datuk, Kota Pekanbaru di Riau, 6.40 pagi semalam.

    Penjenayah berjaya membawa lari wang tunai berjumlah RM29,301 atau 100 juta rupiah.

    Memetik laporan Kompas.com, mangsa yang dikenali sebagai Kurnia Ilahi, 33, ditembak ketika mengisi wang tunai ke dalam mesin teler automatik (ATM) di bank berkenaan.

    Menerusi rakaman kamera litar tertutup, seorang lelaki dillihat berpura-pura hendak mengambil duit dari ATM tersebut, tetapi pengawal keselamatan yang berada di pintu meminta untuk tunggu sebentar kerana proses pengisian wang yang sedang dilakukan.

    Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan pistol dan cuba menembak ke arah pengawal keselamatan, tetapi senjata gagal berfungsi kerana peluru tersekat.

    Melihat kejadian itu, dua kakitangan bank berlari keluar dan seorang suspek masuk ke dalam dan melarikan kaset wang tunai.

    Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Riau, Komisioner Asep Darmawan berkata, ketika kejadian, dua kakitangan itu tidak sempat memasukkan wang tunai ke dalam mesin ATM.

    Katanya, siasatan mendapati terdapat empat suspek bersenjatakan pistol dalam kejadian tersebut.

    “Salah seorang kakitangan telah ditembak di bahagian perut ketika keluar dari bank.

    “Mangsa telah dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut,” ujarnya.

    Jelas Asep, siasatan di tempat kejadian telah menemui kelongsong peluru bersaiz 9 milimeter yang disyaki milik perompak.

    Usaha memburu penjenayah terbabit giat dijalankan.

  • Operasi menjelang Ramadan 1444H lancar

    Operasi menjelang Ramadan 1444H lancar

    MASJIDIL Haram mula menggunakan sepenuhnya aplikasi kecerdasan buatan (AI) termaju untuk melancarkan operasi menerima kunjungan jemaah pada Ramadan tahun 1444 hijrah ini.

    Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdulrahman Al Sudais berkata usaha pemodenan terhadap pelan operasi terbesar dalam sejarah Masjidil Haram ini diaktifkan selepas setahun kajian dan perancangan dijalankan.

    Melalui operasi ini, para jemaah dapat memanfaatkan robot pintar dan aplikasi elektronik yang membantu memudahkan mereka melaksanakan ibadah, kata beliau lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Selain itu sebanyak 230 ruang solat di Masjidil Haram akan dibuka untuk menerima kunjungan jemaah sepanjang Ramadan tahun ini.

    Katanya, semua pintu termasuk di bahagian Masjidil Haram yang telah menjalani proses naik taraf sebanyak tiga kali telah pun dibuka bagi memastikan kelancaran proses keluar masuk jemaah sepanjang bulan itu.

    Pintu khas untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) turut disediakan pihak masjid bagi memudahkan urusan golongan itu.

    Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Pentadbiran Am Operasi dan Penyelenggaraan Masjidil Haram Fares bin Mafouz Al Saedi berkata pihaknya telah meningkatkan kecekapan dan tenaga operasi aset Masjidil Haram untuk memastikan penyelenggaraan di masjid itu pada tahap optima, bagi mewujudkan suasana ang selesa dan selamat bagi jemaah yang mengunjungi Masjidil Haram.

  • Roger Ng patut dipenjara 15 tahun, kata pendakwa raya AS

    Roger Ng patut dipenjara 15 tahun, kata pendakwa raya AS

    PENDAKWA raya Amerika Syarikat menggesa hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng selepas disabitkan bersalah membantu menyeleweng berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Juri di mahkamah persekutuan Brooklyn pada April lalu mendapati Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, mengubah hasilnya secara haram dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

    Hakim Daerah AS Margo Brodie dijangka menjatuhkan hukuman ke atas Ng pada 9 Mac, lapor FMT.

    Dalam permohonan hukumannya pada 25 Feb, Ng meminta dia tidak dijatuhi hukuman penjara dan dibenarkan pulang ke Malaysia.

    Dia dipenjara enam bulan di Malaysia sebelum melepaskan haknya untuk melawan ekstradisi ke Amerika Syarikat pada 2018. Ng dibebaskan dengan ikat jamin tetapi menjalani tahanan dalam rumah sejak disabitkan kesalahan.

    Tuduhan itu berkait bon 1MDB bernilai kira-kira USD6.5 bilion (RM29.1 bilion) yang dibantu Goldman untuk dijual pada 2012 dan 2013.

    Pendakwa raya berkata, USD4.5 bilion daripada jumlah itu digelapkan oleh pegawai, pegawai bank dan sekutu mereka, dalam salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah Wall Street.

    Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar USD2.9 bilion dan unit Malaysianya mengaku bersalah atas tuduhan rasuah.

    Ng mengaku tidak bersalah, dan berhujah bahawa suapan USD35 juta yang didakwa diterimanya sebenarnya adalah pulangan atas pelaburan dibuat isterinya.

    Leissner mengaku bersalah dan memberikan keterangan terhadap Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama. Dia belum dijatuhkan hukuman.