Author: zulkifleebakar@1968

  • Untitled post 79778

    Wanita lemas, suami dan anak hilang jatuh bot di Tumpat

    SEORANG wanita lemas selepas terjatuh daripada bot yang dikatakan terhenti secara tiba-tiba dalam kejadian di Sungai Kampung Kutan Hulu, Tumpat petang semalam. 

    Ketika kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, suami dan anak saudara mereka yang turut bersama masih hilang.

    Ketua Polis Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, mangsa lemas dikenali sebagai Nor Awadah Sulong, 30.

    “Suami mangsa dikenali sebagai Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, serta anak saudaranya, Amrullah Fitri Afendi, 10. Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu, Wan Nur Ameena Wan Muhamad yang turut bersama selamat kerana dikatakan berpegang pada stereng bot,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, kesemua mangsa dikatakan bersiar-siar di sungai itu dengan menaiki bot Wan Muhamad Najmi sebelum enjin bot mati secara tiba-tiba dan mereka terjatuh ke dalam sungai.

    Tambah beliau, mangsa sudah dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Nazah Nafi, berkata, operasi selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) akan disambung semula pagi Sabtu.

    Katanya, operasi malam ini diteruskan dengan kerja-kerja menyelamat di kawasan permukaan sungai.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut hadir di lokasi itu untuk bertanya khabar dan menyantuni keluarga mangsa.

  • Sindiket jual bayi: JPN sahkan dua pegawai ditahan SPRM

    Sindiket jual bayi: JPN sahkan dua pegawai ditahan SPRM

    JABATAN  Pendaftaran Negara (JPN) hari ini mengesahkan bahawa dua pegawai jabatan itu, merupakan antara beberapa individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Lembah Klang semalam, kerana disyaki berkomplot dengan sindiket jual bayi.

    Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Zamri Misman dalam kenyataan hari ini berkata dua pegawai JPN yang ditahan SPRM itu, disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid.

    Beliau berkata ia hasil kerjasama strategik antara JPN dan SPRM, dengan JPN berkongsikan hasil risikan dalaman yang telah dilakukan kepada SPRM, yang membawa kepada penahanan pegawai terbabit.

    “Jabatan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM, bagi melengkapkan siasatan,” katanya dan menambah JPN sama kali tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku kakitangan, yang terlibat dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah.

    Media melaporkan SPRM menahan beberapa individu termasuk doktor pakar dan pegawai JPN, kerana disyaki berkomplot dengan sindiket jual bayi, dengan mereka itu disyaki bersubahat menyediakan dokumen palsu, bagi membolehkan beratus bayi tak sah taraf atau bayi pendatang haram, didaftarkan di JPN.

    Zamri menegaskan bahawa JPN tidak akan melindungi mana-mana kakitangan, yang didapati terlibat dalam kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara, dan tindakan dan hukuman yang setimpal akan dikenakan, sekiranya pegawai yang ditangkap dibuktikan bersalah.

    Beliau berkata JPN sentiasa serius dan komited, memastikan tiada pelanggaran integriti seumpamanya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen pengenalan diri secara berterusan, serta pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan.

    “Malah siasatan peringkat dalaman secara berkala dan kerjasama berterusan dengan agensi penguat kuasa lain, juga merupakan usaha tidak berbelah bahagi jabatan ini, memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

  • Lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 tahun, 25 sebatan rogol ana sendiri

    Lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 tahun, 25 sebatan rogol ana sendiri

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 tahun dengan 25 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas tujuh kesalahan jenayah seksual, termasuk sumbang mahram terhadap anak kandungnya.

    Tertuduh berusia 39 tahun turut mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, melakukan kelucahan melampau, miliki pornografi kanak-kanak dan video lucah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Tertuduh bagaimanapun perlu menjalani hukuman penjara 16 tahun apabila mahkamah membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh dituduh hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan sumbang mahram atau merogol anak kandungnya yang berusia 19 tahun di sebuah rumah dekat Sering di sini di antara jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari pada akhir Mac, 10 Mei dan 11 Mei tahun ini.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga minimum lapan tahun hingga 30 tahun dan 10 sebatan.

    Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman 14 tahun penjara dan lapan sebatan, 15 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan kedua serta 16 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan ketiga.

    Manakala, bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh mengaku melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan melakukan kelucahan melampau terhadap anak kandungnya.

    Kesalahan itu dilakukan dua lokasi berasingan iaitu Sering dan Panji, di sini antara jam 11.05 pagi dan 4 petang pada 11 Mei lalu dan 7 Disember tahun lalu.

    Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 377D.

    Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan keempat dan penjara satu tahun bagi pertuduhan kelima.

    Sementara itu, bagi pertuduhan keenam dan ketujuh, tertuduh didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dan memiliki video lucah dalam telefon bimbit.

    Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama iaitu Sering, di sini, pada 19 Mei lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

    Bagi kesalahan berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan keenam dan penjara satu tahun bagi pertuduhan ketujuh.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan hubungan tertuduh dengan mangsa adalah bapa kandung dan anak.

    “Sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan tidak melakukan perbuatan terkutuk terhadap anaknya.

    “Perbuatan yang dilakukan tertuduh meninggalkan kesan trauma seumur hidup kepada mangsa,” katanya.

    Tertuduh dalam rayuannya pula memohon hukuman ringan dikenakan.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan sebanyak 54 tahun dan 25 sebatan, namun hukuman berjalan serentak iaitu 16 tahun dari tarikh dituduh dan 25 sebatan.

  • Skuad Lipan Bara bantu jemaah haji Malaysia

    Skuad Lipan Bara bantu jemaah haji Malaysia

    SUDAH menjadi lumrah di Mekah, jemaah haji terutama warga emas yang tersasar dan lupa arah jalan pulang ke penginapan masing-masing selepas melakukan ibadat di Masjidil Haram.

    Penulis sendiri pernah terserempak dengan enam jemaah haji wanita warga emas yang dilihat mundar-mandir kerana keliru jalan pulang apabila laluan kebiasaan mereka ditutup oleh pengawal Masjidil Haram.

    Tidak mahu keresahan mereka berpanjangan, penulis bersama rakan petugas media agensi lain menawarkan diri untuk membantu mereka menunjukkan arah pulang ke penginapan masing-masing.

    “Alhamdulillah syukur dapat jumpa anak-anak (petugas media) semua kerana makcik dah cuba nak cari jalan pulang tapi tak jumpa, mungkin sebab jemaah lain pun ramai jadi tak nampak jalan,” katanya.

    Apabila sudah mengiringi makcik-makcik tersebut berjalan beberapa meter, kelihatan petugas haji yang ditugaskan khas untuk berada di ‘checkpoint’ tertentu bagi membantu jemaah yang berada dalam kesulitan.

    Petugas ini berbaju merah dengan lencana petugas haji, berseluar hitam dan membawa beg sandang memudahkan jemaah mengenali bahawa mereka adalah petugas yang akan membantu jemaah.

    Di sini mereka popular dengan nama Skuad Lipan Bara kerana penampilan berbaju merah dan bergerak dalam kumpulan.

    Mereka merupakan Unit Peronda yang terdiri daripada anggota Polis Bantuan Tabung Haji (TH) yang telah dibentuk khas untuk membantu jemaah bermula 26 Mei lalu hinggalah operasi haji berakhir.

    Buat masa ini sebelum operasi Masyair, seramai 18 anggota Skuad Lipan Bara akan bertugas selama 24 jam mengikut giliran tiga syif di lapan lokasi ditetapkan di sekitar Masjidil Haram.

    Ketua Unit Peronda, Wan Shamsol Husin berkata, lokasi itu ialah di kawasan tandas di Marwah kerana kebiasaannya jemaah apabila keluar tandas hilang arah untuk kembali ke dalam masjid semula.

    Katanya, lokasi kedua kawasan sekitar pintu Marwah, pintu Assalam (Pos 3), kawasan dataran Safwah ke Ajyad (Pos 4), kawasan dataran laluan Zamzam Tower (Pos 5), kawasan dataran laluan ke Misfalah (Pos 6).

    Ujarnya, di kawasan dataran luaran ke Hafaer terdapat dua pos menempatkan dua petugas kerana kawasan itu luas.

    Menurut Wan Shamsol, Skuad Lipan Bara juga mempunyai hubungan baik dengan pengawal Masjidil Haram yang memudahkan urusan untuk membantu jemaah.

    “Kita juga bantu jemaah yang ada masalah kesihatan seperti menghantar mereka menaiki kenderaan disediakan TH untuk ke lokasi ditetapkan.

    “Anggota kita juga turut dilengkapi gunting bagi membantu jemaah yang kadangkala tidak dapat melengkapkan tahalul selepas melakukan tawaf dan saie,” katanya.

  • PRN : Tun Mahathir seru orang Melayu keluar mengundi

    PRN : Tun Mahathir seru orang Melayu keluar mengundi

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran kepada pengundi Melayu terhadap kelesuan politik, sambil menambah hasrat untuk tidak menunaikan tanggungjawab menjelang pilihan raya di enam negeri tahun ini bermakna mereka memilih calon “berniat jahat”.

    “Ramai orang Melayu yang berpendapat politik membosankan. Oleh itu apa gunanya mengundi dalam pilihan raya. Sama ada politik bosan atau tidak, hakikatnya ialah undi menentu siapa jadi kerajaan.

    “Jika orang Melayu tidak undi, yang akan jadi kerajaan ialah orang yang mendapat undi. Dan undi ini datang dari pengundi yang telah disogok oleh parti dan calon yang berhasrat mencari kekayaan dengan menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

    Mahathir yang dua kali memimpin negara selama 24 tahun, berkata tidak mengundi adalah sama dengan mengundi calon yang bergantung kepada sogokan.

    “Kita sudah lihat bagaimana calon yang tidak baik apabila menang dan mendirikan kerajaan telah curi berbilion ringgit duit kerajaan, merosakkan parti dan pemerintah dan menjadi Malaysia sebagai ‘kleptokrasi’ iaitu negara yang diperintah oleh pencuri dan penjenayah.

    “Mereka yang bergantung kepada sogokan bukanlah calon yang bersih. Jika mereka mendirikan kerajaan, mereka akan salah guna kuasa dan mencuri.”

    Mahathir berkata mereka yang mahukan kerajaan yang baik harus mengundi calon yang “bersih”, sambil menambah hanya pentadbiran yang dibentuk oleh pemimpin sedemikian akan berkhidmat demi kepentingan bangsa, negara dan agama.

    “Jangan bosan dan tidak undi. Tidak undi bermakna mengundi calon yang berniat jahat, yang akan rosakkan masa depan pengundi,” katanya.

    Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu tahun ini.

  • Bubar DUN: MB Selangor menghadap Sultan sebelum 25 Jun

    Bubar DUN: MB Selangor menghadap Sultan sebelum 25 Jun

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan pada bulan depån selepas Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah.

    Bercakap kepada wartawan di Shah Alam, beliau berkata, beliau akan  akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah minggu ketiga Jun bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

    DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini.

    “Sebelum tarikh itu saya akan menyampaikan hasrat bila tarikh untuk kita bubar… (akan menghadap sultan) minggu ketiga atau minggu keempat Jun. Mungkin juga boleh jadi minggu kedua (Jun),” katanya.

    Sultan Sharafuddin dijadualkan berangkat menunaikan haji bulan depan.

    Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor berkata terdapat lima ke tujuh kerusi sedang dimuktamadkan antara rakan sekutu.

    “Setakat ini, perbincangan PH dan BN di peringkat negeri dah berjalan dan kita dah hantar laporan ke peringkat pusat dan peringkat pusat juga akan memulakan perbincangan (pembahagian kerusi) itu sekali.

    “Formulanya sudah pasti kemenangan. Semua parti menyatakan kawasan mana mereka mahu dan di mana kawasan kita nak kekalkan. Masa dah cukup dan sekarang sampai di peringkat pusat (tentukan).”

    Mengenai laporan yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon “heavyweight” untuk menumbangkan PH Selangor, Amirudin menyifatkan gabungan itu sebagai “celaru”.

    “Dia (PN) sebelum ini cakap calon menteri besar Selangor adalah orang Selangor tapi dia terpaksa import dari luar. Itulah kata celaru,” katanya.