
JIKA sebelum ini pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) agak ‘malu-malu’ untuk bercakap soal jajaran baharu politik, khususnya melibatkan kerjasama politik dengan UMNO, tetapi apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution boleh dijadikan sandaran bahawa ia mungkin akan menjadi kenyataan.
Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Saifuddin yang Setiausaha Agung PKR tidak menolak kemungkinan tindakan segelintir ahli-ahli UMNO yang menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) akan mendorong mereka menyertai Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Walaupun kata beliau, setakat ini belum ada usaha ke arah itu namun gabungan tersebut tidak mustahil berlaku.
Alasan beliau, kemungkinan itu dibuat jika kedua-dua parti mengambil kira dasar parti dan bukan sentimen kebencian semata-mata memandangkan PKR dan UMNO hakikatnya berkongsi dasar yang sama iaitu memelihara kepentingan Melayu dan Islam.
Tetapi apa yang menarik Saifuddin turut menegaskan, beliau tidak percaya No Anwar, No DAP itu satu dasar parti, tetapi hanyalah sentimen dalam parti.
‘’ Beza antara dasar dengan sentimen yang mana dasar itu kekal manakala sentimen itu tidak kekal dan boleh hilang,’’ tegasnya.
Hebat sekali, kalau dahulu agar sukar kita mendengar kenyataan pemimpin-pemimpin PH bercakap soal ‘berkongsi dasar’ yang sama dengan UMNO tetapi sekarang ia sudah berubah.
Mereka tidak segan silu berkata demikian kerana memahami keterujaan segelintir pemimpin UMNO yang sedang mencari ‘rakan kongsi’ dalam usaha menumbangkan Kerajaan PN.
Persoalannya bagaimana dengan pemimpin dan ahli UMNO lain? Adakah mereka akan menerima sebarang usaha sama ada secara terbuka atau tersembunyi bagi menjalin hubungan dengan PH yang dianggotai oleh PKR,DAP dan Amanah?
Apakah UMNO sudah terdesak sehingga sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan agenda menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menumbangkan Kerajaan PN tercapai?
Bagaimanapun buat masa ini penulis menganggap apa yang disampaikan oleh Saifuddin hanya berkisar soal ‘kemungkinan’ dan ‘tidak mustahil’ sahaja.
Belum ada apa-apa yang kita dengar daripada pihak UMNO, walaupun dahulu heboh surat yang didakwa dihantar oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Kita juga ‘jangan berprasangka bukan-bukan’ kepada mana-mana pemimpin UMNO berikutan kenyataan Saifuddin walaupun kita juga pernah ‘dihidangkan’ rakaman audio yang didakwa melibatkan ‘Si Cikgu’ dalam PKR dengan ‘Si anak murid’ di dalam UMNO.
Bagi penulis, kenyataan Saifuddin itu boleh dianggap ujian kepada pemimpin dan ahli UMNO. Mereka perlu bertenang kerana tidak mungkin ‘strategi’ pucuk pimpinan yang tidak dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) ada kaitan dengan apa yang dikatakan Saifuddin.
Bukankah Ahmad Zahid sudah beberapa kali menegaskan, parti itu tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Anwar, PKR, DAP, termasuk yang terbaru pada 7 Julai lalu. Mana mungkin Ahmad Zahid yang menegaskan, menipu rakyat bukan cara politik UMNO akan sanggup memperdayakan ahli-ahli UMNO.
Bagaimanapun bagi mengelakkan lebih spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi suasana dalam UMNO sekarang, lebih baik jika Ahmad Zahid berterus terang sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ke mana beliau mahu membawa parti.
Ahmad Zahid harus beritahu kepada pemimpin dan ahli UMNO dalam keadaan beliau berusaha bersungguh-sungguh memastikan MT UMNO tidak menyokong Muhyiddin, menarik parti daripada Kerajaan PN dan bercakap soal negara memerlukan Perdana Menteri baharu, jangan biar orang tertanya-tanya siapakah sekutu pilihan beliau untuk menubuhkan kerajaan? Siapa calon Perdana Menteri idaman beliau?
Ramai juga nak tahu adakah pemimpin dan ahli UMNO akan rela bekerjasama dengan PH? Apabila berterus-terang sudah pasti ia akan memudahkan pemimpin dan ahli UMNO termasuk ahli Parlimen yang akan terlibat dalam pengundian usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat membuat pendirian.
Ahmad Zahid sepatutnya memahami ketika beliau mendakwa ‘bahtera negara’ terumbang ambing sebab ‘nakhoda ada masalah’, ‘kapal UMNO’ pun apa kurangnya…justeru lebih baik Presiden UMNO berterus terang soal strategi sebab itu penting kalau UMNO mahu mencapai kemenangan ‘dalam agenda politiknya’.
Macam mana nak menang kalau strategi pun ahli-ahli UMNO khususnya mereka di peringkat pimpinan pun tidak dimaklumkan, kecualilah,’’strategi kita ialah tiada strategi’ dan ‘ada gerakan sulit di belakang’ .