Author: Admin

  • Buruh binaan dipenjara sembilan bulan ugut cincang isteri dengan parang

    Buruh binaan dipenjara sembilan bulan ugut cincang isteri dengan parang

    SEORANG buruh binaan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah mengugut untuk mencincang isterinya menggunakan parang dalam kejadian pada 18 Julai lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh, Muhammad Hisyam Abdullah, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan bapa kepada enam anak dipercayai mengugut isterinya selepas berlaku perbalahan antara mereka.

    Kejadian itu berlaku pukul 9 pagi di sebuah kedai kopi di Kampung Chendering, Kuala Terengganu.

    Perbalahan itu dikatakan berpunca apabila isteri tertuduh meminta duit ketika tertuduh sedang bersarapan menyebabkan lelaki berkenaan naik angin.

    Mahkamah menetapkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Julai lalu.

    Kes tersebut dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Ain Mohd. Rani.

  • Isu Sulu: Malaysia menang mudah jika berhujah di Mahkamah Madrid

    Isu Sulu: Malaysia menang mudah jika berhujah di Mahkamah Madrid

    MALAYSIA mampu mendapat kemenangan ‘mudah’ dalam menolak tuntutan kumpulan Sulu sekiranya memberi maklum balas pantas menerusi hujahan ketika prosiding timbang tara di Mahkamah Madrid.

    Menurut Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Madya Dr. Mohd. Hisham Mohd. Kamal, ketika proses timbang tara oleh penimbang tara, Dr. Gondoza Stampa itu, negara sepatutnya menghantar wakil peguam bagi memberi hujahan.

    Katanya, semasa Mahkamah Madrid memulakan proses timbang tara itu Malaysia hanya mengatakan tidak mengiktiraf tuntutan itu.

    Sepatutnya kata beliau, Malaysia menghantar peguam untuk menghujahkan bahawa Dr. Stampa) yang dilantik tidak mempunyai bidang kuasa sebab negara ini tidak beri sebarang persetujuan untuk menyerahkan pertikaian itu kepada penimbang tara.

    “Kita tidak terbabit dalam mana-mana proses, hanya kata tidak iktiraf. Tapi masalahnya Dr. Stampa itu mentakrifkan Perjanjian 1878 itu sebagai mempunyai klausa untuk timbang tara.

    “Kalau kita sertai proses timbang tara itu, kita boleh berikan tafsiran terhadap apa perjanjian itu, jadi kita boleh hujahkan bahawa perjanjian itu tidak mempunyai klausa timbang tara.

    “Sepatutnya itu kita buat, sebab senang untuk kita menang sebenarnya, tapi sebaliknya ia jadi masalah kepada kita, macam bagi kemenangan percuma bila mereka hujah tanpa ada hujah balas,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam usaha mempertahankan dan melindungi hak serta kedaulatan negara.

    Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan berkompromi dan tidak sesekali tunduk dengan sebarang tindakan yang boleh merugikan negara.

    Mengulas lanjut, Mohd. Hisham berkata, peguam juga boleh mengemukakan hujah alternatif, sekiranya wujud klausa dalam perjanjian itu pastinya ia merujuk kepada entiti lain dan bukan penimbang tara.

    “Perjanjian tidak sebut secara khusus timbang tara cuma kalau ada pertikaian hendaklah merujuk kepada General Council of Borneo atau waris mereka.

    “Kalaulah itu ditakrifkan sebagai klausa timbang tara, maknanya ia dah tetapkan siapa penimbang tara itu. Kalau itu prosesnya, yang mana orang inilah yang mempunyai bidang kuasa atau waris jawatan itu yang punyai bidang kuasa.

    “Masa itu perjanjian babitkan dua entiti yang bekerja dengan syarikat British dan Their Majesty merujuk raja atau permaisuri England pada masa itu, jadi pandangan saya masa itu merujuk kepada diplomat yang sepatutnya menjadi penimbang tara,” katanya.

    Sementara itu beliau berkata, dalam isu tuntutan ini, pasukan peguam negara perlu mengkaji secara mendalam undang-undang timbang tara di Perancis dan juga Sepanyol yang agak rumit.

    “Kalau keputusan penimbang tara itu sangat-sangat pelik, jadi mungkin kita boleh batalkan keputusan terbabit, tapi kena lihat dan kaji undang-undang timbang tara dekat sana yang agak rumit.

    “Selain itu jumlah pampasan diminta mencecah bilion, iaitu AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) juga tidak munasabah kerana berdasarkan perjanjian pemberian wang ihsan pun sekitar 5,000 peso setahun.

    “Kalau kita dapat tunjukkan ‘ketakmunasabahan’ ini mungkin keputusan Dr. Stampa dibatalkan, malah dalam ‘award’ diberikan Dr. Stampa memaklumkan sekiranya Malaysia tidak berpuas hati boleh merayu, jadi kenyataan ini seolah-olah memberitahu ada proses untuk rayuan pula,” katanya.

    Tuntutan dikemukakan kumpulan Sulu adalah susulan tindakan Kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan berikutan kes pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, pada 12 Februari 2013.

    Firma guaman mewakili warga Filipina mengaku waris Sultan Sulu, memohon rundingan semula bayaran wang ihsan bawah Perjanjian 1878 dan memfailkan permohonan Superior Court of Justice di Madrid (Mahkamah Madrid) untuk melantik penimbang tara pada 31 Januari 2018, dan memutuskan Dr. Gonzalo Stampa dilantik pada 22 Mei 2019.

    Pada 30 Julai 2019, satu Notis Timbang Tara diserahkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.

    Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya, dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan.

  • Dakwaan tukar MB Kedah tak berasas

    Dakwaan tukar MB Kedah tak berasas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PAS Kedah menolak dakwaan kononnya parti itu memiliki perancangan untuk menggantikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan individu lain bagi memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

    Menurut Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya, perkara itu langsung tidak pernah dibincangkan dalam Pas Kedah.

    Malah katanya, pihaknya akan mencadangkan kepada Pas Pusat untuk mengekalkan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar, dengan perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

    “Saya tak tahu bagaimana dakwaan itu timbul kerana perkara tersebut sama sekali tidak pernah dibincangkan. Saya sendiri tiada sebarang maklumat mengenai perkara itu.

    “Jika cuba dikaitkan dengan bencana di Baling baru-baru ini, kita lihat Muhammad Sanusi dan kerajaan negeri sedang melakukan segala-galanya untuk membantu mangsa terlibat.

    “Desas-desus itu adalah tidak berasas. Apabila sesuatu perkara itu tidak berasas, mulalah kita membuat andaian dan timbullah satu demi satu persepsi bagi menghangatkan perbincangan di kedai kopi,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Sebelum ini timbul khabar angin menyatakan Muhammad Sanusi telah mengarahkan kakitangan serta pegawainya mengemas pejabat kerana jawatan itu akan dikosongkan.

    Pengosongan jawatan itu kononnya mempunyai kaitan dengan tragedi kepala air dan banjir yang berlaku di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu yang dikatakan amat menjejaskan Muhammad Sanusi.

    Ahmad dalam pada itu memaklumkan, pihaknya akan terus mempertahankan Muhammad Sanusi yang mendapat perkenan Sultan Sallehuddin bagi menjawat jawatan itu.

    “Sewaktu tragedi itu berlaku, saya sendiri ke Baling dan penduduk di sana sentiasa tersenyum setia kali menerima pelbagai bantuan daripada pelbagai pihak terutama kerajaan negeri. Jadi bagaimana boleh kita katakan Muhammad Sanusi tidak cekap menguruskan bencana.

    “Dalam isu pelantikan Menteri Besar, hanya Pas Pusat yang layak mencadangkan siapa yang layak memegang jawatan tersebut sekiranya Pas memiliki kerusi cukup untuk menerajui negeri,” katanya.

  • ‘Ujian tulang dapati Bella berusia 15 tahun pada 2020’ – Saksi

    ‘Ujian tulang dapati Bella berusia 15 tahun pada 2020’ – Saksi

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu usia remaja sindrom down dikenali sebagai Bella, ialah 15 tahun ketika menjalani ujian imbasan sinar X bone age (anggaran usia tulang) pada 2020.

    Saksi pendakwaan ke-13 yang kini Pegawai Perubatan Jabatan Radiologi Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Sabah, Dr. B. Anulaawathi, 39, mengesahkan laporan bone age remaja itu dikeluarkan beliau pada 3 Ogos 2020 ketika bertugas di Hospital Tuanku Azizah selepas menerima permohonan dari Jabatan Pediatrik hospital itu pada 27 Julai tahun sama.

    Katanya, anggaran usia sebenar remaja itu diketahui selepas analisis dibuat melalui tiga aspek iaitu ‘chronological age’; ‘brush foundation data’ dan buku rujukan, ‘Radiographic Atlas of Skeletal Development of the Hand and Wrist’ yang dikarang Sarah Idell Pyle and William Walter Greulich.

    “Buku ini standard (prosedur operasi standard-SOP) digunakan untuk menganalisis ‘bone age’ hospital seluruh Malaysia dan banyak digunakan di Hospital Tuanku Azizah.

    “Buku itu mengandungi siri sinar X sebagai rujukan untuk jantina dan umur sejak lahir sehingga 18 tahun. Apabila dibandingkan dengan gambar rujukan sinar X bagi umur 13 tahun, kita mendapati masih tidak sama dengan imbasan sinar X tulang Bella.

    “Kita boleh tengok lagi, Bella lebih tua daripada gambar rujukan umur 13.6 tahun. Kita terus melihat pada gambar rujukan untuk umur 15 tahun dan mendapati gambar itu sama dengan sinar X Bella iaitu plat pertumbuhan tulang di pergelangan tangan masih kelihatan,” katanya sperti dilaporkan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azizah Mohamad.

    Ditanya pihak pendakwaan ketika sesi pemeriksaan balas, sepanjang melaksanakan prosedur analisis bone age adakah dia bersemuka dengan pihak berkaitan, termasuk pasukan pediatrik dan Bella sendiri, Dr. Anulaawathi berkata, beliau tidak menemui sesiapa.

    “Tiada keperluan (berjumpa mereka) kerana semua arahan sudah ditulis dalam permohonan melalui sistem,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr. Anulaawathi menjawab, benar ketika ditanya peguam bela, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun Ahd. Razali, bahawa peranan saksi itu hanya menyediakan laporan selepas mendapat arahan dari pasukan pediatrik.

    Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Pemandu Toyota Hilux tular memandu di lorong kecemasan disaman

    Pemandu Toyota Hilux tular memandu di lorong kecemasan disaman

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PEMANDU kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang tular di media sosial kerana memandu di lorong kecemasan bermula dari Sungai Dua hingga ke Kepala Batas, Pulau Pinang semalam disaman atas kesalahan itu hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, lelaki berusia 47 tahun itu disaman selepas hadir ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU pukul 9 pagi tadi.

    Katanya, lelaki itu tiba bersama kenderaannya untuk memberi keterangan lanjut selepas rakaman video mengenai insiden itu tular di Facebook sejak pagi semalam.

    “Pemandu berkenaan dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 53(1) Kaedah–kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atas kesalahan memandu di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam rakaman video berdurasi hampir dua minit itu, suspek yang memandu Toyota Hilux berwarna putih dilihat memandu melulu dan video tular selepas dimuat naik ke laman Facebook DashCam Owners Malaysia.

    Menurut Mohd. Radzi, siasatan polis mendapati kejadian tersebut berlaku di Kilometer (KM) 129.0, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Sungai Dua.

    Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas sedia ada bagi mengelakkan dikenakan tindakan demi menjaga kepentingan awam.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

  • Kes bunuh bekas ahli perniagaan:Dua lelaki didakwa

    Kes bunuh bekas ahli perniagaan:Dua lelaki didakwa

    DUA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh bekas ahli perniagaan berusia 63 tahun di Amarin Kiara, Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu.

    Pertuduhan dibacakan terhadap S. Hariadasan, 28, dan G. Sathorohgunosing, 32, dihadapan Majistret Wang Chai Sia.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki berkenaan bersama seorang lagi yang masih bebas antara jam 11.40 malam hingga 11.50 malam menembak mati mangsa di tempat letak kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, Sri Hartamas.

    Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 29 September depan untuk sebutan semula kes.

    Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim berkata, selain dua lelaki yang dituduh hari ini, Polis Kuala Lumpur akan menuduh seorang lagi lelaki berusia 40-an yang dipercayai merancang pembunuhan itu.

    Pada 12 Julai lalu, seorang bekas ahli perniagaan berusia 63 tahun ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara.

  • Pemandu treler didakwa sebabkan kematian empat beranak

    Pemandu treler didakwa sebabkan kematian empat beranak

    SEORANG pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini terhadap empat pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian empat beranak, minggu lalu.

    Tertuduh, Suhaimi Mohd Nor, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa memandu treler jenis Hino secara berbahaya dan menyebabkan kematian Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Kilometer 277.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Ipoh pada jam 2.55 petang, 13 Julai 2022.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, NM Maganaraj Mithra menawarkan jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Amir Kusyairi Mohamad Tanusi memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh kehilangan punca pendapatan kerana tidak lagi bekerja selepas insiden berkenaan.

    “Tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga, mempunyai seorang isteri dan lima orang anak yang paling kecil berusia dua tahun. Dalam kes ini tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 4 Ogos depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

    Dalam nahas sekitar pukul 3 petang, minggu lalu empat beranak yang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam nahas tujuh kenderaan termasuk sebuah treler.

    Rempuhan mengakibatkan kereta jenis Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu mengelongsor ke hadapan lalu melanggar lima kenderaan lain.

  • Sultan Ibrahim melawat tapak projek RTS di Singapura

    Sultan Ibrahim melawat tapak projek RTS di Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Terminal Woodlands North, Singapura, hari ini.

    Sultan Johor diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

    Keberangkatan tiba Sultan Johor dan delegasi sebelum itu disambut Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran.

    Baginda meninjau perkembangan semasa projek berkenaan serta kemajuan kerja-kerja dilakukan yang akan menjadi satu sistem pengangkutan rel baharu menghubungkan Johor-Singapura.

    Projek RTS Link bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosio ekonomi malah bakal mengubah lanskap pengangkutan awam di Johor, selain terus mengeratkan hubungan dengan Singapura.- Foto Ihsan Royal Press Office (RPO)

    Sebelum itu Sultan Johor tiba di republik itu pada pagi semalam bagi lawatan rasmi atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Lee Hsien Loong.

    Pelaksanaan projek RTS Link itu bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosio ekonomi malah bakal mengubah lanskap pengangkutan awam di Johor, selain terus mengeratkan hubungan dengan Singapura.

    RTS Link merupakan sistem transit aliran ringan pertama dibina di Johor Bahru yang mana Johor merupakan pintu masuk utama di selatan negara.

    Merangkumi pembinaan laluan sepanjang 4 kilometer menghubungkan Terminal Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura, RTS Link dijangka beroperasi pada penghujung tahun 2026.

    Pengangkutan rel ini juga dijangka dapat mengurangkan kadar kesesakan di Tambak Johor sehingga 35 peratus dan mampu menampung sehingga seramai 10,000 penumpang setiap jam melalui stesen di Bukit Chagar dan Woodlands.

    Sultan Johor (kanan) gembira semasa diberi penerangan selepas berkenan berangkat melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Terminal Woodlands North, Singapura, hari ini. – Foto Ihsan Royal Press Office (RPO)

    Kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) akan ditempatkan di stesen Woodlands North dan Bukit Chagar, Johor Bahru dan ketika ini kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dengan kontraktor di kedua-dua pihak yakin projek itu mampu disiapkan tepat pada masanya.

    Bahagian kerja infrastruktur Malaysia termasuk stesen kereta api, depoh dan 2.7 kilometer jejambat darat dan laut, dikendalikan oleh MRT Corp, anak syarikat Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd.

    Pembinaan di sebelah Singapura bermula pada Mac 2021, stesen kereta api itu akan menjadi antara yang terbesar di republik itu apabila siap dan akan menyediakan pautan perjalanan yang lancar ke Laluan Thomson-East Coast dan stesen MRT Woodlands North.

    Rapid Transit System Operations Sdn Bhd (RTSO), usaha sama antara Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corporation Ltd akan menjadi pengendali pautan metro baharu ini.

  • Pasangan kekasih ditahan bersama 300kg ketulan ganja bernilai RM750,000

    Pasangan kekasih ditahan bersama 300kg ketulan ganja bernilai RM750,000

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS menahan sepasang kekasih dan merampas sebanyak 300 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM750,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Impian, Bukit Mertajam, Pulau Pinang Sabtu lalu.

    Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, operasi kira-kira pukul 9 malam itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman; JSN Perlis dan JSJN Pulau Pinang.

    Menurut beliau, pasangan itu merupakan lelaki warga tempatan dan kekasihnya warga Indonesia yang masing-masing berusia 41 dan 37 tahun menyewa bersama di rumah terbabit dan dipercayai menjadi ahli sindiket kumpulan pengedaran dadah.

    “Hasil serbuan di dalam rumah itu, kita menjumpai sebanyak 12 kotak polisterina yang setiap satunya berisi 24 ketulan mampat ganja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) hari ini.

    Menurut Surina, pihaknya percaya ganja itu diseludup masuk dari Thailand melalui jalan laut sebelum dihantar ke Pulau Pinang menggunakan jalan darat.

    Katanya, rumah yang disewa pasangan kekasih itu pula dijadikan transit sebelum bekalan ganja terbabit dihantar untuk diedarkan di Lembah Klang.

    “Kita juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung berapa lama sindiket ini telah beroperasi serta giat mengesan saki-baki ahli sindiket yang lain,” katanya.

    Ujar beliau, saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif sebarang jenis dadah selain masing-masing tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

    Bagaimanapun katanya, semakan mendapati pasangan terbabit tiada surat nikah walaupun tinggal serumah, malah suspek wanita juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

    “Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Dalam pada itu beliau menambah, dari Januari sehingga Jun lepas, polis Perlis berjaya merampas sebanyak 364 kg ganja yang diseludup masuk melalui sempadan negeri itu membabitkan 16 tangkapan.

  • BMW remuk dihempap lori tangki terbalik

    BMW remuk dihempap lori tangki terbalik

    SEBUAH BMW remuk teruk akibat dihempap lori tangki yang mengundur selepas brek kenderaan itu gagal berfungsi di atas Jambatan Telok Datok dekat Kilometer 32, Klang-Banting-Port Dickson, Kuala Langat, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, ketika kejadian pada pukul 7.25 malam, lori berkenaan dalam perjalanan dari Klang ke Banting.

    Setibanya di lokasi, brek lori tidak berfungsi dan menyebabkan lori mengundur ke belakang secara sendiri sebelum hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

    “Kemudian, lori tangki itu juga turut melanggar sebuah kereta jenis BMW sebelum terbalik secara melintang menutupi kedua-dua lorong laluan dari arah Klang,” katanya memetik laporan Utusan TV hari ini.

    Akibat kemalangan itu laluan dari Klang menghala ke Banting ditutup dan laluan kontra telah dibuat bagi melancarkan aliran trafik.

    Jelasnya, pemandu lori dan pemandu kereta BMW tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.