Author: Admin

  • 66 syarikat buat tuntutan palsu PenjanaKerjaya, kata Saravanan

    66 syarikat buat tuntutan palsu PenjanaKerjaya, kata Saravanan

    PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati 66 syarikat menyalah guna tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Perkeso menggunakan kaedah siasatan forensik dalaman bagi mengesan salah laku berkenaan.

    “Sehingga kini, 45,379 syarikat sudah mendapat manfaat tuntutan insentif program itu yang juga sebahagian usaha untuk mengurangkan pengangguran.

    “Sehingga hari ini, lebih RM2 bilion sudah dibelanjakan. Namun, tidak dinafikan ada yang terlepas pandang dengan 66 syarikat dikenal pasti ambil kesempatan dan salah guna.

    “Perkeso membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan dan ideologi politik,” katanya ketika berucap pada Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 hari ini.

    Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.

  • Polis tahan lelaki duduk atas bumbung Vellfire

    Polis tahan lelaki duduk atas bumbung Vellfire

    LELAKI yang duduk di atas bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandu ketika bersiar-siar di pulau ini minggu lalu ditahan polis kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata suspek warga tempatan berusia 25 tahun itu ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di Langkawi, pada pukul 7 malam.

    “Siasatan awal mendapati, lelaki itu menetap di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor dan kumpulan rakannya adalah pelancong tempatan yang datang bercuti ke pulau ini.

    “Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, tular rakaman video dan beberapa gambar memaparkan seorang lelaki keluar melalui bumbung kenderaan sebelum duduk di atas MPV mewah berkenaan ketika bersiar di pulau ini.

  • Dua wanita asing dipenjara 24 bulan beri maklumat palsu ganti MyKad

    Dua wanita asing dipenjara 24 bulan beri maklumat palsu ganti MyKad

    MAHKAMAH Majistret Kota Kinabalu hari ini menjatuhkan hukuman 24 bulan penjara terhadap dua wanita warga asing selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan mengganti kad pengenalan yang hilang.

    Murada Rabung, 32, yang juga pemegang kad IMM13 membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles manakala Nor Hasna Paisal, 19, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun, lapor Sinar Harian.

    Murada disyaki memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan mengantikan kad pengenalan yang hilang atas nama Nazira binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu pada 21 Julai lalu.

    Sementara itu, Nor Hasna yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri disyaki telah memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan mengganti kad pengenalan atas nama Erah binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Kota Kinabalu, pada 22 Julai lalu.

    Kedua-duanya didakwa di bawah perkara 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah menetapkan hukuman bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap dan mereka akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) selepas selesai menjalani hukuman penjara.

    Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa, Mohd. Naser Mohd. Nadzeri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Polis 25 lelaki, rampas barang seludup hampir RM2 juta

    Polis 25 lelaki, rampas barang seludup hampir RM2 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan 25 lelaki termasuk enam warga asing kerana terlibat kegiatan penyeludupan diesel, minyak masak bersubsidi, arak dan rokok ditahan menerusi 14 serbuan Op Kontraban, di seluruh Johor sejak Rabu lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua mereka berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan pasukan khas yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap daerah.

    “PDRM turut dibantu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kementerian Perdagangan
    Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    “Hasil operasi pihaknya merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM2 juta.

    “Sejak Rabu lalu hingga 2 pagi tadi, pasukan khas kontraban melakukan 14 serbuan di hampir semua daerah termasuk di Mersing, Johor Bahru, Muar, Kota Tinggi dan Segamat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

    “Dalam serbuan itu, kita merampas 4,012 paket minyak masak; 158,380 liter diesel; 215 karton dan 476 rokok pelbagai jenama, serta 216 karton dan 50 botol arak pelbagai jenama,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah 16 lori termasuk sebuah lori tangki, sebuah kereta, dua van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) serta peralatan penyeludupan lain.

    Katanya, semakan rekod ke atas semua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau bagi kegiatan jenayah atau dadah.

    “Pemeriksaan ke atas suspek warga asing pula mendapati mereka menyalahgunakan dokumen perjalanan masing-masing.

    “Suspek warga asing sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959)63,” katanya.

    Kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, katanya.

    “Polis akan terus memastikan kegiatan penyeludupan minyak diesel dan petrol, minyak masak bersubsidi, rokok dan arak terus dibanteras.

    “Polis juga memberi amaran kepada mereka yang masih terbabit supaya menghentikan perbuatan itu, kerana kita tak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

  • Jenazah Muhammad Iman Aqmar belum boleh dituntut

    Jenazah Muhammad Iman Aqmar belum boleh dituntut

    JENAZAH Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang ditemukan dalam kenderaan di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, Sabtu lalu masih belum boleh dituntut warisnya.

    Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah Dzulkarnain, 21, memaklumkan demikian menerusi hantaran dalam media sosial.

    Menurut Izz Anisah, urusan pengebumian akan diberitahu selepas urusan di hospital selesai.

    Izz Anisah turut memohon orang ramai mendoakan supaya urusan tersebut dipercepat dan dipermudahkan.

    “Assalamualaikum, buat masa ini jenazah arwah abang saya masih belum boleh dituntut.

    “Insya-Allah, urusan pengebumian akan diberitahu kelak jika urusan di hospital selesai.

    “Doakan agar urusan kami dipercepatkan dan dipermudahkan oleh-Nya,” katanya dalam hantaran dalam Facebook, lapor Utusan TV.

    Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar pernah tular dalam media sosial tahun lalu selepas Izz Anisah memohon bantuan orang ramai mengesan abangnya selepas dikatakan hilang tanpa khabar.

    Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada pukul 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.

    Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga serta majikannya.

    Kelmarin, polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan yang dipercayai mayat seorang lelaki yang hilang sejak hampir 10 bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.

    Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.

    Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga mangsa.

    Rangka mayat itu kemudian dilaporkan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat manakala kenderaan ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.

  • Kenaikan kadar RMT terserah kepada Kementerian Kewangan

    Kenaikan kadar RMT terserah kepada Kementerian Kewangan

    INPUT dan cadangan kenaikan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2023.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, pelbagai aspek perlu diberi keutamaan oleh kementerian untuk dianalisis mengambil kira kenaikan kos bagi membuat pertimbangan sebelum ketetapan dibuat.

    Justeru, beliau berkata segala penelitian secara mendalam perlu dibuat supaya sama ada kenaikan kos untuk RMT boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

    “Kita perlu ingat bila bercakap tentang kewangan atau peruntukkan…kita berbincang dan cadangkan kepada Kementerian Kewangan. Tetapi yang paling penting setelah dianalisis, semua aspek perkara berkaitan, kita amat melihat perkara ini perlu diberi keutamaan.

    “Sekarang, kita sedang sediakan kertas untuk tujuan ini (kenaikan kos RMT) ini di peringkat akhir. Apa paling penting kita semua kena sedar yang kita memang beri perhatian tentang perkara ini.

    “Perkara ini kita sedang pertimbangkan dengan Kementerian Kewangan untuk dalam konteks Belanjawan 2023 dan kita sedang bincang untuk siapkan kertas dan dibawa ke Kabinet.

    “Banyak sebenarnya penambahbaikan, namun kita sedar cabaran di luar tentang kenaikan kos dan perkara ini kita ambil dalam pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program rintis Ekplorasi Alam Lestari di Zoo Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

    Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad (FGV), Mohd Nazrul Izam Mansor.

    Program rintis anjuran FGV dengan kerjasama Yayasan Didik Negeri (YDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) memfokuskan aktiviti mengumpul dana bagi memantapkan ekossitem pendidikan negara.

    Memberi contoh peruntukan susu dalam program RMT, Radzi berkata, kos untuk tujuan itu meningkat setiap tahun mengambil kira kekerapan pelaksanaannya.

    Jelasnya, pada tahun lepas, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk penyediaan susu dua hari seminggu dan untuk meningkatkannya kepada lima hari seminggu, kosnya meningkatkan kepada RM185 juta.

    “Berkaitan dengan perkara ini kena lihat konteks lebih besar. Bercakap mengenai makanan bukan hanya RMT. Justeru, apa pendekatan yang perlu diambil.

    “Kita kena teliti dengan terperinci. Penelitian mendalam memang kena ada supaya boleh dilaksanakan. Ramai kata kita tak ambil tahu. Bukan kita tak ambil tahu mengenai RMT tetapi sebenarnya telah, sedang dan akan kita laksanakan.

    “Berkaitan kos RMT yang terlalu rendah, ini pun kita telah, sedang dan akan terus bincang dengan Kementerian Kewangan bagi memastikan kita ambil kira semua aspek sebelum sebarang pertimbangan dibuat oleh Kementerian Kewangan,” jelasnya lapor Berita Harian.

    Mengenai pengusaha kantin yang enggan menyediakan menu RMT susulan terpaksa menanggung kenaikan kos barangan, Radzi berkata, meskipun pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung ada yang tidak berpuas hati, beliau menyarankan pihak berkenaan supaya membuat aduan kepada kementeriannya.

    Selepas itu, katanya, barulah kementerian boleh lihat bentuk pendekatan apakah yang sesuai bagi menangani isu yang timbul dalam kalangan pengusaha kantin sekolah.

    “Yang ini kita setakat ini tak dapat sebarang laporan (enggan menyertai program RMT). Kita akan tengok dulu berapa ramai tak boleh buat.

    Saya tak nak begitu begini. Apa pun boleh maklum kepada kementerian untuk kita lihat apakah pendekatan yang sesuai,” katanya.

  • 13 PATI ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

    13 PATI ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk ke negara ini melalui dua laluan di sempadan negara Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataannya berkata, kesemua PATI warga Myanmar dan Thailand itu ditahan di kawasan Bukit Kayu Hitam di bawah Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

    “Tangkapan pertama dilakukan ke atas tujuh orang PATI warga Myanmar pada jam 11.15 pagi.

    “Kesemua mereka dikesan anggota ketika melakukan rodaan di sempadan ternampak sekumpulan individu yang mencurigakan bergerak masuk dari arah pagar sempadan dan bersembunyi di kawasan semak dalam kebun getah.

    “Kesemua mereka ditahan terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan berusia antara 14 hingga 47 tahun,” katanya menurut laporan Astro Awani.

    Sementara tangkapan kedua sepasukan anggota daripada pasukan serang dan tangkap (Serkap) ternampak kelibat sekumpulan individu melintasi sempadan di kawasan ladang getah pada jam 5.18 petang.

    Seramai lima PATI warga Myanmar dan seorang warga Thailand berusia 18 hingga 38 tahun ditahan.

    Pemeriksaan lanjut ke atas lima lelaki dan seorang wanita ini tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

    Menerusi dua tangkapan itu pihak ATM turut merampas lima buah telefon bimbit, sebuah motosikal jenis Honda Wave 125, wang tunai dalam matawang Myanmar dan Thailand serta 13 beg pakaian dimana keseluruhan rampasan bernilai RM5,209.

    Kesemua PATI terbabit diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

  • Polis Johor semak status siasatan kes penipuan ‘Jho Low 2’

    Polis Johor semak status siasatan kes penipuan ‘Jho Low 2’

    POLIS Johor akan menyemak status siasatan berhubung kes penipuan pembelian hartanah berkait seorang ahli perniagaan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketika ini pihaknya belum dapat memberikan komen lebih lanjut sama ada lelaki berkenaan akan dibawa pulang ke negara ini untuk siasatan atau sebaliknya.

    “Kita (Polis Johor) hanya ada satu siasatan (kes) sahaja untuk dia, maka kita akan semak semula apa status siasatan berkenaan.

    “Kita juga akan melihat apakah tindakan lanjut yang akan diambil oleh pihak berkuasa Thailand,” katanya lapor Berita Harian.

    Terdahulu, media Thailand melaporkan pihak berkuasa negara itu menahan Teow Wooi Huat atau dikenali sebagai Teddy Teow, kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram hasil aktiviti perjudian dalam talian di selatan Thailand.

    Teddy Teow, 55, dilaporkan ditahan di ibu pejabat syarikatnya, MBI Group di Danok berhampiran sempadan daerah Sadao, awal pagi Jumaat lalu.

    Bernama kelmarin pula melaporkan, visa lelaki terbabit dibatalkan dan sedang menunggu untuk diusir keluar oleh pihak berkuasa Thailand.

    Penguasa Polis Sadao, Kolonel Bunthaeng Laocharoen dipetik berkata, Teddy Teow yang juga pengasas MBI Group International, sudah diserahkan kepada Polis Imigresen di Songkhla dan kemudian dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.

    Dalam pada itu, Bunthaeng menafikan laporan media bahawa Teddy Teow ditahan di wilayah selatan Songkhla pada Jumaat lalu atas tuduhan berhubung pengubahan wang haram yang mempunyai kaitan dengan perniagaan perjudian dalam talian di Danok, Sadao.

    Katanya, Teddy ada dalam senarai Notis Merah Interpol dan dipanggil bagi dimaklumkan visanya dibatalkan dan tidak akan didakwa di Thailand.

    Teddy Teow dianggap sebagai ‘Jho Low 2’, perancang utama penyelewengan wang berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pada 3 Januari lalu, bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media memberitahu polis sedang mengesan tiga perancang utama penipuan Macau Scam menerusi pembelian hartanah bernilai RM336 juta di Pulau Pinang.

    Beliau berkata, Teddy Teow berperanan sebagai pembeli yang berurusan dengan syarikat pemaju manakala dua anaknya Teow Ee Meng, 30, dan Teow Chee Chow, 32, pula adalah dua ‘proksi’ yang juga pengarah syarikat bagi Tuah Semenanjung Sdn Bhd dan MBI Properties Sdn Bhd.

    Ia susulan laporan siasatan awal diterima Ogos tahun lalu di Pekan Nanas, Pontian, dan Nusa Bestari, Iskandar Puteri, membawa kepada pembongkaran kegiatan sindiket itu, seterusnya tangkapan 12 individu tempatan yang juga pengarah syarikat berusia antara 29 hingga 68 tahun, pada 3 hingga 21 Disember lalu.

    Ayob dilaporkan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Johor menubuhkan satu pasukan khas menerusi Ops Pelican 2.0 bagi menjalankan siasatan secara intensif untuk mengesan aliran wang mangsa kepada sindiket Macau Scam terbabit.

    Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan wang hasil penipuan untuk membeli 100 unit kondominium mewah dan unit komersial bernilai RM336 juta di Georgetown, Pulau Pinang selain disalurkan untuk jual beli mata wang kripto.

    Siasatan lanjut mendedahkan sindiket berkenaan menerima wang berjumlah RM25 juta menerusi akaun keldai daripada 91 akaun bank berbeza, iaitu 18 akaun peribadi dan 73 akaun bank milik syarikat sejak Jun tahun lalu.

    Bagaimanapun, Teddy Teow dikatakan berjaya meloloskan diri ke Danok, Thailand manakala dua lagi anaknya dipercayai masih berada di dalam negara.

    Difahamkan, lelaki itu juga dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan kes penggubahan wang haram berjumlah RM336 juta (AS$83 juta) di Macau.

  • Nahas lima sekeluarga di Gerik: Polis akan ambil keterangan pemandu Hilux

    Nahas lima sekeluarga di Gerik: Polis akan ambil keterangan pemandu Hilux

    POLIS  akan merakam keterangan pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa yang mengorbankan lima sekeluarga pada Sabtu.

    Bagaimanapun, setakat ini, proses itu belum dapat dilakukan kerana pemandu berkenaan, seorang wanita berusia 53 tahun, masih dirawat di Hospital Jeli, Kelantan.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, wanita tersebut mengalami luka di dada dan paru-paru.

    “Buat masa ini masih lagi dirawat di Hospital Jeli untuk pemeriksaan lanjut dan kita belum dapat lagi menemuramah ataupun mengambil rakaman percakapan beliau.

    “Dalam masa terdekat kita akan mengambil rakaman percakapan itu apabila dia pulih seperti biasa ataupun selepas dia discaj dari Hospital Jeli.

    Dia masih lagi ditahan dan penumpang-penumpang dalam kereta itu kita sudah rakam percakapan mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

    Dalam kejadian pukul 3.45 petang Sabtu, lima sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza maut selepas bertembung dengan Toyota Hilux.

    Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang dalam perjalanan dari arah Gerik menuju Jeli, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

    Mangsa ialah Mohd. Rodhi Othman, 64 tahun, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 tahun, Siti Aishah Mohd. Rodhi, 32 tahun, Ahmad Khomaini Abu, 32 tahun, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6 tahun.

    Jenazah mereka selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Hj Abd Rashid, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, petang semalam, lapor Astro Awani.

  • Tawar gaji mahal, hidup mewah bekerja di Myanmar, UAE

    Tawar gaji mahal, hidup mewah bekerja di Myanmar, UAE

    SINDIKET menawarkan gaji yang lumayan serta kehidupan mewah antara taktik yang digunakan dua individu termasuk seorang warga Taiwan dalam memperdaya mangsa untuk bekerja sebagai operator ‘scammer’ dan judi dalam talian di Myanmar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar apabila kedua-dua suspek berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Setia Impian di Shah Alam pada Jumaat.

    “Kedua-dua suspek yang berumur 35 dan 45 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak awal Jun lalu.

    “Siasatan dijalankan mendapati, suspek warga Taiwan berperanan mencari individu-individu di negara ini untuk bekerja sebagai operator dalam talian melibatkan ‘scammer’ dan judi dalam talian dengan menerima upah bayaran sebanyak AS$1,000 bagi setiap seorang.

    “Suspek warga tempatan pula berperanan sebagai pemandu bagi menghantar mangsa ke lapangan terbang mengikut jadual penerbangan yang ditetapkan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

    Katanya, serbuan dijalankan berjaya merampas pelbagai peralatan serta dokumen dipercayai digunakan untuk penghantaran mangsa.

    “Antara dirampas ialah enam unit telefon bimbit, 14 pasport Malaysia atas nama individu yang berlainan, 14 keping borang pemeriksaan Covid-19 atas nama individu yang berlainan.

    “Ini termasuk 19 keping borang ‘Visa Approval to Myanmar’ atas nama individu yang berlainan, tujuh keping borang Visa Negara Dubai atas nama individu yang berlainan, lima pasport mempunyai borang pemeriksaan Covid-19 dan visa ke Myanmar.

    “Selain itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipercayai disewa turut dirampas dalam serbuan dijalankan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurutnya, siasatan masih dijalankan melibatkan jumlah mangsa yang terlibat dalam kegiatan ini.

    “Berdasarkan kepada pasport yang ditemukan, mereka yang menjadi mangsa dipercayai masih belum bertolak ke negara yang dinyatakan.

    “Polis juga masih belum menerima sebarang laporan daripada ahli keluarga mangsa yang terlibat setakat ini,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan mana-mana pihak atau individu yang cuba menawarkan gaji yang lumayan untuk bekerja di luar negara,” katanya.