Author: Admin

  • Anwar paling layak jadi PM – Rafizi

    Anwar paling layak jadi PM – Rafizi

    TIDAK dinafikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon Perdana Menteri paling layak dalam gabungan itu untuk menyandang jawatan tersebut.

    Memetik laporan The Malaysian Insight, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, tidak ada tokoh paling sesuai untuk jawatan tertinggi itu selain Anwar.

    “Tidak timbul persoalan daripada PH atau PKR bahawa calon perdana menteri kali ini ialah Anwar.

    “Kami telah melalui hujah bahawa Anwar harus diganti, tetapi kami masih belum mendapat ‘tokoh’ (tokoh) daripada PH yang boleh meraih sokongan besar daripada rakyat,” katanya memetik laporan itu.

    Rafizi berkata, adalah sia-sia untuk membincangkan calon alternatif apabila gabungan itu tidak mempunyai pesaing yang lebih baik.

    “Kalau orang nak kata beliau tiada pengalaman, beliau pernah berkhidmat dengan kerajaan terdahulu selama 16 tahun,” kata Rafizi.

    Mengenai perkara berkaitan, Rafizi berkata senarai calon bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan dimuktamadkan hujung bulan depan bersama manifesto parti itu.

    Dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata bahawa PRU-15 sudah hampir.

  • Gesa SPRM segerakan pendakwaan terhadap projek LCS

    Gesa SPRM segerakan pendakwaan terhadap projek LCS

    AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segera mengambil tindakan terhadap semua penemuan dalam projek pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Katanya, ini susulan wujud pelbagai isu mengenai projek berkenaan dan tindakan itu perlu diambil bagi membolehkan pendakwaan dibuat secepat mungkin terhadap pihak yang terlibat.

    “Gesaan ini merupakan antara beberapa syor diberikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) susulan kajian daya maju yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan kapal tersebut gagal mengesan masalah kewangan syarikat terbabit.

    “Antara syor adalah perubahan pemilihan reka bentuk daripada jenis SIGMA kepada GOWIND yang harus dijadikan pengajaran pada masa depan dan perolehan peralatan kelengkapan pertahanan negara harus mengutamakan keperluan ‘end user’ iaitu TLDM.

    “Selain itu, segala projek dan proses perolehan Kementerian Pertahanan harus selari dengan Kertas Putih Pertahanan 2020-2030.

    “Kementerian juga perlu memastikan perancangan perolehan ketenteraan yang substantif harus dibuat pembentangan dan perancangan terbaik,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Twitternya pada malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Nurul Izzah yang juga anggota PAC berkata, isu membabitkan projek bernilai tinggi ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak terutamanya SPRM untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil kepada pihak terlibat.

    “SPRM perlu segera mengambil tindakan ke atas segala penemuan laporan PAC, laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta laporan pengauditan forensik ini.

    “Kita mahu supaya pendakwaan disegerakan,” katanya.

    Pada Khamis, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dilaporkan berkata, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat BNS mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

    Beliau berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendahaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

    Perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.

  • Pelajar parah dan tidak sedarkan diri selepas langgar gajah

    Pelajar parah dan tidak sedarkan diri selepas langgar gajah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    (KEMAS KINI) SEORANG remaja cedera selepas motosikal ditunggangi terlanggar seekor gajah sedang melintas jalan di Kilometer 84, Jalan Kota Tinggi-Kluang, pukul 10.30 malam tadi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM 110 dari arah Kota Tinggi ke Bandar Kluang.

    “Mangsa berusia 17 tahun itu telah terlanggar seekor gajah ekoran keadaan jalan yang gelap.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera di muka dan luka di badan serta masih menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, ibu mangsa, Mislawati Paiman, 46, berkata, anaknya, Muhammad Danish Saedin, 17, yang menunggang motosikal bersendirian melanggar seekor gajah dalam keadaan gelap sebelum dia jatuh dan motosikalnya tercampak dalam parit.

    Katanya, kejadian itu dimaklumkan rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu.

    Mislawati berkata, difahamkan kemalangan tersebut berlaku semasa anaknya itu dalam perjananan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Lambak.

    “Sebelum kejadian anak saya dikatakan mengisi minyak motosikal di Taman Seri Impian lalu bertolak pulang ke rumah sebelum melanggar gajah berkenaan semasa dalam perjalanan.

    “Saya mendapat tahu berita kemalangan berkenaan daripada rakan-rakan anak yang bergegas mencari saya di rumah.

    “Memang terkejut dan kami sekeluarga bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang selepas itu.

    “Difahamkan saksi kejadian mengatakan anak saya ditemui masih sedar selepas pelanggaran itu,” katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya, doktor memaklumkan terdapat pendarahan dalam kepala anaknya itu dan ketika ini sedang ditidurkan serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    Dia berkata, Muhammad Danish kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

    “Saya berharap pihak berkuasa memandang serius isu kehadiran gajah di kawasan berdekatan perumahan penduduk di daerah ini akhir-akhir ini.

    “Saya mohon pihak berkuasa supaya memasang lampu jalan di kawasan berkenaan kerana gelap pada waktu malam.
    Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya.

  • PRU-15: Gerakan Tanah Air jangka bertanding 120 kerusi

    PRU-15: Gerakan Tanah Air jangka bertanding 120 kerusi

    GERAKAN Tanah Air dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Perkara itu dinyatakan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan gabungan itu hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani, bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, beliau yakin mendapat sokongan daripada rakyat terutama orang Melayu yang menolak rasuah serta penyelewengan.

    “Kita nak letak calon sebanyak 120 kerusi, ada kerusi yang sudah tentu ditandingi UMNO.

    “Kita berpendapat masa sudah tiba untuk orang Melayu kenal UMNO sekarang ini, kerana UMNO sekarang ini nama sahaja UMNO tapi prinsip perjuangannya ialah duit,” katanya.

    Dr Mahathir mengulas lanjut, gerakan itu berpotensi untuk menang dalam PRU-15 sekiranya 65 peratus pengundi yang tidak menyokong kerajaan memihak kepada mereka.

    “Setakat kita tahu UMNO jadi kerajaan kerana sokongan 35 peratus sahaja, ada 65 peratus tidak sokong kerajaan, mereka ini tidak mengundi sama sekali, kerana menganggap politik ini bosan dan tidak mendatangkan apa-apa faedah.

    “Kita yakin dengan penerangan kita lakukan menerusi gerakan ini, kita yakin mereka akan beri sokongan dengan kita bersama empat buah parti dan beratus NGO yang sudah menyatakan sokongan mereka kepada kita.

    “Serta jumlah orang ramai prihatin tidak senang amalan rasuah kerajaan sekarang, kita yakin kita boleh dapat kemenangan,” katanya.

  • Tun M umum pelancaran Gerakan Tanah Air

    Tun M umum pelancaran Gerakan Tanah Air

    BEKAS perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan gagasan baharu berasaskan Melayu dan Islam serta badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Tanah Air.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, gerakan itu akan memperjuangkan kaum Melayu untuk mempertahan Malaysia.

    “Kita pilih nama sesuai gerakan iaitu dipersetujui Gerakan Tanah Air. Ini gerakan rakyat untuk tentukan nasib mereka lebih baik dengan tukar kerajaan yang ada kepentingan diri.

    “Kita akan berjuang untuk rakyat dan agama, itu tujuan kita. Nama ini dah dipersetujui dalam mesyuarat,” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan dalam talian.

    Mahathir selaku pengerusi gerakan itu berkata, gabungan berkenaan terdiri daripada parti Melayu, NGO dan orang perseorangan

  • Kesalahan menghendap boleh dipenjara tiga tahun, denda

    Kesalahan menghendap boleh dipenjara tiga tahun, denda

    INDIVIDU yang didapati bersalah melakukan perbuatan menghendap boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Memetik laporan Berita Harian, peruntukan itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 (Akta 574), yang bertujuan menjadikan menghendap sebagai satu kesalahan, selain memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkenaan.

    RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermiyati Samsudin, di Dewan Rakyat, hari ini.

    Menurut naskah biru yang diedarkan di Parlimen, kesalahan menghendap itu merangkumi perbuatan mengekori; berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dalam sebarang cara; berlegar-legar di kediaman atau tempat kerja seseorang dan memberi atau menghantar apa-apa sahaja kepada seseorang dalam sebarang cara.

    “Sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, mengetahui atau sepatutnya mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, maka ia sudah sudah melakukan kesalahan menghendap.

    “Mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan menghendap akan dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya,” menurut naskah biru itu.

    Di bawah seksyen 507A, berulang kali itu merujuk kepada sekurang-kurangnya dua kali perbuatan.

    Fasal 1 RUU berkenaan juga mengandungi tajuk ringkas dan bertujuan memberi Menteri kuasa untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.

    Mas Ermiyati turut membentangkan bacaan kali pertama RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2022 (Akta 593), yang bertujuan memasukkan bab baharu XA ke dalam Akta 593.

    Ia bagi memberi mahkamah kuasa, atas permohonan, untuk mengeluarkan perintah perlindungan terhadap individu sedang disiasat atau dituduh dengan kesalahan menghendap di bawah seksyen baharu 507A Kanun Keseksaan.

    Bacan kali kedua kedua-dua RUU itu akan dibentangkan pada persidangan akan datang.

  • Untitled post 43647

    Zahid Hamidi dah tak sabar nak PRU.

    Tu kuasa Ismail Sabri, Zahid selesailah dulu kes dia

  • (VIDEO) Hutang 1MDB…Kenapa kenyataan Zafrul berubah ?

    (VIDEO) Hutang 1MDB…Kenapa kenyataan Zafrul berubah ?

    Oleh MAHATHIR MOHD RAIS

    KENYATAAN Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat seolah-olah memberi gambaran yang beliau tersepit antara memilih sama ada bertugas mengikut buku atau mengikut perintah tak bertulis.

    Laporan terbaharu daripada beliau ini menunjukkan beliau mahu bermain persepsi dengan membuat kenyataan bahawa hutang 1MDB tidak menjejaskan kewangan negara.

    Rakyat Malaysia faham dan sedar bahawa ini adalah cubaan untuk membersihkan nama individu yang bertanggungjawab di dalam isu hutang 1MDB, tetapi rakyat Malaysia juga ingin tahu apakah langkah-langkah, cadangan mahupun pandangan yang telah diketengahkan oleh beliau selaku Menteri Kewangan untuk menyelesaikan isu hutang ini.

    Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu adalah berdasarkan portfolio selaku ahli teknokrat dan profesional dari sektor perbankan bagi mengelakkan Kementerian Kewangan dimanipulasi daripada tujuan politik dan tugas hakiki beliau adalah menguruskan dan menyelesaikan masalah kewangan negara yang sedang dihadapi .

    Yang dipertanggungjawabkan kepada beliau ini adalah melibatkan duit rakyat, bukan syarikat persendirian milik Barisan Nasional.
Sekiranya hutang negara tidak dibayar dengan baik, negara berpotensi untuk diisytiharkan Muflis. Dalam masa yang sama ianya bakal memberi kesan negatif kepada pelabur luar untuk melabur.

    Hal ini akan menjadikan negara berhutang dengan Bank Dunia di mana Tabung Dana kerajaan akan merosot. Dana yang dimaksudkan bukan sahaja dana pembangunan malah dana operasi awam juga akan terhakis. Ekonomi bakal menjunam dan kesannya adalah malapetaka bagi rakyat yang harus menanggung beban.

    Negara telah mewarisi legasi hutang yang begitu serius. Ini antara lain mengakibatkan gaji rendah yang gagal menyaingi inflasi, harga kereta  mahal, kadar kemiskinan tinggi, ketidaksamaan pendapatan, kenaikan kadar tol lebuh raya yang kerap, penurunan standard pendidikan, pengangkutan awam yang teruk, serta kapitalisme kroni berleluasa.

    Kini, kita dapat lihat negara kita sedang berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil pasca pandemik Covid-19, ditambah pulak dengan ketidakstabilan politik.

    Belum pun selesai kes 1MDB, Tengku Zafrul yang dilihat tidak masuk campur sebelum ini, kini mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlihatkan agenda tersembunyi.

    Pada bulan Mac 2022, Tengku Zafrul sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa hutang 1MDB yang mula dibayar pada ketika itu adalah dengan menggunakan wang rakyat. Walau bagaimanapun kenyataan yang dikeluarkan semalam bagi menjawab soalan YB Wong Kah Poh telah beralih arah 360 darjah.

    Perkara ini sangat membimbangkan dan amat menggelirukan rakyat. Sekiranya hutang 1MDB tidak termasuk dalam komitmen hutang kerajaan, mengapakah hutang tersebut dibayar menggunakan wang rakyat?

    *Mahathir Mohd Rais adalah Ketua Bahagian Bersatu Segambut. Ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Kenapa salahkan PN…Shahril ni faham tak pasal MN?

    Kenapa salahkan PN…Shahril ni faham tak pasal MN?

    SALAH seorang pemimpin muda yang TT hormat ialah Shahril Hamdan. TT tengok dia bijak terutama dalam bab ekonomi, tetapi bila dalam bab politik, TT rasa Shahril ni kena banyak belajar lagi. Shahril kena tahu kalau nak buat komen satu-satu isu buatla ‘homework’ – orang putih kata- supaya kita tak dianggap lari daripada tajuk, paling kasihan nampak tak cerdik.

    Macam itulah juga bila Shahril komen pasal Muafakat Nasional (MN), Shahril kata UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu kerana parti pimpinan Muhyiddin Yassin dilihat tak ikhlas untuk menjayakan usaha tersebut. Ketua Penerangan UMNO yang ganti Ahmad Maslan itu berkata, penubuhan gabungan itu tergendala disebabkan Perikatan Nasional.

    ‘’Surat jemputan untuk Bersatu menyertai BN yang ditandatangan UMNO dan Pas, kita hantar pada 13 Ogos 2020. Surat sudah dihantar, tetapi 16 hari selepas itu, PN tiba-tiba melancarkan logo dan mereka.

    ”Jadi jangan salahkan UMNO kononnya melengahkan kemasukan Bersatu dalam MN sedangkan kalau sudah buat PN nak menggantikan MN sudah tak relevan soal surat jemputan kepada Bersatu itu.’’

    Ni lah masalah pemimpin UMNO. Mereka cukup takut dengan bayang-bayang sendiri. Dulu bila Bersatu tubuh, mereka kata Bersatu nak ganti UMNO, bila PN tubuh, mereka kata nak ganti MN. Shahril ni faham ke tidak asas penubuhan MN?

    Adakah dalam piagam yang ditandatangani Presiden UMNO kesayangan Shahril, Zahid Hamidi dengan Presiden Pas, Hadi Awang ada sebut apa-apa yang kata MN tu gerakan politik? Ada tak dalam tu kata, mana-mana parti politik yang bergabung dalam MN tidak boleh sertai gabungan politik lain.

    Cuma Shahril baca isi kandungan piagam tu betul-betul. Tak apa mungkin Shahril teruja sangat nak ‘bantai’ Muhyiddin…ni TT tunjukkan apa yang terkandung dalam piagam tersebut supaya Shahril faham keadaan sebenar;

    Piagam ini asalnya adalah demi mendamaikan atau menamatkan permusuhan politik antara UMNO dan Pas yang sudah berlaku berpuluh-puluh tahun.Paling penting ia bertujuan nak satukan orang Melayu. Jadi tak kira sapa pun orang Melayu, mereka boleh berada dalam MN.

    Bila Bersatu ditubuhkan maka Bersatupun dijemput sama tetapi bukan atas dasar politik sebaliknya demi penyatuan ummah.

    Tetapi masalahnya MN rosak disebabkan UMNO terlalu mahu berpolitik. Sebenarnya TT dah dapat rasa keanehan bila UMNO jemput Bersatu berada dalam MN. Sebabnya pada masa tu TT tahu bagaimana sikap segelintir pemimpin UMNO terhadap Muhyididin.

    Bagaimanapun sebagai parti Melayu, Bersatu terima dengan terbuka pelawaan, tapi tiba-tiba semua diam.  Alih-alih Shahril salahkan Bersatu.

    TT bukan nak masuk belah mana-mana pihak, cuma TT kasihan kat Shahril sebab dia seolah-olah tak kaji dulu apa berlaku sebelum buat kenyataan. Muhyiddin cakap betul lah, lepas Bersatu setuju ‘tiada lagi apa-apa respons daripada MN’, jadi kat mananya timbul isu ikhlas tak ikhlas macam Shahril dok ‘merepek’ tu?

    Kenapa pula kaitkan penubuhan PN dengan MN? PN adalah gabungan politik,MN tu tak daftar pun sebagai gabungan politik, nak daftarpun geng-geng UMNO tak benarkan…macam-macam alasan mereka beri. Lagipun MN bukannya gabungan politik parti-parti Melayu, Shahril faham ke tak ni?

    Kini isu MN tu dah berlalu, Muhyiddin hanya ingatkan semula apa sahaja yang berlaku,  oleh itu Shahril tak perlu ‘nak melatah’ tu pun lepas beberapa hari Muhyiddin cakap baru nak ulas. Pasal masa depan MN, nanti TT tulis dalam kemudiannya.

    Cuba Shahril bertanya kepada pemimpin-pemimpin lebih senior dalam UMNO adakah parti itu benar-benar mahukan Bersatu berada dalam MN atau tidak? Dan apa misi UMNO menubuhkan MN dengan sebenar-benarnya.  

    Kalau Shahril tak berani nak tanya, TT nak nasihatkan Shahril, dalam politik ni bijak sahaja tak mencukupi, pandai pun kena ada juga supaya kita tak dilihat tak cerdik bila mengulas sesuatu isu.

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • 4 ADUN Bersatu Pulau Pinang rujuk peguam isu lompat parti

    4 ADUN Bersatu Pulau Pinang rujuk peguam isu lompat parti

    EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Besatu) Pulau Pinang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes lompat parti melibatkan mereka, namun berpendirian tidak bersetuju dengannya.

    Empat ADUN Bersatu berkenaan iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang) membuat pendirian itu menerusi kenyataan bersama hari ini.

    Menurut mereka, adalah penting untuk orang ramai mengetahui mereka mencabar Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang kerana percaya seperti yang berlaku hari ini, peruntukan itu terdedah kepada penyalahgunaan.

    Malah jelas mereka, peruntukan itu juga telah digunakan secara salah terhadap mereka.

    “Kami tidak pernah berpaling tadah atau menukar kesetiaan parti kami. Dua daripada kami telah dipilih di atas platform Bersatu dan kami kekal bersama Bersatu.

    “Dua daripada kami pula telah dipecat daripada bekas parti kami kerana membuat kenyataan yang dianggap mengkritik kepimpinan parti,” demikian menurut kenyataan bersama itu.

    Menurut mereka, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah menyatakan kerajaan negeri berhasrat untuk memastikan perlembagaan negeri selaras dengan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

    Kata mereka, jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar tulus dan dalam semangat dwipartisan, kerajaan negeri akan menarik balik usul untuk menyingkirkan mereka sebagai ADUN.

    “Adalah jelas di bawah pindaan yang dicadangkan, kami tidak akan kehilangan kelayakan,” katanya.

    Tambahnya, mereka difahamkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut adalah berdasarkan alasan yang sempit.

    Sehubungan itu katanya, mereka telah mengarahkan peguam untuk mengkaji semula perkara tersebut bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas sebagai ADUN yang telah dipilih secara sah.

    “Kami tidak percaya parti politik boleh mempunyai kuasa mutlak mengawal dan menentukan keputusan seseorang wakil rakyat.

    “Sebagai wakil rakyat yang terpilih, kami mewakili semua rakyat di kawasan kami sama ada mereka mengundi parti kami atau tidak dan kami akan terus membuat keputusan berdasarkan apa yang kami rasakan adalah dalam kepentingan dan keperluan terbaik pengundi kawasan kami dan bukan hanya atas tuntutan parti,” katanya.

    Semalam, Mahkamah Persekutuan Malaysia memutuskan peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

    Sehubungan itu, Kerajaan Pulau Pinang akan membincangkan nasib empat wakil rakyat berkenaan yang tidak lagi menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang esok.