Author: Admin

  • ‘Depa’ kata Parlimen bukan kopitiam, pasar malam tapi…

    ‘Depa’ kata Parlimen bukan kopitiam, pasar malam tapi…

    TOK Aba dah agak sejak awai lagi memang bila sidang Parlimen saja mesti ‘huru-hara’.  Orang kampung macam Tok Aba yang dok depan TV melopong tengok perangai ahli-ahli Parlimen.

    Masuk saja dewan bertengkaq tak habis-habis. Tok Aba dok kira hari pertama saja tak kurang sejam 45 minit masa habis macam tu saja tengok depa berbalah. Paling Tok Aba tak boleh terima time Tok Din berucap, masa PM kita minta bertafakur baca Al-Fatihah untuk disedekah kepada mangsa Covid-19, puak-puak pembangkang terpekik terlolong, langsung tak dak rasa hormat.

    Tok Aba setuju bila Tok Mat Hasan kata puak-puak terutama sorang dua ahli Parlimen DAP biadab. Patutnya diam la sat, hormati la orang nak baca Al-Fatihah, nak tak terjerit-jerit macam ‘kera kena belacan’, pasai apa. Sepatutnya apapun masalah tak boleh ka cakap elok-elok.

    Kalau tengok perangai sesetengah ahli Parlimen kita, depa baik sikit saja daripada ahli-ahli Parlimen kat Taiwan yang setiap kali bersidang sampai bertumbuk-tumbuk. Tok Aba faham masing-masing ada isu, masing-masing ada dendam politik tapi cubala belajaq hormat sikit terutamanya kat Speaker, kat PM.

    Kasihan Tok Aba tengok depa dua orang, puak-puak pembangkang ‘bantai’ depa macam tak ingat dunia, macam langsung tak ada rasa hormat. Tok Aba tau la masing-masing nak ‘lepas geram’ sebab dah enam bulan tak mai Dewan Rakyat tapi jagalah adab sikit. Tu termasuklah budak Saddiq yang nampak  ‘garang tak tentu hala’ serang PM, macam la dia baguih sangat.

    Yang syok ada ahli Parlimen punyala pandai cakap, bila kata Parlimen bukan pasar malam atau kopitiam, tetapi perangai depa tak mau tengok, depa yang buat Parlimen jadi macam tu. Di pasar malam tak dak orang nak terjerit-jerit macam sesetengah ahli Parlimen kecuali depa nak juai barang, di kopitiam kalau ada orang menjeritpun…tu yang tukang ambil order.

    Tok Aba nak bagi tau kalau tengok cara sesetengah ahli Parlimen cakap macam-macam kat Speaker dan PM, rasanya orang kat pasar malam atau kopitiam pun tak buat macam tu.

    Tok Aba percaya ramai yang sedih, marah bila tengok perangai ahli Parlimen kita. Kita la ni tengah dok ‘perang’, depa semua harapan rakyat untuk sama-sama lawan Covid. Sidang Parlimen tu dibuat, nak bagi peluang semua ahli Parlimen bagi pandangan dan cadangan, bukan masuk-masuk saja dewan terus ‘terpekik terlolong’.

    Tok Aba faham ada isu yang mahu diketengahkan contohnya pasai Darurat, tapi bagi la peluang kerajaan buat penjelasan, lepas tu persoal la apa yang nak persoal, bukannya masa PM atau menteri dok cakap nak ganggu.

    Sebenaqnya Tok Aba rasa semua tu berlaku sebab ada segelintir ahli Parlimen nak tunjuk kerajaan tak dak majoriti, sebab tu depa buat macam tu, minta undi dan macam-macam. Dah berbuih Speaker dok bagi tau tatacara sidang khas, Tok Aba tau depa faham saja buat-buat tak faham.Macam mana pun Tok Aba lega hari kedua dan ketiga nampak tenang sikit, tak dak la macam hari pertama.

    Jadi Tok Aba nak nasihat ahli-ahli Parlimen jagalah perangai sikit, Tok Aba hormat depa, Tok Aba tau masing-masing nak ketengahkan isu tapi fahamlah sikit, kena ada tolak ansur sebab la ni musuh kita bersama adalah Covid-19.

    Macam-macam varian tengah dok ‘mengamuk’, jadi macam PM kata, kena ada solidariti. Kita kena bersatu, lupa sat soal politik. Negara kita tengah ada masalah, tak kan nak tambah lagi dengan masalah politik. Bawala bersabaq sat.

    Nanti bila Covid dah reda, rakyat pun dah boleh hidup macam biasa, oklah kalau nak berebut kuasa ka, apa ka. Kalau la ni dok kacau kerajaan bila masa kita nak boleh selesai masalah Covid ni. Bagilah cadangan kalau betui-betui ikhlas nak berjuang untuk rakyat.

    Lepas Covid ‘settle’, Tok Aba rasa cara paling baik buat pilihan raya. Biaq rakyat pilih sapa depa nak. Tapi la ni tak sesuai sebab kita dok lawan dengan Covid. Lagipun buang masa saja nak tukaq kerajaan, nak tukaq PM waktu la ni.

    Lagipun PM dan kerajaan bukan dok diam tak buat apa-apa nak selesai masalah Covid, dah macam-macam usaha depa buat, dah macam-macam bantuan kerajaan bagi kat rakyat, cuma virus tu tengah dok ‘mengamuk’ bukan kat Malaysia saja tapi seluruh dunia.  Tok sah la asyik dok puji negara orang, macam la kerajaan kita tak buat apa-apa.

    Jadi lebih baik ahli-ahli Parlimen bekerjasama, nak tukaq tempat duduk kat, nak tukaq apa ka..boleh saja, yang penting sama-sama lawan Covid. Tok sah dok cakap soal majoriti ka, minoriti ka, nak dok atas titi ka, semua tu tak penting buat masa ni.

    Yang penting la ni kita kena bersatu, macam ada sorang ahli Parlimen pembangkang tu cakap kelmarin, buat moratorium politik. Walaupun Tok Aba tak setuju sangat dia cakap pasai PM, tapi sekurang-kurangnya dia ada niat nak minta semua ahli Parlimen bersatu selesaikan masalah Covid.

    Kalau betui-betui nak selesai benda tu, tok sah la tolak bila PM jemput untuk masuk dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN). Tak guna dok pung pang pung pang kat luaq, cakap kat kerajaan macam-macam, bila ‘offer’ suruh masuk MPN macam-macam alasan.

    Jadi Tok Aba harap sangat la, sebagai orang kampung macam Tok Aba ni nak tengok sidang Dewan Rakyat jadi tempat selesai masalah negara bukan nak tambah masalah. Ada lagi dua hari persidangan, harap tak dak lagi perangai pelik-pelik ahli Parlimen yang rakyat kena tengok.

  • Mendamaikan ummah melalui konsep pengorbanan

    Mendamaikan ummah melalui konsep pengorbanan

    Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

    KITA masih dalam bulan Zulhijjah. Bulan yang mengagungkan sifat pengorbanan keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s, yang sanggup berkorban jiwa dan raga atas ketaatan mereka ke hadrat Allah SWT. Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar masing-masing mempamerkan pengorbanan luar biasa, dan terus kita muliakan sehingga ke hari ini.

    Allah SWT berfirman di dalam al-Quran maksudnya:

    Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.”

    (an-Nisa’: 125)

    Sifat pengorbanan kerana Allah SWT ini kekal mengalir dalam tubuh badan setiap Muslim dan sewajarnya dibuktikan melalui akhlak dan perlakuan kita masing-masing dalam apa jua aktiviti kehidupan. Jika Allah SWT membalas pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim dengan meningkatkan martabatnya menjadi insan kesayangan Allah SWT, tidak mustahil pengorbanan kita juga akan dicurahkan dengan sebaik-baik balasan oleh-Nya.

    Yang penting sebagaimana keluarga Ibrahim A.S, ketaatan pada Allah SWT perlulah diberikan secara mutlak, dan dipikulnya segala perintah dan tanggungjawab dengan penuh cekal dan sabar, tidak sesekali berputus asa apa lagi lari dan keluar mencari jalan mudah.

    Dalam menghadapi pandemik Covid-19 umpamanya, kita diarahkan mengorbankan kebebasan pergerakan, kebebasan beribadat, ada yang terpaksa berkorban sumber pendapatan, terpisah dengan keluarga dan pelbagai dugaan lain kecil mahupun besar semata-mata kerana kita mahu mengawal dan memutuskan rantaian pandemik ini.

    Mudah-mudahan berkat pengorbanan kita semua, dan dengan meningkatnya bilangan kadar vaksinasi di kalangan rakyat, wujud imuniti kelompok dalam waktu terdekat, dan kehidupan kita dapat kembali normal. Ia boleh berlaku.

    Dan dalam menghadapi kemelut politik di tanah air juga, sewajarnya semua pihak khasnya kepimpinan politik, beriltizam menjiwai sifar pengorbanan keluarga Ibrahim A.S, demi membina sebuah negara bangsa yang bermaruah dan dihormati dengan mendaulatkan agama dan mempertahankan hak dan kepentingan umat Melayu dan rakyat Malaysia secara amnya.

    Negara ini perlukan keamanan dan kestabilan, umat Melayu Islam serta rakyat Malaysia amnya mahukan jaminan yang kepimpinan kerajaan mampu memimpin mereka ke arah kesejahteraan yang dinanti-nantikan. Biar apabila terkawal pandemik ini, negara mampu bangkit kembali sebagaimana sebelum ini, rakyat terbela dan tiada lagi kebimbangan.

    Parti-parti Melayu Islam terbesar dalam negara khasnya yang membentuk Kerajaan Persekutuan hari ini bertanggungjawab memastikan perkara ini dapat dicapai demi memberikan keyakinan kepada rakyat. Kerana itu sifat sanggup berkorban demi kepentingan yang lebih besar, demi nasib dan masa depan rakyat dan negara wajib didahulukan.

    Cukup-cukuplah kita berbalah dan berpecah sesama kita, bertelagah dan bercakaran sedangkan agama menuntut kita bersatu-padu dan tidak bercerai-berai yang sudah pasti bakal membawa natijah yang buruk buat agama dan bangsa sebagaimana terbukti pasca PRU14 dahulu.

    Inilah masa dan ketikanya untuk masing-masing kepimpinan berlapang dada, berjiwa besar dan mula menggerakkan langkah-langkah perdamaian, yang sudah pasti memerlukan pengorbanan yang besar, yang kita mahukan adalah jajaran politik perpaduan ummah itu diperkasakan, kalau perlu masing-masing berkorban dan bertolak-ansur, maka lakukanlah ia, kerana berkorban itu bukannya sesuatu yang asing pun buat kita sebagaimana ditunjukkan oleh junjungan kita Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya.

    Langkah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia, adalah pengorbanan besar, langkah positif ke arah memperkasakan jajaran politik perpaduan ummah.

    Ia satu pengiktirafan besar buat UMNO yang sebelum ini dalam PRU-14 telah tewas pada PH. Muhyiddin boleh sahaja melantik seseorang dari partinya sendiri, dan sudah pasti mengeruhkan keadaan tetapi saya yakin langkah ini diambil kerana mahukan UMNO kekal dalam kerajaan dan sanggup terus bersama demi kepentingan negara dan ummah.

    Kesediaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO pula dalam menerima pelantikan Ismail Sabri itu juga dilihat sebagai pengorbanan besar. Dalam kalut pihak musuh khususnya mahu melihat umat Melayu Islam berpecah belah, UMNO keluar daripada kerajaan dan kerajaan ini roboh, tiba-tiba Presiden UMNO mengalu-alukan pelantikan Naib Presiden parti itu sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

    Saya cukup yakin bukan sahaja ahli dan penyokong UMNO malah ramai umat Melayu Islam khasnya menarik nafas lega melihatkan perkembangan ini, apa sahaja yang membawa kepada memperkasa jajaran politik perpaduan ummah pasti disokong dan diterima baik rakyat.

    Dan terbaru langkah bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak pula mengunjungi Timbalan Perdana Menteri yang baru di pejabatnya di Putrajaya terus melegakan rakyat. Kehadiran Najib, bekas Perdana Menteri dan satu-satu tokoh paling popular dalam UMNO dan dalam kalangan rakyat hari ini memberikan lampu hijau kepada politik baru yang diterokai UMNO.

    Jika pengorbanan demi pengorbanan ini dapat ditunjukkan oleh saf kepimpinan politik tanah air khasnya dari kalangan pimpinan parti-parti Melayu Islam terbesar, sudah pasti kita bakal saksikan politik negara yang lebih stabil dan masa depan negara yang lebih terjamin.

    Biarkan musuh yang melukut di tepi gantang terus menggigit jari, biarkan mereka yang mementingkan agenda peribadi, kedudukan anak isteri dan kaum keluarga terus bersekongkol dengan musuh perpaduan ummah dan kekal tersisih dari arus perdana politik negara. Biarkan si Mat Jenin yang tak sabar mahu menjadi Perdana Menteri sejak puluhan tahun lalu terus berangan-angan kosong.

    Pas selaku parti yang berteraskan Islam, yang lebih memahami konsep pengorbanan dan politik perpaduan ummah sewajarnya mengambil peranan pendamai, mendamaikan semua pihak yang berkepentingan dalam kerajaan hari ini, agar dapat dibina suatu permuafakatan yang lebih kukuh dengan meletakkan akidah sebagai tunjang dan penyatuan ummah sebagai jajaran politik baru.

    Harapan dan cita-cita besar ummah jangan digagalkan lantaran kecewa dan berputus asa. Langkah-langkah positif menjelang dan sewaktu Zulhijjah ini diharapkan jangan terhenti tetapi diteruskan, perjuangan yang besar menuntut pengorbanan yang besar, sesungguhnya perjuangan mendukung dan membina kekuatan politik perpaduan ummah ini adalah perjuangan yang sangat besar dan semua pihak perlu sedia berkorban.

    *Artikel ini dipetik dari harakahdaily.net

  • MCW mahu Jabatan Audit Negara lakukan auditan pembelian 16 dron PDRM

    MCW mahu Jabatan Audit Negara lakukan auditan pembelian 16 dron PDRM

    Oleh  JAIS ABDUL KARIM

    PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengikuti rapat isu perolehan 16 dron berkuasa tinggi berharga RM48 juta untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Dalam media sosial tular poster yang membandingkannya dengan perolehan dron pihak Polis Amerika Syarikat yang dianggap sama kualiti namun dengan harga lebih murah. Harga RM48 juta itu dikhuatiri tidak munasabah dan dianggap terlalu mahal.

    MCW juga memahami kenyataan media PDRM semalam bahawa cadangan perolehan yang telah diluluskan oleh kerajaan itu berdasarkan kajian harga pasaran dengan spesifikasi terkini untuk tugasan taktikal dan pemantauan sempadan yang dianggap luas.

    Dengan ketahanan, resolusi tinggi dan kemampuan beroperasi pada waktu malam serta dilengkapi dengan sistem sokongan yang serba canggih maka ia memberi justifikasi yang baik dengan harga tersebut.

    MCW yakin dan percaya PDRM dan KDN telah membuat kajian pasaran berdasarkan Arahan Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia yang berkaitan perolehan demi memastikan kepentingan kerajaan terjaga dan mengelakkan ketirisan dana awam serta memastikan perolehan ini mempunyai ‘value for money’ yang terbaik.

    MCW ingin mencadangkan Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan auditan harga dan keperluan spesifikasi dengan membuat perbandingan berdasarkan spesifikasi yang sama. Proses ini penting bagi memperlihatkan ketelusan dan menolak kesangsian awam dalam perolehan ini.

    SPRM juga diharapkan dapat membuat siasatan bagi memastikan tiada unsur  tidak diingini berlaku dalam perolehan ini.

    MCW memandang serius sikap ‘cybertrooper’ yang menviralkan perkara itu sehingga menimbulkan fitnah terhadap PDRM dan Kementerian Dalam Negeri. Mereka bukanlah ‘punching bag’ atau musuh kita sebaliknya segenap lapisan masyarakat perlu menyokong segala usaha yang sedang mereka lakukan untuk memastikan keselamatan negara terjamin.

    MCW berharap tohmahan liar dan jahat seperti ini dapat dihentikan dalam zaman yang sukar sekarang ini agar segala usaha dan fokus perlu diberikan untk menyelamatkan negara kita. Viral poster yang bermotif persepsi jahat terhadap agensi kerajaan mesti disiasat oleh pihak berkuasa bagi mencari niat sebenar pembuat mesej tersebut.

    • Penulis adalah Presiden MCW. Artikel ini adalah kenyataan media beliau.
  • PGA rampas rokok seludup hampir RM1 juta

    PGA rampas rokok seludup hampir RM1 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGIATAN Kegiatan satu sindiket yang menjadikan sebuah premis sebagai stor sebagai tempat menyimpan rokok seludup di Jalan Murni 6, Paloh, Kluang terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam malam tadi.

    Serbuan kira-kira pada jam 9.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 5 PGA selepas risikan dan siasatan dilakukan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, pihaknya merampas 5,580 karton rokok seludup pelbagai jenama dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun.

    “Antara rokok seludup yang berjaya dirampas melibatkan 1,900 karton Halftime Virgina Merah; 1,600 karton Lee merah; 720 karton Luffman classic; 250 karton L.A Bold; 720 karton Touro International; 150 karton Canyon Blast dan 240 karton Surya Gudang Garam.

    “Hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau memberitahu, anggaran semua rokok seludup bernilai RM717,132 manakala keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM987,456.

    Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
    Kluang untuk tindakan lanjut.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

    Tangkapan dan rampasan itu katanya, berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar daerah ini.

    Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi di premis berkenaan selama kira-kira tiga bulan.

    Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui jalan yang tidak diwartakan.