Author: Admin

  • Op Jangkar Haram:Dua kapal tangki asing ditahan

    Op Jangkar Haram:Dua kapal tangki asing ditahan

    Oleh Abu Ubidillah Rahman

    WALAUPUN Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa melakukan Op Jangkar Haram bagi membanteras kegiatan pencerobohan kapal-kapal asing di perairan negara, perbuatan itu masih lagi berlaku.

    Pada minggu ini sahaja empat kapal sudah ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menahan dua kapal tangki asing yang melakukan kesalahan sama iaitu bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor timur.

    Katanya, kes terbaharu atau ketiga minggu ini berlaku sekitar pukul 11.33 pagi kelmarin pada kedudukan 14.5 batu nautika Tanjung Penawar.

    “Kapal yang berdaftar dari Singapura ini dikendalikan 21 kru warga China dan Pakistan masing-masing berumur antara 25 hingga 66 tahun, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Sementara kes keempat berdaftar dari Kiribati, ditahan sekitar pukul 2.55 petang semalam pada kedudukan 5.4 batu nautika Tanjung Punggai.

    “Kapal ini dikendalikan empat kru warga Indonesia berumur di antara 25 hingga 55 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Kes pertama dalam minggu ini adalah pada Isnin lalu selepas Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki dari Korea Selatan yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 15 batu nautika timur laut Tanjung Siang.

    Kes kedua pula pada Rabu lalu selepas Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Pelabuhan Klang pada kedudukan 4.1 batu nautika timur laut Tanjung Punggai.

    Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata, kedua-dua nakhoda kapal tangki bagi kes ketiga dan keempat itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia dan ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

    Menurutnya, secara kumulatifnya sebanyak 80 kapal telah ditahan atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran sepanjang tahun ini.

    “Walaupun beberapa negara telah mengeluarkan amaran kepada industri perkapalan maritim supaya mematuhi arahan dan prosedur bersauh di perairan Malaysia, masih ada kapal yang ingkar terhadap prosedur yang ditetapkan.

    “Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara,” katanya.

  • Patuhi titah Sultan Johor, beri ruang kerajaan teruskan usaha tangani Covid-19

    Patuhi titah Sultan Johor, beri ruang kerajaan teruskan usaha tangani Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa semua ahli politik supaya menjadikan titah Sultan Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai pedoman dan berhenti berebut kuasa.

    Presiden PVATM, Datuk Sharudin Omar berkata, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan sekarang, perlu dipandang serius semua pihak.

    Semua pemimpin politik katanya, perlu sedar tanggungjawab dipikul mereka sebagai wakil rakyat.

    “Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ketika ini, soal paling penting memikirkan tentang kebajikan rakyat serta kedudukan ekonomi dan bukannya membuat percaturan politik, bagi mengambil alih kuasa sebagai kerajaan.

    “Kerajaan yang sah ketika ini perlu diberi ruang untuk meneruskan usaha menangani masalah Covid-19 tanpa ada cubaan bagi menjatuhkan atau mengambil alih kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, ahli politik pembangkang juga perlu bekerjasama menyumbang idea dan mencari titik persamaan bagi mendahulukan kepentingan negara.

    “Ini kerana titah Sultan Ibrahim itu pandangan tegas dan mungkin juga pandangan majoriti Raja-Raja Melayu sebagai ketua negeri masing-masing.

    “Ahli-ahli politik diingatkan supaya menyahut seruan baginda agar berhenti berebut kuasa kerana polemik yang berterusan hanya merugikan rakyat dan negara,” katanya.

    Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan rasmi DUN Johor kelmarin, mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu tidak menjadikan persidangan DUN sebagai medan perbalahan politik dan perebutan kuasa.

    Dalam titahnya, baginda turut mengingatkan baginda tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah hingga mengganggu gugat negeri dan kerajaannya.

    “Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor. Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri bukannya kepentingan rakyat.

  • Masalah kesesakan di PPV Persada diatasi:MB

    Masalah kesesakan di PPV Persada diatasi:MB

    RINTIHAN penerima suntikan vaksin termasuk warga emas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) di Johor Bahru yang tular dalam media sosial mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

    Hasni menerusi satu ciapan dalam Twitter miliknya memberitahu, pihaknya maklum keadaan itu dan kerajaan negeri akan menambah kaunter pendaftaran dan laluan khas bagi golongan warga emas di PPV berkenaan.

    Katanya, kawalan pergerakan khususnya aliran trafik di sekitar PPV berkenaan juga akan dipertingkat.

    “Polis akan mengawal aliran trafik agar lebih teratur manakala aplikasi MySejahtera perlu menjadualkan waktu suntikan dengan lebih efektif. Perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

    Sejak kelmarin tular foto penerima suntikan vaksin beratur panjang di bawah terik matahari dan tanpa perlindungan sekiranya hujan turun.

    Mereka juga berbaris sejauh lebih satu kilometer dan ada yang menunggu sehingga empat jam untuk memperolehi suntikan vaksin.

    Keadaan itu menimbulkan kemarahan dan rasa kecewa ribuan yang hadir untuk janji temuk suntikan vaksin termasuk warga tua berkerusi roda turut menempuhi pengalaman perit tersebut.

    Susulan itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi ciapan dalam Twitter dan akaun Instagram miliknya berkata, perkara tersebut akan disiasat.

    “Saya akan siasat dan titah kerajaan untuk mengambil tindakan berkenaan isu ini,” kata Tunku Ismail.

  • Covid-19:KKM runding sewa 100 ambulans untuk tempoh hingga setahun

    Covid-19:KKM runding sewa 100 ambulans untuk tempoh hingga setahun

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berunding untuk melaksanakan penyewaan 100 ambulans untuk tempoh lebih panjang antara enam bulan hingga setahun bagi menampung kekurangan ambulans sedia ada.

    Ketua Setiausaha KKM, Datuk Shafiq Abdullah berkata, terutamanya kekurangan di Lembah Klang selain sedang memuktamadkan perolehan menerusi tender terbuka sejumlah 490 buah ambulans.

    “KKM juga mengubah suai kenderaan van termasuk melengkapkannya dengan peralatan perubatan minimum seperti silinder oksigen bagi membolehkan van itu digunakan untuk membawa pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital.

    “Langkah ini diharapkan dapat membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa dan mengurangkan kadar kematian Brought in Dead (BID),” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya, semalam.

    Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong.

    Shafiq berkata, KKM juga telah meluluskan RM39 juta untuk membeli ubat Baricitinib sebanyak 12,873 kotak.

    “KKM juga akan memohon kepada Kementerian Kewangan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta lagi bagi perolehan ubat ini dan ubat-ubatan lain bagi perawatan Covid-19 seperti ubat Tocilizumab, suntikan Methylprednisolone dan Enoxaparin,” katanya.

    Shafiq berkata, dalam memastikan bekalan oksigen mencukupi, KKM juga sedang menguruskan pembinaan empat buah ‘bulk tank’ oksigen di Hospital Selayang dan Hospital Kajang yang dijangka siap untuk kegunaan pesakit Covid-19 dalam masa terdekat.

    Selain itu, beliau berkata, aktiviti penyumberluaran perkhidmatan untuk membolehkan pesakit bukan Covid-19 dipindahkan ke hospital swasta telah mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan serta membolehkan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima mendapat rawatan di hospital awam.

  • Taliban tawan lebih banyak bandar dalam konflik terbaharu di Afghanistan

    Taliban tawan lebih banyak bandar dalam konflik terbaharu di Afghanistan

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    TALIBAN merampas bandar kedua dan ketiga terbesar di Afghanistan selepas pasukan keselamatan kerajaan gagal mempertahankannya.

    Perkembangan tersebut meningkatkan kebimbangan ibu kota Kabul akan turut diserang dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

    Seorang pegawai kerajaan mengesahkan semalam, Kandahar, pusat ekonomi yang terletak di selatan, berada di bawah kawalan Taliban ketika pasukan antarabangsa dipimpin Amerika Syarikat selesai menarik diri selepas 20 tahun berperang.

    Herat di barat Afghanistan juga jatuh ke tangan Taliban.

    Anggota dewan wilayah tersebut, Habib Hashimi berkata, Herat kini sunyi seperti bandar hantu apabila keluarga melarikan diri atau meninggalkan kediaman mereka.

    Seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat melahirkan kebimbangan Taliban akan bergerak ke Kabul dan menawan ibu kota itu dalam masa beberapa hari lagi.

    Letupan dan serangan meningkatkan masalah sosial, sekali gus menjadikan isu pelarian dan hak asasi manusia satu bebanan di negara Asia Selatan itu.

  • Bomba selamatkan tujuh pemancing terperangkap bawah jambatan

    Bomba selamatkan tujuh pemancing terperangkap bawah jambatan

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    ANGGOTA bomba berjaya menyelamatkan tujuh pemancing yang terperangkap bawah jambatan di Kampung Pasir Senai, Kulai, semalam.

    Komander Operasi dari Bandar Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syafiq Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.38 petang.

    Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian didapati tujuh pemancing berumur antara 18 hingga 28 tahun terperangkap di bawah jambatan ketika memancing.

    “Difahamkan semasa memancing air mulai naik secara tiba-tiba. Bomba menggunakan teknik sistem tali dan alat penyelamat Personal Floating Device (PFD) dalam operasi menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, semua pemancing tersebut berjaya diselamatkan dan tidak berlaku sebarang kecederaan, operasi tamat pada pukul 6,32 petang.

  • 206 juta penduduk dunia dijangkiti Covid-19, kematian melebihi 4.34 juta

    206 juta penduduk dunia dijangkiti Covid-19, kematian melebihi 4.34 juta

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KES positif Covid-19 global ketika ini sudah melepasi 206 juta kes termasuk 700,000 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

    Menurut data terbaharu Johns Hopkins University, Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling terjejas dengan lebih 36.5 juta kes.

    Ini diikuti India dengan lebih 32.1 juta kes dan Brazil dengan lebih 20.3 juta kes.

    Negara yang melebihi angka enam juta kes ialah Perancis, Rusia, United Kingdom dan Turki, sementara Argentina melebihi lima juta kes.

    Colombia dan Sepanyol pula mencatat kes melebihi empat juta.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes dengan melebihi 3.8 juta kes, diikuti Filipina dengan lebih 1.7 juta.

    Malaysia pula 1.3 juta kes, manakala Thailand 863,189 dan Singapura merekodkan lebih 66,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.34 juta.

    Berdasarkan data Johns Hopkins University, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 620,972 kes.

  • 1,159 penduduk Orang Asli di daerah Batang Padang positif Covid-19

    1,159 penduduk Orang Asli di daerah Batang Padang positif Covid-19

    SEHINGGA kini, seramai 1,159 penduduk Orang Asli di daerah Batang Padang didapati positif COVID-19 dengan 12  kematian dilaporkan akibat jangkitan wabak itu.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Datuk Dr Ding Lay Ming dalam kenyataan berkata punca jangkitan bermula daripada Orang Asli yang bekerja di luar kawasan itu.

    “Tindakan kawalan jangkitan dibuat melalui pengasingan dan rawatan di Pusat Kuarantin Risiko Rendah COVID-19 (PKRC) Sungkai khas bagi pesakit COVID-19 dalam kalangan Orang Asli dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di 24 kampung terlibat di daerah itu,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr Ding berkata sehingga hari ini, seramai 10,221 penduduk Orang Asli atau 45.5 peratus telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

     “Sasaran 80 peratus orang dewasa Orang Asli di negeri ini menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dijangka akan dicapai akhir bulan ini,” katanya.- BERNAMA

  • 41 lagi kluster dikenal pasti KKM

    41 lagi kluster dikenal pasti KKM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 41 lagi kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

    KKM memaklumkan, ini menyaksikan kluster tempat kerja sebagai penyumbang tertinggi iaitu 22 kluster, diikuti 10 kluster komuniti, tujuh kluster kumpulan berisiko tinggi dan dua kluster pendidikan.

    Mengenai pertambahan kluster mengikut negeri pula, Selangor mencatatkan jumlah kluster harian tertinggi dengan 11 kluster.

    KKM memberitahu, jumlah kluster aktif setakat ini adalah sebanyak 1,293 kluster, manakala 2,827 kluster telah tamat.

  • 11 kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan – Dr Adham

    11 kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan – Dr Adham

    SEBANYAK 11 kit ujian kendiri COVID-19 diberikan kelulusan secara bersyarat setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

    Beliau berkata daripada 11 kit ujian itu, tujuh kit ujian menggunakan sampel saliva (air liur) dan empat lagi menggunakan sampel nasal swab (calitan hidung).

    “Kit ujian yang telah mendapat kelulusan bersyarat menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) Kementerian Kesihatan (KKM) itu, boleh diperoleh di fasiliti kesihatan awam dan swasta,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai yang menggunakan kit ujian disaran melaporkan keputusan ujian mereka menerusi aplikasi MySejahtera, bagi membolehkan pemantauan sewajarnya dilakukan oleh KKM.

    Kit ujian itu adalah BERIGHT-COVID-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid); ALLTest COVID-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid); JusChek COVID-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid); Salixium COVID-19 Rapid Antigen Rapid Test; Gmate COVID-19 Ag Saliva; dan Longsee 2019-nCoV Ag & Influenza A/B Rapid Co-Detection Kit (Immunochromatography);

    Sichuan Xincheng SARS-CoV-2 Antigen Assay, Flowflex™ SARS-CoV-2 Antigen Rapid Test (Self-testing); STANDARD Q COVID-19 Ag Saliva Home Test; ProDetect ™ COVID-19 Antigen Rapid Test (Saliva); dan NEWGENE Bioengineering COVID-19 Antigen Detection Kit.- BERNAMA