Author: Admin

  • PM berjiwa besar, pengumuman tepat pada masanya – MaSia

    PM berjiwa besar, pengumuman tepat pada masanya – MaSia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENGUMUMAN Perdana Menteri untuk merangka persefahaman rentas parti semalam adalah tepat pada masanya malah dilihat dapat mengakhiri kemelut politik tanah air.

    Bendahari Majlis Ayahanda Malaysia (Masia), Zamrin Hamzah berkata, semua pihak terutama parti pembangkang wajar menerima tawaran itu dengan tangan terbuka demi kepentingan rakyat dan negara.

    Beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat berjiwa besar apabila memberikan tawaran itu walaupun tahu akan dikecam pihak pembangkang.

    “Demi rakyat dan negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) rela berkongsi kuasa dengan pembangkang demi memerangi Covid-19.

    “Saya amat bersimpati dan teruja dengan kepimpinan Perdana Menteri. Belum ada pemimpin sebaik ini yang sanggup berkorban dalam mendepani masalah rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

    Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

    Mengulas lanjut, Zamrin yang Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Masai berkata, rakyat dan pembangkang perlu faham Covid-19 adalah wabak alaf baharu malah melanda seluruh dunia.

    Katanya, adalah tidak wajar kesalahan diletakkan pada bahu kerajaan PN kerana semua kerajaan di dunia masih berperang dengan pandemik itu malah belum satu pun yang sudah berjaya.

    Tambah beliau, Perdana Menteri berusaha untuk melakukan vaksinasi terhadaop 35 rakyat negara ini sebagai langkah pencegahan Covid-19.

    “Saya lihat Tan Sri Muhyiddin tabah dan cekal menghadapi cabaran ini. Semoga Malaysia kembali kepada landasan yang betul dengan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

  • Maqis tahan 1.3 tan metrik udang harimau sejuk beku tanpa permit

    Maqis tahan 1.3 tan metrik udang harimau sejuk beku tanpa permit

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERKHIDMATAN Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kira-kira 1.3 tan metrik udang harimau sejuk beku tanpa permit semasa pemeriksaan sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini semalam.

    Maqis dalam satu kenyataan memberitahu, udang harimau sejuk beku tanpa permit eksport Maqis yang sah ke Singapura itu ditemukan dalam pemeriksaan pada pukul 11.30 malam.

    “Pemeriksaan terhadap udang harimau sejuk beku itu yang diikrarkan oleh ejen penghantaran sepatutnya membawa hanya 3,880 kilogram (kg) udang tersebut di laluan lori eksport.

    “Maqis mendapati 5,200 kilogram udang harimau sejuk beku berada dalam lori tersebut melebihi kuantiti yang diikrarkan. Kesemua 1,320 kg undang sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM6,600 ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pemandu lori berkenaan yang berusia 39 ditahan untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan.

    Katanya, perbuatan mengeksport sebarang jenis keluaran pertanian dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan semasa pemeriksaan adalah suatu kesalahan.

    Jelasnya, kesalahan itu di bawah seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

    Jika disabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

  • 44 kematian akibat positif Covid-19 di Singapura setakat ini

    44 kematian akibat positif Covid-19 di Singapura setakat ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SINGAPURA mencatatkan 44 rakyatnya yang mati akibat positif Covid-19 setakat ini.

    Terbaharu seorang warga Singapura berusia 84 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 semalam yang merupakan kematian ketujuh dalam bulan ini.

    Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura yang dikeluarkan malam tadi, lelaki itu mengalami gejala pada 28 Julai sebelum dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional pada keesokan hari dan kemudian disahkan positif.

    “Dia menerima suntikan vaksin COVID-19 dan mempunyai sejarah penyakit kanser, penyakit jantung iskemia, diabetes melitus, hipertensi dan hyperlipidaemia,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kementerian itu terdapat bukti bahawa hampir semua individu yang lengkap dua dos vaksin tidak mengalami penyakit yang parah apabila dijangkiti kecuali mereka mempunyai masalah penyakit kronik membuat mereka lebih mudah dijangkiti.

    “Dalam tempoh 28 hari lalu, peratusan pesakit tidak divaksin yang berada dalam keadaan kritikal atau meninggal dunia adalah 9.6 peratus manakala mereka yang lengkap divaksin adalah 1.0 peratus,” katanya.

    Setakat tengah hari semalam, jumlah kes di negara itu adalah sebanyak 66,061.

    Sebanyak 488 kes menerima rawatan di hospital, 30 daripadannya memerlukan bantuan oksigen dan 10 lagi berada di unit rawatan rapi (ICU).

    Sementara itu terdapat 116 kluster aktif, yang mencatatkan antara tiga hingga 1,151 jangkitan.

    Setakat 12 Ogos, sejumlah 74 peratus penduduk Singapura sudah lengkap divaksin di bawah program vaksinasi kebangsaan dan 81 peratus lagi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

  • 36 anggota JBPM Johor positif Covid-19

    36 anggota JBPM Johor positif Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 36 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu sehingga kini.

    Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, daripada jumlah itu sembilan pegawai dan anggota masih lagi menerima rawatan.

    “Majoriti warga JBPM Johor yang dijangkiti Covid-19 dikategorikan Kelas 1 iaitu sama ada tidak bergejala atau kurang bergejala.

    “Dalam tempoh sama, sejak Mac tahun lalu, seramai 587 pegawai dan anggota JBPM Johor telah dikuarantin kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, termasuklah saya dan Timbalan Pengarah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pelaksanaan Program Vaksin Bergerak kerjasama JBPM Johor dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di Balai Raya Taman Jaya, Skudai, di sini hari ini.

    Katanya, semua mereka yang positif itu tidak melibatkan jangkitan dalaman dari balai-balai bomba sebaliknya jangkitan daripada ahli keluarga, masyarakat ataupun mangsa yang diselamatkan anggota.

    Beliau bersyukur kerana sepanjang tempoh itu tiada warga kerja bomba Johor yang dilaporkan maut akibat pandemik tersebut.

    Selain itu, Yahaya memberitahu, sejak Mac 2020, JBPM Johor telah terpaksa menutup 10 buah Balai Bomba di seluruh negeri selepas terdapat anggota yang positif di balai berkenaan.

    Menurutnya, balai bomba pertama ditutup adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam manakala yang terakhir ditutup BBP Punggai.

    “Penutupan tersebut dibuat selama satu hari bertujuan untuk kerja-kerja sanitasi dan penyusunan jadual kerja melibatkan pegawai dan anggota daripada balai bomba berhampiran,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, JBPM Johor komited membantu Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam melaksanakan operasi berkaitan dalam melawan pandemik Covid-19 di negeri ini.

    Yahaya berkata, selain terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja sanitasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya turut menggerakkan aset dimiliki mereka.

    Antara aset itu katanya, sebuah bas bagi dijadikan kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) iaitu ambulans untuk pengangkutan pesakit.

  • Imam Masjid Negara meninggal dunia akibat komplikasi jantung

    Imam Masjid Negara meninggal dunia akibat komplikasi jantung

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IMAM Masjid Negara, Khisamudin Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital UiTM, Sungai Buloh, Selangor pada awal pagi ini.

    Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

    Masjid Negara melalui hantaran di Facebooknya turut berkongsi berita sedih mengenai pemergiaan Khisamudin itu.

    “Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Ustaz Khisamudin bin Ismail, Imam Masjid Negara yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Ogos 2021.

    “Moga seluruh ahli keluarga tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.

    “Semoga Allah SWT melimpahkan rahmatNya ke atas beliau dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman,” katanya.

    Difahamkan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Arang, Selangor kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

  • Lebih 10 juta individu telah lengkap divaksin – Dr. Adham

    Lebih 10 juta individu telah lengkap divaksin – Dr. Adham

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEJUMLAH 31.1 peratus (10.14 juta) daripada populasi negara telah lengkap divaksinkan manakala 16.71 juta (69.9 peratus) yang lain telah diberikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat 13 Ogos.

    Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 26.85 juta dos.

    Adham dalam ciapan Twitternya turut memaklumkan, mengikut peratusan, 71.4 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama manakala 43.3 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

    Infografik yang dikongsikan Adham turut menunjukkan, vaksinasi harian mencatatkan 462,860 dos diberikan semalam dengan 162,182 adalah dos pertama manakala 300,678 adalah dos kedua.

  • UAE sumbang 1 juta dos vaksin kepada Malaysia-Hishammuddin

    UAE sumbang 1 juta dos vaksin kepada Malaysia-Hishammuddin

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MALAYSIA bakal memperoleh satu juta dos vaksin secara percuma sumbangan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini berdasarkan hubungan akrab Malaysia dan UAE terus membawa manfaat terhadap usaha menangani cabaran pandemik Covid-19.

    “Ini bukan kali pertama negara itu menghulurkan sumbangan kerana tahun lepas Malaysia telah menerima lebih tujuh tan peralatan perubatan pelbagai jenis yang banyak membantu usaha awal petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19.

    “Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawat, Yang Mulia Putera Abdullah Bin Zayed Al-Nahyan dan Kerajaan UAE! Keprihatinan yang sangat dihargai Malaysia!” katanya menerusi Facebook beliau hari ini. – SB

  • Dua jadi mangsa sindiket Love Scam menerusi Facebook

    Dua jadi mangsa sindiket Love Scam menerusi Facebook

    Oleh Wartawan Warta Rakyat

    SEORANG lelaki dan seorang wanita di Butterworth, Pulau Pinang kerugian kira-kira RM27,500 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket Love Scam menerusi laman sosial Facebook.

    Mangsa lelaki berusia 54 tahun kerugian sebanyak RM13,790 selepas berkenalan dengan seorang wanita yang mendakwa berasal dari Amerika Syarikat.

    Mangsa wanita berusia 48 tahun pula kerugian sebanyak RM13,7000 selepas berkenalan dengan lelaki yang mengaku dari Belanda.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kedua-dua mangsa diperdaya dengan modus operandi sama oleh sindiket itu yang mana suspek kononnya telah mengirimkan hadiah dari luar negara sebagai tanda percintaan.

    Menurut beliau, mangsa kemudiannya dihubungi oleh kononnya wakil syarikat penghantaran yang mendakwa hadiah yang mengandungi ribuan wang tunai dolar Amerika Syarikat telah tiba di Malaysia.

    Bagaimanapun ujarnya, mangsa dikehendaki membuat bayaran ke dalam nombor akaun yang diberikan oleh suspek terlebih dahulu sekiranya ingin menerima barangan tersebut.

    “Kedua-dua mangsa yang sedang dilamun cinta dan teruja itu  membuat pemindahan  wang ke akaun bank seperti yang diberikan suspek tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

    “Namun, mereka mula berasa curiga selepas suspek masih meminta wang tambahan sebelum membuat semakan dengan polis semalam dan mendapati sebenarnya telah ditipu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Noorzainy, kes itu disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket yang menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai platform untuk menjalankan sindiket tersebut.

    Katanya, orang awam boleh membuat semakan lanjut mengenai individu mencurigakan di pautan, http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau aplikasi Check Scammers CCID di Google Playstore sebelum membuat transaksi online.

  • Kerajaan kaji kos, harga, bekalan kit ujian kendiri Covid-19

    Kerajaan kaji kos, harga, bekalan kit ujian kendiri Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KERAJAAN melakukan libat urus serta kajian kos, harga dan bekalan kit ujian kendiri Covid-19 dengan syarikat yang dilesenkan.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu membabitkan setiap rantaian pengedaran, pembekalan sehingga di peringkat runcit seperti farmasi dan klinik.

    “Kajian ini bertujuan menentukan harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 tidak membebankan pengguna.

    “Kit ujian itu kini menjadi keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri dalam situasi semasa negara berhadapan dengan cabaran wabak Covid-19.

    “Saya mengambil maklum isu harga runcit kit ujian kendiri COVID-19 di pasaran buat masa ini. Saya sudah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti situasi ini dan menguruskan isu harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 sebaik mungkin demi kepentingan pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Pada masa sama, Alexander berkata, KPDNHEP juga menyarankan pengguna lebih berhati-hati dengan pembelian kit ujian kendiri COVID-19 di pasaran dengan membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/ untuk merujuk senarai syarikat mendapat kelulusakan pihak itu mengedar dan menjual kit ujian COVID19 untuk kegunaan awam.

    KKM semalam mengesahkan 11 kit ujian kendiri COVID-19 mendapat kelulusan bersyarat dengan tujuh daripadanya menggunakan sampel air liur, manakala selebihnya calitan hidung.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, dilaporkan berkata, kit ujian yang mendapat kelulusan bersyarat menerusi MDA itu boleh diperoleh di fasiliti awam dan swasta.

  • Tawaran PM boleh pulihkan kesihatan dan ekonomi negara

    Tawaran PM boleh pulihkan kesihatan dan ekonomi negara

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAWARAN tujuh persefahaman untuk seperti yang ditawarkan oleh Perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bakal mewujudkan kestabilan politik dan pemerintahan dalam negara.

    Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, apa yang dikemukakan Perdana Menteri bukanlah sekadar retorik justeru parti pembangkang tidak wajar menolaknya demi masa depan negara.

    Menurut beliau, kesan pembaharuan itu jika dilaksanakan bukan saja akan mengubah landskap politik negara pada hari ini malah untuk beberapa generasi akan datang.

    “Persefahaman rentas parti ini adalah untuk kemajuan negara, bukannya untuk menjaga kepentingan peribadi.

    “Ia peluang untuk membina kerjasama antara parti dan mengembalikan negara ke landasan yang lebih stabil dalam memulihkan kesihatan dan ekonomi negara,” katanya bagi mengulas perutusan khas mengenai tawaran tersebut.

    Beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini turut berkata, Gerakan memberi sokongan penuh terhadap tawaran persefahaman rentas parti yang diumumkan Perdana Menteri itu.