Author: Admin

  • Sidang Parlimen kekal mengikut jadual

    Sidang Parlimen kekal mengikut jadual

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MESYUARAT Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September ini akan berlangsung mengikut jadual ditetapkan.

    Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, berkata setakat ini tiada perubahan pada tarikh persidangan dan mesyuarat itu akan berlangsung seperti biasa.

    “Setakat ini tiada notis perubahan dan tiada notis baharu dikeluarkan. Jika ada perubahan dari Ketua Majlis, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengeluarkan pemakluman,” katanya, hari ini.

    Berdasarkan takwim dan Aturan Urusan Mesyuarat disiarkan di portal rasmi Parlimen, Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 akan berlangsung bermula 6 hingga 30 September ini.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 6 September ini.

    Beliau dilaporkan berkata, istiadat itu akan berlangsung pada jam 10 pagi di Bangunan Parlimen Malaysia.

    “Mesyuarat pertama akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 sehingga 30 September 2021.

    “Mesyuarat kedua pula berlangsung selama 32 hari bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember 2021,” katanya.

    Azhar Azizan dilaporkan berkata, semua ahli Dewan wajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen yang ditetapkan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, bagi memastikan ia berlangsung dalam keadaan selamat.

    Sidang Dewan Rakyat yang membuka tirainya bulan depan, bakal menyaksikan perubahan Ketua Majlis selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 20 Ogos lalu.

  • Pulau Pinang sedia kerjasama dengan kerajaan Pusat baharu

    Pulau Pinang sedia kerjasama dengan kerajaan Pusat baharu

    Oleh WARTAWAN WARTARAKYAT

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang sedia memberikan kerjasama dalam menjayakan pendekatan ‘Bersepakat Selamatkan Keluarga Malaysia’ yang menjadi pegangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri khususnya dalam membawa negara keluar daripada kemelut kesihatan serta ekonomi ketika ini dengan segera. 

    Sambil mengucapkan tahniah atas pelantukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagaimanapun turut menarik perhatian mengenai beberapa isu untuk pertimbangan lanjut kerajaan Pusat baharu.

    Antaranya jelas Kon Yeow, berkenaan kekangan bekalan vaksin yang dihadapi negeri Pulau Pinang yang perlu diatasi segera memandangkan peningkatan kes harian di negeri itu yang memerlukan perhatian.

    Jelasnya, gangguan bekalan vaksin Pfizer–BioNTech pada minggu kedua bulan ini turut memberi impak kepada pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta janji temu secara keseluruhan.  

    “Sebagaimana dimohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini pada 6 Ogos 2021 kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung penambahan bekalan 500,000 dos vaksin, Pulau Pinang hanya memperoleh penambahan bekalan sebanyak 210,000 untuk bulan Ogos 2021.

    Sehingga semalam, bagi peratusan populasi dewasa, Pulau Pinang mencatatkan pencapaian suntikan dos pertama sebanyak 77.5 peratus manakala dos kedua (45.4 peratus).

    Sementara itu, Kon Yeow turut berharap kelengkapan dan kemudahan perubatan untuk Pulau Pinang dipertingkat segera termasuk penubuhan pusat-pusat perubatan yang perlu diberikan perhatian khusus. 

    Katanya, kelengkapan dan kemudahan itu termasuk keperluan logistik kepada para pesakit dan personel perubatan, bekalan makanan dan lain-lain yang berkaitan. 

    Dalam masa sama, beliau turut berharap prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan Covid-19 dapat dikemas kini, dipermudahkan serta diselaraskan. 

    “Khusus kepada kes-kes positif yang diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Bilik Gerakan yang mana ia mampu mencegah rantaian perebakan kes COVID-19 dengan lebih berkesan sekiranya prosedur sedia ada dikemas kini,” katanya.

  • DUN Pahang ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    DUN Pahang ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabru lalu.

    Pelantikan itu, menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat membanggakan rakyat negeri ini yang kini mempunyai tiga perdana menteri anak jati Tok Gajah, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan anak beliau Datuk Seri Najib serta terkini Ismail Sabri.

    Lebih membanggakan apabila pelantikan dan pengurniaan surat cara pelantikan Ahli Parlimen Bera itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang juga Sultan Pahang, katanya. 

    “Pemilihan beliau (Ismail Sabri) adalah melalui proses yang teliti serta menepati kehendak undang-undang selain ia bermerit sama ada dari segi jawatannya dalam parti mahupun kerajaan Persekutuan serta dari segi kelayakan akademiknya. 

    “Saya berharap semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya kepada beliau agar dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan khususnya dalam menangani pandemik COVID-19 serta kesan sosioekonomi yang diakibatkan,” katanya pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

    Terdahulu, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang berlangsung secara sederhana dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

    Pada permulaan persidangan, Speker DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhamad memaklumkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Rosli Abdul Jabar (PAS-Tanjung Lumpur) dan Datuk Mohd Fadil Osman (BN-Kemayan) tidak dapat menghadiri persidangan yang berlangsung selama empat hari mulai hari ini, kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

    Persidangan bersambung esok. – BERNAMA 

  • Aktivis masyarakat tidak mengaku salah fitnah polis

    Aktivis masyarakat tidak mengaku salah fitnah polis

    Oleh WARTAWAN WARTARAKYAT

    SEORANG aktivis masyarakat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memfitnah seorang pegawai polis melalui Facebook pada Mac lalu.

    Tertuduh, Phan Sow Sun, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd. Zaki Abdul Rahman.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa memfitnah Inspektor R. Kunes Raw dengan menviralkan tiga video dalam pautan Facebook.

    Video itu mengandungi tohmahan terhadap Kunes Raw iaitu salah guna kuasa dan tinggal di sebuah rumah kira-kira dua hingga tiga tahun tanpa perjanjian sewa yang akan merosakkan nama pegawai polis berkemaan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah unit Tower B, Kondominium BM City, Bukit Mertajam kira-kira pukul 7 pagi pada 26 Mac lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Kalaivaanan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan Sow Sun diikat jamin RM2,500 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 29 September ini.

  • Openg Onn, bekas editor Bernama meninggal dunia

    Openg Onn, bekas editor Bernama meninggal dunia

    Bekas editor Bernama yang juga antara pengasas Bernama Radio, Openg Onn Net, 62, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak, Kuching malam tadi setelah beberapa bulan menderita penyakit kanser.

    Isteri Allahyarham, Sabariah Zaini, 54, berkata, Openg menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 9.44 malam.

    “Allahyarham sempat berjumpa dengan kesemua anak kami dan sebelum pemergiannya, arwah berpesan kepada saya untuk menjaga baik-baik anak-anak kami,” katanya ketika ditemui Bernama di rumah kakak arwah di Kampung Gita.

    Pasangan itu mempunyai enam anak dan seorang anak angkat yang berumur 14 hingga 30 tahun.

    Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di Petra Jaya.

    Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut menzahirkan ucapan takziahnya kepada keluarga Allahyarham. – BERNAMA

  • Parah ditetak kerana burung murai cerek

    Parah ditetak kerana burung murai cerek

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    GARA-GARA seekor burung Murai Cerek, seorang lelaki cedera parah akibat ditetak tiga lelaki di sebuah rumah di Kampung Pauh Jabit, Tawang, Bachok, Kelantan, semalam.

    Kejadian berlaku pada pukul 4 petang sewaktu mangsa berusia 42 tahun bertemu dengan tiga lelaki berkenaan untuk berbincang mengenai burung Murai Cerek peliharaannya dipercayai dicuri rakan lelaki tersebut tiga hari lalu.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin memberitahu, siasatan awal mendapati, mangsa bersama-sama seorang rakannya pergi ke rumah salah seorang suspek untuk bertemu dengan lelaki yang didakwa mencuri burung murai cerek peliharaannya.

    Bagaimanpun katanya, lelaki terbabit tiada di situ sebelum mangsa bertindak ‘menggari’ suspek untuk dijadikan tebusan.

    Beliau berkata, ekoran tindakan tersebut menyebabkan ketiga-tiga suspek menyerang dengan menetak mangsa menggunakan sebilah golok dan pedang.

    “Ekoran serangan itu menyebabkan mangsa cedera parah hingga putus ibu jari tangan kanan, luka di kepala, betis kanan dan lutut kiri.

    “Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” jelas beliau.

    Menurut Mohamad Ismail, polis sudah mengenal pasti ketiga-tiga suspek yang menetak mangsa dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.

  • 59,600 anak pokok hiasan tanpa permit import dirampas

    59,600 anak pokok hiasan tanpa permit import dirampas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 59,600 batang anak pokok tanaman hiasan yang cuba dibawa masuk tanpa permit import yang sah ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Pelabuhan Pasir Gudang, semalam.

    Anak pokok dari China yang dibawa melalui sebuah kontena itu dianggarkan bernilai kira-kira RM119,200.

    Kegiatan itu dikesan hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di pelabuhan tersebut kira-kira pukul 4 petang.

    Antara spesies yang dirampas antaranya cactus gymnocalycium; spathiphyllum wallisii; caladium; echeveria pinwheel; microsorum punctatum; asparagus racemosus; strobilanthes sinuate dan adenium.

    Menurut Maqis, kes disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan.

    “Individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan tersebut.

    “Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya mereka boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Maqis menasihatkan semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan di Malaysia terpelihara.

  • Penganalisis jangka operasi ekonomi lebih terbuka pada Oktober, November

    Penganalisis jangka operasi ekonomi lebih terbuka pada Oktober, November

    KETUA Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, operasi ekonomi yang lebih terbuka dijangka berlaku pada Oktober atau November ini apabila negara telah mencapai imuniti kelompok.

    Beliau berkata, harapan berkenaan adalah seiring dengan pencapaian program vaksinasi negara yang memberangsangkan.

    Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebanyak 55.6 peratus atau 13,022,246 populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat Ahad.

    “Berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi dan pada masa yang sama kita dapat melihat program vaksinasi yang berlangsung dengan baik, justeru ada harapan yang tinggi supaya situasi yang kita hadapi pada masa ini dapat diperbaiki,” katanya dalam program ‘Koresponden Bernama’ bertajuk ‘Pulihkan Kestabilan Ekonomi Negara’ yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata, meskipun negara mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua 2021 yang meningkat 16.1 peratus dari tahun ke tahun, data bulanan KDNK pada Jun telah menguncup pada kadar 4.4 peratus.

    “Ini jelas menunjukkan, apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya PKP penuh, ia akan memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi.

    “Setakat ini, 16.1 peratus itu dikira positif. Namun, kita dapat lihat data bulanan Jun menguncup. Jadi, memang PKP dan Covid-19 masih memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara,’ katanya.

    Mengenai Belanjawan 2022, Mohd. Afzanizam menjangka lebih banyak peruntukan akan diberikan untuk membantu rakyat dari sudut perniagaan dan bayaran pindahan kepada golongan rentan.

    Menurutnya, kerajaan perlu memulakan perbincangan mengenai strategi untuk memulihkan kembali kedudukan kewangan apabila ekonomi sudah mencapai satu bentuk pemulihan yang mampan.

    “Negara tidak boleh kekal dalam keadaan defisit fiskal yang besar kerana ia akan menyebabkan daya saing ekonomi tidak tahan begitu lama.

    “Saya berharap akan ada satu signal, sekurang-kurangnya menandakan keseriusan kerajaan untuk memperbaiki kedudukan fiskal mereka buat masa ini,” katanya. – Bernama

  • Guru Harus Jadi Contoh Kepada Murid Ambil Suntikan Vaksin – Sultan Johor

    Guru Harus Jadi Contoh Kepada Murid Ambil Suntikan Vaksin – Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

    Baginda bertitah, kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

    “Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.


    Jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti vaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah. Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titah Sultan Johor pada hari ini.

    Baginda bertitah demikian sebagai mengulas laporan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

    “Saya berharap agar semua rakyat Johor dapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa,” titah Tuanku.

    Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, semalam berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

  • Wakil rakyat perlu amal politik matang, jujur, ikhlas – Tengku Hasanal

    Wakil rakyat perlu amal politik matang, jujur, ikhlas – Tengku Hasanal

    PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menasihatkan wakil rakyat negeri ini agar mengamalkan politik lebih matang, jujur dan ikhlas untuk membantu rakyat serta memajukan negara. 

    Baginda bertitah rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat.   

    “Suka saya ingatkan kepada semua ini bukan masanya untuk kita bersengketa dan bukan masanya untuk kita banyak bicara tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya ini masanya untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat jelata. 

    “Saya menyeru agar semua Yang Berhormat untuk berbahas secara rasional dan berpengang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri,” titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.

    Tengku Hassanal juga menitahkan semua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang supaya sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang. 

    Dalam titah itu, Tengku Hassanal turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri kesembilan dan menasihatkan beliau supaya menjalankan amanah tersebut sebaik-baiknya. 

    Selain itu, Tengku Hassanal juga menzahirkan hasrat supaya kerajaan Pahang menjadi contoh dalam amalan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan berharap prinsip tersebut dijadikan panduan dalam setiap perkara agar tidak bersifat retorik semata-mata.

    Kerajaan Pahang yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga dititahkan supaya menambah keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang kini yang berjumlah 1.59 juta hektar supaya negeri ini kekal signifikan sebagai ‘green lung’ atau kawasan hijau Semenanjung Malaysia. 

    Titah baginda, Pahang dengan keluasan hampir 3.6 juta hektar mempunyai peratusan kawasan hutan yang masih tinggi iaitu 57 peratus dari keluasan negeri yang dilihat menjadi penyumbang oksigen utama selain habitat bagi hidupan liar, flora dan fauna di Semenanjung Malaysia. 

    “Saya menyokong usaha kerajaan saya bertindak tegas dalam aktiviti penguatkuasaan seperti operasi membanteras penerokaan tanah secara haram dan berharap, ia diteruskan tanpa gentar atau pilih kasih demi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan dan alam sekitar berkekalan,” titah baginda.

    Menyentuh mengenai situasi ekonomi Pahang, Tengku Hassanal bertitah berlaku penyusutan akibat impak COVID-19 dengan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM54.9 bilion pada 2020 berbanding RM58.4 bilion pada tahun sebelumnya. 

    Sektor pertanian, titah Tengku Hassanal masih mengekalkan sumbangan besar kepada pembangunan negeri seperti contoh, 624,000 tan produk makanan pelbagai jenis termasuk buah, sayur dan tanaman kontan bernilai RM2.9 bilion dikeluarkan pada tahun lepas. 

    “Saya berharap kerajaan saya akan terus memberikan lebih penekanan kepada sektor pertanian di samping sektor lain dengan konsep pertanian konvensional perlu diubah kepada pertanian moden dan berteknologi tinggi yang tidak memerlukan tanah yang luas untuk menggandakan hasil dan keuntungan. 

    “Kerajaan perlu menarik lebih ramai usahawan tani terutamanya golongan muda yang perlu membuang jauh pemikiran skeptikal bidang pertanian tidak menjamin masa depan atau berpendapatan rendah manakala kerajaan perlu menyediakan pelbagai bentuk kemudahan termasuk geran, dana pinjaman dan khidmat nasihat untuk mereka,” titah baginda. 

    Tengku Hassanal mengalu-alukan pelabur luar dan tempatan melabur di Pahang yang telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM6.8 bilion pada tahun lepas. 

    Dalam menarik usaha lebih ramai pelabur, Tengku Hassanal mengingatkan kerajaan negeri agar melihat potensi pelaburan yang bersesuaian dengan keutamaan diberikan kepada pelaburan yang selari dengan konsep alam sekitar dan dilaksanakan dengan berintegriti.

    Tengku Hassanal juga menzahirkan rasa puas hati dengan kutipan hasil pada tahun lepas yang berjumlah RM850 juta berbanding sasaran asal RM744 juta iaitu pencapaian sebanyak 115 peratus dan berhasrat melihat prestasi tahun ini lebih baik dan digunakan untuk melaksanakan projek yang bermatlamatkan kesejahteraan rakyat. – BERNAMA