Author: Admin

  • Bot langgar boya:Mayat lelaki ditemukan

    Bot langgar boya:Mayat lelaki ditemukan

    MAYAT seorang lelaki yang disyaki terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaikinya bersama tiga rakan terlanggar boya di selatan Pulau Lalang dekat Langkawi pada Ahad lepas, ditemukan di kawasan paya bakau di Kuala Temonyong, semalam.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata mayat Mohamad Ewandi Husnan, 22, yang masih dalam keadaan lengkap memakai seluar panjang berwarna hitam itu ditemukan terdampar di kawasan paya bakau itu oleh orang awam pada 4.30 petang.

    “Mayat itu telah dibawa keluar dari kawasan tersebut dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (Langkawi) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata keluarga mangsa membuat pengesahan bahawa mayat yang ditemukan itu adalah Mohamad Ewandi berdasarkan pengecaman pakaian dan ciri-ciri fizikal mayat berkenaan.

    Sebelum kejadian pada 10 pagi itu, mangsa dilaporkan bersama tiga lagi rakannya yang berumur antara 18 dan 53 tahun dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

    Pelanggaran itu menyebabkan kesemua mangsa terjatuh di kedudukan 0.5 batu nautika Pulau Lalang, namun tiga mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.- BERNAMA

  • 40.8 peratus populasi Malaysia lengkap dua dos vaksin – JKJAV

    40.8 peratus populasi Malaysia lengkap dua dos vaksin – JKJAV

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEJUMLAH 40.8 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau 13,315,774 orang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), dalam masa sama, 18.48 juta individu sudah menerima dos pertama masing-masing.

    Jawatankuasa berkenaan dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya turut memberitahu, angka berkenaan tersebut menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 31,792,363 dos.

    Kenyataan berkenaan turut memaklumkan, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 56.9 peratus setakat semalam.

    Dalam pada itu, vaksinasi harian semalam pula mencatatkan penurunan kepada 396,576 dos berbanding 441,100 dos diberikan dua hari lepas, dengan 246,109 daripadanya merupakan dos kedua.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

  • Pembangkang jangan jadi ‘budak nakal’ kritik PM

    Pembangkang jangan jadi ‘budak nakal’ kritik PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya tidak menjadi ‘budak nakal’ yang terus mengganggu Perdana Menteri dalam atau luar Parlimen.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dibiarkan mengurus negara dengan tenang dan PH tidak perlu mencampuri urusan Perdana Menteri.

    “Blok pembangkang khususnya PH tidak perlu jadi budak nakal di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen mengganggu dan menggugat tak tentu hala Perdana Menteri yang baru sahaja dilantik ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Beliau berkata, PH juga tidak seharusnya ‘mencampak’ Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal dalam persaingan untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan.

    Katanya, khidmat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu masih diperlukan PH terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, desakan supaya Anwar meletak jawatan dan memilih orang lain untuk memimpin PH adalah tidak wajar.

    “Ini semua ‘nonsense’. Cakap-cakap seperti itu datang dari ‘deep state’ iaitu musuh PH yang memang hendak menghancurkan PH dan Anwar.
    Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri hari ini jika dia tunduk terhadap tututan kluster mahkamah daripada UMNO.

    “Anwar tidak berkompromi. ‘Rule of law’ atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan dihormati. Mahkamah tidak boleh diganggu. Perjalanan proses keadilan tidak boleh dicemar. Itu sikap dan pendirian tegas Anwar,” katanya.

  • Patuh kepada PM, kepimpinan baharu-Mufti Kelantan

    Patuh kepada PM, kepimpinan baharu-Mufti Kelantan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MUFTI Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyeru semua pihak akur dan taat dengan pelantikan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, Islam menuntut umatnya patuh dan taat kepada kepimpinan termasuk keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri baharu.

    Jelasnya, berdasarkan tuntutan agama, orang Islam mesti berpegang teguh dengan sebarang apa-apa yang diputuskan apabila sudah ada keputusan yang dibuat.

    Menurut beliau lagi, mengikut kaedah Islam juga sekiranya timbul pertikaian terhadap keputusan yang telah dibuat, penganut agama itu perlu tunduk kepada majoriti.

    “Kita bersyukur masalah pemilihan Perdana Menteri ini sudah pun terjawab iaitu dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Orang Islam mesti berpegang teguh kepada apa-apa yang telah diputuskan dan sekarang apabila sudah ada keputusan yang dibuat, masing-masing perlu beri kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan baharu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji, Kota Bahru semalam.

    Mohamad Shukri mengulas jika terdapat mana-mana pihak cuba membangkitkan tentang keabsahan pelantikan Perdana Menteri seperti yang berlaku sebelum ini.

  • Mayat lelaki warga emas ditemukan dalam bilik air rumah kedai

    Mayat lelaki warga emas ditemukan dalam bilik air rumah kedai

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan sepasukan anggota bomba yang bertindak memecahkan pintu sebuah rumah kedai di Pulau Kambing, Kuala Terengganu, hari ini.

    Ketika ditemui mayat lelaki yang dianggarkan berusia sekitar 60-an itu berada di dalam bilik air premis tersebut.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar, sebaik menerima panggilan daripada polis pada pukul 11.30 pagi, anggotanya terus bergegas ke lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.

    Rozizah memberitahu, anggota terbabit tiba di lokasi pada pukul 11.36 pagi untuk membantu memecahkan pintu premis berkenaan.

    “Sebaik menerima panggilan, seramai lapan anggota kami dikerahkan ke lokasi kejadian dan mereka hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memecah masuk ke dalam premis berkenaan.

    “Sebaik pintu dibuka, pihak bomba menemui mayat seorang lelaki berada di dalam bilik air premis tersebut,” katanya.

    Rozizah memberitahu, sewaktu memasuki premis itu, kesemua anggota bomba memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebagai persediaan keselamatan dalam tempoh pandemik Covid-19.

    Katanya, mayat lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • PKP tidak menyumbang kelahiran bayi luar biasa di Sarawak

    PKP tidak menyumbang kelahiran bayi luar biasa di Sarawak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menyumbang kepada kelahiran bayi luar biasa di Sarawak dan perkara itu dibuktikan melalui
    statistik pendaftaran kelahiran yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri itu.

    Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini menurun sebanyak 13,267 (50.45 peratus) berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    “Dalam tempoh Januari sehingga Julai lalu, sebanyak 13,031 kelahiran direkodkan berbanding 26,298 kelahiran pada tahun lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena sesi pertemuan bersama JPN Sarawak dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga (LPPKN) Sarawak di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di Petra Jaya, Kuching, hari ini.

    Selain itu, Fatimah berkata, kelahiran anak Sarawak warganegara Malaysia yang mempunyai taraf pemastautin huruf ‘K’ berbanding jumlah kelahiran di Sarawak adalah sebanyak 33,304 pada 2019; 31,176 pada 2020 dan 13,031 hingga Julai tahun ini.

    Beliau yang juga Pengerusi Ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak berkata, statistik kematian yang didaftarkan di JPN pula menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 14,518 kematian pada tahun lalu berbanding 14,371 pada 2019.

    Menurutnya, sehingga April tahun ini sebanyak 3,297 kematian didaftarkan.

  • Dos ketiga vaksin Covid-19 belum dimuktamadkan: Siti Hamisah

    Dos ketiga vaksin Covid-19 belum dimuktamadkan: Siti Hamisah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata perbincangan mengenai keperluan memberikan suntikan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 belum dimuktamadkan.

    Beliau berkata, keutamaan kerajaan kini terarah kepada matlamat meningkatkan kadar inokulasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Katanya, beberapa negeri seperti Sabah, Kedah dan Kelantan setakat ini masih merekodkan liputan vaksin yang rendah, berbanding negeri lain.

    “Justeru, kita kena pastikan vaksinasi di negeri berkenaan mencapai tahap liputan dos kedua secepat mungkin.

    “Kita nak habiskan dulu vaksinasi, sebelum putuskan mengenai keperluan pemberian dos penggalak atau dos ketiga.

    “Tetapi, memang kita bincang pasal dos penggalak, cuma tumpuan sekarang ialah untuk selesaikan dulu vaksinasi kepada rakyat,” katanya seperti laporkan BH.

    Siti Hamisah juga berkata, keutamaan pemberian vaksin bagi penduduk di Kedah juga menjadi agenda yang penting bagi kerajaan ketika ini, susulan insiden kepala air yang berlaku di Yan dan kawasan di sekitar kaki Gunung Jerai, minggu lalu.

    Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) setakat semalam, Sabah mencatatkan kadar liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa paling rendah, iaitu 30.1 peratus, manakala bagi populasi keseluruhan di negeri terbabit ialah 21.3 peratus.

    Liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa untuk Kedah, Kelantan pula masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga terakhir, dengan 36 serta 37.4 peratus.

  • 114,474 permohonan rentas negeri ditolak sejak 1 Jun

    114,474 permohonan rentas negeri ditolak sejak 1 Jun

    SEBANYAK 114,474 permohonan merentas negeri ditolak sejak 1 Jun lepas kerana tidak memenuhi syarat permohonan yang ditetapkan.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata antara sebab permohonan ditolak adalah kerana gagal menunjukkan dokumen perubatan berkaitan dan bukan pasangan jarak jauh.

    Beliau berkata ada juga yang dikesan menyalahgunakan kebenaran yang diberikan.

    “Selain itu, sebanyak 4,670 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 1 Jun lepas,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kelonggaran bagi penerima vaksinasi lengkap antaranya kebenaran merentas negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 10 Ogos. 

    Kerajaan kemudian turut membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 16 Ogos.

    Kerajaan kemudian memberikan kemudahan tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi di negeri Fasa Satu PPN dan seterusnya, termasuk aktiviti boleh makan di premis atau ‘dine-in’ bagi individu yang sudah mendapat dos lengkap mulai 20 Ogos.

    Zainal Abidin berkata masyarakat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menghindari diri daripada terkena jangkitan wabak COVID-19.

    “(Kawalan) kendiri (itu) penting. Begitu juga (mereka yang terlibat) dengan sektor ekonomi, mesti mematuhi SOP (setelah diberi kebenaran untuk membuka semula operasi). Pasukan pematuhan SOP (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan pemantauan,” katanya.- BERNAMA

  • Gempa bumi sederhana landa Selatan Sumba, Indonesia

    Gempa bumi sederhana landa Selatan Sumba, Indonesia

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan satu kejadian gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter melanda selatan Sumba, Indonesia pada 4.40 petang ini.

    Menurut kenyataan MetMalaysia, gempa dengan kedalaman 32 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 323 kilometer selatan dari Bima, Indonesia.

    Bagaimanapun, berdasarkan penilaian awal, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

  • Tiada pembangkang dalam Kabinet – Ismail Sabri

    Tiada pembangkang dalam Kabinet – Ismail Sabri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PEMBANGKANG tidak akan dilibatkan sama sekali dalam barisan Kabinet baharu kerana kerajaan sedia ada kini bukan sebuah kerajaan perpaduan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Kerjasama yang saya sebutkan sebelum ini tidak semestinya memerlukan keberadaan mereka dalam Kabinet.

    “Kalau betul nak bantu berkaitan Covid-19, kita ada Jawatankuasa Khas menangani Covid-19 manakala untuk pemulihan ekonomi pula, kita ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang saya jemput mereka sertai sebelum ini,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di kawasan-kawasan terjejas dalam daerah Kuala Muda dan Yan bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku selepas kejadian kepala air, baru-baru ini.

    Yang turut hadir dalam lawatan kerja tersebut, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

    Ismail Sabri turut berterima kasih terhadap maklum balas menggalakkan dibuat pembangkang termasuk kesudian mengadakan perbincangan.

    “Insya-Allah saya akan berjumpa mereka untuk bincang apa yang boleh terutamanya mengenai peranan dimainkan mereka,” katanya.

    Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri semalam menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

    Perdana Menteri berkata, kemelut politik melanda negara menimbulkan keresahan rakyat, justeru kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti.

    Ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong, dalam perjumpaan bersama ketua parti politik baru-baru ini, supaya semua pihak melupakan perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

    Tawaran Perdana Menteri kepada pembangkang untuk terlibat secara langsung dalam MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 adalah sangat baik dan membuktikan beliau berjiwa besar dan inginkan penyatuan sebenar politik Malaysia.

    Sementara itu, beliau berkata, barisan Kabinet dijangka akan diumumkan minggu ini selepas beliau mempersembahkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mendapat perkenan Seri Paduka.

    “Sekarang ini setiap hari ada keluar senarai nama baharu di media sosial. Yang itu jangan percaya kerana semuanya palsu,” katanya.