Author: Admin

  • Hantar pulang pesakit dari PKRC bukan tugas KKM

    Hantar pulang pesakit dari PKRC bukan tugas KKM

    MENGHANTAR pulang pesakit yang sembuh daripada jangkitan COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bukan tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM), kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

    Beliau berkata bagaimanapun pihaknya memberi kemudahan menyediakan perkhidmatan ambulans bagi tujuan berkenaan dengan kerjasama beberapa agensi.

    “Tugas untuk membawa pulang pesakit ke rumah mereka bukan tanggungjwab KKM, tetapi atas beberapa inisiatif pihak kami di PKRC, kita bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Majlis Daerah untuk menyediakan perkhidmatan ambulans.

    “Ia bukan tugas kami memandangkan mereka (pesakit) sudah sembuh, tetapi kita ambil tanggungjawab itu untuk memudahkan urusan mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKRC Gelanggang Seni di sini hari ini.

    Dr Zaini berkata demikian sebagai mengulas mengenai satu video tular menerusi laman media sosial memaparkan seorang wanita membuat siaran langsung di media sosial miliknya sambil berang apabila diminta pulang sendiri ke rumah selepas dibenarkan pulang dari sebuah PKRC di negeri ini.

    Wanita berkenaan turut mendakwa tugas menghantar pulang pesakit dari PKRC sepatutnya adalah tanggungjawab pihak KKM. 

     Dr Zaini berkata pihaknya melakukan siasatan berkaitan video tular itu dan melihat bahawa aspek komunikasi perlu diperkemaskan supaya salah faham tidak lagi berlaku.

    Beliau berkata pesakit yang dibenarkan pulang dari PKRC juga merupakan mereka yang sudah bebas daripada jangkitan COVID-19 sekali gus tidak mempunyai masalah untuk pulang sendiri termasuk menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi dan e-hailing.

    “Memang kita mengharapkan dapat memberi keselesaan tetapi masyarakat juga perlu tahu pada masa kini, kita (petugas kesihatan) berdepan dengan beribu pesakit.

    “Selain itu pihak kami juga berdepan dengan kekangan petugas kesihatan yang terhad memandangkan mereka bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada rakyat di negeri Kelantan tetapi sebahagiannya telah dimobilisasi ke negeri luar,” katanya. – BERNAMA

  • Pengguna air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu kembali ‘merana’

    Pengguna air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu kembali ‘merana’

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TIDAK sampai dua minggu penduduk di beberapa kawasan Kuala Nerus dan Kuala Terengganu menarik nafas lega, kini mereka kembali
    ‘merana’ apabila terpaksa berhadapan semula dengan gangguan bekalan air berikutan paip di dasar Sungai Terengganu dilaporkan pecah selepas 10 hari siap dibaiki.

    Ekoran paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) di dasar Sungai Tere pecah lagi, menyebabkan penduduk di kawasan terbabit terus berada dalam kebuntuan.

    Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam satu kenyataan memaklumkan, masalah tersebut dikesan berlaku di paip yang sama tetapi lokasi berlainan daripada kejadian terdahulu.

    Menurut kenyataan itu, paip tersebut membekalkan air ke tangki utama Berangan dari loji Kepong untuk kegunaan penduduk di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

    “Ekoran itu, seramai 28,700 pengguna di dua daerah tersebut akan mengalami gangguan bekalan air,” kata kenyataan itu kepada media.

    Berikutan itu, sebanyak 25 kawasan di Kuala Nerus dijangka terjejas iaitu melibatkan Gong Badak, kawasan perindustrian Gong Badak, Alor Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

    Turut terlibat ialah
    Tepoh, Padang Hangus, Pagar Ubi, Bukit Sudu, Bukit Jong, Sungai Ikan, Gemuruh, Ladang Sentosa, Padang Nenas, Lingai, Bukit Wan, Maras, Bukit Berangan, Batu Rakit, Alur Damak, Pagar Besi, Mengabang Telipot, Mengabang Telong dan Wakaf Tengah.

    Sementara daerah Kuala Terengganu pula, gangguan membabitkan 11 kawasan iaitu Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh memberitahu, SATU mula mengesan tekanan air rendah di jajaran paip ke Tangki Utama Berangan yang berada di paras tidak normal sejak semalam.

    Sehingga ini katanya, pasukan teknikal SATU sedang giat melakukan kerja-kerja pengesanan di dasar sungai dengan menggunakan khidmat enam penyelam bagi mengetahui punca sebenar di jajaran paip tersebut.

    “Sebarang perincian nengenai kerosakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

    “Kami memohon pengguna di kawasan terlibat agar bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” ujarnya.

    Menurut Dr. Mamad, SATU juga telah menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki hari ini, mengikut jadual sama ketika gangguan bekalan air sebelum ini.

    Selain itu katanya, tangki-tangki statik akan mula ditempatkan di kawasan terlibat.

    Krisis gangguan bekalan air di dua daerah terbabit berlaku pertama kali pada 2 Ogos lalu berpunca daripada pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

    Krisis air itu membabitkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu.

    Bekalan air bersih kembali pulih secara berperingkat pada 13 Ogos lalu.

  • Bekas Panglima Angkatan Tentera, Ghazali Seth hembus nafas terakhir

    Bekas Panglima Angkatan Tentera, Ghazali Seth hembus nafas terakhir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Ghazali Seth meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), hari ini.

    Menerusi perkongsian di Facebook Kelab Pesara Pegawai Tentera (RAFOC), Ghazali Seth berusia 92 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 10.30 pagi tadi.

    “Urusan jenazah akan dilaksanakan di Masjid Khalid Al Walid, Jalan Padang Tembak, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara,” menurut perkongsian itu.

    Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menyatakan dukacitanya dengan pemergian tokoh negara itu menerusi laman sosial Twitter.

    “Tan Sri Mohd. Ghazali Seth telah pulang ke Rahmatullah, perkhabaran yang amat menyedihkan bagi kami sekeluarga. 

    “Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama para hambaNya yang diredhai, Al-Fatihah,” katanya.

    Ghazali memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat dari 1977 hingga 1982 dan kemudian dilantik Panglima Angkatan Tentera ke-7 selama tiga tahun berakhir 1985.

    Selepas bersara, Ghazali pernah berkhidmat sebagai pengerusi Nestle Malaysia Berhad.

  • Anggota tentera tetap tolak vaksin walaupun beberapa kali dikaunseling

    Anggota tentera tetap tolak vaksin walaupun beberapa kali dikaunseling

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SESI kaunseling yang diadakan beberapa kali kepada seorang anggota tentera gagal mengubah pendiriannya apabila tetap enggan mengambil vaksin Covid-19.

    Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, tindakan buang kerja terpaksa diambil mengikut peraturan sedia ada demi menjamin keselamatan semua pihak.

    “Tindakan menghentikan perkhidmatan anggota itu tidak dibuat secara terburu-buru kerana kita sudah panggil anggota itu untuk beberapa sesi kaunseling dan temuduga berkaitan perkara berkenaan.

    “Kaedah komunikasi dibuat secara dua hala, malah kita turut perjelaskan mengenai implikasi untuk tidak ambil vaksin dan anggota itu dilihat faham,” katanya kepada BH, hari ini.

    Semalam, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.

    TDM dalam kenyataan dipetik berkata, itu susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan vaksin, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.

    Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Sarjan Wan Ramli Wan Seman mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin.

    Wan Ramli, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.

    Mengulas lanjut, Zamrose berkata, menjadi satu keperluan bagi petugas barisan hadapan termasuk tentera untuk mengambil vaksin kerana sentiasa berada di lapangan menjalankan tugas.

    “Kita berinteraksi dengan ramai orang dan secara berkelompok. Bila anggota itu tidak mahu ambil vaksin, apa pilihan lain yang kita ada (selain buang kerja),” katanya.

  • Suri rumah didenda RM10,000 hina Agong, Institusi Raja, Menteri

    Suri rumah didenda RM10,000 hina Agong, Institusi Raja, Menteri

    SEORANG suri rumah didenda RM10,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Institusi Raja dan menteri, dalam laman sosial Twitternya.

    Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Nur Faizah Wahid, 28, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

    Nur Faizah dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut serta denda RM8,000 atau penjara enam bulan atas pertuduhan membuat komunikasi jelik.

    Mengikut pertuduhan pertama, Nur Faizah didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Twitter miliknya ‘Eija Boo’ dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap YDPA, Institusi Raja dan menteri.

    Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini, pada 8.33 malam, 22 Mei lepas dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Wanita itu juga dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitternya. menggunakan nama profil  “Fazrin Ismail” pada masa dan tarikh sama.

    Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana menyesal dan insaf dengan tindakannya, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa menghina Institusi Raja adalah satu kesalahan.

    Sementara itu, di mahkamah sama, pengawal keselamatan, Sharil Mohd Sarif, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap YDPA dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil  “Sharil bin Mohd Sarif” pada 7.43 pagi, 20 April 2021.

    Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas serta didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman serupa.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept ini untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Bangladesh batal program vaksinasi besar-besaran kerana kekurangan dos vaksin

    Bangladesh batal program vaksinasi besar-besaran kerana kekurangan dos vaksin

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Bangladesh semalam membatalkan program vaksinasi Covid-19 besar-besarannya yang dilancarkan pada 7 Ogos lalu.

    Menteri Kesihatan Bangladesh, Zahid Maleque berkata, keputusan tersebut terpaksa diambil kerana kekurangan dos vaksin

    Justeru katanya, istilah vaksinasi besar-besaran tidak akan diguna pakai lagi.

    “Pendaftaran vaksinasi masih dibuka, namun ia bergantung kepada bekalan vaksin sedia ada kerana tidak mahu orang ramai beratur panjang di pusat vaksinasi,” katanya seperti dilaporkan Agensi Anadolu.

    Beliau memberitahu, sehingga kini lebih 35 juta penduduk telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin manakala ebih 20 juta warga sudah menerima vaksin.

    Kempen itu dilancarkan selepas pihak berkuasa menerima kritikan apabila orang ramai terpaksa beratur panjang menyebabkan garis panduan keselamatan Covid-19 di pusat vaksinasi seluruh negara gagal dipatuhi selain masalah kekurangan bekalan vaksin.

    Pada 15 Ogos lalu, Maleque dilaporkan berkata, program vaksinasi mega tidak dapat diteruskan akibat jumlah dos vaksin semakin berkurangan.

    Menurut laporan, Bangladesh dijangka menerima bekalan tambahan enam juta dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada September dan kerajaan telah menempah lebih 60 juta vaksin China sementara 60.8 juta dos di bawah kemudahan COVAX akan diperoleh.

  • Raja Perlis harap PM baharu urus pandemik dengan berkesan, bawa kestabilan negara

    Raja Perlis harap PM baharu urus pandemik dengan berkesan, bawa kestabilan negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap Perdana Menteri yang baru dilantik mampu mengurus dan menangani pandemik Covid-19 yang memberi kesan mendalam terhadap kehidupan rakyat.

    Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa kepada kestabilan negara.

    “Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan dan berharap agenda pembangunan negara dapat diteruskan.

    “Ini bagi meningkatkan taraf sosial ekonomi rakyat yang terjejas akibat wabak pandemik Covid-19,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kompleks DUN Perlis, Kangar, hari ini.

    Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Baginda bertitah, kombinasi dua situasi iaitu wabak Covid-19 dan iklim politik negara yang tidak menentu memberi kesan negatif kepada agenda pembangunan negara yang secara amnya terjejas dengan serius.

    Titah Tuanku Syed Sirajuddin lagi, kekeliruan dan ketidaktentuan politik ini juga tidak sihat kepada iklim pelaburan negara dan pelabur tidak akan tertarik untuk melabur dalam situasi begini.

    “Pelabur sedia ada mungkin akan menarik pelaburan mereka dan berhijrah ke negara lain yang dilihat lebih menarik,” titah baginda.

    Titah baginda jika situasi begini berterusan bakal merencatkan agenda pembangunan negara.

    “Bagaimanapun beta merasa agak lega kerana iklim politik di Perlis adalah tenang dan stabil. Beta ingin menyeru supaya ahli berhormat (Ahli Dewan Undangan Negeri) sentiasa berfikiran rasional dan saling bekerjasama dalam mengekalkan kestabilan ini,” titah baginda.

    Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda bersyukur kerana Perlis telah memasuki Fasa Tiga Program Pemulihan Nasional (PPN).

  • Paralimpik Tokyo: PM harap Negaraku berkumandang

    Paralimpik Tokyo: PM harap Negaraku berkumandang

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu melihat lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar sebanyak mungkin pada Sukan Paralimpik Tokyo.

    Ismail Sabri berkata beliau percaya dengan semangat tinggi serta latihan dijalankan selama ini, tiada sebab mengapa barisan atlet luar biasa ini tidak boleh berjaya pada temasya sukan berprestiji di Jepun itu.

    “Harapan negara kepada anda semua. Di Rio 2016 (Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil), kita berjaya raih tiga emas dan satu gangsa, maknanya tiga kali lagu Negaraku dimainkan di Rio. 

    “Kalau boleh saya nak supaya banyak kali bendera Malaysia dikibarkan dan lagu Negaraku berkumandang di Tokyo,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengukuhan Semangat Atlet Paralimpik Malaysia yang diadakan secara maya hari ini.

    Perdana menteri berkata barisan atlet paralimpik yang berjuang di Tokyo merupakan kebanggaan negara dan berharap nama Malaysia dapat dijulang di Tokyo.

    Ismail Sabri turut berkongsi kisah di sebalik penubuhan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini yang merupakan idea yang dicadangkan sewaktu zamannya menjadi Menteri Belia dan Sukan.

    Katanya keluhan atlet paralimpik mengenai kekurangan fasiliti untuk mereka ketika itu sehingga terpaksa berkongsi kemudahan sukan bersama atlet normal diberi perhatian pihaknya untuk mewujudkan pusat berkenaan.

    Beliau yang berpeluang melawat kontinjen negara pada Sukan Paralimpik Beijing 2008 di China mengambil kesempatan untuk melihat sendiri keberkesanan pusat sukan paralimpik di sana untuk mendapat ilham mewujudkan fasiliti serupa di tanah air.

    “Saya lawat  pusat di Beijing itu… memang bagus, jadi kita cadang buka terus di negara kita,” katanya.

    Pusat bernilai RM50 juta itu yang beroperasi sejak 2013 dibina pada 2011 di kawasan seluas kira-kira 1.84 hektar untuk membolehkan atlet paralimpik berlatih serta membuat persediaan rapi bagi menghadapi temasya sukan tempatan dan antarabangsa.

    Ismail Sabri juga berharap agar semua atlet menjaga kesihatan diri, kekal berdisiplin serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Jepun bagi mengelakkan dijangkiti COVID-19.

    Bagi edisi kali ini, seramai 22 atlet akan membawa cabaran negara dalam sembilan jenis sukan yang disertai kontinjen Malaysia.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menerima ucapan tahniah daripada kem paralimpik negara diketuai Ketua Kontinjen ke Sukan Paralimpik Tokyo Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin serta barisan atlet dan jurulatih atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri kesembilan negara.

    Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu.- BERNAMA

  • 7,499,702 dos vaksin dibekalkan kerajaan pusat kepada Selangor

    7,499,702 dos vaksin dibekalkan kerajaan pusat kepada Selangor

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, sejumlah 7,499,702 dos vaksin telah dibekalkan kerajaan pusat dan diterima negeri ini sehingga semalam.

    Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan, daripada jumlah tersebut 3,874,982 dos vaksin adalah Sinovac, vaksin Pfizer sebanyak 3,364,920 dos dan Astra Zeneca sebanyak 259,800 dos.

    Jelas Dr Siti Mariah daripada aspek kumpulan sasar, penerima vaksin adalah mengikut janji temu yang telah diberikan menerusi aplikasi MySejahtera, yang telah dikoordinasi dengan jumlah vaksin yang telah dijadualkan mengikut fasa yang telah ditetapkan.

    Beliau menjawab soalan Saari Sungib (PH-Hulu Kelang) dalam persidangan di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, yang ingin mengetahui tentang jumlah kuota, kumpulan sasaran dan penerima, serta jadual penyerahan vaksin di Selangor yang dibekalkan kerajaan pusat kepada negeri Selangor.

    Dalam pada itu, Dr Siti Mariah berkata buat masa ini, kerajaan negeri hanya boleh membantu dalam menggiatkan lagi kempen meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat, berhubung kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.

    Beliau memberitahu dewan, pengambilan vaksin COVID-19 bukan mandatori dan tiada sebarang peruntukan undang-undang boleh dikenakan terhadap golongan yang enggan mendapatkan suntikan berkenaan.

    “Jadi, ini yang perlu kita tekankan untuk memberi kesedaran kepada semua orang ramai menerusi kempen, kerana jika mereka tidak lindungi diri sendiri pun, sekurang-kurangnya mereka mempunyai kesedaran untuk melindungi orang lain,” katanya.

    Dr Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Taman Templer), yang ingin tahu langkah yang akan diambil kerajaan negeri terhadap individu yang enggan mengambil vaksin COVID-19 di Selangor.- BERNAMA

  • Kerajaan keluarkan aplikasi imbas ketulenan sijil vaksinasi digital

    Kerajaan keluarkan aplikasi imbas ketulenan sijil vaksinasi digital

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KADAR vaksinasi negara di dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin menunjukkan peningkatan positif sehingga 38 peratus penduduk dewasa di negara ini sudah lengkap dua dos vaksin.

    Dengan peningkatan kadar vaksinasi yang semakin memberangsangkan ini, amatlah penting untuk kerajaan menambah baik sistem yang boleh mengenal pasti status vaksinasi rakyat Malaysia apabila beberapa kelonggaran diberikan kepada mereka yang sudah lengkap dua dos.

    Memetik artikel hype.my, kerajaan telah melancarkan satu aplikasi telefon pintar yang direka khas untuk mengesahkan ketulenan sijil vaksinasi digital yang dipanggil ‘Vaccine Certificate Verifier’ baru-baru ini.

    Aplikasi berkenaan dilancarkan pada 20 Ogos lalu, beberapa hari sebelum kemaskini terbaharu aplikasi MySejahtera dengan perubahan dilakukan ke atas kod QR sijil vaksinasi digital.

    Bagaimanapun, kemas kini terbaharu MySejahtera ini difahamkan terhad kepada pengguna iOS dan peranti-peranti Huawei sahaja buat masa ini.

    Sebelum ini, kod QR yang tersedia dalam MySejahtera boleh diimbas dengan menggunakan mana-mana pengimbas QR yang akan membawa pengguna kepada sijil vaksinasi digital di laman web Kementerian Kesihatan.

    Sementara dengan kemas kini terbaharu aplikasi MySejahtera, pengguna perlu menggunakan aplikasi ‘Vaccine Certificate Verifier’ untuk mengimbas kod QR sijil vaksinasi digital di MySejahtera.

    Namun, menurut hype.my lagi, kod QR sijil vaksinasi digital itu masih boleh diimbas dengan menggunakan mana-mana pengimbas kod QR yang lain.

    Memetik artikel lowyat.net pula, penerangan kepada aplikasi ini di Google Play, Huawei AppGallery dan iOS App Store mengatakan aplikasi ini turut boleh digunakan untuk mengimbas sijil kesihatan digital dari negara luar yang mempunyai perjanjian pengiktirafan bersama (MRA) dengan Malaysia.

    Difahamkan, aplikasi tersebut buat masa ini boleh mengimbas sijil dari Singapura dan juga Kesatuan Eropah (EU).

    Kemaskini terbaharu MySejahtera ini bagaimanapun masih belum dikeluarkan bagi pengguna Android setakat pagi ini walaupun aplikasi ‘Vaccine Certificate Verifier’ sudah boleh dimuat turun oleh mereka.