Author: Admin

  • Jemaah Menteri: Bersatu telah serah senarai nama – Ahmad Faizal

    Jemaah Menteri: Bersatu telah serah senarai nama – Ahmad Faizal

    BERSATU telah menyenaraikan nama ahli-ahli yang sesuai untuk mengisi jawatan di dalam Kabinet Persekutuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk pertimbangan lanjut.

    Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, senarai nama tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, baru-baru ini.

    “Dalam mesyuarat tersebut, kami telah putuskan untuk serahkan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden kami, untuk cadang nama-nama daripada Bersatu dan disampaikan kepada Perdana Menteri.

    “Saya percaya Perdana Menteri akan putuskan dan membawa senarai tersebut untuk disembah maklum kepada Agong. Sekiranya proses ini berjalan baik tentunya Perdana Menteri akan membuat pengumuman selepas itu,” katanya.

    Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu berkata demikian dalam sidang media secara maya, selepas perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

    Persidangan empat hari tersebut dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang bertitah, agar semua Ahli Dewan di negeri ini mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, dan saling bekerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat, sebagai timbal balik pemberian peruntukan saksama dalam Belanjawan 2021.

    Ketika ditanya sama ada beliau akan bersedih sekiranya tidak dilantik sebagai timbalan perdana menteri, Ahmad Faizal berkata ketika ini tanggungjawab dan tugas hakikinya sebagai wakil rakyat, kini menjadi fokusnya.

    “Semua sedia maklum walaupun saya pernah jadi Menteri Besar Perak dan sekarang tidak lagi pegang jawatan itu, saya percaya semua orang boleh nampak yang saya tidak bersedih.

    “Malahan saya tambah semangat untuk memberi khidmat kepada rakyat dalam apa juga kapasiti, sekarang saya kembali dalam kapasti sebagai Ahli Parlimen Tambun dan ADUN Chenderiang,” katanya.

    Pada Isnin, Ismail Sabri memaklumkan senarai nama menteri Kabinet beliau akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.- BERNAMA

  • Covid-19:22,642 kes baharu dicatat hari ini – KP Kesihatan

    Covid-19:22,642 kes baharu dicatat hari ini – KP Kesihatan

    ANGKA kes harian COVID-19 dalam negara tidak berganjak dari paras 20,000 apabila sebanyak 22,642 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Facebook dan Twitter, Dr Noor Hisham berkata pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di Malaysia kini 1,616,244.

    Selangor masih mencatat jumlah kes paling tinggi dengan 6,325 kes, diikuti Sabah (3,224), Kedah (2,279), Johor (1,832), Sarawak (1,667), Pulau Pinang (1,427), Kelantan (1,424), Perak (1,390) dan Kuala Lumpur (1,128).

    Negeri lain yang mencatat kes di bawah angka 1,000 adalah Terengganu dengan 744 kes, Pahang (522), Melaka 342, Negeri Sembilan (269), Perlis  (44), Putrajaya (21) dan Labuan (empat).

    Malaysia kembali mencatat kes baharu di paras 20,000 dengan 20,837 kes, semalam.- BERNAMA

  • Sarjan polis tidak mengaku masuk dadah dalam badan

    Sarjan polis tidak mengaku masuk dadah dalam badan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan mengambil dadah pada awal Ogos lalu.

    Tertuduh, Frankie Anak Rimong, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret R. Salini.

    Lelaki itu didakwa telah memberikan dadah berbahaya jenis ketamin ke dalam tubuh badannya sendiri pada pukul 10.55 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, 6 Ogos lalu.

    Pendakwaan terhadap Frankie dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya,  Chan Choon Yiew manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.

    Choon Yiew mencadangkan Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000, namun peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan memandangkan lelaki itu mempunyai tanggungan empat orang anak termasuk seorang bayi berusia 10 bulan.

    Majistret kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dan menetapkan 5 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

    Frankie adalah salah seorang daripada enam anggota dan pegawai polis yang ditahan dipercayai mengambil dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di sekitar kawasan bandar raya, 6 Ogos lalu.

    Dua inspektor dan seorang anggota polis yang ditahan dalam operasi sama juga telah dituduh di pada 15 Ogos lalu, tetapi turut mengaku tidak bersalah selepas didakwa bagi pertuduhan menggunakan dadah.

  • Covid-19: Pergerakan penduduk Pulau Perhentian disekat, 1,124 disaring

    Covid-19: Pergerakan penduduk Pulau Perhentian disekat, 1,124 disaring

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PULAU Perhentian Besut yang sebelum ini kelihatan agak tenang dan damai kerana lokasinya yang terpisah dengan tanah besar, tiba-tiba mula ‘beralun’ ekoran berlaku penularan jangkitan Covid-19 di Pulau berkenaan.

    Langkah itu diambil, memandang terdapat sebanyak 75 kes positif dikesan sejak Jumaat lalu menyebabkan penduduk di pulau peranginan tersebut diminta menjalani ujian saringan secara besar-besaran, hari ini.

    Malah, warga masyarakat termasuk pengusaha dan pekerja chalet dan resort turut dikenakan sekatan pergerakan dalam usaha untuk mengekang penularan virus tersebut.

    Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr. Kasemani Embong memberitahu, proses ujian saringan itu yang membabitkan hampir 70 peratus penduduk pulau dijangka selesai sepenuhnya petang ini.

    Menurut beliau, penduduk telah menjalani ujian calitan Covid-19 yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak Jumaat lalu sebagai langkah untuk mencegah penularan di pulau peranginan terkenal itu.

    “Ujian calitan terpaksa dilakukan kerana terdapat 75 kes positif Covid-19 dikesan setakat hari ini dan sekatan pergerakan keluar masuk pulau juga telah dimulakan sejak Jumaat lalu.
    .
    “Punca penularan yang berlaku bukanlah jangkitan daripada pelancong sebaliknya ia disebabkan pergerakan penduduk pulau yang berulang alik menjalankan urusan di tanah besar,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

    Sementara itu, Dr. Kasemani memaklumkan, kesemua penduduk pulau yang positif covid-19 ditempatkan di Hospital Setiu dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kem Wawasan dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut.

    Beliau berkata, kesemua mereka yang positif berada dalam keadaan stabil.

    “Mereka yang dikesan sebagai kontak rapat pula diberikan arahan untuk kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguatkuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM,” ujar beliau.

  • Eksperimen kedai makan: Premis tak patuh SOP diarah tutup

    Eksperimen kedai makan: Premis tak patuh SOP diarah tutup

    POLIS Diraja Malaysia akan mengarahkan premis makanan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditutup, susulan tindakan pasangan suami isteri yang tidak divaksin melakukan eksperimen di sebuah kedai makan baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kerajaan telah memberi kelonggaran SOP ini bagi merancakkan semula ekonomi dan berharap masyarakat dapat memanfaatkannya dengan betul, dan tidak mengambil kesempatan.

    “Polis dan pihak berkuasa tempatan melakukan rondaan bersama dan mana-mana premis yang tidak patuh (SOP) akan diarah tutup,” katanya dalam sidang media di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am, dekat sini, hari ini.

    Pada 8 Ogos lepas, kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran termasuk solat berjemaah di masjid dan surau serta makan di restoran.

    Sehubungan itu katanya, polis meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis awam berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap individu yang telah lengkap vaksinisasi.

    Susulan kelonggaran berkenaan juga pihaknya akan mengurangkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah-daerah secara berperingkat, bagaimanapun SJR antara negeri akan dikekalkan.

    “Saya telah mengarahkan kontinjen-kontinjen polis negeri untuk mempertingkatkan tinjauan dan pemeriksaan ini untuk pastikan SOP yang baharu ini dipatuhi semua.

    Pada Isnin lepas, pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 35 dan 36 tahun ditahan polis pukul 5 petang di sebuah premis makanan.- BERNAMA

  • Bekas Timbalan Pengerusi Wat Siam dituduh pecah amanah RM1.77 juta

    Bekas Timbalan Pengerusi Wat Siam dituduh pecah amanah RM1.77 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bekas timbalan pengerusi wat Siam di Kodiang, Kubang Pasu didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah hampir RM1.8 juta, kira-kira lima tahun lalu.

    Tertuduh, San Yap Din Ei Yat, 71, yang juga pesara kerajaan, bagaimanapun tidak mengaku bersalah serta memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM1.77 juta yang telah dimanahkan kepadanya.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 7 Mac 2016 hingga 25 Oktober 2016 di Wat Boonyaram, Kodiang yang terletak dalam daerah Kubang Pasu.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurul Suhaila Baharin mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan di depan hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

    Hakim kemudiannnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 September depan.

  • Kastam rampas 9 juta batang rokok di Pelabuhan Utara

    Kastam rampas 9 juta batang rokok di Pelabuhan Utara

    SEBANYAK sembilan juta batang rokok bernilai kira-kira RM900,000 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) ketika cuba diseludup di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, bulan lepas.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zazuli Johan berkata hasil rampasan daripada penahanan sebuah kontena itu melibatkan jumlah duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM6.03 juta. 

    “Kontena tersebut telah diikrar sebagai ‘Garments’ bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak Kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan kes tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. 

    Beliau berkata orang ramai diminta membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. – BERNAMA

  • 28 mangsa banjir kepala air Yan positif COVID-19

    28 mangsa banjir kepala air Yan positif COVID-19

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seramai 28 individu yang tinggal dalam kawasan banjir di Yan ekoran tragedi kepala air di Gunung Jerai pada Rabu lalu, disahkan positif Covid-19.

    Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, sebanyak tiga kes telah dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut sementara 10 kes lagi dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dalam daerah sama.

    Selain itu katanya, sebanyak 15 kes lagi yang didapati tidak bergejala serta bergejala ringan, terus tinggal di rumah masing-masing dengan diawasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Yan.

    “Terdapat juga 41 individu diletakkan di bawah pengawasan (PUS) yang tinggal di rumah masing-masing.

    “Mereka akan diawasi secara bersepadu oleh pasukan pemantau polis bersama agensi penguatkuasa lain serta Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Yan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Sementara itu katanya, seramai 275 pegawai dan anggota yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat turut menjalani saringan menggunakan kit ujian pantas (RTK) Saliva sebaik misi itu berakhir semalam.

    “Mereka terdiri daripada pegawai serta anggota bomba, tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Daerah Yan dan pelbagai agensi menyelamat lain termasuk malim gunung.

    “Kesemua individu terlibat didapati negatif walaupun seorang daripadanya perlu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar bagi menjalani ujian lanjut,” katanya.

    Othman menambah, sebagai langkah pencegahan, PKD Yan telah mengambil beberapa langkah segera selepas bencana itu berlaku antaranya dengan membuat penilaian kesihatan segera terhadap semua kawasan pesakit Covid-19 dan merujuk pesakit berkenaan ke PKRC atau hospital.

    Selain itu katanya, penilaian kesihatan fizikal dan psikososial turut dilaksanakan dengan pihaknya sudah mengunjungi sebanyak 156 buah rumah di Yan.

    “PKOB Yan juga telah membuat ketetapan supaya semua badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja sukarela di daerah itu perlu lengkap divaksin dan membuat saringan Covid-19.

    “Tindakan pencegahan segera oleh PKD Yan dan agensi lain berjaya mengesan awal masalah kesihatan dihadapi penduduk terkesan banjir. Langkah itu membantu mereka mendapatkan rawatan lebih awal serta mencegah penyakit berjangkit termasuk Covid-19 daripada terus merebak,” katanya.

  • Dakwaan MCMC sekat akses portal berita antarabangsa tidak benar

    Dakwaan MCMC sekat akses portal berita antarabangsa tidak benar

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan berhubung satu mesej di aplikasi WhatsApp, yang kononnya agensi itu menyekat akses kepada artikel terbitan portal berita antarabangsa.

    MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan pengguna internet di Malaysia.

    Kenyataan itu menyatakan, penelitian mendapati pautan-pautan (URL) berita dari portal seperti Nikkei Asia, Yahoo News!, Reuters, Al-Jazeera, The Guardian dan Washington Post secara sengaja atau kebetulan diubah suai atau dipendekkan.

    “Tindakan itu sekali gus menyebabkan sebarang klik pada pautan-pautan tersebut akan membawa pengguna ke halaman yang menunjukkan seperti artikel tersebut tidak lagi wujud. 

    “Penelitian turut mendapati artikel-artikel berkenaan masih wujud, boleh diakses dan tidak dipadamkan atau diturunkan oleh portal-portal berita berkenaan seperti yang didakwa,” menurut kenyataan tersebut.

    Sehubungan itu, MCMC menggesa orang ramai untuk sentiasa menilai intipati sebarang mesej yang diterima, dan berhenti berkongsi berita belum ditentukan kesahihannya.- BERNAMA

  • 41.6 peratus populasi negara lengkap dua dos vaksin

    41.6 peratus populasi negara lengkap dua dos vaksin

    SEBANYAK 41.6 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau 13,580,934 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV). 

    Jawatankuasa itu yang berkongsi maklumat berkenaan di laman Twitter rasminya memaklumkan setakat semalam juga, seramai 18,631,593 individu atau 57.1 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 32,212,527 dos.

    Menurut perkongsian maklumat itu, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 58.0 peratus setakat semalam berbanding 56.9 peratus, pada Isnin. 

    Dalam pada itu, vaksinasi harian semalam pula mencatatkan peningkatan kepada 420,164 dos berbanding 396,576 dos pada Isnin, dengan 265,160 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 155,004 adalah dos pertama.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA