Author: Admin

  • Polis siasat dakwaan jual slot vaksin kepada warga asing

    Polis siasat dakwaan jual slot vaksin kepada warga asing

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ada menerima laporan berhubung dakwaan penjualan slot vaksin Covid-19 kepada warga asing dengan kadar bayaran tertentu.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

    Menurut beliau, pihaknya menerima satu laporan daripada wanita berusia 31 tahun pada pukul 12.30 tengah hari semalam dan mendakwa terdapat ejen yang menawarkan slot vaksin Covid-19 kepada warga asing dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM380 seorang.

    “Kita akan menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan itu dan setakat ini hanya satu laporan sahaja telah diterima.

    “Oleh itu, saya meminta mana-mana pihak yang ada maklumat mengenai kegiatan tersebut agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana mana balai polis berdekatan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zaiham memberitahu demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Ketua Penerangan MCA Pusat, Wong Siew Mun semalam yang mengatakan menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai kegiatan ejen yang menjual slot suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah Bentong.

    Berikutan itu, dia kemudian membuat laporan di IPD Bentong tengah hari semalam.

    Zaiham menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan sama sekali menidakkan hak rakyat Malaysia yang masih menunggu giliran apatah lagi ramai yang meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum mendapat giliran suntikan vaksin.

    “Polis memohon mana-mana pihak atau individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan penjualan vaksin Covid-19 seperti dakwaan itu agar hubungi pihak berkuasa dengan segera,” tambah beliau.

  • Polis Kedah rampas dadah RM108,000

    Polis Kedah rampas dadah RM108,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS Kedah berjaya merampas dadah jenis heroin dan syabu seberat kira-kira 4.7 kilogram (kg) dari dua lelaki tempatan yang ditahan di tepi jalan di Bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah, Rabu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, dua lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari setelah mereka memberhentikan kenderaan jenis Proton Iswara di tepi jalan dekat Jalan Melati 1, Bandar Amanjaya.

    “Serbuan terhadap kedua-dua mereka berjaya menemukan empat bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 1.8 kg serta dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kuning disyaki heroin seberat 900 gram.

    “Selain itu, polis turut menemukan dua plastik hijau bertulis ‘guanyinwang’ berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 2.1 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM108,000.

    “ujian urin dijalankan terhadap suspek mendapati kedua-duanya negatif dadah.

    “Beberapa barangan milik suspek turut disita iaitu satu loket serta rantai kekuningan bernilai RM1,500 dan sebuah motosikal Yamaha LC bernilai RM5,800,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 26 Ogos 2021 hingga 1 September 2021 untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Pekerja binaan temukan bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua

    Pekerja binaan temukan bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEKUMPULAN pekerja binaan yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan tapak pembinaan perumahan berhampiran Taman Wawasan Beaufort, Sabah, semalam, terkejut apabila menemukan sebutir bot lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua.

    Bom berkenaan ditemukan pada pukul 10 pagi sebelum melaporkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, hasil pemeriksaan menemui sebutir bom lama dipercayai peninggalan daripada kejadian Perang Dunia Kedua.

    “Siasatan mendapati bom lama itu ditemui pekerjaan binaan ketika melaksanakan pembersihan tapak perumahan yang bermula sejak Mei lalu.

    “Bom itu dipercayai merupakan bom dari jenis ‘Air Drop’ yang digugurkan oleh Tentera British dengan menggunakan pesawat udara namun tidak meletup,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, bom sepanjang hampir satu meter dan berat lebih 220 kilogram itu dikawal sehingga proses memusnahkan bom itu dilaksanakan pada Isnin.

    “Anggota polis memasang tali garisan polis untuk mengelak orang ramai menghampiri atau mendekati lokasi berkenaan.

    “Bom lama itu akan dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada pagi ini,” katanya.

  • Tiga senator angkat sumpah ahli Dewan Negara

    Tiga senator angkat sumpah ahli Dewan Negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI tiga Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim, hari ini.

    Mereka yang mengangkat sumpah hari ini ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Md. Nasir Hashim.

    Lantikan penggal kedua bagi Sri Ti Lian Ker akan berkuat kuasa mulai 10 Ogos 2021, manakala, bagi Razali Idris dan Md. Nasir Hasim berkuat kuasa mulai 27 Ogos.

    “Pelantikan yang telah diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, merupakan suatu amanah yang terpikul di atas Yang Berhormat sekalian agar dapat dilunaskan khidmat bakti, sumbangan, serta kebertanggungjawaban kepada bangsa, agama dan negara,” kata Rais Yatim menerusi ucapan beliau.

    Rais Yatim turut mengingatkan tiga Ahli Dewan Negara itu untuk bekerja lebih keras dalam menunaikan kebertanggungjawaban bukan sahaja kepada Dewan dan institusi legislatif, tetapi lebih terutamanya kepada rakyat keseluruhannya, yang ketika ini terhimpit akibat pendemik Covid-19.

  • Mohamad Alamin dijangkiti Covid-19, tidak hadir angkat sumpah

    Mohamad Alamin dijangkiti Covid-19, tidak hadir angkat sumpah

    AHLI Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin, yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dalam pentabiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19 dan tidak dapat hadir mengangkat sumpah jawatan itu petang ini.

    Katanya beliau sedang dirawat di Kuala Lumpur dan kesihatan dirinya stabil serta dalam keadaan yang baik.

    “Minta semua doakanlah ya kesembuhan saya, insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Seramai 31 menteri dan 37 timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada pukul 2.30 petang ini.

    Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan Barisan Kabinet beliau.-BERNAMA

  • Jong Yee Khie raih satu lagi pingat buat Malaysia

    Jong Yee Khie raih satu lagi pingat buat Malaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ATLET powerlifting negara, Jong Yee Khie berjaya meraih satu lagi pingat buat negara apabila menduduki tempat kedua dalam acara lelaki 107 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.

    Pentas akhir saingan tersebut menyaksikan Yee Khie mengangkat bebanan 237kg sekali gus memberikan pingat perak buat Malaysia.

    Atlet berusia 33 tahun itu cuba mengangkat 245kg bagi mengatasi catatan peribadi terbaikmnya musim ini iaitu 239kg namun tidak berjaya dan berpuas hati dengan angkatan 237kg.

    Sementara itu, wakil Mongolia, Enkhbayar Sodnompiljee mencatat rekod baharu Sukan Paralimpik apabila berjaya melakukan angkatan 248kg sekaligus meraih pingat emas.

    Sementara wakil Iran, Saman Razi yang dijangka memberikan tentangan pada saingan itu berpuas hari dengan pingat gangsa selepas melakukan angkatan seberat 231kg.

    Ini adalah pingat kedua buat Malaysia selepas kejayaan Bonnie Bunyau Gustin yang mencipta sejarah menyumbang emas pertama buat kontinjen negara di temasya berprestij itu pada Sabtu.

  • Peruntukan khas bangunkan vaksin sendiri:Zakaria

    Peruntukan khas bangunkan vaksin sendiri:Zakaria

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN perlu menyediakan peruntukan khas untuk membangunkan vaksin sendiri yang merupakan satu keperluan ketika ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, sudah sampai masanya Malaysia menghasilkan vaksin sendiri yang dijamin selamat, serasi dan sesuai untuk rakyatnya.

    “Jika kita membangunkan vaksin sendiri ini secara tidak langsung akan menjimatkan kos import vaksin luar selain meyakinkan rakyat kita sendiri untuk mengambil vaksin.

    “Usaha ini juga akan menjamin bekalan vaksin yang cukup untuk keperluan negara malah boleh dieksport jika berlebihan. Selain itu kita tidak tahu sama ada bekalan vaksin import cukup atau tidak pada masa akan datang.

    “Secara tidak langsung ini akan menjadi satu persediaan kepada Malaysia jika berlaku apa-apa terhadap bekalan vaksin dunia,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada petugas barisan hadapan di Kampung Orang Asli Kuala Masai di sini semalam.

    Kampung tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 25 Ogos lalu sehingga 8 September ini selepas lebih 200 masyarakat Orang Asli di kampung itu positif Covid-19.

    Kelmarin, Perdana Menteri berkata, Malaysia boleh mengeluarkan vaksin sendiri seperti Thailand kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran seperti denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.

    Susulan itu bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari ini berkata, pihaknya yakin negara mempunyai tenaga pakar serta saintis yang berupaya menghasilkan vaksin sendiri.

    Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, Malaysia boleh merujuk negara-negara Asia seperti China, Thailand dan India yang menghasilkan vaksin sendiri atau mendapat bimbingan negara lain yang sudah berjaya menghasilkannya.

    Beliau berkata, hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok juga akan segera tercapai dengan adanya bekalan vaksin sendiri.

    Dalam pada itu, beliau berkata, semua pelan yang akan dan sedang dilaksanakan untuk memerangi Covid-19 semasa kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar diteruskan.

    Jelasnya, ini kerana Muhyiddin dan Kabinet terdahulu membuat perancangan teliti dan bertanggungjawab dalam memerangi pendemik tersebut serta bukan dibuat secara semborono sebaliknya dirangka secara komprehensif untuk jangka masa panjang.

  • Bekas Presiden IOC meninggal dunia

    Bekas Presiden IOC meninggal dunia

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge meninggal dunia ketika berumur 79 tahun semalam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan IOC, Rogge merupakan presiden yang kelapan IOC iaitu dari tahun 2001 hingga 2013 dan tempatnya kemudian digantikan oleh Thomas Bach dari Jerman.

    Bagaimanapun, punca kematiannya tidak didedahkan oleh jawatankuasa Olimpik itu.

    “Beliau merupakan seorang doktor bedah ortopedik dan mempunyai ijazah sarjana muda dalam perubatan sukan yang memegang jawatan itu selama 12 tahun.

    “Rogge pernah menjadi pemain ragbi yang mewakili negaranya, Belgium,” jelas kenyataan tersebut.

    Beliau juga pernah mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik pada tahun 1968 di bandar raya Mexico, Munich, Jerman Barat pada tahun 1972 dan Montreal, Kanada pada tahun 1976 dalam acara kapal layar.

    Rogge juga mengetuai Jawatankuasa Olimpik Eropah dari tahun 1989 hingga 2001 sebelum dipilih menjadi Presiden IOC menggantikan Juan Antonio Samaranch dari Sepanyol. – Agensi

  • Tony Pua perlu hormati Majlis Presiden PH

    Tony Pua perlu hormati Majlis Presiden PH

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang secara terbuka membuat kenyataan berkenaan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri adalah tindakan yang tergesa-gesa.

    Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, tindakan itu juga membelakangi Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan parti.

    “Pemuda Amanah ingin mengingatkan agar semua pihak mengikut disiplin sebagai ahli anggota dalam PH dan tidak menimbulkan perkara yang belum benar-benar menjadi keputusan PH sebagai langkah berhati-hati dalam mengambil tindakan.

    “Walau apapun hujah dan asas yang diberikan untuk menjadikan tindakan tersebut sebagai hak menyampaikan pandangan, tetapi strategi dan proses membuat keputusan harus diikuti terlebih dahulu supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada akar umbi,” katanya.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

    Tony Pua semasa forum secara maya anjuran Oxford and Cambridge Society Malaysia pada Jumaat, mendedahkan kerajaan dilapor sedang mengadakan rundingan bersama blok pembangkang dalam usaha mewujudkan CSA.

    Beliau berkata, PH sedia menerima CSA oleh Ismail Sabri sekiranya tawaran itu sama seperti dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

    “Bercakap sama ada akan menyokong atau tidak, kami mahu apa yang Muhyiddin tawarkan kepada rakyat Malaysia sebelum ini. Kami mahu ia turut ditawarkan kepada kami dan rakyat Malaysia ketika ini,” ujar Tony Pua.

    Katanya, Pemuda Amanah menggesa supaya pertimbangan dan penelitian yang mendalam perlu dibuat serta melibatkan pimpinan di semua peringkat agar tidak disalah tafsir serta menimbulkan keraguan dalam kalangan penyokong.

    Justeru katanya, Pemuda Amanah menggesa semua pihak khususnya dalam kalangan pimpinan semua parti PH tidak mengulangi tindakan tersebut yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kecurigaan semua pihak.

  • Selamat bertugas Kabinet baharu: Tekun dan beristiqamah

    Selamat bertugas Kabinet baharu: Tekun dan beristiqamah

    Oleh DATUK SERI ABDUL HADI AWANG

    Tanpa diragukan lagi bahawa Kabinet baharu pimpinan YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada tugas yang telah dilaksanakan oleh barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kerajaan PN gagal dijatuhkan melalui cara tebuk atap oleh Pakatan Harapan (PH) dan gerombolannya yang terus-menerus berpolitiking ketika rakyat berada dalam kecemasan bagi menghadapi pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap kehidupan mereka.

    Jangan dipedulikan tuduhan yang ditujukan terhadap kerajaan PN, kononnya telah gagal mengatasi wabak dan bencana yang menjadi ketentuan Allah SWT kepada seluruh dunia ini. Hal ini demikian kerana, kemampuan kita sekadar berikhtiar untuk mengatasi masalah rakyat yang sudah menunjukkan tanda-tanda positif yang memberangsangkan.

    Apa yang telah dilakukan oleh kerajaan PN sama sekali berbeza daripada kerajaan PH yang tidak menunaikan janji yang mampu ditunaikan oleh mereka. Lebih-lebih lagi, ketika belum berlaku penularan pandemik Covid-19.

    Akan tetapi, wabak pandemik yang dihadapi oleh PH ialah wabak politiking berebut jawatan Perdana Menteri. Sehinggakan jawatan tersebut terpaksa ditinggalkan oleh pemimpinnya, bukan sahaja oleh ahli biasa.

    Di samping itu, kemenangan yang dicapai oleh PH adalah sangat rapuh bersama janji mereka yang tidak boleh ditunaikan. Janji bohong yang bertujuan menggula-gulakan rakyat semata-mata bagi mencapai kemenangan yang mentah, sehingga ia menyesakkan fikiran para pendukungnya.

    Adapun tuduhan PH bahawa kerajaan PN telah gagal merupakan suatu pembohongan kerana tugas yang dipikul belum lagi selesai dan kerjanya masih dalam perjalanan. Sepatutnya mereka tunggu sehingga masa penamatnya.

    Khusus kepada barisan Kabinet kerajaan yang akan menyambung tugas, ingatlah satu pepatah Arab pernah menyebutkan:

    دع الكلاب تنبح و الذئاب تعوي والقافلة تسير.

    “Biarkan anjing dan serigala menyalak, namun perjalanan musafir hendaklah diteruskan.”

    Walaupun Kabinet baharu kerajaan ini dikatakan sebagai Kabinet kitar semula, sebenarnya ia adalah laksana mata rantai yang bersambung daripada gabungan parti yang sama.

    Gabungan parti yang gagal dipecahkan dengan ketukan dindingnya yang kuat, dan gagal dicuri ahli Parlimennya oleh mereka yang menebuk atap. Mata rantai boleh ditukar mengikut keperluan dan atap yang retak boleh diganti, bukan dengan merobohkan bangunannya. Hal ini disebabkan apa yang berlaku sekarang bukannya membina bangunan yang baharu.

    Orang tua Melayu juga ada berkata secara khurafatnya:

    “Kalau rumah dimasuki biawak atau ular, maka perlu ditawarkan malangnya dengan mengalih tapak rumah.”

    Sekiranya ada atap yang terjejas kerana diganggu oleh perompak, maka perabotnya perlu diubah kedudukannya supaya lebih selesa dan selamat, sementara menutup atap yang bocor.

    Pertukaran Perdana Menteri boleh berlaku dengan tidak memecahkan kerajaan PN, dan ia sangatlah berbeza dengan PH yang tidak mampu menukar Perdana Menteri tetapi terus retak lalu berpecah.

    Oleh itu, Kabinet yang baru dilakukan perubahan boleh meneruskan tugas dengan sebaik-baiknya. Pada masa yang sama, mendapatkan kerjasama yang bersemangat daripada jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, khususnya mereka yang berada di barisan hadapan dalam menghadapi pandemik dan kesan sampingannya.

    Tawaran kepada pihak pembangkang pada awalnya ditolak kerana kerakusan mereka untuk berkuasa semula, akhirnya dapat diterima juga kerana belum lagi menjadi sesal kemudian tidak berguna lagi. Akhirnya tawaran itu diterima, walaupun sebahagiannya sudah ditarik.

    Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli politik. Satu keadaan yang sangat positif kepada kabinet baharu dan jentera kerajaan dalam menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang gangguan daripada PH yang tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Kita mengharapkan segala tumpuan diberikan kepada aspek untuk menyelesaikan masalah asasi yang terdesak dalam keadaan darurat hari ini. Peranan mereka yang berada di barisan hadapan juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius dari segi pengorbanan harta dan jiwa raga yang dikorbankan demi menyelamatkan nyawa rakyat dan negara.

    Usaha mencegah penularan wabak pandemik melalui agenda vaksinasi yang disebarkan seluas-luasnya, sudah mula menunjukkan tanda awal kejayaan negara kita sehingga ke tahap dunia. Keadaan ini boleh memberikan suatu nafas yang segar dan memberangsangkan kepada semua pihak yang terlibat.

    Khususnya barisan hadapan yang menghadapi wabak Covid-19 dan mereka yang bertugas untuk menangani kesan pandemik terhadap kehidupan rakyat dan perjalanan ekonomi negara. Terutamanya bagi memenuhi segala keperluan asasi rakyat dan perjalanan aktiviti kemajuan yang lain.

    Sambutan rakyat kepada usaha yang dilakukan sangat penting bagi menjana kejayaan dalam segala perancangan yang diatur. Pada masa yang sama, pihak kerajaan hendaklah mendengar dan menerima pandangan serta kritikan yang membina daripada semua pihak dengan melakukan muhasabah terhadap kelemahan dan kekurangan yang berlaku.

    Barisan Kabinet baharu juga perlu bersikap menerima penyertaan semua pihak bagi melibatkan diri dan memainkan peranan. Termasuklah penglibatan NGO dan pihak pembangkang yang akan lebih membantu kecepatan proses untuk mencapai kejayaannya, insya-Allah.

    Jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

    Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengganas. Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama. Dan sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga.

    Hal ini disebabkan mereka yang menjadi mangsa wabak pandemik tidak mengenal, sama ada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang, termasuklah kalangan yang membisu di atas pagar.

    Hidupkan semangat yang bersumberkan firman Allah SWT:

    ﴿…وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ٢﴾

    “…Dan hendaklah kalian bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kalian bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertaqwalah kalian kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

    Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah Presiden Pas. Artikel ini dipetik daripada Facebook beliau.