Author: Admin

  • Lelaki maut berbalas tembak dengan polis di Pattani

    Lelaki maut berbalas tembak dengan polis di Pattani

    SEORANG lelaki yang dipercayai anggota kumpulan pemisah maut dalam insiden berbalas tembakan di Pattani, Selatan Thailand pada Isnin.

    Ketua Polis Pattani, Mejar Jeneral Polis Pichawut Sanguansombat berkata polis menerima maklumat bahawa lelaki yang dipercayai anggota pejuang itu bersembunyi di hutan belukar di Kampung Sekmok di daerah Sai Buri.

    Beliau berkata pasukan keselamatan mula mengepong hutan belukar itu sejak 7 pagi (waktu tempatan).

    “Setelah hampir lima jam, pasukan keselamatan berjaya mengesan lelaki itu. Namun, lelaki itu mula melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.

    “Insiden berbalas tembakan berlanjutan hampir 10 minit. Apabila keadaan reda, lelaki itu ditemui maut di kawasan belukar itu. Pasukan keselamatan turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver.38,” katanya.- BERNAMA 

  • Isteri ambil vaksin, suami lafaz cerai

    Isteri ambil vaksin, suami lafaz cerai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki sanggup melafazkan taklik ke atas isterinya di media sosial disebabkan pasangannya itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

    Isterinya yang juga seorang suri rumah, kemudiannya menghubungi peguam syarie bagi mendapatkan khidmat dan pengesahan sama ada taklik dilafazkan suaminya melalui Facebook itu sah atau sebaliknya.

    Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik melalui Facebook Peguam Syarie, Maryam Wafda Kamilen, suami isteri berkenaan adalah pasangan jarak jauh (PJJ) dan kejadian dilaporkan berlaku semalam.

    Katanya, suri rumah itu mengakui mengambil suntikan vaksin dos pertama tanpa pengetahuan suaminya Selasa lalu.

    “Ketika berbual melalui telefon mengenai vaksin, lelaki berkenaan melarang isterinya mendapatkan suntikan vaksin dan jika ingkar maka akan jatuh taklik.

    “Suri rumah itu menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian sama ada taklik dilafazkan suaminya jatuh atau sebaliknya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Beliau yang turut mengesahkan kes itu bukan kali pertama diterima syarikat guamannya berkata, suri rumah itu dinasihatkan merujuk kes berkenaan kepada Mahkamah Syariah untuk pengesahan.

    Katanya, terdapat empat kes berkaitan dengan isu yang sama diterimanya sejak berlakunya penularan pandemik Covid-19 dan keperluan rakyat mendapatkan suntikan vaksin.

    “Kami bersedia menawarkan perkhidmatan kepada semua suri rumah yang berhadapan dengan situasi itu.

    “Kami menyarankan suri rumah yang berdepan dengan situasi itu supaya segera memfailkan kes itu di Mahkamah Syariah,” katanya.

  • Johor terima 70,000 dos vaksin Khamis ini-TMJ

    Johor terima 70,000 dos vaksin Khamis ini-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan, Johor akan menerima 70,000 dos vaksin Khamis ini.

    Tunku Ismail berkata, dos berkenaan akan diperoleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity iaitu di bawah program Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 dan dikawal selia oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Tunku Mahkota Johor berkata, dos berkenaan susulan pertemuan Tunku Ismail dengan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu yang menghadapnya hari ini.

    “Saya telah berjumpa Datuk Hasni, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd Noh Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Dr. Aman dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman pada hari ini.

    “Pertemuan ini bertujuan untuk mendapat laporan terkini mengenai isu kekurangan vaksin dan pembatalan temu janji untuk vaksinasi serta isu PPV Educity dan program vaksinasi pekerja kilang,” kata Tunku Ismail.

    Tunku Mahkota Johor berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.

    Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Tunku Ismail berkata, Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) juga telah dimulakan dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan.

    Jelas Tunku Mahkota Johor, ini untuk melaksanakan aktiviti pendidikan kesihatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan membantu melaksanakan ujian saringan secara bersasar.

    “Kerajaan negeri telah menyediakan khemah yang lebih besar untuk Covid-19 Temporary Treatment Centre (CTTC) berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail Johor Bahru.

    “JKNJ juga telah memulakan sistem perkhidmatan CAC secara maya (VCAC) bagi membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rumah masing-masing.

    “Adalah hasrat saya perjumpaan ini dapat membuka ruang untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh program vaksinasi di Johor supaya rakyat dapat diberi vaksin secepat mungkin,” kata Tunku Ismail.

  • Limbang, Kapit, Miri diisytihar kawasan kawalan Demam Babi Afrika

    Limbang, Kapit, Miri diisytihar kawasan kawalan Demam Babi Afrika

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAHAGIAN Limbang, Kapit dan Miri di Sarawak diisytiharkan sebagai kawasan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) susulan penularan virus berkenaan di Sabah dan Utara Kalimantan di Indonesia.

    Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Dr. Adrian Susin Ambud berkata, di bawah Seksyen 35(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, orang awam tidak dibenarkan untuk memindah atau membawa babi hidup, daging atau hasil produk haiwan itu keluar dari kawasan kawalan.

    “Orang awam juga tidak dibenarkan membawa masuk, jual beli secara dalam talian atau aktiviti kiriman pos sebarang daging babi atau hasil produknya tanpa permit, membeli atau menjual (secara fizikal atau dalam talian) atau menyimpan babi hutan dan babi hutan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, tiada pampasan akan dibayar untuk sebarang babi atau hasil produk babi yang dirampas atau dimusnahkan di bawah seksyen ini dan kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.

    Katanya lagi, sekiranya terdapat sebarang keganjilan atau kelainan dalam kadar kematian ternakan di ladang ternakan, para penternak harus melaporkan terus kepada Pejabat Veterinar Bahagian terdekat atau boleh menghubungi talian Whatsapp 016-284 0918. 

  • Kadar vaksinasi kian meningkat, pesakit semakin berkurangan

    Kadar vaksinasi kian meningkat, pesakit semakin berkurangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMASUKAN pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital Lembah Klang hari ini menunjukkan penurunan yang selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos lengkap.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kadar vaksinasi Covid-19 yang kian meningkat khususnya di Lembah Klang terus menunjukkan tanda-tanda awal yang positif. 

    “Terkini, kemasukan pesakit Covid-19 ke ICU di hospital-hospital Lembah Klang menunjukkan trend penurunan selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos yang lengkap,”

    “Di Hospital Sungai Buloh khususnya, kemasukan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 semakin berkurangan,” katanya menerusi catatan Facebook beliau.

    Dr. Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama berusaha memastikan diri sendiri dan ahli keluarga tersayang yang layak menerima dos vaksinasi lengkap bagi mengurangkan risiko kemasukan ke ICU dan mengurangkan risiko kematian akibat Covid-19.

    “Memakai pelitup muka (sebaik-baiknya double face mask & face shield), menjaga penjarakan fizikal dengan mengelakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan kerap mencuci tangan adalah usaha dan ikhtiar kita untuk mencegah dan membendung penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya lagi.

  • Dua individu rugi RM72,500 serah nombor TAC kepada sindiket Macau Scam

    Dua individu rugi RM72,500 serah nombor TAC kepada sindiket Macau Scam

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekerja swasta dan seorang pesara di Butterworth, Pulau Pinang kerugian masing-masing RM13,579 dan RM59,000 selepas menjadi mangsa terbaharu sindiket Macau Scam semalam.

    Pekerja swasta berusia 40 tahun itu mula terjerat dengan sindiket tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai khidmat pelanggan dari syarikat aplikasi kewangan, BigPay.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dimaklumkan dia perlu menukar kad bank yang mempunyai pautan dengan akaun BigPay baharu bagi membolehkannya berbelanja tanpa had.

    Yakin dengan panggilan itu, katanya, mangsa memberikan butiran dua akaun perbankan miliknya selain berkongsi nombor TAC kepada suspek.

    “Selepas bertindak sedemikian, dia dimaklumkan oleh pihak bank wang miliknya sebanyak RM13,579 telah dipindahkan ke dalam akaun lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu tambah Noorzainy, dalam kes membabitkan pesara berusia 61 tahun pula, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Alor Setar, Kedah.

    Katanya, mangsa dimaklumkan kononnya mempunyai tunggakan cukai syarikat atas namanya oleh pegawai yang menyamar LHDN namun menafikannya sebelum panggilannya disambungkan kepada individu kononnya polis.

    Bagaimanapun jelasnya, mangsa kemudian didakwa oleh ‘polis’ itu terlibat aktiviti pengubahan wang haram sebelum diminta menyerahkan maklumat perbankan.

    “Mangsa turut menyerahkan nombor TAC kepada suspek sebelum mendapati wang sebanyak RM59,000 dari akaun banknya hilang,” katanya.

    Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Sementara itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan nombor TAC kepada orang lain kerana ia adalah maklumat sulit.

  • Suspek kes rogol, liwat wanita hingga maut direman seminggu

    Suspek kes rogol, liwat wanita hingga maut direman seminggu

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SUSPEK yang disyaki terlibat dalam kejadian rogol dan liwat sehingga menyebabkan seorang wanita berusia 40 tahun maut di sebuah rumah di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, Pulau Pinang ditahan reman selama seminggu bermula semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, suspek berusia 29 tahun itu direman sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

    Ujarnya, suspek sebelum itu ditahan kira-kira pukul 10 malam semalam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.

    Terdahulu, polis semalam turut membawa semula suspek ke lokasi kejadian dipercayai bagi mengumpul maklumat lanjut.

    Suspek yang mengenakan baju lokap sambil diiringi polis itu dilihat beredar dari kediaman teres dua tingkat tersebut dengan sebuah kereta polis sejurus siasatan selesai kira-kira pukul 2 petang.

    Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam kelmarin, seorang wanita ditemui mati dalam keadaan tragis selepas dipercayai dirogol dan diliwat sebelum mayatnya disorokkan di bawah katil di rumah teres dua tingkat di Taman Seruling Emas.

    Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai memecah masuk melalui tingkap belakang rumah mangsa kira-kira pukul 2 pagi sebelum merogol dan meliwat mangsa yang sedang tidur di dalam bilik di tingkat bawah.

    Suspek juga mendakwa menyumbat seluar dalam mangsa ke dalam mulut dan menutup mulutnya dengan tangan selepas mangsa menjerit dan melawan.

    Selepas mendapati mangsa tidak bergerak dan disyaki telah meninggal dunia, suspek mendakwa menarik mayatnya dan disembunyikan di bawah katil.

    Selain itu, suspek turut mengaku mengambil sebuah telefon bimbit, wang tunai dan loket milik mangsa sebelum keluar dari rumah itu, namun telah membuangnya ke dalam sungai.

  • Wakil rakyat tanpa mengira parti perlu fokus bantu rakyat

    Wakil rakyat tanpa mengira parti perlu fokus bantu rakyat

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    YANG Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berharap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak mengira parti, kerajaan atau pembangkang dapat memberi fokus dan iltizam untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan dan kegelisahan untuk meneruskan kehidupan dalam tempoh pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, semua pihak tanpa mengira parti politik perlu berganding bahu sebagai sebuah pasukan bagi memastikan aktiviti kehidupan rakyat dan ekonomi negeri dapat kembali pulih.

    Jelasnya, walaupun negara sedang menghadapi tempoh pandemik, beliau berharap projek-projek untuk kemudahan rakyat yang disusun dan dirancangkan oleh Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dapat disiapkan mengikut jadual.

    “Perkara ini penting bagi penyampaian perkhidmatan kerajaan terhadap rakyat di samping memacu ekonomi negara secara dalaman,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang keempat belas hari ini.

    Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan usaha daripada seluruh anggota perkhidmatan awam yang terlibat dalam menyumbang ke arah pembangunan, keamanan dan kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.       

    “Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para ‘frontliner’ yang telah bekerja keras dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya.

    Dalam pada itu, Ahmad Fuzi turut berharap Pulau Pinang dapat beralih ke fasa tiga dalan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat yang mana lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka. 

    Jelas beliau, perkara itu supaya rakyat dapat kembali menjalani kehidupan normal dan menikmati kegemaran biasa yang tidak dapat diperolehi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Dalam masa sama, beliau mengingatkan yang mana pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP hendaklah sentiasa diamalkan dan diutamakan dalam kehidupan norma baharu ketika ini.

    “Saya juga menyeru kepada semua rakyat Pulau Pinang, tidak kira agama, bangsa dan budaya agar mengutamakan kesejahteraan hidup bersama secara aman dan damai.

    “Adalah penting bagi kita menghayati semangat kenegaraan yang membantu kita mencapai kemerdekaan demi kepentingan bersama dan masa depan negara,” katanya.

  • Lewat terima vaksin, Perak pinjam vaksin daripada Selangor

    Lewat terima vaksin, Perak pinjam vaksin daripada Selangor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Perak akan meminjam dos vaksin simpanan daripada Selangor bagi mengatasi masalah kelewatan penerimaan vaksin di negeri itu.

    Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, surat permohon telah dikemukakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim kepada kerajaan Selangor pada pagi ini.

    “Penerimaan vaksin yang dipinjam daripada kerajaan Selangor itu nanti diyakini mampu memastikan vaksin di negeri ini mencukupi.

    “Kita akan tampung ketidakcukupan, kelewatan itu dengan meminjam terlebih dahulu sejumlah vaksin daripada kerajaan Selangor disebabkan Selangor dah beli vaksin tetapi tak boleh guna sebab tak ada tempat simpanan.

    “Jika mereka bersedia pinjamkan kepada kita, bila kita dapat vaksin itu nanti, kita akan pulangkan semula kerana bukan tak cukup vaksin tetapi penjadualan ketibaan vaksin sebab ia tertakluk kepada pembekal,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih atas Penzahiran Titah Diraja Sultan Perak Darul Ridzuan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

  • Terengganu buka sektor pelancongan bersyarat bermula 1 September

    Terengganu buka sektor pelancongan bersyarat bermula 1 September

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN Terengganu akan membuka semula sektor pelancongan di negeri ini bermula 1 September ini dengan bersyarat iaitu hanya membabitkan individu yang telah lengkap vaksinasi daripada kalangan rakyat tempatan.

    Sehubungan itu kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, setiap pengusaha dan penggiat pelancongan mestilah mematuhi prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

    Sambil memberi amaran tegas, Ariffin berkata, semua pihak terbabit mestilah mengutamakan tahap keselamatan pengunjung sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan.

    Menurut beliau, pembukaan sektor pelancongan ini adalah membabitkan pulau peranginan terkemuka termasuk Pulau Kapas di Marang, Pulau Redang di Kuala Nerus dan Pulau Tenggol di Dungun, selain Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

    Sebenarnya kata beliau, pulau-pulau tersebut telah dibuka awal bulan ini kepada individu yang lengkap vaksin, namun tiada aktiviti ‘snorkeling’ dan ‘diving’ menyebabkan banyak pengusaha memilih untuk tidak beroperasi.

    “Justeru bermula 1 September aktiviti-aktiviti tersebut akan dibenarkan, namun penggiat dan pelancong perlu mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan,” jelasnya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Solat Hajat Pembukaan Semula Sektor Pelancongan Terengganu Dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Menurut Ariffin, antara SOP yang ditetapkan ialah hanya pelancong dalam negeri dan mereka yang telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan dan pemilik premis perlu mematuhi protokol kesihatan umum bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

    Ujarnya, selaras dengan kebenaran pembukaan semula sektor pelancongan di Terengganu, inap desa dan hotel turut dibenarkan beroperasi.

    Namun begitu menurut Ariffin, zoo, muzium, taman tema dan galeri seni masih tidak dibenarkan beroperasi.

    Menurut beliau, Pulau Perhentian juga tidak dibenarkan dan masih ditutup kerana berlaku kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk di pulau berkenaan sejak minggu lalu.

    Sementara itu, Ariffin memberitahu, berdasarkan data Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Terengganu mengenai kadar purata penginapan hotel bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, Terengganu berada pada tangga ketiga iaitu 35 peratus, selepas Sarawak (62 peratus) dan Perlis (42 peratus).

    “Sementara kadar penginapan hotel bagi begeri ini pula dipacu oleh program kuarantin hotel-hotel bagi pekerja sektor minyak dan gas yang perlu dikuarantin sebelum dan selepas pulang dari pelantar.

    “Lebih kurang 16 daripada 36 hotel di Terengganu yang berdaftar dengan MAH terlibat dalam program kuarantin berkenaan,” jelas beliau.