ATLET paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, terlepas pingat emas apabila kemenangannya dibatalkan selepas dia dianggap tersingkir kerana didakwa lewat masuk ke ‘call room’ sebelum pertandingan dimulakan.
Menurut laman Facebook Team Malaysia, pingat emas itu secara rasmi diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval, yang membuat bantahan selepas kemenangan Ziyad.
Difahamkan protes itu membabitkan tiga atlet termasuk Ziyad yang dikatakan lambat masuk ke ‘call room’ sebelum pertandingan dimulakan.
BELANJAWAN 2022 dirangka berdasarkan tiga keperluan utama dan turut mengambil kira jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik Covid-19 pada tahun depan.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan Pra-Belanjawan 2022 memberitahu, pertama, meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi.
Menurut MOF, langkah itu selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kedua, menentukan kesinambungan dasar. Bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian, kehidupan rakyat dan perniagaan.
“Ketiga memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan
,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Secara keseluruhan belanjawan itu akan memberi fokus untuk terus melindungi, memulihkan kehidupan, mata pencarian rakyat dan perniagaan.
“Begitu juga membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan pasca-pandemik Covid-19,” tambah MOF.
Mengulas lanjut, MOF memaklumkan, Belanjawan 2022 akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang tercicir dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan sama ada rakyat mahupun perniagaan terutamanya pihak yang terjejas teruk disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan tahun ini.
Pada masa sama, MOF memaklumkan Belanjawan 2022 akan disejajarkan bersama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bakal dibentangkan di Parlimen pada September ini.
SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia selepas dilanggar sebuah motosikal semasa dia melintas jalan di Jalan Kuala Krai, dekat Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa, Muhammad Jusoh @ Yusoff, 72, yang juga seorang pesara kerajaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, lelaki warga emas tersebut dipercayai telah melintas jalan secara mengejut di kawasan bukan lintasan pejalan kaki untuk ke kedai farmasi.
Pada masa sama katanya, seorang pemuda berusia 22 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR dari arah Kota Bharu ke Tanjong tidak sempat mengelak, lalu melanggar mangsa.
“Berikutan itu mangsa yang berasal dari Kampung Lubok Jambu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Rahim memberitahu, mangsa mengalami patah kaki kanan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta hadir ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan,” ujar beliau .
SIKAP prihatin dan berjiwa rakyat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini terserlah apabila baginda berkenan mencemar duli menaiki bot meskipun dalam keadaan hujan bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang semasa mengikuti Eksesais PARA Predator siri 1/2021 pada Ahad lepas.
Al-Sultan Abdullah, yang mengenakan seragam tentera darat, mencemar duli menaiki bot disediakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang pada 4.40 petang ketika hujan renyai sebelum bertukar lebat kira-kira 10 minit selepas Seri Paduka menyertai operasi SAR Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa.
Turut menyertai operasi yang berlangsung kira-kira setengah jam sebelum terpaksa ditangguhkan ekoran cuaca semakin buruk ialah Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Pengarah JBPM Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah, yang berangkat tiba di lokasi SAR pada 3.45 petang, turut berkenan mendengar sembah taklimat operasi oleh Wan Mohammad Zaidi selain mencemar duli bertanya khabar kepada isteri mangsa, Nur Aqila Syafiqa Safuan, 23, yang tiba di lokasi pada kira-kira 5 petang.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menaiki bot bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang semasa mengikuti Eksesais PARA Predator siri 1/2021 pada Ahad lepas. – Gambar FACEBOOK ISTANA NEGARA
Mohamad Azrin, 25, dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang pada 4.40 petang Ahad semasa menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang dari Kampung Batu Bor ke Kampung Bohor Baru, yang merupakan sebahagian daripada modul eksesais itu.
Mangsa, yang merupakan anggota tinjau daripada Kompeni PANDURA, dikatakan tenggelam semasa hampir tiba ke tebing sungai dan cubaan rakannya untuk menarik Mohamad Azrin gagal sebelum bapa kepada seorang anak perempuan berusia sembilan bulan itu hilang daripada pandangan.
Eksesais PARA Predator, yang merupakan latihan berskala besar bermula 24 Ogos dan dijadualkan berlangsung selama dua minggu, bertujuan memberikan pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan, gambaran kesiagaan dan keupayaan sebenar atur gerak tentera darat selain mendidik serta berkongsi pengetahuan mengenai peranan tentera dalam aspek keselamatan.
Wan Mohammad Zaidi berkata operasi SAR yang masuk hari ketiga itu membabitkan 116 pegawai dan anggota pelbagai pasukan keselamatan dengan kawasan pencarian diperluas sehingga tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilihat buat kali terakhir.
“Pencarian hari ini juga melibatkan dua anjing pengesan bomba yang dibawa dari Kuala Lumpur untuk membantu tugas Pasukan Penyelamat di Air dari Temerloh, Pekan dan Kuantan. Cuaca yang tidak menentu merupakan cabaran utama selain keadaan sungai yang walaupun kelihatan tenang namun arus di dasar adalah kuat,” katanya.
Turut terlibat dalam operasi itu ialah tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung dengan lebih 20 bot. – Bernama
Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokaliti di Pahang dan Sabah mulai 2 hingga 15 September ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, MKN, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, lokaliti di Pahang melibatkan Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian di mukim Bebar daerah Pekan.
PKDP di Sabah pula katanya melibatkan Kampung Narawang dan Kampung Mininsalu Baru (Pasir Putih) di Ranau.
“Sementara itu, PKPD di Taman Ria Height di Tawau, Sabah yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan bagi tempoh sama sehingga 15 September,” katanya dalam kenyataan perlaksanaan PKPD, hari ini.
Dalam pada itu, PKPD di dua lokaliti di Pahang iaitu Felda Jenderak Utara, Kuala Krau di Temerloh dan Ladang Selbourne, mukim Gua di Lipis serta beberapa kawasan di Sabah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.
Lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Payas-Payas di Kota Belud, Beverly Hills Fasa 3 dan Regency Park (Penampang), Kampung Iburu dan Kampung Meligan (Sipitang), Kompleks Baiduri Ayu, Felda Sahabat 9 (Lahad Datu) serta Perumahan Pekerja Ladang Moynod 1 (Beluran).
PKPD di Kampung Kulambai, Kampung Kulambai Kupang dan Kampung Kulambai Danau di Kota Belud juga ditamatkan Rabu, lebih awal daripada jadual asal pada 4 September.
POLIS melepaskan satu das tembakan ke arah sebuah kereta yang dipandu seorang suspek curi kereta selepas lelaki tersebut cuba meloloskan diri di sekitar Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, dalam kejadian pukul 5 petang itu, anggotanya menghampiri kereta tersebut yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Menuerut Saiful, ketika itu teman wanita lelaki tersebut berada di belakang kenderaan berkenaan mengambil barang di bahagian but.
“Suspek lelaki yang menyedari kehadiran polis terus mengundurkan kenderaan, melanggar serta menggilis teman wanitanya. Teman wanita suspek yang berada di bahagian belakang kereta tersebut cedera akibat digilis.
“Pegawai polis yang berada di hadapan kereta memberi amaran kepada suspek supaya berhenti tetapi lelaki berkenaan terus memecut untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Saiful berkata, bertindak atas maklumat, suspek yang berusia 32 tahun itu berjaya ditahan sekitar jam 7.50 malam di Cyberjaya semalam.
“Hasil soal siasat, suspek telah membawa pihak polis ke beberapa lokasi dan telah berjaya menjumpai sebanyak 11 buah kereta buatan tempatan yang dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara tahun 2019 hingga 2021.
“Nilai rampasan dianggarkan sekitar RM130,000 manakala hasil siasatan awal mendapati suspek mencuri kereta bertujuan untuk menjual alat ganti kereta tersebut di media sosial,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai 17 rekod jenayah mencuri kereta untuk menjual alat ganti tersebut dalam media sosial.
“Semakan mendapati suspek mempunyai sebanyak 17 rekod jenayah manakala teman wanitanya pula mempunyai tiga rekod jenayah. Kedua-dua tangkapan mempunyai rekod dikehendaki atas kesalahan jenayah dan dadah,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
PELUANG untuk Malaysia meraih satu pingat pada Temasya Paralimpik Tokyo 2021 masih bersinar.
Pingat tersebut dijangka disumbangkan oleh pelumba basikal negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam acara perlumbaan lebuh raya Khamis ini.
Sebelum ini, Mohamad Yusof menampilkan kayuhan memberangsangkan dalam acara ujian masa lelaki C1 (kecacatan fizikal) selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa 26 minit 46.5 saat (s) daripada 11 pelumba pada aksi final.
Pelumba Ireland Katie-George Dunlevy-Eve McCrystal muncul juara dengan merekodkan masa 47:32.07s, diikuti dengan perak oleh gandingan Great Britain Lora Fachie-Corrine Hall melakukan catatan 48:32.06s dan gandingan Sweden, Louise Jannering-Anna Svaerdstroem pula gangsa dengan 49:36.06s.
Mikhail Astashov dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia merangkul emas selepas mencatat masa 24:53.37s diikuti Aaron Keith dari Amerika Syarikat dengan catatan 24:55.40s manakala atlet Jerman, Michael Teuber terpaksa berpuas hati dengan gangsa apabila merekodkan masa 24:58.67s.
Sementara itu, Muhammad Hafiz Jamali dan Zuhairie Ahmad Tarmizi terpaksa mengucapkan selamat tinggal dalam penampilan pertama mereka di pentas Paralimpik tanpa membawa pulang sebarang pingat.
Muhammad Hafiz yang menyertai acara ujian masa lelaki C5 (kecacatan fizikal) sekadar mengakhiri perlumbaan di tangga ke-12 manakala Zuhairie tidak berjaya menamatkan perlumbaan.
Emas milik pelumba Belanda, Daniel Abraham Gebru yang merekod masa 42:46.45s, perak pula diraih Yegor Dementyev dari Ukraine dengan catatan 43:19.11s dan gangsa diraih Alistair Donohoe dari Australia yang melakukan catatan 43:36.80s
PULAU Langkawi dijangka akan kembali dibuka untuk sektor pelancongan bermula 16 September depan, bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan itu bagaimanapun bergantung kepada laporan kemajuan disediakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.
“Soal vaksinasi telah selesai namun kita berdepan masalah dengan jumlah kes harian. Kalau kes harian dapat diturunkan di bawah 10, kita akan buka Langkawi dengan prosedur operasi standard (SOP) ditentukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Semalam saya ada mesyuarat khas bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan kita menjangkakan Langkawi dapat dibuka pada 16 September depan. Alangkah baiknya jika kita dapat membuka Langkawi pada sambutan Hari Malaysia itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengunjungi Pusat Operasi Bencana Perikatan Nasional (PN) Yan di Kampung Acheh, Yan, hari ini.
Semalam Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, Langkawi disasarkan untuk menjadi destinasi pelancongan pertama dibuka kepada orang ramai sekali gus membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.
Menurut Nancy, pulau legenda itu menjadi pilihan kerana lokasinya yang tertumpu dan tertutup sekali gus menjadikannya mudah dikawal.
Muhammad Sanusi menambah, bagi pihak kerajaan negeri pihaknya sudah pun melakukan beberapa persediaan termasuk dari aspek pengangkutan ke Langkawi.
“Setakat ini kita sudah tentukan 10 trip Feri ke Langkawi dalam tempoh sehari sekiranya pulau itu dibuka iaitu enam dari Kuala Perlis dan empat dari Kedah selain 10 trip penerbangan sehari.
“Semua itu sudah diaturkan dan kerajaan negeri amat mengharapkan kerjasama serta bantuan semua pihak agar usaha ini dapat berjalan lancar,” katanya.
TINDAKAN seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ membawa padah, apabila dia ditahan polis dalam Operasi Ambang Merdeka di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu malam tadi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man, operasi tersebut dilakukan anggotanya bermula pukul 9 malam hingga 3 pagi.
Katanya, remaja tersebut dilihat menunggang motosikal secara berbahaya dalam satu kumpulan dan tindakan pantas anggota bertugas berjaya menahannya pada pukul 11 malam.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut Ismail, pada masa sama, dua buah motosikal turut disita dalam operasi tersebut kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 APJ 1987.
Beliau berkata, operasi dijalankan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di kawasan pusat bandar.
“Sebenarnya operasi malam tadi lebih kepada pencegahan bagi memastikan tiada penganjuran aktiviti dilakukan sempena Malam Ambang Merdeka terutama berkumpul beramai-ramai yang sekali gus melanggar SOP,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang dikategorikan boleh melanggar SOP dan mereka yang ada maklumat mengenai aktiviti berkenaan boleh menghubungi pihak berkuasa.
BEBERAPA langkah akan diambil kerajaan dalam usaha meningkatkan hasil cukai antaranya melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan hari ini memberitahu, kerajaan meniliti untuk melaksana Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung yang ditadbir Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
JelaS MOF, melalui program itu, pembayar cukai digalakkan tampil secara sukarela bagi mengikrarkan apa-apa cukai yang tidak dilaporkan, terkurang atau tersilap dilaporkan kepada JKDM.
“Langkah lain ialah memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai sebagai satu prasyarat baharu yang perlu dipatuhi oleh penender semasa mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan selain mengkaji semula layanan cukai yang dikenal pasti mempunyai elemen ketirisan hasil atau amalan yang menjejaskan serta melaksanakan nombor pengenalan cukai (TIN).
“Kerajaan sedar bahawa persekitaran pelaburan yang kondusif sama ada bagi pelaburan langsung asing atau pelaburan langsung domestik merangkumi banyak aspek, termasuk kestabilan ekonomi dan politik, dasar yang konsisten dan telus, pasaran buruh yang efisien, tahap kemudahan infrastruktur, tadbir urus yang mantap, rangka perundangan yang kukuh dan kualiti hidup yang selesa di Malaysia,” menurut MOF.
Menurut MOP, insentif fiskal termasuk cukai merupakan antara faktor penarik pelaburan berkenaan, namun ia boleh memainkan peranan penting sebagai alat dasar yang strategik.
Mengenai pengurusan ketirisan hasil kata MOF, kerajaan komited menangani isu ketirisan hasil terutama yang melibatkan aktiviti penyeludupan barangan berduti tinggi yang dianggar berjumlah RM5 bilion.
Pasukan Kerja Pelbagai Agensi yang dipengerusikan oleh MOF sebagai sebuah platform bagi merangka strategi membendung aktiviti penyeludupan telah diperkasakan melalui penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.
Kerajaan juga telah melaksanakan langkah memperketat kawalan ke atas pelesenan dan pengimportan rokok dan produk tembakau dengan membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu, memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui pengenaan kuota import, mengehadkan aktiviti pemindahan rokok ke kapal di pelabuhan tertentu sahaja di samping menjadikan rokok dan produk tembakau sebagai barangan berduti di semua pulau bebas cukai.
Menurut MOF, selain itu, kerajaan telah memperkemas definisi syarikat berkaitan bagi tujuan tuntutan bantuan kumpulan, mengenakan penalti ke atas kegagalan menyediakan dokumen Pindahan Harga dan menetapkan keperluan pembayar cukai bagi menjelaskan cukai sebelum memulakan apa-apa prosiding terhadap kerajaan/ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.