Author: Admin

  • Sebar berita tidak benar tentang vaksin, suri rumah didenda RM12,000

    Sebar berita tidak benar tentang vaksin, suri rumah didenda RM12,000

    PADAH menyebarkan berita tidak benar tentang vaksin menerusi hantaran video dalam aplikasi Facebook, seorang suri rumah hari ini didenda RM12,000 atau dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Tengku Noor Azlin Wa Kembang Tengku Azizan, 46, selepas dia mengaku bersalah menyebarkan berita tidak benar melalui hantaran video bertajuk ‘Siapa yang dah daftar! Lelaki ini bongkar bahayanya vaksin COVID-19?’ dalam Facebook.

    Dia mengaku menyebarkan video berkenaan dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam melalui aplikasi Facebook dengan nama profil ‘Kak Siti Wakembang’ pada 11.44 malam, 25 Mei lepas. 

    Hantaran itu kemudian dibaca pada 8.30 pagi, 3 Jun di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya dan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Edwin berkata kesalahan dilakukan Tengku Noor Azlin Wa Kembang berkemungkinan mendatangkan kegusaran kepada orang awam sekali gus membantutkan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

    “Tempoh masa kesalahan dilakukan adalah pada masa kerajaan sedang bertungkus lumus dalam menjalankan program vaksinasi secara menyeluruh untuk membasmi penularan wabak COVID-19,” kata hakim itu.

    Tengku Noor Azlin Wa Kembang yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja dan tidak berniat untuk menjadikan video itu tular.

    “Saya mengaku bersalah…dalam kes ini niat saya hanyalah untuk mendapatkan komen sahabat-sahabat saya dan berikan pendapat mereka pada video itu,” katanya.

    Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum kerana perbuatannya boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang awam ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.- BERNAMA

  • Bapa tiri, ibu kandung didakwa dera anak

    Bapa tiri, ibu kandung didakwa dera anak

    SEPASANG suami isteri yang juga bapa tiri dan ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan mendera kanak-kanak itu, bulan lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berusia, 23, dan isterinya berusia 17 tahun, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

    Mengikut pertuduhan, Muhammad Afiq yang bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak dan isterinya didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap anak wanita itu sehingga mangsa mengalami kecederaan di kepala, mata, badan dan tapak kaki.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Felda Bukit Jalor Aks, Ayer Kuning Selatan, Tampin, pada 3 hingga 25 Ogos lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah membenarkan Muhammad Afiq diikat jamin RM10,000 manakala isterinya RM6,000 berserta syarat tambahan yakni perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis terdekat dan sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Sept depan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christhoper Enteri Anak Mawan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Syafiq Stewart Abdullah.- BERNAMA

  • 32 ADUN Terengganu dinasihat tidak rentas negeri selama 14 hari

    32 ADUN Terengganu dinasihat tidak rentas negeri selama 14 hari

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEPANJANG 14 hari persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berlangsung bermula 13 September ini, kesemua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dinasihatkan berada di kawasan masing-masing dan tidak rentas negeri.

    Speaker DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali berkata, langkah itu bertujuan bagi memastikan tiada berlaku penularan Covid-19 yang dikhuatiri boleh mengganggu persidangan .

    ”Nasihat itu perlu diberi perhatian mengambil kira kemungkinan penularan varian Beta dan Delta ,” katanya menerusi sidang media secara atas talian di Kuala Terengganu, hari ini.

    Yahya berkata, persidangan DUN bagi mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN ke-14 selama tiga hari minggu hadapan hanya ADUN dan petugas sahaja berada di dalam dewan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

    Beliau berkata, ia adalah selaras dengan garis panduan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun Terengganu kini berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Katanya, Sidang DUN bermula pukul 9.30 pagi hingga 1 tengah hari.

    “Ketua jabatan pula diminta mengikuti secara atas talian bagi mengelak 3S (sesak, sempit dan sembang jarak yang dekat). Kesemua mereka juga diwajibkan mengambil dua dos suntikan vaksin dan menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum sidang DUN berlangsung iaitu pada 9 September selain menjalani ujian pengesanan Covid-19 RTK-Antigen (Saliva Test) setiap hari sepanjang sidang,” ujarnya.

    Sementara itu beliau memberitahu, perkembangan sidang DUN boleh diikuti secara langsung melalui platform media kerajaan negeri seperti Portal Rasmi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan TV Darul Iman.

    “Wakil media yang membuat liputan sepanjang sidang DUN perlu berada di tempat khas dan tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan. Sidang media atau temubual oleh pemberita boleh dibuat di tempat yang dikhaskan sahaja,” jelas beliau.

  • Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui

    Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui

    MEREKA yang dalam tempoh rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tidak perlu bimbang kerana akan menerima Bantuan Khas COVID-19 (BKC), selepas keputusan rayuan diketahui hujung bulan ini. 

    Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan mendengar keluhan segelintir rakyat yang resah apabila mengetahui pemberian BKC kepada golongan B40 adalah berdasarkan data lulus BPR, memandangkan mereka masih berada dalam tempoh rayuan. 

    “Jika mereka lulus rayuan dengan kelayakan sedia ada, mereka juga layak menerima BKC. Jika tidak layak (menerima BPR), kita akan menggunakan kaedah silang data untuk semak dengan data percukaian dan jika memenuhi syarat M40, mereka juga tidak terkecuali untuk menerima bantuan ini. 

    “Kita sedaya upaya memastikan mereka yang terkesan dengan pandemik ini dibantu menerusi pelbagai kaedah diberikan kerajaan, namun bantuan ini juga mesti mematuhi syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BKC di sebuah bank di Triang di sini hari ini. 

    Mohd Shahar mengakui pandemik yang tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini, juga menyebabkan berlaku situasi mereka dalam kategori T20 berubah menjadi M40, sekali gus layak untuk menerima bantuan kerajaan, jika memenuhi syarat. 

    Sehubungan itu, kementerian sentiasa melaksanakan proses semak dan imbang untuk mengemas kini data bagi mengurangkan risiko mereka yang layak tercicir, mengambil kira bantuan diberikan adalah secara bersasar dan berperingkat. 

    BKC dijadualkan dibuat pada September, November dan Disember. 

    Selain itu, Mohd Shahar berharap penerima BPR membuat semakan akaun bank kerana didapati masih ada yang tidak menyedari BKC dikreditkan ke akaun mereka kerana berpandangan tidak membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan tunai tersebut.  

    Pada 1 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian BKC fasa satu bermula hari ini, dijangka memanfaatkan 10 juta penerima B40 dan M40 yang layak, terdiri daripada 4.4 juta isi rumah,  warga emas (1.1 juta) dan bujang (4.5 juta) dengan peruntukan RM3.1 bilion. 

    Katanya, BKC pada awalnya dijadualkan pada Ogos lepas namun kelewatan berlaku disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan, sebelum perdana menteri mengarahkan pembayaran disegerakan sebaik sahaja Kabinet baharu memulakan kerja. 

    “Kita mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk memberi bantuan dan kerajaan menggunakan konsolidasi fiskal untuk kita melihat secara keseluruhan perbelanjaan dan penggunaan kewangan negara yang lebih kepada rakyat bagi membantu mereka,” katanya.

    Secara keseluruhan, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM17.1 bilion pada tahun ini bagi pelaksanaan  Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) telah dan akan diberikan kepada mereka yang layak. – BERNAMA 

  • Anak lelaki Muammar Gaddafi dibebaskan dari penjara

    Anak lelaki Muammar Gaddafi dibebaskan dari penjara

    ANAK pemimpin Libya yang digulingkan Muammar Gaddafi telah dibebaskan dari penjara di Tripoli, kata sumber keselamatan pada Ahad.

    Al-Saadi Gaddafi, 48, dibebaskan melalui keputusan oleh Ketua Pendakwaraya Libya dan persetujuan Perdana Menteri Abdul Hamid Dbeibeh.

    Beliau kemudian meninggalkan negara itu untuk berpindah ke Turki, lapor Agensi Anadolu.

    Al-Saadi, yang pernah menyandang jawatan dalam pengurusan aktiviti sukan negara itu semasa tempoh Gaddafi, dan bermain dengan pasukan bola sepak kebangsaan Libya.

    Beliau melarikan diri ke Niger selepas kejatuhan rejim Gaddafi pada 2011 namun dibawa kembali ke Libya untuk dibicarakan pada 2014 atas tuduhan penyelewengan semasa menerajui Persekutuan Bola Sepak Libya.-BERNAMA

  • Sesi persekolahan pelajar tingkatan 5,6 di Labuan bermula 3 Okt.

    Sesi persekolahan pelajar tingkatan 5,6 di Labuan bermula 3 Okt.

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bersetuju untuk membuka semula sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan di sini, mulai 3 Okt depan dengan fasa pertama melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan itu dibuat setelah menilai bahawa pulau bebas cukai ini adalah satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan jangkitan COVID-19 yang dapat dikawal.

    “Memandangkan Labuan telah memasuki Fasa 4 PPN, sekolah-sekolah dapat dibuka kembali pada 3 Okt bagi Tingkatan 5 dan 6, dan pembukaan semula sekolah di pulau ini akan dilakukan secara berperingkat,” katanya pada sidang media setelah perjumpaan dengan guru besar sekolah dan pengetua di Labuan, bertempat di dewan konvensyen sebuah resort di sini, hari ini.

    Katanya, fasa kedua sekolah akan dibuka semula melibatkan pelajar lain (murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah Tingkatan 1, 2, 3 dan 4) dengan kapasiti (kehadiran) 50 peratus akan dilakukan dalam tempoh dua minggu akan datang (selepas 3 Okt) melalui kaedah ‘flip Classroom’.

    Radzi berkata KPM telah menerima input dan pandangan mengenai cadangan pembukaan semula sekolah dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan semalam (5 Sept), yang dianggotai oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari dan Pengerusinya Rithuan Ismail.

    “Saya telah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil sekolah termasuk pengetua dan guru besar serta wakil dari pelbagai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam satu slot libat urus untuk mendapatkan input dan persetujuan mereka bagi membuka semula sesi persekolahan.

    “Sebagaimana saya sebutkan sebelum ini, sekolah yang dibuka semula di seluruh negara akan mengambil kira fasa-fasa pemulihan di bawah PPN,” katanya.

    Menurut Radzi pembukaan sesi persekolahan di Labuan itu juga sejajar dengan pembukaan semula sektor ekonomi di bawah Fasa 4 PPN.

    “Kami mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum memutuskan sesi persekolahan dibuka semula di Labuan …pastinya dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat … kita perlu memberi penekanan bahawa sekolah yang dibuka semula di sini adalah selamat,” katanya.

    Radzi berkata sebelum 3 Okt depan, kemungkinan akan terdapat negeri lain yang beralih kepada Fasa 4 PPN dan membolehkan sekolah di negeri berkenaan dibuka semula.- BERNAMA

  • Lukisan dipercayai berusia beribu tahun ditemukan di Gua Kanthan

    Lukisan dipercayai berusia beribu tahun ditemukan di Gua Kanthan

    SEBUAH persatuan warisan menemukan lukisan gua yang dianggarkan berusia antara 2,500 hingga 4,000 tahun di Gua Kanthan, Chemor di sini.

    Pelbagai lukisan terdapat pada dinding dan lelangit gua tersebut seperti diconteng arang hitam dan berwarna merah berbentuk kapal, manusia, matahari, haiwan serta turut dijumpai kulit siput dipercayai jenis ‘Brotia Spinola’ dan rangka tuntung.

    Penasihat Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) Ching Boon Tat berkata lukisan itu ditemukan semasa beliau serta dua rakannya sedang menjalankan eksplorasi di kawasan berkenaan, dua minggu lepas.

    “Ini merupakan lukisan gua yang pertama djumpai di Gua Kanthan. Lukisan itu masih cantik dan tidak terjejas langsung. Berkemungkinan gua ini dahulu menjadi penempatan manusia zaman Neolitik.

    “Kami menemukan lukisan berbentuk kapal sepanjang kira-kira 150 sentimeter dengan 10 orang berada di atas kapal itu selain lukisan berbentuk matahari dan haiwan seperti biawak dan ayam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Ching berkata pihaknya berharap penemuan lukisan itu dapat dikaji dengan lebih lanjut dan terperinci oleh pakar sejarah yang berkaitan supaya mendapat maklumat lebih tepat dan mengumpul bukti mengenainya selain mengharapkan supaya tinggalan arkeologi itu dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya.

    “Kami tidak membuat kajian saintifik atau kajian khas sebaliknya hanya melakukan kajian secara umum dengan ahli persatuan sepenuhnya tanpa pembabitan daripada pengkaji sejarah. Lukisan ini perlu diukur dan dikaji dengan lebih terperinci dari segi pentarikhan dan sebagainya,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Arkeologi Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Saw Chaw Yeh ketika dihubungi berkata kajian secara menyeluruh perlu dilakukan bagi mengetahui dengan lebih tepat usia lukisan berkenaan.

    Beliau berkata secara umumnya, khususnya di Asia Tenggara lukisan gua yang berwarna merah telah wujud pada zaman Neolitik manakala lukisan seperti diconteng arang hitam berkemungkinan telah berusia beratus tahun.

    “Setakat ini tiada apa yang kita boleh kenal pasti untuk kaitkan lukisan itu dengan zaman yang mana satu. Ini kerana setakat ini isu utama ialah tidak ada ikon atau simbol yang boleh bantu dalam penentuan tarikh lukisan itu.

    “Kebiasaannya, orang zaman purba menggunakan sejenis batu ‘hematite’ yang kebanyakannya digunakan di gua batu kapur di Malaysia dan kemungkinan ketika itu mereka mencampurkan darah atau buah-buahan untuk melukis,” katanya.- BERNAMA

  • Tentera Darat tahan 28 PATI ceroboh negara

    Tentera Darat tahan 28 PATI ceroboh negara

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    CUBAAN 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia memasuki negara melalui jalan laut berjaya dipatahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mengesan pergerakan bot mencurigakan di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar, di Kota Tinggi, semalam.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota petugas Pos Pemerhati mengesan bot berkenaan pada pukul 1.30 pagi sebelum menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) menjejakinya.

    “Hasil penjejakkan yang dilakukan telah mengesan 26 PATI sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio-Desaru) dan berjaya ditahan sekitar pukul 2.30 pagi.

    “Selang tiga jam kemudian, dua lagi PATI ditahan di lokasi berhampiran,” menurut kenyataan berkenaan hari ini.

    Jelas kenyataan itu lagi, kesemua mereka terdiri daripada 25 lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 51 tahun dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

    Seramai 28 PATI warga Indonesia ditahan dalam Op Benteng di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

    Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM17,575 melibatkan RM1,004 dan 27,052,000 Rupiah Indonesia (RM 7,870.80) selain 23 buah telefon bimbit.

    “Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

    “Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

    Sementara itu, TDM sentiasa bersedia mengawal dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara.

    Kerjasama agensi-agensi dalam Op Benteng akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

  • 23 nelayan langgar syarat lesen, ikan RM3 juta dirampas

    23 nelayan langgar syarat lesen, ikan RM3 juta dirampas

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PADAH akibat melanggar syarat lesen menangkap ikan, seramai 27 nelayan ditahan ketika sedang melakukan aktiviti berkenaan pada jarak kurang 12 batu nautika dari Kuala Merchang, Marang, awal pagi semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, 22 nelayan yang ditahan kerana melanggar syarat lesen itu merupakan warga tempatan, manakala lima lagi adalah warga Myanmar.

    Katanya, mereka ditahan di dalam dua buah bot pukat jerut dan pukat tunda kelas C antara pukul 1 hingga 4.30 pagi di lokasi tersebut.

    Beliau memberitahu, penahanan itu dibuat berdasarkan operasi pemantauan, pengawalan dan survelan (MCS) oleh Unit Perlindungan Sumber Perikanan Terengganu di kawasan perairan Pulau Kapas hingga Dungun.

    Justeru ujarnya, kesemua kru dan dua bot yang berpangkalan di Kuala Besut dan Kuantan, Pahang itu dibawa masuk ke Pangkalan Perlindungan Sumber Pulau Kambing untuk tindakan lanjut.

    ” Selain itu, kita turut menyita dua bot dan hasil tangkapan sebanyak 4,000 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Menurut Ruzaidi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan kompaun.

    “Pemantauan dan tindakan akan dilakukan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang melanggar peraturan ditetapkan.

    “Malah, kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi Akta Perikanan 1985,” jelas beliau.

  • Muhyiddin paling sesuai ketuai MPN pulihkan negara

    Muhyiddin paling sesuai ketuai MPN pulihkan negara

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TAN Sri Muhyiddin Yassin merupakan pemimpin yang sesuai untuk menerajui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam usaha untuk memulihkan Malaysia baik dari segi kesihatan atau ekonomi.

    Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor (PAMJ), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, faktor pertama adalah kerana Muhyiddin merupakan bekas Perdana Menteri yang merancang terlebih dahulu usaha pemulihan negara.

    Katanya, kesinambungan tugas Ahli Parlimen Pagoh itu akan memudahkan perancangan yang dibuat selama ini dapat diteruskan serta diselaraskan dengan baik bagi memastikan usaha pemulihan tercapai.

    “Pengalaman luas Tan Sri Muhyiddin memimpin negara ketika Malaysia mula berdepan pandemik Covid-19 akan dilihat dan diyakini rakyat untuk beliau meneruskan tugas di MPN dengan lancar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Pada Sabtu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.

    Menurut Mohd. Zuki, pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN adalah untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

    Sementara itu, Syed Hussien berharap, MPN dapat melihat kembali langkah membuka tempat pelancongan terutama Pulau Langkawi pada 16 September ini yang dilihat tidak selari dengan larangan merentas negeri atau pun daerah di Kedah.

    Ujarnya, ketidakseragaman itu hanya akan memberi impak kepada pengusaha pelancongan dan sektor-sektor berkaitan yang mungkin membuat persediaan untuk menerima kehadiran pelancong.

    “Bagaimana orang nak pergi melawat sedangkan pembukaan sempadan negeri dan daerah pun belum dibuat, MPN perlu lihat semula perkara ini, orang akan ketawa kerana pelaksanaan tidak seragam dengan keadaan semasa.

    “MPN perlu juga lihat keperluan membuka sempadan negara terutama Johor-Singapura yang memiliki banyak kepentingan utama termasuk ekonomi dan pekerjaan rakyat kita sendiri.

    “Kedua-dua negara hendaklah kena ada hubungan komprehensif melalui Kementerian Luar, tetapkan tarikh gelembung perjalanan untuk memudahkan mereka yang berulang alik bukannya pergi tetapi perlu menjalani kuarantin dalam tempoh lama,” katanya.

    Sementara itu, Syed Hussien memuji sifat kepemimpinan Muhyiddin yang mengumumkan tidak akan mengambil sebarang imbuhan sepanjang menjadi Pengerusi MPN seperti diumumkan beliau.

    “Beliau seorang yang berprinsip yang kita lihat sesuatu luar biasa kerana saya percaya tidak ramai pemimpin ada, inilah contoh pimpinan yang kita harapkan dan tidak pentingkan politik semata-mata sesuai dengan latar belakang agama dimiliki beliau,” ujarnya.