Author: Admin

  • Johor catat potensi pelaburan RM5.521 bilion tahun ini

    Johor catat potensi pelaburan RM5.521 bilion tahun ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PELAN Induk Pelaburan Negeri Johor 2020-2030 yang akan dilaksanakan Invest Johor bakal menjadi rujukan tambahan selain daripada Pelan Pembangunan Mampan Ekonomi Negeri Johor (2020-2030).

    Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, pelan tambahan strategik itu dapat membantu usaha penambahbaikan halatuju dan strategi dalam menarik aktiviti pelaburan berkualiti tinggi.

    “Invest Johor dan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) giat melaksanakan pelbagai inisiatif mengekalkan pelaburan sedia ada selain mempergiatkan usaha memastikan Johor menjadi destinasi pelaburan utama.

    “Setakat 1 September 2021, nilai kumulatif pelaburan yang berpotensi dibawa masuk ke Johor pada tahun ini dijangka mencecah nilai RM5.521 billion yang hanya menunggu masa untuk memeterai dokumen perjanjian,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Dalam pada itu, Beliau berkata, setakat 27 Ogos lalu terdapat sebanyak 12,000 kekosongan pekerjaan yang ditawarkan Pertubuhan keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negeri.

    “Berdasarkan rekod, bilangan individu di Johor yang hilang pekerjaan dalam tempoh antara Januari hingga 13 Ogos 2021 adalah seramai 3,915 orang dan daripada jumlah tersebut seramai 2,122 adalah lelaki dan 1,793 adalah perempuan.

    “Industri pembuatan merupakan sektor yang menyumbang jumlah kehilangan pekerjaan yang tertinggi iaitu melibatkan seramai 1,278 orang pekerja,” ujarnya.

  • RMK-12-Pemulihan ekonomi Malaysia lebih kukuh dalam Keluarga Malaysia

    RMK-12-Pemulihan ekonomi Malaysia lebih kukuh dalam Keluarga Malaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH

    RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan pada 27 September ini di Dewan Rakyat akan memberi tumpuan kepada pemulihan dan pembangunan semula ekonomi Malaysia.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tumpuan itu sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) sekali gus dapat meningkatkan pendapatan, melenyapkan kadar kemiskinan di negara ini dan mengurangkan jurang pembangunan diantara negeri dan wilayah.

    “Cabaran yang kami hadapi dalam 18 bulan terakhir ini tentunya juga memberikan peluang untuk mengkaji semula dasar dan strategi kami.

    “Keutamaan kami adalah membina semula lebih baik, untuk membina semula ekonomi Malaysia, meletakkan Malaysia pada ekonomi yang lebih kukuh bertapak dan membina ekonomi yang lebih kompetitif,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan webinar bertajuk ‘The Twelfth Plan: Developing the Nation in the Spirit of Keluarga Malaysia’ secara dalam talian, hari ini.

    Mustapa berkata, beberapa keutamaan turut disandarkan dalam tempoh 10 tahun menerusi RMK-12.

    “Keutamaan kami dalam 10 tahun akan datang adalah seperti berikut, menambah pendapatan, menghilangkan kemiskinan mutlak dan mengurangkan pembangunan jurang antara negeri dan wilayah.

    “Memastikan pertumbuhan berkualiti yang berterusan tanpa kompromi alam sekitar, menciptakan persekitaran dasar yang kondusif untuk sektor swasta, pelabur tempatan dan asing,” katanya.

    Menurutnya, turut diberi, RMK-12 juga akan memastikan pertumbuhan dan perkembangan yang inklusif dan akan menghasilkan perpaduan dalam kalangan rakyat sejajar dengan konteks Keluarga Malaysia.

  • Legenda bola sepak Pele jalani pembedahan usus

    Legenda bola sepak Pele jalani pembedahan usus

    LEGENDA bola sepak Brazil yang memenangi tiga kali piala dunia, Pele pada Isnin mengesahkan telah menjalani pembedahan usus, lapor Sputnik.

    Pele dimasukkan ke hospital untuk menjalani saringan kesihatan di Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, pada 31 Ogos dan didapati mempunyai tumor. 

    “Terima kasih buat mereka yang mendoakan. Saya bersyukur kerana masih di dalam keadaan yang baik dan berpeluang dirawat oleh Dr Fabio dan Dr Miguel.

    “Sabtu lalu saya menjalani pembedahan membuang tumor di usus kanan.

    “Saya akan harungi ujian ini dengan senyum, optimis dan gembira dikelilingi keluarga tercinta dan sahabat handai,” katanya menerui akaun Instagramnya.

    Penjaring gol terbanyak sepanjang zaman itu bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-81 pada Oktober.- BERNAMA

  • Kanak-kanak autisme ditemukan terapung di Lombong

    Kanak-kanak autisme ditemukan terapung di Lombong

    SEORANG kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun dipercayai hilang petang semalam selepas keluar dari rumahnya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru, Gopeng dekat sini ditemukan terapung di tepi sebuah lombong, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid ditemukan pasukan operasi mencari dari Balai Polis Gopeng dalam jarak kira-kira 80 meter dari rumah keluarga mangsa pada pukul 9.45 pagi.

    “Mayat mangsa dibawa naik oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal mangsa telah dibuat dan didapati tiada elemen jenayah.

    “Pengecaman mayat telah dibuat oleh keluarga mangsa. Mayat dihantar ke Hospital Kampar bagi tujuan bedah siasat dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Hasron Nazri berkata seorang kanak-kanak autisme dengan masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap, disedari hilang oleh ibunya kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

    Beliau berkata pakaian terakhir mangsa sebelum hilang adalah berbaju T-shirt BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang.- BERNAMA

  • UMNO perlu hentikan penindasan terhadap pemimpin muda bersuara, contohi Bersatu

    UMNO perlu hentikan penindasan terhadap pemimpin muda bersuara, contohi Bersatu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO perlu menghentikan segala penindasan terhadap pelapis pimpinan muda mereka.

    Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Muhammad Zulfadhly Zulkifly berkata, ini termasuk tindakan memecat atau menggantung keahlian mereka.

    Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu Bahagian Sri Gading berkata, tindakan itu tidak wajar dilakukan hanya kerana mereka melontarkan pendapat yang baik demi agama, bangsa dan tanah air tetapi bercanggah dengan pendapat Presiden UMNO.

    “UMNO juga boleh mencontohi corak kepimpinan Bersatu yang sentiasa membuka ruang kepada anak muda dan pelapis baru di mana kita ada Timbalan Presiden yang berumur 51 tahun dan Naib Presiden berumur 35 tahun.

    “Ini termasuk banyak lagi pimpinan muda lain diangkat ke peringkat tertinggi kepimpinan Bersatu yang mana saya sendiri juga sewaktu diangkat menjadi Exco Pemuda Bersatu Malaysia pada usia 25 tahun pada pemilihan parti tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau mengulas tindakan UMNO yang menggantung keahlian Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo selepas membuat saranan supaya orang Melayu bersatu.

    Menurut Papgomo, beliau hanya membuat saranan tersebut dan bukan menyeru ahli UMNO untuk menyertai Bersatu.

    Mengulas lanjut, Muhammad Zulfadhly menyambut baik kenyataan dikeluarkan Papagomo itu yang menyatakan pendirian tiada salahnya jika UMNO bekerjasama dengan Bersatu .

    “Saya menyambut baik saranan Papagomo kepada ahli UMNO ini dengan perasaan gembira dan besar hati.

    “Ini kerana akhirnya orang Melayu akan dapat disatukan semula dengan adanya kerjasama. Segala perselisihan pendapat dan perselisihan fahaman antara kedua-dua parti besar Melayu ini dapat diatasi, lantas bergerak di bawah satu wadah perjuangan yang sealiran,” katanya.

  • Wujudkan inisiatif skim jaminan pekerjaan atau bank pekerjaan

    Wujudkan inisiatif skim jaminan pekerjaan atau bank pekerjaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN disarankan agar mewujudkan inisiatif skim jaminan pekerjaan atau Job Bank (bank pekerjaan) sebagai usaha kelangsungan ekonomi negara buat jangka masa panjang.

    Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, menerusi pelaksanaan tersebut, kerajaan tidak akan bergantung kepada peluang pekerjaan di sektor swasta semata-mata.

    “Sambil merancang pembukaan dan kelonggaran itu, kerajaan mesti memerangi pengangguran dengan dasar tuntas.

    “Saya mengesyorkan sekali lagi skim jaminan pekerjaan atau Job Bank di mana kerajaan tidak mengharapkan swasta sahaja untuk mencipta kekosongan pekerjaan, tetapi dalam jangka pendek dan sederhana kerajaan beraksi lebih terus yakni menyediakan dan membiayai peluang pekerjaan yang sepatutnya.

    “Selain itu, sebarang usaha menjana aktiviti perniagaan harus dilaksanakan segera seperti mempermudah birokrasi yang mengekang peniaga dan penjaja melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Shahril berkata, strategi pengukuhan ekonomi makro dan ekonomi rakyat mesti lebih menyeluruh ketika negara bakal berdepan ke fasa endemik kerana menyedari bantuan wang tunai hanya bersifat sementara.

    “Sampai bila hendak bergantung hanya kepada tunai dan keluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang jumlah simpanannya pun semakin mengecil. Seramai 4.5 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM5,000.

    Selesai i-Citra, tidak mustahil lebih sejuta pencarum tinggal hampir RM0.

    “Lebih 750,000 orang menganggur dan kebanyakannya orang muda.

    Mereka tidak menolak wang tunai atau kampit beras, tetapi mereka lebih mahukan peluang kerja dan peluang berniaga.

  • UPKK ditangguhkan ke 15 hingga 18 November

    UPKK ditangguhkan ke 15 hingga 18 November

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memaklumkan, Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Oktober ini bagi calon 2020 dan 2021 ditangguhkan.

    Beliau berkata, ujian tersebut ditangguhkan ke 15 hingga 18 November ini dan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa.

  • Unit K9 digerak kesan kanak-kanak OKU hilang di Gopeng

    Unit K9 digerak kesan kanak-kanak OKU hilang di Gopeng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Kinta Baru Gopeng, Perak, semalam.

    Kehilangan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran dan bisu itu disedari keluarganya pada pukul 6.30 petang.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Hasron Nazri Hashim berkata mangsa, Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid seorang kanak-kanak autisme dengan masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap, disedari hilang oleh ibunya.

    “Polis telah menemubual ibu mangsa, Nur Shamimi Abdul Malek yang menyatakan telah menyedari anak lelakinya itu tiada di ruang tamu rumah dan terus mencari di taman hadapan rumah pada jarak kira-kira 50 meter daripada rumah.

    “Namun, setelah hampir 10 minit mencari tetapi tidak berjumpa. Kemudian ibu mangsa balik ke rumah dan meminta bantuan daripada jirannya untuk mencari di sekitar taman perumahan itu lebih kurang 10 minit, tetapi masih tidak berjumpa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati pintu depan rumah dan pintu pagar terbuka serta tidak berkunci semasa kejadian.

    Hasron Nazri berkata, pakaian terakhir mangsa sebelum hilang adalah berbaju T-shirt BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang.

    Beliau berkata Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak tiba di tempat kejadian pada pukul 12.10 tengah malam tadi, selepas pihaknya menerima laporan pada pukul 10.07 malam.

    “Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • 5.49 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar seluruh dunia

    5.49 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar seluruh dunia

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATA terbaharu Johns Hopkins University (JHU) memaklumkan, lebih 5.49 bilion dos vaksin Covid-19 sudah disuntik di seluruh dunia sehingga semalam.

    Menurut data tersebut, China mendahului dengan lebih 2.10 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Ini diikuti India dengan sebanyak 698 juta dos vaksin dan Amerika Syarikat dengan lebih 373 juta dos.

    Negara lain yang mencatat jumlah melebihi 100 juta dos vaksin didaftarkan adalah Brazil, Jepun dan Jerman.

    Turki dan United Kingdom pula masing-masing mencatatkan lebih 90 juta dos vaksin didaftar atau disuntik.

    Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 105 juta, jauh meninggalkan negara lain.

    Ini diikuti Malaysia (lebih 36 juta dos), Filipina dan Thailand (35 juta dos) dan Singapura di tangga kelima dengan lebih 8 juta dos.

  • Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Penampang

    Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Penampang

    EMPAT sekeluarga terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan, ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di Taman Hungap, di sini awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.52 pagi, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.40 pagi.

    Beliau berkata mangsa kebakaran dikenal pasti sebagai pasangan Matthew Wong, 50; dan Jecky Vun Kon Fung, 48; bersama dua anak mereka Brendan Wong, 18; dan Eric Wong, 15.

    “Pada awalnya kita diberitahu jiran mungkin penghuni rumah itu masih di dalam dan selepas JBPM berjaya mengawal kebakaran dan membuat pemeriksaan kebakaran rumah tersebut, empat mangsa itu ditemukan rentung kira-kira 5 pagi tadi.

    “Operasi di tempat kejadian ditamatkan pada pukul 6.10 pagi tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Misran berkata 90 peratus daripada rumah teres teres itu terbakar, selain dua buah kenderaan yang terbakar 10 peratus.- BERNAMA