Author: Admin

  • Ambulans terbalik selepas bertembung treler, satu maut empat cedera

    Ambulans terbalik selepas bertembung treler, satu maut empat cedera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pembantu pegawai perubatan (MA) maut manakala empat lagi cedera selepas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Ayer Hitam Batu 49, Simpang Renggam, Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, ambulans berkenaan membawa tiga pesakit dari Machap ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk menerima rawatan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Abd. Rahim Razali berkata, ambulans berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar.

    “Susulan itu seramai 15 anggota dari BBP Renggam dan BBP Ayer Hitam dengan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dihantar ke tempat kejadian.

    “Ketika sampai di tempat berlaku kebakaran kecil kira-kira 5 peratus pada bahagian hadapan ambulans berkenaan dan api telah dipadamkan orang awam menggunakan satu unit alat pemadam api jenis debu kering,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Pihak bomba mengeluarkan pemandu dan tiga pesakit selepas ambulans dinaiki terbalik dan mengakibatkan mereka terperangkap

    Katanya, pemandu ambulan, Othman Ghafan, 50, cedera parah manakala pembantu perubatan, Aidil Hamidun, 27, meninggal dunia di tempat kejadian sementara pesakit lelaki, Sukiman Hassan, 59 dan dua pesakit wanita yang tidak diketahui identitinya cedera ringan.

    Beliau berkata, tiga pesakit berkenaan yang terperangkap dalam ambulans berjaya dikeluarkan pihak bomba dan mereka dibawa ke hospital berkenaan dengan menggunakan ambulans KKM.

    Abd. Rahim memberitahu, pemandu treler berkenaan, Mohd. Rosli Mohd. Zaini yang berusia 35 tahun selamat dan tidak cedera.

    Tambah beliau, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Punca kebakaran dan anggaran kerugian katanya, masih dalam siasatan dan operasi tamat pada pukul 9.24 malam.

    Seorang pesakit yang cedera dapat dikeluarkan pihak bomba sebelum dihantar ke hospital

    Abd. Rahim memberitahu, pemandu treler berkenaan, Mohd. Rosli Mohd. Zaini yang berusia 35 tahun selamat dan tidak cedera.

    Tambah beliau, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Punca kebakaran dan anggaran kerugian katanya, masih dalam siasatan dan operasi tamat pada jam 9.24 malam.

  • Kumpulan pertama 76,400 remaja mula terima vaksin Covid-19 di Sarawak esok – Khairy

    Kumpulan pertama 76,400 remaja mula terima vaksin Covid-19 di Sarawak esok – Khairy

    SERAMAI 76,400 remaja di Sarawak mula menerima vaksin COVID-19 esok menjadikan mereka sebagai kumpulan pertama remaja di negara ini yang divaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata kumpulan itu terdiri daripada remaja berumur 16 serta 17 tahun dan remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang menghidap penyakit berisiko tinggi iaitu bermasalah dengan sistem imun.

    “Saya baru sahaja berhubung dengan Menteri Kesihatan Negeri Sarawak…kumpulan awal yang ditawarkan untuk menerima vaksin. Kadar dos pula sama seperti golongan dewasa.

    “Selepas kumpulan awal ini pemberian vaksin akan diberikan kepada remaja berumur 14 dan 15 tahun, kemudian 12 dan 13 tahun secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak cadangan pembinaan Hospital Medan Sementara di Lapangan Terbang Lama, Jalan Utara, di sini hari ini.

    Pemberian vaksin berkenaan susulan daripada keputusan dasar dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer kepada remaja.

    Khairy berkata selepas Sarawak, vaksinasi kepada golongan remaja akan diberikan kepada negeri yang sudah mencapai vaksinasi lengkap 80 peratus golongan dewasa seperti Labuan, Kuala Lumpur dan Selangor.

    Sementara itu, beliau berkata sebuah Hospital Medan Sementara dengan 108 katil serta dua dewan pembedahan dalam pertimbangan untuk dibina di tapak Lapangan Terbang Lama di Jalan Utara bagi menampung kes-kes COVID-19

    Menurutnya sebuah yayasan antarabangsa menawarkan untuk membina hospital berkenaan dan permohonan mengenai perkara itu sedang dipertimbangkan di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Hospital Medan Sementara ini seharusnya dibina dalam tempoh singkat bagi menampung keperluan kes COVID-19 selain menunggu projek pembinaan Hospital Tawau siap sepenuhnya tahun hadapan,” katanya yang menambah projek Hospital Tawau itu kini 60 peratus siap.

    Terdahulu pada lawatan rasminya ke Tawau, Khairy yang diiringi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut meluangkan masa ke Klinik Sri Balung bagi menyampaikan Anugerah PeKa B40 berikutan pencapaian klinik itu menjalankan saringan kesihatan tertinggi tahun lepas.- BERNAMA

  • Lebih 98 peratus kes Covid-19 terdiri daripada kategori satu, dua

    Lebih 98 peratus kes Covid-19 terdiri daripada kategori satu, dua

    SEBANYAK 98.34 peratus atau 18,239 kes daripada keseluruhan 18,547 kes baharu COVID-19 hari ini terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata baki 308 kes (1.66 peratus) terdiri daripada kategori tiga (bergejala) hingga kategori lima (bergejala kritikal).

    “12,176 (66.8 peratus) individu tidak lengkap dan tiada sejarah vaksinasi berbanding 6,063 (33.2 peratus) individu lengkap divaksin dalam kategori satu dan dua.

    “239 kes (77.6 peratus) pula terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 69 kes (22.4 peratus) mereka yang lengkap divaksin dalam kategori tiga hingga lima,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, Sarawak merekodkan kes harian tertinggi untuk hari kedua berturut-turut dengan 3,200 kes hari ini.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 91.5 peratus atau 1,721,274 daripada jumlah keseluruhan 1,880,734 kes positif COVID-19 negara ini adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.

    Sementara itu, sebanyak 311 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 270 warganegara dan 41 bukan warganegara dengan 93 kes kematian di luar hospital atau brought in dead (BID) yang terdiri daripada 68 warganegara dan 25 bukan warganegara.

    Beliau berkata 18,902 kes sembuh dicatatkan manakala kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini 252,002,

    Seramai 977 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) disahkan COVID-19 dengan 447 orang memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

    Beliau berkata sebanyak 39 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 23 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 13 kluster komuniti dan masing-masing satu bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan serta di pusat tahanan.

    Katanya, keseluruhan kluster aktif kini 1,465.- BERNAMA

  • PKPD di dua lokaliti di Sabah

    PKPD di dua lokaliti di Sabah

    DUA lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 9 hingga 22 Sept ini susulan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad dalam kenyataan hari ini memaklumkan lokaliti itu melibatkan Kampung Sugiang Baru, Tenom dan Kampung Rapak, Ranau.

    PKPD di Kampung Rempayan Laut, Kota Belud juga di Sabah yang sepatutnya tamat esok pula dilanjutkan bagi tempoh sama sehingga 22 Sept.

    Sementara itu, PKPD yang dilaksana di tiga lokaliti di Pahang dan lapan di Sabah ditamatkan hari ini seperti dijadualkan manakala lapan lagi PKPD di Sabah, dua di Pahang serta tiga di Kelantan turut ditamatkan hari ini, masing-masing lebih awal daripada yang ditetapkan.- BERNAMA

  • KPDNHEP sahkan kenaikan harga ayam di Terengganu

    KPDNHEP sahkan kenaikan harga ayam di Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KELUHAN pengguna khususnya peniaga restoran di negeri ini berhubung kenaikan harga ayam sehingga RM10 sekilogram menarik perhatian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu.

    Sambil mengesahkan kenaikan tersebut, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia memberitahu, berdasarkan pemeriksaan dilakukan pihaknya di 18 pasar basah, 24 pasar raya dan empat pasar raya besar (hypermarket) di seluruh negeri, mendapati kenaikan memang berlaku sepertimana dakwaan pengguna.

    Beliau berkata, ia disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap perkara itu.

    “Hasil pemeriksaa kita mendapati data menunjukkan harga runcit ayam di pasar dijual antara RM8 hingga RM10 sekilogram, di hypermarket antara RM6.90 dan RM8.49 manakala pasar raya antara RM6.90 hingga RM8.89. Peniaga mendakwa punca kenaikan harga ayam disebabkan berlaku pengurangan bekalan di peringkat ladang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Saharuddin, selain itu ada juga peniaga mendakwa kenaikan harga makanan ayam turut mendorong kepada kenaikan kos di peringkat pembekal dan peladang.

    Bagaimanapun katanya, bagi mengesahkan dakwaan tersebut, pemeriksaan sedang dilaksanakan di peringkat rantaian pembekalan bagi mendapat maklumat harga serta kos dan siasatan di bawah perundangan pencatutan.

    Justeru, beliau berkata, tindaka tegas akan diambil sekiranya didapati ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan.

    Sementara itu, Saharuddin memberi jaminan bahawa bekalan ayam di Terengganu mencukupi bagi menampung keperluan pengguna walaupun berlaku kenaikan harga.

    “Kita meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada saluran aduan KPDNHEP jika mengetahui berlaku salah guna dalam kalangan peniaga ayam,” ujar beliau.

  • Wang simpanan RM32,400 lesap ditipu sindiket selepas serah TAC

    Wang simpanan RM32,400 lesap ditipu sindiket selepas serah TAC

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekerja swasta wanita di Kepala Batas, Pulau Pinang berputih mata selepas wang simpanan miliknya sebanyak RM32,400 lesap dipercayai ditipu sindiket Macau Scam semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa berusia 21 tahun itu mula terjerat dengan sindiket terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Menurutnya, mangsa dimaklumkan oleh individu terbabit kononnya terdapat syarikat yang didaftarkan atas namanya mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM17,600.

    Tambahnya, mangsa yang menafikan perkara itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang mengaku pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar, Kedah.

    “Individu itu kemudian pula mendakwa akaun bank mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan akan dibekukan untuk siasatan lanjut.

    “Mangsa yang panik telah mengikut arahan individu terbabit supaya menyerahkan maklumat perbankan dan kod pengesahan transaksi (TAC) selain diingatkan tidak memaklumkan kepada sesiapa berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Noorzainy berkata, sebaik sahaha menyerahkan nombor TAC mangsa menerima notifikasi daripada pihak bank memaklumkan wang di dalam akaunnya sebanyak RM32,400 telah dipindahkan ke akaun bank lain.

    Jelasnya, mangsa mengesyaki dia telah ditipu selepas gagal menghubungi semula individu berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • ILP dibenar beroperasi mulai Khamis ini

    ILP dibenar beroperasi mulai Khamis ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN membenarkan Industri Latihan Pemanduan (ILP) kenderaan motor di seluruh negara beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai Khamis ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, walaupun institut memandu (IM) boleh mula beroperasi mulai Khamis, proses pengujian bagi mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September.

    “Tempoh masa ini diperuntukkan kepada pihak IM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon.

    “Kebenaran yang telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu tertakluk kepada pematuhan beberapa perkara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Pertamanya kata beliau, pematuhan sepenuhnya ke atas prosedur operasi standard (SOP) PPN berfasa yang berkuat kuasa.

    Kedua pula katanya, pekerja, tenaga pengajar dan calon telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan sijil digital vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.

    “Ketiga, syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin,” katanya.

    KaSiong memberitahu, sekiranya kadar peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin adalah 40 peratus, kapasiti pekerja dibenarkan beroperasi adalah sebanyak 60 peratus.

    Sekiranya 60 peratus telah lengkap menerima vaksin, 80 peratus pekerja dibenar beroperasi manakala syarikat akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus sekiranya 80 peratus pekerja mereka lengkap menerima vaksin, katanya.

    “Keempat, kehadiran mana-mana kakitangan atau calon yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ‘person under surveillance (PUS) dan sedang dalam perintah kuarantin adalah tidak dibenarkan.

    “Kelima, mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka dan penyediaan ‘hand sanitizer’,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    Dalam pada itu, Ka Siong turut mengumumkan pemberian moratorium selama tiga bulan kepada pengendali IM iaitu sehingga 30 November depan untuk keperluan pembaharuan permit.

    “Bagi mana-mana yang tempoh sah laku permitnya tamat di antara bulan Januari hingga September 2021.

    “Diharapkan dengan pengoperasian semula ILP ini dapat memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha ILP atau IM, tenaga pengajar dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkaitan,” katanya.

  • Bayi bertali pusat ditemukan atas rumput

    Bayi bertali pusat ditemukan atas rumput

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan di atas rumput berhampiran rumah kongsi di Presint 3 Taman Ara Sendayan Seremban, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung bayi yang ditinggalkan itu pada pukul 11.52 pagi.

    “Hasil siasatan awal mendapati bayi perempuan itu masih mempunyai tali pusat dan uri disyaki baru dilahirkan kurang dari 12 jam.

    “Bayi itu kini berada di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa atau orang yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak berumur kurang 12 tahun mendedahkan dan membuang kanak-kanak.

    Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya kepada pihak polis.

  • Idris maafkan Siti Kasim, doa dijauhkan Covid-19

    Idris maafkan Siti Kasim, doa dijauhkan Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memaafkan peguam, Siti Kasim yang mencetuskan kontroversi apabila menuduhnya memakai jam mahal berjenama Rolex.

    Malah, ketika memaafkan peguam yang pernah menggesa supaya sekolah tahfiz diharamkan di Malaysia, Naib Presiden Pas itu turut mendoakan Siti Kasim diberi kesihatan yang baik dan tidak dijangkiti Covid-19.

    “InsyaAllah saya maafkan. Saya doakan semoga Pn Siti diberi kesihatan yang baik dan dijauhkan virus Covid,” kata Idris dalam Twitternya malam tadi, merujuk kepada permohonan maaf dibuat peguam itu.

    Isu itu timbul setelah Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim dilihat cuba memalukan Idris apabila memuat naik tuduhan mengatakan menteri itu memakai jam tangan mewah jenama Rolex.

    Sangkaan itu dipercayai berlaku setelah Siti Kasim melihat warna keemasan jam yang dipakai Idris seakan-akan jenama Rolex dan meminta pengikut laman sosialnya memeriksa jam itu.

     Tangkap layat menunjukkan Siti Kasim memohon maaf selepas menuduh Idris memakai jam mahal berjenama Rolex

    Namun Idris menerusi akaun Facebooknya menjawab tuduhan itu dengan menjelaskan jam dipakainya bukan berjenama Rolex sebaliknya sebuah jam Buruj yang mempunyai fungsi menyimpan waktu solat dan arah kiblat.

    “Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat dan arah kiblat.

    “Boleh solat kat mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” katanya.

    Susulan penjelasan itu, Siti Kasim yang sudah dikenali sebagai anti kepada pemimpin Pas dan beberapa tokoh agama di negara ini, memohon maaf secara terbuka dalam Twitternya.

    “Minta maaf ustaz sebab saya memang salah,” tulis Siti Kasim dalam Twitternya sambil meletakkan tiga emoji tapak tangan bercantum memohon kemaafan yang bersunguh-sungguh, dan tiga emoji ‘red heart’ yang biasanya menunjukkan cinta dan kasih sayang kepada pasangan romantis, keluarga, rakan atau kumpulan.

    Permohonan maaf itu mendapat komen daripada orang ramai yang sesetengahnya memuji Siti Kasim kerana bagi mereka inilah kali pertama mereka mendengar peguam itu memohon maaf.

    Sesetengah netizen juga menegur Siti Kasim supaya dia lebih berhati-hati pada masa depan ketika membuat sesuatu tuduhan supaya tidak memalukan profesion guaman.

  • Muhammad Fayyadh Ukasyah anak paling manja – Ibu

    Muhammad Fayyadh Ukasyah anak paling manja – Ibu

    LULUH hati seorang ibu apabila anak lelaki kesayangannya yang hilang sejak petang semalam ditemukan terapung dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah lombong di Taman Kinta Baru di sini hari ini.

    Nur Shamimi Abdul Malek, 27, dilihat tidak berhenti menangisi pemergian Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid, 6, yang disifatkan anak paling manja dalam keluarga.

    “Selalunya ketika hendak tidur, dia (Muhammad Fayyadh Ukasyah) mesti cari dan pegang kaki saya dahulu, baru dia boleh tidur malah apabila bangun tidur juga dia akan mencari saya dahulu dan kemudian baru dia buat benda (hal) lain,” katanya yang ditemui pemberita di lombong itu hari ini.

    Ibu kepada lima anak berusia tiga bulan hingga lapan tahun itu berkata dia tidak menyangka Muhammad Fayyadh Ukasyah akan dijumpai di lombong yang terletak kira-kira 80 meter dari rumah mereka kerana anaknya itu tidak pernah pergi ke tempat berkenaan sebelum ini.

    Katanya kehilangan anak keduanya yang merupakan kanak-kanak hiperaktif, kurang pendengaran serta tidak boleh bercakap itu disedari selepas dia selesai mandi pada kira-kira 6.30 petang semalam.

    “Selepas saya mandi dan melihat pintu terbuka, saya segera menyuruh anak sulung mencarinya hingga ke tempat-tempat yang dia selalu pergi bermain termasuk gelongsor di taman permainan namun tetap tidak ditemui,” katanya.

    Suri rumah itu yang turut berkali-kali menzahirkan maaf berkata anaknya itu selalunya akan berlari keluar dari rumah sekiranya pintu pagar tidak ditutup dan memaklumkan ketika kejadian, suaminya yang merupakan seorang operator kilang baru pulang dari kerja.

    Terdahulu, mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah ditemukan terapung di tepi sebuah lombong oleh pasukan operasi mencari daripada Balai Polis Gopeng pada 9.45 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim dilaporkan berkata mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah dibawa naik oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal kanak-kanak itu tidak menemukan elemen jenayah.

    Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut, katanya.- BERNAMA