RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap individu perlu bertanggungjawab kuarantin kendiri di rumah jika terlibat dengan aktiviti berisiko seperti merentas negeri atau menghadiri majlis kematian.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, anggota masyarakat juga wajib mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan pihak kesihatan jika dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.
Titah baginda, seluruh masyarakat wajib untuk mematuhi arahan kuarantin jika telah dikenal pasti sebagai kontak rapat atau kes positif Covid-19 yang dikelaskan sebagai sesuai dirawat di rumah.
“Justeru, individu terbabit perlu kekal tinggal di rumah melainkan bagi mendapatkan rawatan perubatan kecemasan,” titah baginda ketika berkenan berangkat mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama agensi-agensi di bawah naungannya dengan Jabatan Kesihatan negeri yang diadakan dalam talian di Kangar, hari ini
Turut hadir, Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penjagaan khusus terhadap ahli keluarga dalam kalangan warga emas dan berpenyakit kronik hendaklah terus diberikan perhatian kerana mereka amat berisiko mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.
PROGRAM vaksinasi COVID-19 secara walk-in atau jumpa terus di pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang dihentikan selepas 15 Sept ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata pemberhentian dilakukan setelah mengambil kira faktor penduduk di Lembah Klang yang masih belum divaksinasi adalah kecil dan kadar kehadiran ke PPV adalah rendah.
Sehubungan itu, bermula 16 Sept ini, penduduk di Lembah Klang yang belum divaksinasi boleh mendapatkan suntikan COVID-19 di klinik kesihatan tertentu yang senarainya akan diumumkan kelak.
“Vaksinasi walk-in (secara jumpa terus) di negeri-negeri masih lagi akan diteruskan. Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan negeri masing-masing untuk maklumat terkini mengenai walk-in,” katanya dalam sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Menteri Kesihatan, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Dr Adham dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang ‘bertukar portfolio’ masing-masing dalam barisan Kabinet diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyerahkan nota serah terima tugas mereka.
Sementara itu, Dr Adham berkata jumlah peratusan populasi dewasa yang lengkap divaksinasi di negara setakat semalam adalah 69.9 peratus.
Beliau berkata sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah untuk mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi di seluruh negara dan bagi negeri, 60 peratus lengkap divaksinasi menjelang akhir bulan ini.
“Alhamdulillah, kini kita berada di landasan yang betul dan vaksinasi mencapai kadar membanggakan,” katanya serta menambah pada 2 Sept lepas, Malaysia telah melepasi Amerika Syarikat dalam kadar vaksinasi ke atas populasi untuk sekurang-kurangnya satu dos.
Dr Adham menjelaskan kadar vaksinasi yang menurun di negara ini merupakan ‘petanda baik’ kerana ia menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia telah divaksinasi.
“Baru-baru ini banyak pertanyaan kenapa kadar vaksinasi kita menurun, ini sebenarnya petanda yang baik menunjukkan lebih ramai rakyat kini divaksinasi. Kita perlu menjangkakan penurunan dalam kadar vaksinasi pada minggu-minggu akan datang,” katanya.- BERNAMA
Pentadbiran Presiden Joe Biden menyuarakan kebimbangan terhadap gabungan dan rekod beberapa anggota Kabinet Taliban yang baharu diumumkan, menurut jurucakap Jabatan Negara dalam satu kenyataan kepada Sputnik.
Mullah Mohammad Hassan Akhund
“Kami dapati senarai nama diumumkan terdiri anggota Taliban atau sekutunya dan tiada wanita.
“Kami juga gusar terhadap rekod prestasi beberapa individu,” kata jurucakap itu pada Selasa.
Pada Selasa, Taliban mengumumkan penubuhan kerajaan sementara di bawah pimpinan Hasan Akhund, yang dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2001.
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memahami bahawa anggota kabinet yang diumumkan itu merupakan kerajaan sementara, tetapi prestasi tetap dinilai berdasarkan tindakan mereka, menurut jurucakap itu.
“Kami turut berharap agar rakyat Afghanistan dipimpin sebuah kerajaan yang inklusif,” katanya.
Sementara itu, AS akan memastikan Taliban berpegang kepada janji menyediakan perjalanan selamat bagi warga asing yang ingin meninggalkan negara itu.
AS juga berharap Taliban tidak membenarkan negara itu menjadi sarang kumpulan pengganas dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Afghanistan.- BERNAMA
PEMIMPIN Tertinggi Taliban Hibatullah Akhundzada pada Selasa berkata kerajaan sementara Taliban yang baharu dibentuk bakal berfungsi tidak lama lagi, lapor Xinhua.
“Memandangkan kerajaan sementara dan Kabinet telah diumumkan pihak berkuasa Islamic Emirate, ia akan mulai berfungsi secepat mungkin untuk mengawal dan menjalankan urusan negara.
“Saya meyakinkan semua rakyat bahawa kami akan bekerja keras untuk mematuhi peraturan Islam dan undang-undang Syariah,” kata Akhundzada dalam satu kenyataan.
Kerajaan itu akan diketuai oleh Mullah Mohammad Hassan Akhund (gambar), seorang yang berada dalam senarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Ini adalah kenyataan pertama dikeluarkan pemimpin tertinggi Taliban sejak kumpulan itu mengambil alih Kabul pada pertengahan Ogos.
“Kami mahukan kedamaian dan kemakmuran di Afghanistan dan negara yang tidak bergantung kepada orang lain. Kami akan berusaha untuk menghapuskan semua penyebab peperangan dan perselisihan di negara ini dan rakyat hidup aman serta damai,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan pada Selasa ketika jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid mengumumkan barisan pemerintahan baharu, menyaksikan Mullah Hassan Akhund dilantik sebagai pemangku perdana menteri.- BERNAMA
LEBIH 40 banduan dilaporkan terkorban dalam kejadian kebakaran sebuah penjara di Tangerang, di Jawa Timur, Indonesia.
“Kejadian kebakaran yang terjadi di Lembaga Pemasyarakatan Kelas 1 Tangerang Blok C2 (penjara di Tangerang) pada Rabu, jam 1.45 waktu Indonesia Barat. Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas,” kata Ketua Lapas (Penjara) Kelas 1 Tangerang, Victor Teguh Prihartono dalam satu kenyataan di sini.
Setakat pukul 9 pagi ini, sebanyak 41 banduan yang sedang menjalani hukuman akibat kesalahan berkaitan dadah disahkan maut.
Blok kelas 1 itu menempatkan 122 banduan.
Pihak bomba, polis dan tentera Indonesia masih melakukan kerja-kerja membawa banduan yang cedera ke hospital, dan memindahkan banduan-banduan blok lain, ke tempat yang selamat.- BERNAMA
KEMENTERIAN Belia dan Sukan berharap kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan kepada industri kreatif berkuat kuasa esok akan diperluaskan kepada sektor sukan seperti gimnasium dan sukan padang.
Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan demi kelangsungan hidup mereka yang terlibat.
“Panggung wayang dibuka?? Gimnasium, sukan padang? Mungkin perlu dibuka dengan SOP ketat. Ramai yg hampir terhenti nafas. Tolonglah KKM,” katanya dalam ciapan di Twitternya hari ini.
Ahmad Faizal berkata, pembukaan sektor berkenaan mungkin boleh dilakukan dengan SOP ketat.
Beliau menambah, cadangan tersebut telah dikemukan KBS dan terserah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terharu menerima kurniaan ganjaran secara peribadi oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berikutan kejayaan di Olimpik Tokyo 2020 yang lalu.
Menerusi hantaran dalam Facebook rasmi milik Tunku Ismail, penganugerahan tersebut diberikan selepas beliau menerima mengadap pelumba basikal trek profesional itu, semalam.
Penganugerahan tersebut diberikan oleh Tunku Mahkota Johor itu atas pencapaian atlet yang mendapat jolokan ‘The Pocket Rocketman’ yang menuai pingat perak di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini.
“Tunku Ismail terima mengadap Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik pada hari ini (semalam) di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Ia bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian beliau di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini. Allah Peliharakan Sultan,” tulis status berkenaan.
Sementara itu menerusi hantaran dalam Facebook Azizulhasni, beliau berterima kasih atas jemputan berkenaan yang memberikannya peluang berkongsi pengalaman dan menyampaikan idea bagi pembangunan sukan berbasikal di Johor.
“Menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor di atas perkenan mencemar duli menjemput patik bersama Datuk Qobin untuk mengadap Tunku di ibu pejabat JDT.
“Patik amatlah terharu dan seperti bermimpi disiang hari kerana dapat bersama-sama dengan Tunku dan berkongsi pengalaman serta kejayaan di Olimpik Tokyo baru-baru ini.
“Patik juga menjunjung kasih di atas kesudian Tunku untuk mendengar idea dan pandangan patik dalam membangunkan arena sukan negara terutamanya sukan berbasikal di Negeri Johor,” tulis jaguh berbasikal negara itu.
Tulis Azizulhasni lagi, beliau berharap agar apa yang dihasratkan dapat dijadikan realiti dan dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga sukan terutamanya mereka yang berada di negeri Johor.
Azizulhasni turut menjunjung kasih atas hadiah peribadi daripada Tunku Ismail ketika mengadap Tunku Mahkota Johor itu.
“Patik akan ingat sampai bila-bila. Semoga Allah memurahkan rezki dan merahmati Tunku serta seluruh kerajaan Tunku,” katanya.
DUNIA politik cukup dinamik. Apa sahaja boleh berlaku. Yang musuh menjadi kawan dan kawan menjadi musuh, malah ada juga kawan menjadi musuh dalam selimut. Begitu juga apabila ada parti politik yang dilihat bermusuh tetapi dari segi tindakan sering dilihat mempunyai impian dan matlamat yang sama.
Ketika berbual-bual dengan beberapa rakan dalam tempoh seminggu dua ini, penulis melontarkan satu pandangan mungkin nampak aneh tetapi kalau difikir-fikirkan bukanlah satu keanehanpun kerana inilah dunia politik.
Pandangan itu ialah, ‘’bagaimana kalau UMNO dan DAP bergabung dalam PRU-15, ia sudah pasti mewujudkan satu kekuatan politik luar biasa. Atas dasar UMNO boleh mendapat undi orang Melayu manakala DAP boleh menguasai undi kaum Cina khususnya di kawasan bandar.’’
Penulis agak terkejut apabila pandangan itu mendapat respons positif. Mereka pun sependapat bahawa UMNO kini tidak boleh lagi bernostalgia dengan perjuangan silam yang sebenarnya sudah tidak kedengaran lagi.
Di Perhimpunan Agung UMNO, kita lebih banyak mendengar kritikan-kritikan kepada kerajaan yang parti itu turut menganggotainya. Dan parti itu bertanggungjawab ‘merealisasikan’ impian pembangkang untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri apabila 15 ahli Parlimennya menarik sokongan.
Walaupun tiada kesepakatan secara rasmi namun ia menunjukkan antara UMNO dengan parti-parti pembangkang sudah ada banyak persamaan dalam mencapai sesuatu misi. Lagipun bagi parti pembangkang, mereka belum tentu ‘sebijak atau seberani’ UMNO untuk menggugat kerajaan yang mereka juga ada di dalamnya.
Satu lagi contoh apabila UMNO berhasrat menukar Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dengan Datuk Seri Azalina Othman Said, nada yang sama dizahirkan oleh DAP yang bersedia memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pangerang itu.
Maknanya demi kebaikan bersama maka boleh sahaja kedua-dua parti itu bergabung dan bekerjasama dalam PRU-15. Lagipun konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh sekadar berkisar soal ‘perkahwinan campur’ sahaja, ia harus diperluaskan lagi kepada hubungan politik demi mewujudkan sebuah Malaysia yang sejahtera.
Apa salahnya kalau UMNO dan DAP bekerjasama? Sampai bilakah kita mahu melihat kedua-dua parti itu bermusuhan sedangkan mereka mempunyai kekuatan yang boleh digabungkan bagi membentuk satu kuasa politik ampuh yang akan menguntungkan rakyat Malaysia serta mewujudkan kestabilan politik?
‘’Saya tidak ada masalah kalau dua-dua parti itu bekerjasama, itulah yang sebaik-baiknya. Dalam kalangan anak muda, mereka sudah tidak melihat lagi sesuatu parti itu dari segi perkauman, apa yang mereka mahu satu gabungan parti politik yang boleh membela nasib rakyat.
‘’Soal perjuangan Melayu dan Islam buat masa ini hanya sekadar retorik. Sudah 60 tahun UMNO memegang kuasa, tahap kehidupan orang Melayu dok macam tu jugak. Lain baik kita tumpu kepada pembentukan sebuah gabungan politik yang tidak lagi boleh dikaitkan dengan perkauman,’’ kata seorang anak muda kepada penulis.
Pada pandangan penulis, sudah sampai masanya DAP tidak boleh lagi dimomokkan sebagai parti cauvinis. Sikap politik parti itu jauh berbeza berbanding apa yang didakwa. DAP kini sudah membuktikan sikap terbuka mereka.
Ramai ahli politik Melayu bukan sahaja diraikan menyertai parti itu malah turut ditempatkan termasuk bertanding dalam pilihan raya sehingga menjadi wakil rakyat. Selain itu beberapa pemimpin DAP diihat cukup diterima oleh orang Melayu.
Penulis tidak menyatakan UMNO perlu meninggalkan perjuangan Melayunya, cuma ia tidak perlu diuar-uarkan lagi atau bercakap berdegar-degar. Sekarang ini tidak ada mana-mana partipun waima DAP sekalipun akan memainkan sentimen perkauman apatah mengganggu gugat kedudukan orang Melayu dan agama Islam.
DAP sudah menyatakan mereka berpegang teguh kepada apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan pasti memahami batas-batas berpolitik, justeru kenapa perlu memandang serong kepada parti tersebut jika benar mereka boleh mewujudkan kerjasama politik dengan UMNO yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara?
Benar, UMNO ada dasar ‘No Anwar No DAP’, tetapi rasanya slogan itu sudah tidak relevan lagi kerana apa yang penting ialah kesejahteraan rakyat Malaysia dan kemakmuran negara. Lagipun sebelum ini ‘kerjasama’ tak rasmi sudah terwujud atas kepentingan tersebut seperti mana berlaku di Perak dan Johor. Jadi kalau ia diperkukuhkan lagi dengan bergabung dalam PRU-15 di peringkat pusat bukankah ia lebih bagus?
Sejarah politik negara membuktikan, UMNO mempunyai kekuatan di luar bandar dan kekuatan masih ada sampai sekarang manakala DAP sehingga hari ini menjadikan kawasan bandar sebagai ‘kubu kuat’ mereka tiada parti lain yang mampu mencabar mereka. Lagipun jika UMNO terus bergantung kepada MCA untuk menggugat DAP di kawasan majoriti pengundi Cina, ia ibarat terus sekadar bermimpi.
DAP pernah bekerjasama dengan Bersatu , S46 dan Pas, parti itu juga sampai hari ini kekal menjadi sekutu kepada PKR dan parti serpihan Pa iaitu Amanah, jadi apa salahnya kalau dicuba pula formula baharu ‘’UMNO+DAP 0.1’’?
Perlu diingat DAP juga ada kekuatan di kawasan dikuasai PKR kerana tanpa sokongan DAP, tidak mungkin PKR boleh menang banyak kerusi. Begitu juga kawasan yang mempunyai pengundi bercampur, DAP ada kekuatan di situ.
Adakah ahli-ahli UMNO akan bersetuju jika formula baharu itu dilaksanakan? Jangan risau ahli-ahli UMNO sentiasa patuh kepada arahan kepemimpinan parti. Mereka menghormati kebijaksanaan kepimpinan parti dalam melakukan percaturan politik, sehingga daripada parti yang hilang kuasa dalam pilihan raya kini kembali berkuasa.
Maknanya, kalaulah kepemimpinan parti berhasrat meneroka kerjasama politik baharu itu, mereka tidak akan membantah seperti mana tidak ada protes besar-besaran dilakukan oleh ahli UMNO apabila tersebar surat sokongan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Kerjasama antara UMNO dan DAP kalau dibentuk akan membuka era baharu kepada arena politik negara. Rakyat tidak akan dibelenggu lagi dengan persepsi UMNO parti otodok Melayu manakala DAP parti cauvinis. Arena politik negara memerlukan nafas baharu, politik baharu – bukan lagi politik kebencian apatah lagi perkauman. Semua itu tidak menguntungkan rakyat negara.
Seperti mana kata seorang anak muda kepada penulis, ‘’antara rakyat pelbagai kaum tidak ada masalah tetapi ahli politik yang memisahkan mereka.’’
Oleh itu tanggapan seumpama ini harus dihapuskan. UMNO dan DAP boleh memikirkan untuk merealisasikan permuafakatan yang akan membuka era baharu kepada arena politik negara. Kita sama-sama tunggu.
SEORANG lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini pagi Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata siasatan awal mendapati pada malam sebelumnya lelaki berumur 28 tahun itu dikatakan mengamuk di Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak.
“Dia bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid itu hingga pecah, menyebabkan tangannya berlumuran darah. Di lantai masjid terdapat kesan tompokan darah. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu telah menumbuk sebanyak dua kali pintu cermin itu sehingga pecah,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kakak lelaki itu memberitahu bahawa adiknya yang merupakan jurutera kimia sebuah syarikat berada dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat melawat keluarga di Kuala Berang, Terengganu, sejak kira-kira enam bulan.
Katanya polis menerima makluman mengenai lelaki itu pada kira-kira 7.35 pagi Ahad, dan mayat telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah luka parah di pergelangan tangan kanan saluran darah alteri, dan urat tendon terputus akibat tumbukan pintu cermin kaca. Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut,” tambahnya.- BERNAMA