Author: Admin

  • Penderitaan pemandu bas dapat perhatian Sultan Johor

    Penderitaan pemandu bas dapat perhatian Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KESEMPITAN hidup 99 ahli Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Johor yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan Malaysia-Singapura mendapat perhatian Sultan Johor.

    Pengerusi PMPPB, R Thiagarajan berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan barang keperluan harian kepada mereka yang semuanya merupakan pemandu bas dan ketika ini hilang punca rezeki.

    Menurut beliau, industri pengangkutan melibatkan perkhidmatan bas sememangnya menerima kesan besar akibat pandemik Covid-19.

    “Sebilangan besar pengusaha serta pemandu bas hilang punca pendapatan dan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

    “Ramai pemandu bas yang berpengalaman telah berputus asa dan berpindah ke bidang lain, jadi bantuan ini amat membantu untuk ahli-ahli kami yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Penyerahan sumbangan tersebut turut dikongsikan menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada Jumaat.

    Thiagarajan berkata, dalam usaha memastikan ahli persatuan itu masih dapat mencari rezeki dalam tempoh mencabar ini, pihaknya telah memperkenalkan Inisiatif Progam Bas Mobil Vaksinasi.

    “Inisiatif ini dilaksana dalam usaha membantu ahli menjana pendapatan sambil membantu kerajaan melaksanakan program vaksinasi dengan lebih mudah dan cepat, terutamanya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pihak yang memerlukan.

    “Saya mewakili ahli persatuan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan atas jasa baik baginda,” ujarnya.

  • KPDNHEP keluarkan 181 notis kepada peniaga di Johor

    KPDNHEP keluarkan 181 notis kepada peniaga di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sudah melakukan pemeriksaan melibatkan 10,165 premis yang dikesan menaikkan harga barang di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga kelmarin.

    Menurut Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro, pemeriksaan itu melibatkan 8,667 peruncit, 1,195 pemborong dan 303 pengilang.

    “Susulan pemeriksaan yang dilakukan itu, sebanyak 181 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku.

    “Peniaga yang didapati melakukan aktiviti mencatut boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011 yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali; bagi kesalahan kedua didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM1,000,000 bagi kesalahan kali kedua,” katanya menerusi satu kenyataan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDNHEP Johor mengeluarkan 12 notis terhadap peniaga, pemborong dan peladang di negeri ini kelmarin bagi mendapat maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga ayam.

    Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 itu katanya, selepas melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan iaitu di pasar awam dan pasar basah di negeri ini.

    “Sebanyak 12 notis itu dikeluarkan kepada masing-masing empat peniaga ayam, peladang dan pemborong bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

    “Pemeriksaan akan diteruskan bagi menyiasat secara menyeluruh terhadap semua kos yang terlibat berhubung kenaikan harga yang berlaku,” KPDNHEP Johor mengambil maklum aduan berkenaan kenaikan harga ayam terutama di pasar awam dan pasar basah,” katanya.

    Justeru katanya, pemeriksaan ke atas semua jenis pasar berkenaan katanya, akan dipertingkatkan.

  • 51.1 peratus populasi Malaysia kini lengkap divaksin – JKJAV

    51.1 peratus populasi Malaysia kini lengkap divaksin – JKJAV

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SASARAN imuniti kelopok 80 peratus yang ditetapkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin hampir menjadi kenyataan.

    Terkini, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menunjukkan seramai 16,680,780 individu (51.1 peratus) populasi keseluruhan di Malaysia telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Melalui perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan seramai 21,080,152 individu (64.5 peratus) daripada populasi keseluruhan pula sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

    Sementara sebanyak 322,346 dos vaksin Covid-19 yang merangkumi 133,861 dos pertama dan 188,485 dos lengkap turut diberikan semalam, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi PICK kini sebanyak 37,714,587 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

  • Sekatan jalan raya Putrajaya tamat tengah malam tadi

    Sekatan jalan raya Putrajaya tamat tengah malam tadi

    SEKATAN jalan raya (SJR) di Putrajaya ditamatkan 12 tengah malam tadi selepas beroperasi selama sembilan bulan sejak 13 Januari lepas.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, walaupun SJR ditamatkan namun orang awam dingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19.

    Beliau berkata, operasi pematuhan akan dipergiatkan dengan penambahan anggota untuk memastikan orang awam memasuki Putrajaya patuh SOP sama ada bagi tujuan riadah atau pelancongan domestik.

    Penamatan SJR itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung rentas daerah dibenarkan di Lembah Klang, membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam kenyataannya semalam memaklumkan dua SJR ditutup iaitu di Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kanagapuram di bawah laluan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

    Bagaimanapun, katanya empat lokasi SJR dikekalkan iaitu di Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang. – Bernama

  • 4.6 juta kematian, 223 juta kes positif Covid-19 global – JHU

    4.6 juta kematian, 223 juta kes positif Covid-19 global – JHU

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATA terbabaru Johns Hopkins University (JHU) mencatatkan lebih 600,000 kes positif baharu Covid-19 dikesan di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam lepas.

    Jumlah itu menjadikan kumulatif kes global ketika ini melebihi 223 juta dengan

    Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan 40.5 juta kes.

    Menurut data berkenaan lagi, ini diikuti India dengan lebih 33 juta kes dan Brazil lebih 20.9 juta kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mencatatkan angka tertinggi kes Covid-19 dengan melebihi 4.1 juta kes.

    Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.1 juta, Malaysia 1.9 juta kes, Thailand 1.3 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 70,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.6 juta.

    AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 654,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 584,000 kes, India lebih 441,000 kes, Mexico lebih 265,000 kes, sementara United Kingdom kini catat lebih 134,000 kematian.

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

  • Kongres Ekonomi Rakyat sempena ulang tahun keenam Kongres Rakyat 2.0

    Kongres Ekonomi Rakyat sempena ulang tahun keenam Kongres Rakyat 2.0

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KONGRES Ekonomi Rakyat (KER) akan diadakan sempena ulang tahun keenamnya pada 12 September ini bertujuan untuk merumuskan Pelan Tindakan Ekonomi Rakyat (PTER).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Kongres Rakyat 2.0, penganjuran itu selari dengan Resolusi Konvensyen NGO-NGO Peringkat Kebangsaan Ke-2 sebelum ini bagi menggerakkan semula sekretariat itu dalam membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat.

    Sekretariat itu memberitahu, selain itu, dalam satu mesyuarat sebelum ini sudah dipertujui bahawa Mohd. Shuhaimi Embong dilantik sebagai Pengerusi atau Ketua Sekretariat bagi mengurus dan memperbadankan sebagai sebuah organisasi.

    “Ini sekali gus membolehkan kongres ini melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta menganjurkan program dan aktiviti bersesuaian dengan fungsinya,” jelas kenyataan itu, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, Sekretariat Kongres Rakyat 2.0 juga bersetuju untuk mengekalkan logo dan tema asal ‘Membina Malaysia Sejahtera’ dengan memasukkan 2.0 bagi mengekalkan identiti asal Kongres Rakyat sebelum ini.

  • Samun:Pemilik kedai cedera, barang kemas lebih RM200,000 lesap

    Samun:Pemilik kedai cedera, barang kemas lebih RM200,000 lesap

    SEORANG pemilik sebuah kedai emas bukan sahaja kerugian lebih RM200,000 malah cedera di bahagian muka selepas premisnya disamun tiga lelaki di Simpang Tiga, Batu 6, Gombak di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, tiga lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh telah menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut.

    Beliau berkata seorang daripada suspek menunggu di pintu masuk utama premis sambil memegang sebilah parang manakala dua lagi mengambil pelbagai jenis barang kemas di bahagian rak pameran.

    “Seorang daripada suspek juga menumbuk bahagian muka mangsa sebelum kesemua mereka melarikan barang kemas dengan menaiki dua buah motosikal jenis Yamaha Y15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, ketika kejadian, pemilik premis yang juga wanita warga Indonesia berstatus pemastautin tetap berada bersama anak dan adik iparnya di dalam kedai tersebut.

    Zainal Mohamed berkata polis sedang giat mengesan kesemua suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata.

    Video kejadian itu yang berdurasi seminit turut tular di media sosial hari ini.-BERNAMA

  • Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    PELANCONG domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.

    Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.

    “Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

    Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

    Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.

    Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

    Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

    Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.

    Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu. 

    Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.

    Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.

    “Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.

    Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.

    Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.- BERNAMA

  • Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam kerana dipercayai menerima wang suapan kira-kira RM18,000 daripada sebuah syarikat pembekal baja.

    Sumber SPRM memaklumkan perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang penjawat awam bersama seorang lagi suspek masing-masing berusia lingkungan 50-an sebagai balasan membantu syarikat pembekal baja mendapatkan kerja-kerja membekalkan baja cecair organik bernilai lebih RM140,000 kepada sebuah pertubuhan peladang di Selangor.

    Kedua-dua suspek ditahan hari ini pada kira-kira 3 petang tadi di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

    Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam sekitar 9 pagi esok untuk permohonan reman. – BERNAMA

  • Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    HANYA 1.6 peratus atau 302 kes daripada 19,307 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas adalah daripada kategori tiga iaitu dengan radang paru-paru, empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan).

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bakinya iaitu 19,005 kes atau 98.4 peratus adalah daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua (bergejala ringan).

    “Daripada jumlah kes baharu juga, enam adalah kes import melibatkan dua warganegara dan empat rakyat asing manakala 19,301 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,125 warganegara dan 2,176 rakyat asing.

    “Setakat 12 tengah hari juga, sebanyak 24,855 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 1,657,486 kes iaitu 86.3 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata jumlah kes aktif di seluruh negara setakat ini ialah 242,802 kes dengan 1,310 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 737 memerlukan alat bantuan pernafasan.

    Khairy berkata 323 kematian turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 19,486 individu terkorban akibat pandemik itu.

    “Sebanyak 27 kluster baharu pula dikesan dalam tempoh 24 jam, dengan keseluruhan jumlah kluster yang telah tamat ialah 3,572 dan jumlah kluster aktif sebanyak 1,4450 kluster,” katanya.- BERNAMA