Author: Admin

  • Pesara maut kereta bertembung ketika pulang ke rumah

    Pesara maut kereta bertembung ketika pulang ke rumah

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG warga emas maut apabila kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer (KM) 5, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kampung Tempoyang, Lipis, malam tadi.

    Kejadian berlalu ketika mangsa yang juga merupakan pesara kerajaan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Kerpan, Padang Tengku pada pukul 9 malam tadi.

    Dalam kejadian tersebut, mangsa, Raja Mohamad Raja Daud, 68, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, kejadian itu membabitkan kereta jenis Kia Sephia yang dipandu mangsa dengan sebuah Honda City yang dipandu Mohamad Zulfikri, 28.

    Bagaimanapun katanya, pemandu kereta Honda City berkenaan tidak mengalami kecederaan, cuma adiknya, Muhammad Syaiful Izwan Suhaimin, 19, yang juga penumpang kenderaan itu mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri.

    Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal mendapati, kejadian berlaku semasa warga emas itu dari arah Lipis untuk pulang ke rumahnya di Padang Tengku.

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan sehingga memasuki ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Honda City dari arah Merapoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Azli memberitahu, ekoran kemalangan itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Muhammad Syaiful Izwan yang merupakan penuntut Kolej Yayasan Pahang, Kuantan cedera di kaki kiri.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat selepas menerima keputusan ujian saringan Covid-19.

    “Mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan selanjutnya,” ujarnya.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

  • Keputusan permohonan lulusan STPM ke UA diketahui hari ini

    Keputusan permohonan lulusan STPM ke UA diketahui hari ini

    KEPUTUSAN permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) sesi 2021/2022 bagi lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setarafnya diumumkan secara dalam talian mulai 12 tengah hari ini hingga 25 Sept ini, demikian menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

    KPT memaklumkan semakan status permohonan boleh dibuat menerusi pautan https://jpt.utm.myhttp://jpt.uum.edu.myhttps://jpt.unimas.myhttp://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my.

    Menurut kenyataan KPT itu, setiap pemohon yang berjaya boleh mencetak pengesahan setuju terima dan tawaran serta surat tawaran mulai esok hingga 25 Sept.

    “Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan UA kepada pemohon yang berjaya mulai esok setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti yang dinyatakan,” menurut kenyataan KPT tersebut.

    Bagi pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan rayuan melalui UPUOnline Rayuan di http://upu.moe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai hari ini hingga sehingga 25 Sept.

    “Tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad.

    “Sebarang permohonan pertukaran program serta universiti adalah tidak dibenarkan, manakala dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” menurut kenyataan itu lagi.

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi BKPA JPT di talian 03-8870 8200 atau e-mel kepada [email protected] atau melayari media sosial Facebook (KEMASUKAN BPKP JPT), Instagram (@KEMASUKANBkpa), sistem maklum balas https://jpt.mohe.gov.my/maklumbalas/ serta UPUChat http://upu-chat.ml/UPUChat/UPU_DaftarMasuk.- BERNAMA

  • Warga emas diberi layanan khas sebelum meninggal – JPJ

    Warga emas diberi layanan khas sebelum meninggal – JPJ

    WARGA emas yang meninggal dunia di kerusi ruang kaunter menunggu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Bangi di Bandar Baru Bangi dekat sini semalam, telah diberikan layanan khas tanpa perlu beratur untuk berurusan.

    Kenyataan JPJ hari ini memaklumkan suhu badan lelaki berusia 76 tahun itu semasa memasuki premis adalah normal dan status MySejahtera juga menunjukkan vaksinasi mangsa telah lengkap.

    “Lelaki itu dibawa ke kerusi ruangan menunggu pelanggan sebelum dipanggil untuk melaksanakan urus niaga JPJ dan semasa di ruangan menunggu, mangsa dikatakan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri.

    “Sebuah ambulans bersama pasukan paramedik yang tiba dan memeriksa mangsa mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia. Mayat beliau kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Media semalam melaporkan seorang lelaki ditemui meninggal dunia di kerusi ruang menunggu kaunter JPJ cawangan Bangi dan kejadian tersebut tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 10.21 pagi semalam dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- BERNAMA

  • Kad pengenalan palsu:Tujuh pekerja asing didenda

    Kad pengenalan palsu:Tujuh pekerja asing didenda

    TUJUH warga asing yang bekerja di sebuah kilang tekstil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

    Lelaki warga negara Filipina Ridhwan Likung, 26, tiga wanita warga negara Filipina; Nurmina Kipli, 45, Nona Najuk, 45, Masriyah Ismail, 40, dan tiga wanita warga negara Indonesia; Sundari Mahmudi, 29, Salina Husin, 48, dan Mulyani, 47, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

    Mereka dikenakan denda antara RM3,000 hingga RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

    Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 14 Sept 2021, jam 2 petang di sebuah kilang tekstil Seksyen 26 Taman Perindustrian Hicom di sini.

    Mereka, tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan palsu serta salinan pelbagai individu sebagai dokumen pengenalan diri untuk bekerja.

    Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1) (e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA

  • Jangan bawa kayu penyendal bawah lori – JPJ

    Jangan bawa kayu penyendal bawah lori – JPJ

    PENGUATKUASA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memberikan amaran kepada pemandu lori agar tidak membawa kayu penyendal yang diletakkan di bahagian bawah kenderaan mereka.

    Pengarahnya Adenan Md. Isa berkata melalui operasi khas bersepadu ‘OBSTACLE’ yang dijalankan di Plaza Tol Juru semalam, pihaknya mengesan sebanyak 15 lori yang meletakkan kayu penyendal di bahagian casis yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

    “Kemalangan yang disebabkan oleh kayu penyendal di atas jalan raya semakin meningkat. Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes seperti ini memang jarang berlaku namun kini ia semakin menjadi-jadi.

    Kayu penyendal itu boleh jatuh ketika pemandu membelokkan kenderaan, permukaan jalan raya yang tidak rata atau ketika lori dipandu dengan laju,” katanya kepada pemberita ketika mengikuti operasi tersebut yang bermula jam lima petang sehingga 11 malam semalam.

    Tambahnya, sebanyak 270 notis saman telah dikeluarkan semalam kepada pemandu yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    Antara kesalahan lain termasuk penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tiada lesen memandu, penggunaan lampu ‘strobe’, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin gelap, turut dikesan dalam operasi selama enam jam tersebut.

    Dalam masa yang sama, Adenan telah menghadiahkan sebuah topi keledar kepada seorang kanak-kanak setelah didapati dibawa menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar.

    Daripada 800 kenderaan yang telah diperiksa semalam, sebanyak 128 daripadanya telah diambil tindakan.

    Operasi terbabit disertai 60 pegawai penguatkuasa termasuk daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan PLUS Malaysia Berhad selain JPJ.- BERNAMA

  • [video] Imam Besar Masjid Putra mohon maaf

    [video] Imam Besar Masjid Putra mohon maaf

    SELEPAS dikritik hebat pengguna media sosial, Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim malam tadi memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat di masjid itu, baru-baru ini.

    Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Masjid Putra, Ikmal memaklumkan, pihaknya akan memperbaiki keadaan terutamanya pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di masjid berkenaan.

    “Saya Imam Besar Masjid Putra, ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh mahupun dekat diatas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial pada Jumaat lalu.

    “Dengan rendah hati saya ingin memohon maaf diatas segala keterlanjuran berkenaan dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan terutamanya mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra,” katanya malam tadi.

    Ikmal sehubungan itu mengajak jemaah Masjid Putra agar terus mengimarahkan aktiviti sama ada bagi solat Jumaat atau fardu serta program yang dianjurkan oleh pihak masjid.

    Menerusi satu video yang tular sebelum ini, Ikmal menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu tular tersebut dan menyatakan beliau tidak reda dengan penyebaran klip video tersebut.

    Ikmal dilaporkan berkata, Masjid Putra sememangnya memperuntukkan kuota khas untuk VIP sebanyak 10 peratus, iaitu sebanyak 30 tempat daripada kapasiti 300 jemaah yang dibenarkan, dan untuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas.

    Beliau dilaporkan turut menggesa individu yang menularkan video itu tampil memohon maaf kepada pihak pengurusan masjid.

  • Malaysia sumbang peralatan perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

    Malaysia sumbang peralatan perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

    MALAYSIA hari ini menyerahkan sumbangan peralatan dan bekalan perubatan kepada Indonesia bagi membantu republik itu memerangi pandemik COVID-19.

    Sumbangan itu diserahkan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini.

    Saifuddin berkata bantuan itu mencerminkan hubungan baik dan kukuh di antara kedua-dua negara, dan sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam memerangi pandemik COVID-19.

    “Walaupun Malaysia sendiri masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 serta kekangan-kekangan yang datang dengannya, namun ia tidak menghalang kita untuk membantu mengikut kemampuan kita.

    “Di samping usaha-usaha domestik kita untuk menangani wabak COVID-19, kita juga perlu melihat kepada situasi dan kebajikan mereka yang berada di sekeliling kita, termasuk juga jiran-jiran tetangga kita,” katanya pada majlis penyerahan itu. 

    Sumbangan yang dihulurkan Malaysia kepada Indonesia yang berupa tangki ISO mengandungi oksigen cecair, pemekat oskigen, ubat-ubatan terapeutik serta barangan perubatan pakai buang, akan dihantar menggunakan pesawat TUDM. 

    Sumbangan hari ini merupakan kumpulan pertama dalam beberapa peringkat penghantaran bantuan kepada Indonesia yang dijangka selesai hujung bulan ini, katanya.

    Sementara itu, Hermono berkata kerajaan dan rakyat Indonesia amat menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. 

    “Sumbangan ini amat bermakna untuk kami. Meskipun Malaysia pada saat ini sedang berjuang melawan COVID-19, tapi ia masih fikirkan saudara-saudara di Indonesia dalam membantu untuk sama-sama melawan pandemik ini,” katanya. 

    Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang. – BERNAMA 

  • Penduduk kampung sesak nafas, bahan buangan berjadual ditemui di sungai

    Penduduk kampung sesak nafas, bahan buangan berjadual ditemui di sungai

    BAU busuk seolah-olah bau ‘toksik’ telah menggemparkan penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, dekat Johor Bahru, sehingga memaksa mereka keluar dari kediaman masing-masing, tengah malam tadi.

    Salah seorang penduduk Rubaiyah Mat Sam, 70, yang menyedari bau kuat sejak petang semalam turut merasa pening-pening.

    “Dari siang dah cakap dengan budak-budak ni, bau apa ni, bau najis ke…puas cari depan rumah…tapi takde apa pun.

    “Dekat rumah dah ada rasa pening tapi tak tahu apa ya. Makcik dan dia (menantu) pening dah, jadi kami telan panadol,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Raya Kampung Sinaran Baru, Seelong, dekat sini, awal pagi tadi.

    Beliau yang tinggal bersama anak lelakinya, menantu dan dua cucu itu berkata dia hanya menyedari kehadiran bomba pada pukul 10 malam dan mendengar khabar ada berlakunya pembuangan toksik.

    Beliau berkata, pada tengah malam semalam bomba telah mengarahkan mereka keluar dari rumah untuk tinggal sementara di balai raya itu.

    “Bila dengar pasal (ada pembuangan sisa) jadi risau sebab ada cucu umur tiga bulan. Tak tahu nak cari (kemas) apa sebab panik, cari baju tudung semua tak kena,” katanya lagi.

    Seorang lagi penduduk Hafiz Badrul Hisham, 37, menyedari bau tersebut kira-kira 8.30 malam.

    “Saya terhidu bau yang tidak menyenangkan sehingga terasa sesak nafas. Jadi saya cuba mencari, kemungkinan bau petrol, lama kelamaan makin kuat baunya,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sri Aman.

    Bila jiran-jiran dah keluar, dia berkata ada seorang wanita batuk lalu rebah, jadi dia pergi menolong sementara menunggu bomba tiba.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa Mazlan Bujang berkata penduduk kampung berkenaan yang sebelum ini ditempatkan di balai raya berhampiran, kini ditempatkan semula ke Balairaya Kampung Sinaran Baru yang terletak kira-kira satu kilometer, memandangkan bau yang masih kuat.

    “Kita telah uruskan makanan dengan segera dan juga tikar sebagainya untuk mereka tidur. Bila masih berbau, kita pindahkan mereka untuk keselamatan,” kata beliau ketika ditemui di kampung berkenaan, malam tadi.

    Dalam kejadian pukul 10 malam itu, dua wanita berusia 20an dan 40an sesak nafas manakala 102 penduduk daripada 25 keluarga dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

    Hasil siasatan awal, pihak bomba mengesyaki tumpahan yang ditemui di sungai berhampiran adalah methyl alcohol, sejenis bahan buangan berjadual dengan kepekatan 120 ppm (bahagian per juta).- BERNAMA

  • Lebih 17 juta populasi negara lengkap divaksin

    Lebih 17 juta populasi negara lengkap divaksin

    SEBANYAK 54.1 peratus atau 17,653,079 individu daripada keseluruhan populasi di negara ini sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19, setakat semalam.

    Kementerian Kesihatan menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my memaklumkan sebanyak 66.3 peratus atau 21,649,228 individu pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

    Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 243,971 dos vaksin diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 39,234,306 dos.

    Sementara itu, setakat 11.59 malam 14 Sept, sebanyak 104 kematian sebenar harian COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam, dengan 359 kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

    Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 21,587 kes.- BERNAMA

  • Pemantauan pematuhan SOP di Langkawi di bahagi tiga zon

    Pemantauan pematuhan SOP di Langkawi di bahagi tiga zon

    PEMANTAUAN pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi pembukaan semula industri pelancongan Langkawi mulai esok dibahagikan kepada tiga zon yang tertumpu kepada ‘hotspot’ atau lokasi tumpuan pelancong.

    Pengerusi Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi Saiful Anwar Azmi berkata Zon Satu melibatkan sekitar kawasan Pekan Kuah hingga Ayer Hangat, Zon Dua membabitkan kawasan dari Ayer Hangat hingga Pantai Kok, manakala Zon Tiga dari Pantai Kok hingga Pantai Tengah.

    “Dalam setiap zon ini terdapat lokasi atau produk pelancongan yang sering menjadi tumpuan orang ramai. Kita bahagikan mengikut zon supaya mudah untuk pemantauan SOP dibuat.

    “Pasukan pemantauan SOP contohnya polis bergerak membuat pemantauan di lokasi pelancongan mengikut zon ini dan mereka akan pastikan semua SOP COVID-19 dan SOP gelembung pelancongan dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas mengenai persediaan berkaitan pemantauan pematuhan SOP ke atas pelancong yang akan mengunjungi Langkawi susulan pembukaan semula pulau itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai esok.

    Katanya, antara lokasi atau produk pelancongan yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong di Langkawi termasuk Terminal Jeti Kuah, Dataran Lang, pusat beli belah, premis bebas cukai, lapangan terbang, pusat pelancongan, pusat sukan dan rekreasi serta pantai.

    Dalam pada itu, Saiful Anwar yang juga Pegawai Daerah Langkawi berkata enam jawatankuasa kecil diwujudkan di bawah Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi yang berperanan memastikan projek rintis gelembung pelancongan itu berjalan lancar dan berjaya.

    Katanya, jawatankuasa kecil tersebut adalah Jawatankuasa Pandemik, Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jawatankuasa Kawalan Pintu Masuk, Jawatankuasa Pelancongan, Jawatankuasa Pengindahan Bandar dan Jawatankuasa Komuniti.

    “Pelbagai agensi terlibat sama dalam jawatankuasa-jawatankuasa ini termasuk agensi kerajaan, badan berkanun dan badan bukan kerajaan…(Kita harap) Langkawi akan jadi pusat pelancongan terbaik bukan sahaja di peringkat negara ini tetapi di peringkat dunia,” katanya.

    Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata setiap agensi di Langkawi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun serta persatuan-persatuan yang diberi peranan menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi perlu melaporkan aktiviti mereka kepada task force itu.

    Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana semua yang terlibat itu diberi peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam projek rintis gelembung pelancongan berkenaan.- BERNAMA