Author: Admin

  • Sabah harap PM teruskan siri rundingan MA63

    Sabah harap PM teruskan siri rundingan MA63

    SABAH berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan segera siri rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara kerajaan dan kerajaan negeri Sabah serta Sarawak melalui Majlis Khas MA63.

    Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata platform Majlis Khas MA63, yang dirintis oleh bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, perlu disambung semula memandangkan banyak kemajuan awal dicapai menerusi rundingan itu.

    “Kita berkeyakinan tinggi di bawah kebijaksanaan kepimpinan perdana menteri, kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna lebih besar berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah.

    “Kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang disepakati para pelopor awal tanah air di bawah MA63,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, malam tadi.

    Turut hadir Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan Awang Tengah Ali Hasan serta menteri-menteri Kabinet persekutuan dan negeri.

    Hajiji turut menegaskan bahawa selaku ketua kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, suara rakyat yang mengutarakan hak-hak negeri sebenarnya bukan hanya berkisar mengenai kepentingan negeri semata-mata.

    Beliau berkata, keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan Sabah kepada Persekutuan Malaysia.

    “Setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan Sabah diberikan pengiktirafan lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan membina negara jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa,” katanya.

    Hajiji juga berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat menghargai komitmen meletakkan MA63 sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwipartisan melalui memorandum persefahaman (MoU) di peringkat Persekutuan.

    Katanya, komitmen GRS ialah menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 29 Mac lepas bagi menunaikan mandat rakyat apatah lagi di kala negara berdepan kemelut kesihatan awam luar biasa akibat pandemik Covid-19.

    Beliau turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu atas semangat Keluarga Malaysia selain menaruh keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, negeri itu akan menikmati lebih banyak pembangunan di semua peringkat.

    “Keluarga Malaysia merupakan satu konsep kenegaraan yang begitu utuh dan berupaya menyimpulkan ikatan akrab sekalian rakyat jelata berbilang kaum, agama dan budaya. Hakikatnya, pendekatan Keluarga Malaysia amat relevan dengan kami di Negeri Di Bawah Bayu ini,” katanya.

    Bung Moktar dalam ucapannya pula berkata, meskipun sambutan Hari Malaysia tahun ini diadakan secara sederhana namun beliau yakin rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, memiliki semangat cintakan negara yang tinggi bagi meraikan bulan bersejarah ini.

    “Kita dilahirkan di tanah air ini dan menjadi sebahagian warganegara yang bersumpah setia untuk mempertahankannya sehingga akhir hayat. Semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang kita dalam menuntut kemerdekaan negara yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar serta inspirasi kepada kita semua.

    “Ketika ini, kita sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha menamatkan wabak Covid-19 bagi membolehkan usaha meneruskan legasi pembangunan, memulihkan ekonomi dan kemakmuran negara berjalan lancar,” katanya. – MalaysiaNow

  • Anak maut tercampak, ibu cedera dalam kemalangan

    Anak maut tercampak, ibu cedera dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita maut selepas tercampak keluar dari kereta Perodua Iswara dipandu ibunya selepas terlibat kemalangan dengan Perodua Myvi sebelum terbalik di Kilometer 11, Jalan Tenom-Keningau, Tenom, semalam.

    Nahas pada pukul 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

    Ibu mangsa pula yang berusia 54 tahun hanya mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Tenom.

    Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, mangsa tercampak keluar dari kenderaan selepas Proton Iswara dipandu ibunya bertembung dengan Perodua Myvi.

    “Ibu mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    “Pemandu Perodua Myvi bersama-sama anaknya tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Hasan berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Agong, Permaisuri adakan lawatan khas ke UK

    Agong, Permaisuri adakan lawatan khas ke UK

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan mengadakan lawatan khas ke United Kingdom (UK) bermula hari ini hingga 27 September.

    Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan khas itu melambangkan kepentingan hubungan erat antara Malaysia dan UK yang dimanifestasikan di peringkat pemerintahan tertinggi negara.

    “Lawatan tersebut turut menzahirkan keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan prestasi pelaburan serta kepentingan negara di UK agar sentiasa dalam keadaan baik terutamanya semasa pandemik yang mencabar.

    “Seri Paduka Baginda berdua berkenan mengadakan lawatan ke Battersea Power Station iaitu sebuah projek ikonik Malaysia di London,” jelas kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini.

    Menurut kenyataan itu, projek tersebut merupakan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

    “Seri Paduka Baginda juga berkenan untuk melawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 24 September bagi sesi pertemuan dengan rakyat Malaysia di UK yang terdiri daripada golongan usahawan, ahli akademik, pelajar dan ketua komuniti,” tambah kenyataan itu.

    Pada 25 September, pasangan diraja Malaysia itu dijadualkan berangkat melawat Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) iaitu syarikat milik penuh Lembaga Getah Malaysia dan salah satu institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) getah terkemuka dunia.

    Selain itu, Tuanku dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan menerima kunjungan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan UK yang akan menyentuh hubungan kerjasama pertahanan Malaysia dan UK.

  • Vaksinasi Orang Asli dipergiat, sasar selesai Oktober – Mahdzir

    Vaksinasi Orang Asli dipergiat, sasar selesai Oktober – Mahdzir

    Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mempergiatkan usaha vaksinasi COVID-19 kepada masyarakat Orang Asli supaya dapat diselesaikan menjelang Oktober ini, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Mahdzir berkata berdasarkan statistik, daripada 144,180 individu masyarakat itu yang layak menerima vaksin, seramai 77,970 orang telah menerima dos pertama manakala 50,734 orang telah lengkap kedua-dua dos, setakat semalam.

    “Selain itu, seramai 5,790 individu Orang Asli telah menerima vaksin jenis CanSino. Baki yang masih belum divaksin sedang diusahakan untuk menerima vaksin secepat mungkin,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas di Temerloh, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata SK Penderas kini dijadikan sebagai pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) pesakit Orang Asli sekitar Parlimen Kuala Krau yang menunjukkan peningkatan kes baharu sehingga ada dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Mahdzir Khalid diberi penerangan semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas, Temerloh, hari ini

    “Kita telah memperoleh kebenaran Jabatan Pendidikan Pahang untuk menggunakan sekolah ini, yang boleh memuatkan sehingga 500 pesakit dalam satu-satu masa. PKRC ini mula beroperasi semalam dan akan dibuka sehingga tiada lagi kes baharu dilaporkan,” katanya.

    Setakat semalam, terdapat 1,133 kes positif COVID-19 direkodkan di 10 perkampungan Orang Asli di Kuala Krau, dengan empat kematian direkodkan setakat Ahad lepas.

    Setakat hari ini, seramai 148 pesakit sedang dirawat di PKRC SK Penderas dan dijangka lebih ramai akan dipindahkan ke situ dalam masa terdekat. – Bernama

  • Remaja lelaki lemas di Tasik Cermin

    Remaja lelaki lemas di Tasik Cermin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja lelaki ditemukan lemas di Tasik Cermin, Puncak Perdana, Shah Alam, hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 4.08 petang dan pasukan bomba dari Balai Kota Anggerik tiba di lokasi 10 minit kemudian.

    Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan di permukaan air (water surface) dan selaman.

    “Mangsa, R Puravinraj, 19, berjaya ditemui pada jam 4.33 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada kedalaman empat meter.

    “Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan medik dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • KLIA kembali meriah

    KLIA kembali meriah

    BALAI Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali meriah apabila ia dipenuhi dengan para penumpang yang mengambil kesempatan untuk melancong ke Pulau Langkawi susulan pembukaan semula pusat pelancongan itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan bermula Khamis.

    Tinjauan Bernama di KLIA mendapati seawal 5 pagi, Aras 5 di kawasan itu sudah mula dibanjiri penumpang yang perlu menjalani beberapa prosedur operasi standard (SOP) sebelum diberi kebenaran untuk berlepas.

    Penumpang yang ingin ke Pulau Langkawi perlu hadir ke Anjung Tinjau di Aras 5 untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dengan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan slip selepas selesai ujian itu dan penumpang diminta untuk menunjukkan slip tersebut di kaunter daftar masuk.

    Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

    Khairy dilaporkan berkata, ujian saringan mesti dilakukan oleh semua orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

    Rata-rata penumpang yang ditemui mengakui langkah mewajibkan ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan berlepas ke Langkawi amat perlu bagi memastikan perjalanan dan percutian yang selamat.

    Nur Zetty Adila Mohd Ali, 34, yang melancong bersama suami dan dua anak lelaki berusia tujuh dan 13 tahun berkata, SOP yang ditetapkan kerajaan sangat bagus bagi melindungi penumpang daripada risiko dijangkiti wabak berbahaya itu.

    “Keseluruhan SOP ini sangat okey, sangat bagus dan kita sebagai penumpang pun rasa selamat,” katanya sambil menambah beliau akan sentiasa mengingatkan anak-anaknya untuk menjaga SOP termasuk sentiasa memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

    Bagi Bryan Thun, polisi mewajibkan penumpang untuk menjalani ujian saringan Covid-19 adalah langkah yang amat perlu dilaksanakan ketika negara masih berperang dengan wabak ini.

    “Saya fikir langkah diuji merupakan idea yang baik sekurang-kurangnya anda tahu anda selamat dan dilindungi semasa berada di pulau itu nanti dan sekurang-kurangnya juga anda mempunyai percutian selamat, jadi ia adalah peraturan yang baik,” katanya yang melancong bersama rakannya.

    Bernama difahamkan terdapat lapan penerbangan dari KLIA dan KLIA2 menuju ke detinasi Pulau Langkawi pada hari ini.

    Para penumpang yang ditemui di KLIA masing-masing menunjukkan rasa teruja dapat melancong ke luar negeri setelah lama tidak dapat berbuat demikian ekoran pelaksanaan sekatan perjalanan.

    Seorang pekerja swasta, Aliff Aiman Ahmad Othman, 35, berkata, sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran untuk melancong ke Pulau Langkawi, beliau segera membeli tiket secara dalam talian.

    “Saya mengambil keputusan untuk melancong ke Pulau Langkawi kerana nak beri kejutan kepada dua anak lelaki kami yang berusia lima dan sembilan tahun selepas sekian lama mereka terkurung di dalam rumah,” katanya.

    Seorang lagi penumpang, Norazliza Mohd Ali menyifatkan kebenaran untuk melancong ke Pulau Langkawi merupakan hadiah yang bermakna sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-31 hari ini.

    “Sudah lama sangat terkurung, jadi saya ambil kesempatan meraikan hari jadi di sana (Langkawi) bersama kawan dan dalam masa yang sama dapat membantu merancakkan kembali sektor ekonomi dan pelancongan,” katanya.

    Pada 9 September, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

    Pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu adalah terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin Covid-19.

    Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjangkakan sekitar 400,000 pelancong akan mengunjungi Langkawi dalam tempoh kira-kira tiga setengah bulan bermula pada pembukaan semula pulau peranginan itu di bawah program gelembung pelancongan, hari ini hingga Disember depan. – Bernama

  • KKMM pastikan pedalaman Sabah ada internet – Annuar

    KKMM pastikan pedalaman Sabah ada internet – Annuar

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memastikan setiap rakyat, khususnya di Sabah, mempunyai akses kemudahan internet meskipun tinggal jauh di kawasan pedalaman.

    Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata akses internet adalah hak bagi setiap individu, malah dalam keadaan situasi semasa internet amat penting bagi anak-anak yang sedang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

    “Kalau kemudahan lain dari segi bekalan air dan elektrik mahu disamakan seperti di Semenanjung mungkin agak perlahan sedikit, tetapi apabila berkaitan dengan internet, apa yang ada di Semenanjung mesti ada di Sabah,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

    Terdahulu Annuar melawat Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, serta mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Jabatan KKMM Sabah, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKMM Datuk Mohammad Mentek.

    Annuar berkata, untuk itu usaha meningkatkan jaringan internet di Sabah telah dilaksanakan seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memperuntukkan sebanyak RM3.5 billion bagi negeri itu.

    Beliau berkata, banyak perkara yang perlu dilaksanakan untuk memudahkan capaian internet kerana bentuk fizikal negeri Sabah yang berbeza dengan negeri-negeri lain, antara cabaran untuk melaksanakan usaha meningkatkan jaringan internet.

    Namun, katanya, kerjasama semua pihak akan mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat agar jaringan internet di Sabah akan lebih bertambah baik di masa depan.

    Sementara itu, Annuar berkata, Pusat Internet 1Malaysia juga akan dijenamakan semula dengan fungsi baharu untuk dijadikan sebagai pusat digital ekonomi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Saya sudah beritahu dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Timbalan Ketua Menteri Sabah), mana-mana DUN kalau langsung tiada (pusat internet), automatik masuk tersenarai (bina pusat internet baharu) terus, sebab setiap DUN kena ada minima satu, kalau ada dua tiga lagi elok,” katanya. – Bernama

  • SOP solat di masjid dan surau diputuskan semalam-Idris

    SOP solat di masjid dan surau diputuskan semalam-Idris

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MESYUARAT Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) semalam memutuskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) mengenai solat berjemaah di masjid dan surau bagi negara ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, muzakarah yang disertai mufti-mufti seluruh negeri itu juga telah membuat draf panduan SOP untuk diserahkan kepada setiap negeri melalui jabatan agama masing-masing.

    “Kita di pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya menjadi penyelaras dan memberikan pandangan mengenai hal ini dan segala ketetapan yang dilaksanakan tertakluk kepada bidang kuasa pentadbiran agama negeri.

    “Ini termasuk perkara berkaitan solat berjemaah fardu dan Jumaat seperti kuota yang dibenarkan dan ia terpulang kepada mereka untuk melaksanakan SOP berkenaan,” katanya kepada pemberita Permatang Duyong, Melaka, hari ini.

    Terdahulu, beliau menyempurnakan program Penyerahan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Kotak Makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong yang turut dihadiri Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

    Mengulas lanjut, Idris berkata pihaknya juga tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran agama negeri selain perlu menghormatinya kerana ia adalah bidang kuasa mereka dalam menentukan segala keputusan berkaitan SOP di masjid dan surau.

    “Kadang-kadang netizen meluahkan rasa tidak puas hati kerana masjid tidak boleh dihadiri ramai, tetapi ia bukan tugas di bawah JAKIM sebaliknya masjid perlu melalui bidang kuasa kerajaan negeri.

    “Ini juga berbeza dengan tempat-tempat lain seperti kilang atau pusat beli-belah kerana mereka hanya perlu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja,” katanya.

  • 5 dikesan positif Covid-19 di pintu masuk Langkawi

    5 dikesan positif Covid-19 di pintu masuk Langkawi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan, lima individu dikesan positif Covid-19 di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi, hari ini.

    Seramai 3,200 pelancong tiba di Langkawi melalui jalan udara dan laut pada hari ini sempena hari pertama pelancaran Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi.

  • PKPD 6 lokaliti Sabah, Kelantan, Pahang tamat esok

    PKPD 6 lokaliti Sabah, Kelantan, Pahang tamat esok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan di enam lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang berkuat kuasa esok.

    Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, PKPD itu ditamatkan seperti yang dijadualkan.

    Jelasnya, penamatan tersebut membabitkan dua lokaliti di Taman Keramat dan Angkasa Apartment, Kota Kinabalu, Sabah.

    “Selain itu di Kelantan melibatkan Kampung Bilau dan Kampung Batang, Gua Musang.

    “Sementara dua lagi di Rumah Kongsi Pinggiran Goh, Kuantan dan Sempalit, Mukim Gali, Raub bagi negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, empat lokaliti di Pahang dilanjutkan PKPD dari 18 September hingga 24 September depan.

    “Ia melibatkan tiga perkampungan Orang Asli di Temerloh iaitu Kampung Kuala Terboi, Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong dan satu lokaliti di Penjara Penor, Kuantan,” tambahnya.