Author: Admin

  • Empat berdepan detik cemas bot karam

    Empat berdepan detik cemas bot karam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    EMPAT nelayan berdepan detik cemas apabila bot fiber dinaiki mereka, karam setelah terlanggar objek dipercayai bongkah kayu hanyut di kedudukan 0.1 batu nautika, timur laut, Pulau Balar dekat Langkawi, semalam.

    Pengarah Maritim Kedah Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 petang iaitu hanya sejam selepas nelayan berusia antara 34 hingga 59 tahun itu, turun ke laut bagi mencandat sotong.

    Katanya, bot fiber tersebut mengalami kebocoran setelah terlanggar bongkah kayu berkenaan hingga menyebabkannya tenggelam.

    “Selepas bot itu karam, tekong bot tersebut, Mohd. Yusoff Nawi, 57, berenang ke daratan berhampiran bagi mendapatkan liputan komunikasi untuk mendapatkkan bantuan manakala tiga yang lain berpaut pada batu di kawasan berhampiran.

    Pegawai Maritim Malaysia bertanyakan sesuatu kepada empat nelayan yang diselamatkan dalam kejadian bot karam dekat Pulau Balar, Langkawi, semalam

    “Sebaik bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian, sebuah bot nelayan lain turut berada di kawasan kejadian bagi membantu nelayan terlibat selepas menerima maklumat disalurkan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) kepada komuniti maritim,” katanya dalam satu kenyataan di Kedah, hari ini.

    Mohd. Zawawi menambah, kesemua mereka yang terlibat kemudiannya dibawa menaiki bot Perkasa 1225 Maritim Malaysia dan diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut.

    “Operasi carilamat kemudiannya tamat kira-kira pukul 11 malam tadi,” katanya.

  • Banglo mewah disewa RM2,000 sehari demi parti liar

    Banglo mewah disewa RM2,000 sehari demi parti liar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki berusia 41 tahun sanggup mengeluarkan wang poketnya sehingga RM2,000 hanya untuk menyewa sebuah banglo mewah selama sehari di kawasan perumahan elit di Taman Perling, Johor Bahru untuk menganjurkan parti liar, kelmarin.

    Bagaimanapun, keseronokan lelaki itu bersama 13 individu lain tidak berpanjangan apabila diserbu polis setelah berhibur dengan alunan muzik kuat berserta jamuan minuman keras dan pelbagai jenis dadah.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, dalam serbuan pada pukul 2.30 pagi itu, polis menahan 14 suspek berusia lingkungan 20 hingga 41 tahun yang sedang asyik berparti.

    Sebuah banglo disewa sebelum dianjurkan parti liar yagn turut melibatkan dadah dan minuman keras

    “Semasa pasukan polis memasuki premis itu, didapati tujuh lelaki dan tujuh wanita tempatan sedang berhibur di ruang tamu dengan muzik dipasang kuat serta hidangan minuman keras.

    “Hasil serbuan itu, pihak polis turut menjumpai sejumlah dadah jenis ganja, ketamin dan
    ekstasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Rupiah berkata, hasil saringan ujian air kencing ke atas semua tangkapan mendapati lima suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine termasuk lelaki yang menyewa banglo mewah terbabit.

    “Penganjur itu dikenakan kompaun RM2,000 manakala kesemua individu lain dikompaun RM1,500 kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1,” katanya.

    Tindakan 14 lelaki dan wanita berhibur di semuah banglo yagn disewa khas membawa padah apabila ditahan polis kerana melanggar SOP PPN Fasa 1

    Dalam serbuan itu juga, pihak polis telah merampas semua perkakasan muzik elektronik yang digunakan dan kesemua 14 individu direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

    Ujar Rupiah, kes disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Pura-pura jadi nelayan untuk seludup dadah

    Pura-pura jadi nelayan untuk seludup dadah

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    LAGAK dua suspek yang kelihatan seperti nelayan dan menggunakan bot kecil kononnya untuk menangkap hasil laut rupa-rupanya taktik mereka untuk menyeludup dadah di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Tanjung Setapa, pukul 7.30 petang, kelmarin.

    Bagaimanapun, taktik mereka terbongkar apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyedari tindakan mencurigakan ekoran dua bot yang dikendalikan dua suspek itu saling merapati antara satu sama lain.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, pasukan operasi Zon Maritim Tanjung Sedili bertindak segera dengan menuju ke arah lokasi untuk serbuan dan pemeriksaan.

    Sebuah bot yang ditinggalkan suspek berisi dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM330,000 pada kedudukan 1.6 batu nautika selatan Tanjung Setapa

    “Bagaimanapun kedua-dua suspek bertindak meninggalkan sebuah bot di lokasi dan melarikan diri bersama-sama salah satu daripada bot tersebut dengan memecut laju menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

    “Pasukan operasi berusaha mengejar memintas bot suspek, namun suspek nekad meloloskan diri melalui zon ‘traffic separation scheme’ (TSS) dan berjaya melepasi sempadan perairan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi, hari ini.

    Simon berkata, hasil pemeriksaan mendapati dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat enam kilogram bernilai RM330,000 disembunyikan dalam tong minyak pada bot berkenaan.

    Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM350,000 termasuk bot gentian kaca dan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda.

    “Kita akan menyiasat lebih lanjut kes ini bagi menjejaki dalang atau pihak terlibat dalam pengedaran dadah kerana aktiviti ini dilihat mula aktif di perairan Johor.

    Syabu dengan anggaran berat enam kilogram bernilai RM330,000 disembunyikan dalam tong minyak pada bot

    “Bagi menyekat jenayah rentas sempadan khasnya penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan pengedaran dadah di perairan Johor, Maritim Malaysia juga telah meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis bot.

    “Orang ramai terutamanya komuniti maritim yang mempunyai maklumat atau sebarang salah laku jenayah di laut diminta bekerjasama menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan aduan melalui talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” katanya.

  • Pencemaran kimia: Polis Johor-JAS buat operasi susulan

    Pencemaran kimia: Polis Johor-JAS buat operasi susulan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SELEPAS menahan sembilan individu termasuk seorang pemilik premis bagi membantu siasatan bahan kimia yang dibuang di tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor Bahru pada malam Selasa lalu, satu susulan serbuan akan dilakukan.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis Johor akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menyiasat dari mana datangnya bahan kimia yang dibuang di tali air kampung tersebut.

    “Setakat ini tangkapan untuk siasatan kes ini masih kekal sembilan orang termasuk pemilik premis seperti yang sama maklumkan sebelum ini.

    “Mungkin selepas ini akan ada operasi susulan kerana lori yang membawa bahan kimia dipercayai dari lokasi lain, saya percaya (sisa bahan kimia itu) diambil dari lokasi lain.

    “Setakat ini baru satu premis sahaja disiasat, kita akan kenal pasti dengan JAS Johor dari mana bahan-bahan kimia ini dibawa dan dibuang di Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru pada Jumaat.

    Seramai 102 penduduk Kampung Baru Sri Aman dipindahkan
    ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru berikutan berlakunya tumpahan bahan kimia dari sungai berhampiran kampung tersebut pada 10.30 malam Selasa.

    Menerusi siasatan pada pagi kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor kemudian mengesan Methyl Alcohol dan Metanol dalam buangan sisa industri yang mengalir di tali air berhampiran kampung itu.

    Susulan itu, Ayob Khan memberitahu, pihaknya telah menahan empat suspek termasuk seorang pemilik premis yang disyaki terlibat melakukan pembuangan sisa industri berjadual itu di sebuah kilang, sebelum tangkapan bertambah menjadi sembilan suspek.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, soal siasat terhadap semua individu yang ditahan terus berjalan dan mereka masih lagi direman.

    Pihak polis katanya, akan terus membantu JAS Johor dalam usaha mengesan pihak yang bertanggungjawab membuang sisa buangan kimia tersebut.

  • Atlet Paralimpik terima ganjaran RM100,500 dari Yayasan OSK

    Atlet Paralimpik terima ganjaran RM100,500 dari Yayasan OSK

    PENCAPAIAN luar biasa atlet negara di Sukan Paralimpik 2020 terus mendapat perhatian pelbagai pihak dan hari ini mereka menerima insentif kewangan daripada Yayasan OSK, cabang amal Kumpulan OSK.

    Yayasan itu menyumbangkan ganjaran berjumlah RM100,500 untuk diagihkan kepada 22 atlet para negara dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

    Dalam majlis yang berlangsung menerusi aplikasi Zoom, atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou (badminton) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh) yang memenangi pingat emas di Tokyo menerima RM15,000 setiap seorang, sementara pemenang perak Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) masing-masing membawa pulang RM10,000.

    Sebagai tambahan, lain-lain atlet Paralimpik Malaysia menerima RM1,500 seorang di atas kesungguhan dan dedikasi mereka sementara RM10,000 juga disumbangkan kepada (MPM) di atas usahanya dalam menyokong pembangunan gerakan paralimpik di dalam negara.

    “Kami sangat berterima kasih dan berbesar hati untuk menyokong atlet yang menunjukkan bakat luar biasa dan kesungguhan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 biarpun menghadapi kekangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan OSK, Cheryl Ong.

    Pencapaian mereka memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia (bukan hanya mereka yang kurang upaya) untuk menjalani hidup yang aktif dan penuh azam, mempercayai kebolehan sendiri, bekerja lebih keras dan berani untuk memiliki impian besar.”

    Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin amat gembira dengan apa yang dilakukan Yayasan OSK.

    “Saya akui ini adalah sumbangan terbesar daripada sesebuah organisasi swasta sebagai penghargaan kepada atlet para kita dan MPM. Dengan sumbangan dan semangat yang diberikan, saya rasa bertenaga semula untuk mengetuai dan memacu pergerakan sukan para di dalam negara ke peringkat lebih tinggi.

    “Saya berharap lebih banyak organisasi korporat akan tampil ke hadapan untuk melengkapkan usaha kerajaan mempromosi pergerakan sukan untuk 15 peratus daripada masyarakat kita yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya di negara ini,” katanya. – Bernama

  • Kes harian Covid-19 dijangka turun bawah 1,000 awal Disember

    Kes harian Covid-19 dijangka turun bawah 1,000 awal Disember

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEKIRANYA imuniti kelompok berjaya dicapai menjelang 31 Oktober ini, jumlah jangkitan harian Covid-19 di negara ini dijangka boleh menurun di bawah 1,000 kes pada awal Disember depan.

    Ini berdasarkan Model Pemerhatian dan Jangkaan Kes Harian Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), yang dimuat naik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook, hari ini.

    Model itu meramalkan jumlah kes Covid-19 akan menurun ke bawah 1,000 sehari jika 80 peratus populasi negara menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada hujung bulan depan, dengan anggaran purata keberkesanan vaksin sekitar 70 peratus.

    Bagaimanapun, jika tempoh untuk vaksinasi lengkap mencecah 80 peratus populasi berlanjutan sehingga 31 Disember depan, jumlah kes harian diramalkan hanya menurun ke sekitar 3,000 menjelang hujung tahun ini.

    KKM menerusi portal COVIDNOW, menjangkakan 80 peratus atau lebih 26.1 juta populasi negara akan lengkap divaksin menjelang 12 Disember depan, berdasarkan kapasiti suntikan semasa yang berlegar sekitar 200,000 dos sehari.

    Ketika ini, jumlah purata kes harian bagi tempoh tujuh hari menunjukkan trend penurunan sejak hujung bulan lalu, selaras peningkatan kadar vaksinasi, khususnya di negeri yang memiliki penduduk yang ramai seperti Lembah Klang.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan, kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian bagi seluruh negara adalah 0.98 setakat semalam, sekali gus kekal di bawah 1.0 untuk 16 hari berturut-turut sejak 1 September.

    Bagaimanapun, nilai Rt itu mencatat sedikit peningkatan berbanding kelmarin (0.97) dan Selasa (0.96).

    Dr. Noor Hisham berkata, sejumlah lapan negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan, dengan nilai tertinggi direkodkan Sarawak iaitu 1.11.

    Ini disusuli Perak (1.04), Terengganu (1.04), Perlis (1.03), Pahang (1.02), Pulau Pinang (1.01), Johor (1.01) dan Kelantan (1.0), selain Kuala Lumpur merekodkan Rt terendah dengan 0.82.

    Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

    Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

  • Penerbangan ihsan JBPM bawa orang asli dijangkiti Covid-19

    Penerbangan ihsan JBPM bawa orang asli dijangkiti Covid-19

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEORANG wanita Orang Asli di Pos Belatim, Gua Musang, Kelantan terpaksa dibawa ke hospital melalui penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mendapat rawatan lanjut setelah dia didapati positif Covid-19.

    Wanita tersebut, Asalmi Alang, 59, dilaporkan deman serta sukar bernafas menyebabkan dia perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

    Menurut Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Mohd. Farhan Marzuki, pesakit telah dibawa dengan menggunakan penerbangan ihsan helikopter JBPM dari Pos Belatim.

    Menurut beliau, helikopter kemudian mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, pada pukul 4.25 petang semalam.

    “Sebaik mendarat, wanita itu yang berada dalam keadaan stabil kemudian terus dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” ujar beliau kepada media hari ini.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 14 set bubu naga

    Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 14 set bubu naga

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 14 set bubu naga di dua lokasi berbeza sekitar 1.8 kilometer dari barat laut Sungai Air Hitam semalam.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bubu itu dikesan ketika rondaan rutin Op Bengeng Laut dan Op Pertiwi antara pukul 4 hingga 5.20 petang.

    Menurut beliau, 14 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM1,860 itu dirampas lalu dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

    Tambah beliau, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain terutama nelayan tradisional pesisir pantai.

    “Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

    “Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    maritim malaysia
    Maritim Pulau Pinang merampas sebanyak 14 set bubu naga di dua lokasi berbeza sekitar 1.8 kilometer dari barat laut Sungai Air Hitam.

    Tambah Abd. Razak, nelayan diingatkan mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. 

    Jelasnya, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. 

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • 17.97 juta rakyat lengkap vaksin – JKJAV

    17.97 juta rakyat lengkap vaksin – JKJAV

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 17,973,545 individu atau 55 peratus populasi keseluruhan di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

    Melalui perkongsian infografik dalam Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan seramai 21,783,871 individu atau 66.7 peratus daripada populasi keseluruhan pula sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

    Sebanyak 202,298 dos vaksin Covid-19 yang merangkumi 62,108 dos pertama dan 140,190 dos lengkap turut diberikan semalam, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 39,685,414 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • Sultan Nazrin jalankan fungsi, peranan Agong

    Sultan Nazrin jalankan fungsi, peranan Agong

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan menjalankan fungsi-fungsi dan peranan Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dalam lawatan khas ke United Kingdom mulai hari ini.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, peranan Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu selaras dengan Perkara 33(1) dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Menurut Ahmad Fadil, seusai lawatan khas Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baginda berdua berkenan beristirehat di London bermula 27 September dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober.

    “Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” demikian menurut kenyataan tersebut hari ini.

    Ahmad Fadil berkata, sepanjang lawatan khas hingga 27 September itu, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square serta Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

    “Atur cara lawatan khas tersebut turut diisi dengan pertemuan antara Seri Paduka Baginda berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

    “Seri Paduka Baginda turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst.

    “Seri Paduka Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

    “Seri Paduka Baginda turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan UK, yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan UK.

    “Sir General Nicholas Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst,” katanya lagi.

    Jelas beliau, lawatan khas tersebut merupaka kali kedua bagi Seri Paduka Baginda ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

    Lawatan khas yang pertama, katanya, telah diadakan pada bulan Disember 2019 selama tujuh hari bermula 9 Disember.

    “Dari segi hubungan dua hala, UK merupakan rakan dagang ke-18 terbesar bagi Malaysia pada tahun 2020 dengan jumlah dagangan direkodkan di antara kedua negara sebanyak RM16.59 bilion (GBP3.08 bilion), peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun 2019.

    “Nilai eksport Malaysia ke UK pada tahun lalu juga telah direkodkan sebanyak RM9.91 billion (GBP1.84 billion), manakala nilai import dari United Kingdom sebanyak RM6.68 billion (GBP1.24 billion),” katanya.

    Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memklumkan lawatan khas tersebut melambangkan kepentingan hubungan erat di antara Malaysia dan UK dimanifestasikan di peringkat pemerintahan tertinggi negara.