Author: Admin

  • Tujuh projek tebatan banjir bernilai RM259.5 juta akan dilaksana di Pulau Pinang

    Tujuh projek tebatan banjir bernilai RM259.5 juta akan dilaksana di Pulau Pinang

    KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM259.5 juta bagi melaksanakan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pulau Pinang  yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

    Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman berkata daripada tujuh projek berkenaan, enam adalah projek sambungan RTB manakala satu projek baharu yang akan membawa pelbagai manfaat kepada penduduk, khususnya dalam menangani isu banjir kilat di negeri ini.

    “Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui agensi pelaksana termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan tujuh projek tersebut yang kini masih dalam pelbagai fasa kerja antaranya proses pelantikan perunding bagi reka bentuk terperinci, kerja ukur, penyiasatan tanah, panggilan tender kerja dan tempoh pembinaan projek itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke RTB Pondok Upeh/Sungai Burong, di sini hari ini.

    Beliau berkata antara RTB yang sedang dilaksanakan ialah RTB Lembangan Sungai Pinang membabitkan kos RM150 juta, RTB Sungai Kechil (RM16.8 juta), RTB Pondok Upeh/Sungai Burong (RM10 juta) RTB Sungai Dua melibatkan peruntukan RM45 juta dan kesemua projek tersebut dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

    Selain itu, KASA juga sedang menjalankan kajian keberkesanan RTB di Pulau Pinang yang akan dijadikan projek perintis bagi projek RTB di seluruh negara dalam usaha memastikan pelaksanaan lancar dan impaknya memberi manfaat kepada rakyat.

    “Menerusi kajian itu, Pulau Pinang akan menjadi model kepada negeri-negeri lain untuk projek RTB dan kita dapat membuat penilaian serta penambahbaikan untuk projek (RTB) di negeri lain berdasarkan kajian tersebut,” katanya.

    Sementara itu, Mansor berkata RTB Pondok Upeh/Sungai Burung yang dilawatinya hari ini dijangka dilaksanakan pada tahun depan dengan kos keseluruhan RM10 juta bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di penempatan penduduk kawasan Sungai Burong, Kampung Pondok Upeh, Jalan Lintang Pondok Upeh, Jalan Genting, Jalan Balik Pulau dan Kampung Pulau Betong.

    Katanya selain itu, RTB Teluk Kumbar membabitkan nilai RM10 juta yang dilaksanakan pada 2019 itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober yang akan dapat menangani masalah banjir yang sering dihadapi kira-kira 80,000 penduduk di Kampung Nelayan, Kampung Sulup, Kampung Paya dan Kampung Masjid.

    “Pelaksanaan kedua-dua projek RTB itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berisiko banjir, malah ia juga dapat mengurangkan perpindahan penduduk sehingga 80 peratus,” katanya sambil berharap kerosakan harta benda akibat banjir juga dapat dikurangkan melalui pelaksanaan projek RTB tersebut.- BERNAMA

  • Kerajaan kekal tanggung subsidi haji – Ahmad Marzuk

    Kerajaan kekal tanggung subsidi haji – Ahmad Marzuk

    KERAJAAN akan mengekalkan subsidi untuk jemaah haji negara ini seperti dibiayai selama ini walaupun kosnya dijangka meningkat berikutan perubahan prosedur operasi standard (SOP) ibadat itu.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, biarpun meneruskan lagi subsidi berkenaan, namun kerajaan belum memuktamadkan kos ibadat itu yang akan ditanggung seperti sebelum ini.

    Namun menurutnya, peratusan subsidi akan kekal seperti sebelum ini dan mungkin meningkat berikutan Kerajaan Arab Saudi menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus.

    “Ia berikutan penguatkuasaan SOP susulan pandemik Covid-19 apabila bilangan jemaah terpaksa dihadkan,” katanya hari ini.

    Sebelum ini, kerajaan menanggung subsidi haji berjumlah hampir RM400 hingga RM500 juta setahun.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan juga akan memaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah jika berlaku kenaikan kos ibadat berkenaan.

    Ujarnya, kos haji tidak naik sejak sekian lama oleh kerana kemampuan kerajaan dan kedudukan kewangan kukuh membolehkan kos itu ditanggung.

    “Kerajaan akan berusaha memastikan peningkatan kos haji tidak membebankan jemaah walaupun dijangka meningkat lebih RM30,000, berbanding RM24,000 sebelum ini dengan jemaah hanya perlu membayar RM9,900,” katanya.

    Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman semalam dilaporkan berkata, kos haji dijangka meningkat berikutan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi khasnya bagi menghalang penularan Covid-19.

    Katanya, peningkatan itu berdasarkan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia serta Arab Saudi, sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP seperti penjarakan fizikal, kapasiti bilik hotel dan bas serta jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram.

    Katanya lagi, SOP itu memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini saja, jemaah perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, membabitkan tiga lokasi, iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie saja.

    “Kos itu tidak termasuk penginapan hotel, makan minum dan penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, maka bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini. Sebagai perbandingan, bayaran haji pada 2019 ialah RM9,980 seorang untuk 40 hingga 45 hari menerusi subsidi haji,” katanya lagi.

    Pada 2019, kerajaan memutuskan bayaran menunaikan haji bagi jemaah muassasah kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920. Kos haji tahun itu RM22,900 berbanding RM22,450 musim sebelumnya, namun Malaysia tidak menghantar jemaah pada 2020 dan tahun ini susulan pandemik.

  • Afghanistan:Sekolah dibuka semula untuk pelajar lelaki bermula Sabtu

    Afghanistan:Sekolah dibuka semula untuk pelajar lelaki bermula Sabtu

    SEMUA sekolah dan madrasah di Afghanistan akan dibuka semula  untuk pelajar lelaki, bermula Sabtu, memetik pengumuman kerajaan sementara Taliban.

    “Sekolah menengah dan rendah serta madrasah  telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan pembelajaran boleh bermula pada 18 September,” menurut pengumuman itu lapor Agensi Anadolu. 

    Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat pada Jumaat itu tidak menyebut bila sekolah untuk wanita akan dibuka. Sebelum ini sesi pembelajaran untuk pelajar dan murid perempuan di kelas satu hingga enam telah dibuka semula. 

    Kerajaan sementara sebelum ini dilaporkan membenarkan wanita untuk melanjutkan pendidikan tetapi pelajar lelaki dan wanita akan diasingkan selain perlu mematuhi etika pakaian yang ditetapkan.

    Semasa pemerintahan Taliban pada 1996 hingga 2001, wanita tidak dibenarkan ke sekolah. Taliban kembali memegang tampuk pemerintahan di Afghanistan pada Ogos dan membentuk kerajaan sementara, terdiri 33 anggota. – BERNAMA

  • Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

    Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

    SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak berkuat kuasa hari ini.

    Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan berkata Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.

    Dua lagi individu dilantik sebagai ahli jemaah ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja Tan Sri Ramli Ngah Talib.

    “Ini selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Bahagian Kedua, Perkara XV; dalam tempoh masa baginda menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

    Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom.

    Dilapor, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke United Kingdom itu bermula semalam hingga 27 Sept ini dan Seri Paduka berdua kemudian berkenan beristirahat di London bermula 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu adalah kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 9 Dis 2019 selama tujuh hari.- BERNAMA

  • Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

    Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Selangor menyelamatkan sembilan lelaki yang terperangkap di kawasan batu di Sungai Kedondong, Kuala Kubu Bharu, dekat sini malam tadi, ekoran kejadian kepala air.

    Kesemua mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun terperangkap di sungai berkenaan akibat arus deras.

    Pengarahnya Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada  7.55 malam.

    Beliau berkata sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Anggota tiba pada 8.27 malam dan mendapati dua daripada sembilan lelaki terbabit berjaya melepasi sungai berkenaan manakala tujuh lagi rakannya masih terperangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Norazam berkata pihaknya berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dan dibawa ke tempat selamat.-BERNAMA

  • Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di London bagi lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) bermula hari ini.

    Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada 8 malam Jumaat waktu tempatan (3 pagi Sabtu waktu Malaysia).

    Ketibaan  Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar dan isteri Nor Aini Abdul Rahman.

    Dalam lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

    Atur cara lawatan khas itu turut diisi dengan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

    Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst iaitu tempat Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan dari 1978 hingga 1979.

    Seri Paduka turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom. 

    Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.

    Selepas lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Lawatan khas itu merupakan kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Dis 2019.

    Sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong.- BERNAMA

  • Tanah runtuh Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah

    Tanah runtuh Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah

    RUNTUHAN tanah yang menjejaskan bahagian belakang 19 rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights di sini semalam, dipercayai akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan itu.

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada 9.30 malam tadi (Jumaat), yang turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.

    “Ketika ini, pihak saya bersama polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya giat memindahkan mangsa untuk ditempatkan di dewan orang ramai.

    “Malah, kerja-kerja pencerunan akan dilaksanakan pagi ini bersama pihak-pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian awal pagi tadi.

    Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis mengawal ketat lokasi kejadian sebagai langkah keselamatan.

    Semalam, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.- BERNAMA

  • 77.5 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    77.5 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    SERAMAI 18,135,561 individu atau 77.5 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    Menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 92.9 peratus atau 21,861,904 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Sebanyak 238,002 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 162,016 dos pertama dan 75,986 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 39,923,416 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Buaya tembaga 500kg berjaya dipukat nelayan

    Buaya tembaga 500kg berjaya dipukat nelayan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEEKOR buaya tembaga sepanjang kira-kira 3.7 meter dengan anggaran berat 500 kilogram (kg) berjaya ditangkap sekumpulan nelayan di perairan Pantai Bersih, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Buaya itu ditangkap pukul 6.45 petang menggunakan pukat nelayan selepas dilihat timbul di permukaan laut sebelum dibawa ke Jeti Bagan Ajam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kumpulan nelayan terbabit mengambil masa kira-kira sejam sebelum berjaya menangkap reptilia itu.

    Buaya tembaga ditangkap pukul 6.45 petang tadi menggunakan pukat nelayan selepas dilihat timbul di permukaan laut sebelum dibawa ke Jeti Bagan Ajam

    Menurut beliau, ketika polis tiba, buaya itu telah berjaya dinaikkan ke pantai oleh nelayan dengan bantuan orang awam ke kawasan berhampiran deretan kedai makan di Kampung Contoh.

    “Buaya itu kemudian dipindahkan ke Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah SPU dengan bantuan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di Butterworth, hari ini.

    Buaya tembaga berkenaan sepanjang kira-kira 3.7 meter dengan anggaran berat 500 kg

    Difahamkan haiwan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dan operasi terbabit tamat sepenuhnya pukul 8.34 malam ini.

  • 55 peratus populasi negara lengkap divaksin-KKM

    55 peratus populasi negara lengkap divaksin-KKM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETAKAT semalam sejumlah 202,298 dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan suntikan yang sudah diberikan kepada 39,685,414.

    Portal COVIDNOW Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan, sejumlah 62,108 dos yang diberikan semalam adalah dos pertama, manakala 140,190 dos lagi suntikan lengkap vaksin berkenaan.

    Dengan pertambahan itu, sejumlah 21,783,871 individu atau 66.7 peratus daripada lebih 32 juta populasi di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Selain itu, seramai 17,973,545 individu atau 55 peratus daripada populasi negara sudah mendapat suntikan lengkap vaksin.

    Berdasarkan kapasiti suntikan vaksin pada jumlah sekitar 200,000 dos sehari, KKM mengunjurkan Malaysia mampu mencapai imuniti kelompok, iaitu 80 peratus daripada keseluruhan penduduk lengkap divaksin, menjelang 12 Disember depan.

    Sehingga semalam, Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) merekodkan jumlah penerima vaksin dan menghampiri imuniti kelompok apabila lebih 6.47 juta atau 76.9 peratus daripada penduduknya menerima dos lengkap vaksin Covid-19.

    Ini disusuli Labuan (66,909 atau 67.2 peratus), Negeri Sembilan (741,865 atau 67.2 peratus), Sarawak (1.81 juta atau 64.5 peratus) dan Perlis (147,579 atau 57.9 peratus).

    Enam negeri pula masih merekodkan jumlah penerima lengkap vaksin di bawah 50 peratus, berbanding populasi keseluruhan, iaitu Johor (47.5 peratus), Perak (42.8 peratus), Pahang (41.7 peratus), Kedah (41.2 peratus), Sabah (37.4 peratus) dan Kelantan (35.9 peratus).