Author: Admin

  • Tidak profesional LTAT banding harga LCS macam Proton dan Lamborghini

    Tidak profesional LTAT banding harga LCS macam Proton dan Lamborghini

    KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman disifatkan ‘tidak profesional’ kerana cuba membandingkan harga kapal tempur pesisir (LCS) yang dibeli oleh Malaysia dengan yang dibuat oleh Amerika Syarikat (AS).

    Memetik laporan Malaysiakini, Penganalisis pertahanan Lam Choong Wah berkata, ini bukanlah perbandingan yang adil sama sekali.

    “Dia tahu bahawa (LCS) berbeza, tetapi dia masih membuat perbandingan. Dia bersikap tidak profesional.

    “Dia hanya mahu menunjukkan bahawa LCS kita lebih murah daripada negara lain … ini seperti membandingkan Proton Saga dan Lamborghini, kedua-duanya kereta tetapi sangat berbeza,” kata Lam.

    Pada Selasa, bos LTAT itu berhujah bahawa kontrak LCS RM9 bilion Malaysia bermaksud setiap satu daripada enam kapal yang ditempah berharga RM1.5 bilion.

    “Mesir membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS mereka yang dibuat di Perancis.

    “UAE juga belanja hampir RM1.9 bilion satu LCS.

    “AS bina LCS mereka pada harga RM2.4 bilion sebiji sebab lebih canggih,” katanya pada hantaran di Facebook.

    Lam menjelaskan LCS buatan AS mempunyai kelajuan maksimum 74 kilometer sejam, tiga hingga empat modul misi tempur yang boleh ditukar ganti dan mempunyai keupayaan tersembunyi.

    Sebaliknya, LCS yang dibeli oleh Malaysia dilaporkan antaranya mempunyai kelajuan maksimum 51 kilometer sejam dan tidak dapat menukar modul misi tempur.

    “LCS Malaysia hanya mempunyai satu modul misi,” katanya.

    Perolehan LCS Malaysia baru-baru ini menjadi perhatian selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PSC) menerbitkan laporan yang menyorot kegagalan projek itu.

    Projek LCS bermula pada 2011 apabila kontrak diberikan dan kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019.

    Bagaimanapun, sehingga kini, kesemua enam kapal masih dalam pembinaan.

    Isu lain yang dibangkitkan ialah Kementerian Pertahanan tidak mengendahkan kehendak Tentera Laut Diraja Malaysia dalam memilih reka bentuk kapal tempur pesisir berkenaan.

  • Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan di LPT2

    Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan di LPT2

    SEORANG lelaki maut, manakala dua rakannya parah dalam satu kemalangan di KM301.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Plaza Tol Kijal berhampiran Kemaman, Terengganu.

    Dalam kejadian kira-kira 5.40 pagi Khamis itu, Saharuzaman Abd. Wahab, 48, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah bahagian kepala, manakala Kamarulzaman Abu Bakar, 52, dan Mohd. Afiq Mohd. Noor, 23, dikejarkan ke Hospital Kemaman bagi mendapatkan rawatan.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang maut itu merupakan seorang mekanik sementara dua rakannya adalah pemandu serta kelindan lori, lapor FMT.

    Ketika kejadian, katanya, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Terengganu.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Axia yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan.

    “Dalam masa sama, sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isteri dan anaknya dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar kereta mangsa,” katanya.

    Tambah Hanyan, rempuhan itu mengakibatkan kesemua mangsa dalam kereta Axia tercampak keluar, sementara pemandu pacuan empat roda bersama dua penumpangnya tidak cedera.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Skandal LCS: Pemimpin bersih UMNO bakal ‘dihukum’ pada PRU-15

    Skandal LCS: Pemimpin bersih UMNO bakal ‘dihukum’ pada PRU-15

    BARISAN Nasional (BN) termasuk seluruh pemimpin UMNO yang berimej bersih berisiko menerima ‘hukuman’ daripada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Hal ini kerana skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang membabitkan keselamatan negara dilihat memberi impak lebih besar berbanding isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Memetik laporan Sinar Harian, Penganalisis Politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, seluruh kepimpinan UMNO akan menerima tempias meskipun skandal LCS melibatkan segelintir pemimpin UMNO dan kroni.

    “Jika UMNO masuk PRU sekarang, maka seluruh UMNO termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang tidak terlibat dalam skandal ini akan dihukum pengundi yang marahkan seluruh UMNO kerana melihat ini sebagai 1MDB 2.0 yang lebih besar dan lebih menjahanamkan keselamatan negara.

    “Untuk menyelamatkan diri, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) seperti yang dicadangkan oleh Pemuda UMNO juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan DAP perlu ditubuhkan,” katanya kepada Sinar Harian.

    Tambah beliau, bagaimanapun sekiranya RCI ditubuhkan sekalipun, ia tidak cukup membuktikan kesungguhan UMNO membersihkan diri daripada rasuah, tetapi reformasi penyiasatan dan pendakwaan yang bebas daripada campur tangan kerajaan perlu dilakukan.

    “Jabatan Pendakwa raya yang dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di bawah Parlimen, bukannya Perdana Menteri mesti diwujudkan.

    “UMNO mesti menunjukkan kesungguhan untuk membersihkan diri daripada barah-barah rasuah. Dengan reformasi ini, UMNO dapat berdiri teguh sebagai parti patriotik dan bukan parti perasuah yang dengan mudahnya boleh dilabel sebagai pengkhianat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jangkaan nasib yang bakal dihadapi UMNO pada PRU15 memandangkan isu LCS sedang meledak di pelbagai platform media sosial sama seperti isu 1MDB.

    Sementara itu, penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun pula berkata, peluang UMNO untuk menang akan lebih terjejas jika PRU15 terus ditangguh.

    “Isu LCS ini menjadi satu lagi sebab mengapa UMNO perlu mendesak supaya pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

    “Jika dibiarkan lebih lama, bukan sahaja skandal LCS ini akan memburuk, tetapi ekonomi juga akan menjadi lebih teruk, jadi peluang UMNO (untuk menang) akan menjadi lebih teruk,” katanya.

  • Kerjasama PH-UMNO selepas PRU-15 tidak timbul – Anwar

    Kerjasama PH-UMNO selepas PRU-15 tidak timbul – Anwar

    TIDAK timbul soal Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) seperti yang dikatakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

    Demikian penegasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak di Ipoh hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani, Anwar memberitahu, jika dibaca konteks ucapan Anthony, perkara itu tidak sampai membawa pada kerjasama tersebut.

    Beliau menjelaskan, kenyataan Anthony tempoh hari merujuk pada kemenangan PRU15 adalah atas nama PH, namun, seandainya keadaan selepas PRU15 rumit dan gawat, maka beliau tidak menolak kemungkinan yang akan berlaku.

    “Tapi jawapan saya, kita nak berdepan dalam pilihan raya ini sebagai satu pasukan yang padu dengan keyakinan untuk menyelamatkan negara dan merayu kepada rakyat teruskan dokongan yang berlaku pada tahun 2013, 2018 dan sekarang apatah lagi,” kata Presiden PKR itu lagi.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegaskan, PH perlu memasuki pertandingan dan seterusnya menang dengan bergaya.

    Pada Isnin, dalam temu bual bersama sebuah portal, Anthony berkata, DAP tidak akan menolak untuk bekerjasama dengan UMNO kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

    Kata Anthony, politik Malaysia telah mengalami perubahan drastik sejak pilihan raya umum 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti tunggal yang dominan.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan, sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas PRU15.

  • KPDNHEP rampas 600 minyak masak peket

    KPDNHEP rampas 600 minyak masak peket

    SATU sindiket yang melakukan kegiatan menyorok minyak masak peket bersubsidi di Kuching terbongkar selepas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei di Jalan Jelutong Barat, Kuching semalam.

    Serbuan tersebut dilakukan di sebuah kediaman dan hasilnya berjaya merampas 600 kilogram minyak masak peket dengan nilai pasaran RM1,500.

    Ketua KPNHEP Cawangan Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, siasatan awal kita mendapati premis kediaman tersebut tidak memiliki lesen sebagai stor simpanan minyak masak.

    “Malah premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah untuk menyimpan barangan kawalan dalam kuantiti yang banyak.

    “Serbuan tersebut turut disertai pihak Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum serta barang keperluan asas mencukupi di pasaran,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Katanya, operasi itu juga bertujuan mengelak berlakunya aktiviti penyelewengan melalui aktiviti menyembunyi barang-barang kawalan.

    Mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang terutamanya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi katanya, boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

    “Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.

    “Bagi orang perseorangan, mereka berhadapan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” katanya.

  • Kastam Kelantan rampas lebih satu tan daun ketum

    Kastam Kelantan rampas lebih satu tan daun ketum

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan lebih satu tan daun ketum bernilai RM14,500 yang dibawa menggunakan lori dari Kedah ke Kelantan.

    Menerusi serbuan pada pukul 4 pagi, JKDM Kelantan turut menahan seorang suspek iaitu lelaki berusia 22 tahun yang juga pemandu lori.

    Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, pasukan operasi dari Cawangan Penguat kuasa Rantau Panjang, JKDM Kelantan menerima maklumat penyeludupan ketum dan melakukan intipan serta mengekori lori berkenaan dari Tanah Merah.

    “Suspek diarah memberhentikan lori dipandunya ketika sampai di Ketereh.

    “Pemeriksaan lanjut di ruangan belakang lori menjumpai 145 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 1.45 tan bernilai RM14,500.

    “Suspek dipercayai memandu lori dengan membawa muatan ketum diperoleh dari Kedah dan dibawa masuk ke Kelantan untuk dipasarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM, hari ini.

    Beliau berkata, kegiatan penyeludupan ketum tersebut dipercayai membabitkan sindiket dan pihaknya giat menjejaki individu lain terlibat.

    Katanya, suspek yang berasal dari Tumpat direman empat hari bermula Selasa lalu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa itu mengesan taktik penyeludup yang bertukar pemandu kenderaan ketika dalam perjalanan membawa barangan termasuk rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

    “Pada tahun ini, kes terbaharu, sejumlah 5.81 tan daun ketum dirampas membabitkan empat kes dan jumlah itu meningkat daripada 343 kilogram daun ketum yang dirampas melibatkan dua kes pada tahun lalu,” katanya.

  • Polis siasat cubaan samun rumah guna parang

    Polis siasat cubaan samun rumah guna parang

    POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap insiden cubaan samun oleh seorang lelaki di sebuah rumah sebagaimana yang dipaparkan dalam satu video di sebuah akaun TikTok.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berkenaan berlaku di sebuah rumah di Taman Tasek Indra di Ipoh, pada pukul 6.40 petang, 5 Ogos lalu.

    Katanya, siasatan lanjut ke atas kes berkenaan sedang dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

    “Polis Daerah Ipoh ingin menyeru kepada mana-mana saksi yang telah menyaksikan kejadian tersebut supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Astro Awani.

    Sebelum itu, sebuah akaun TikTok pada Khamis telah memuat naik video pendek dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan cubaan samun oleh seorang lelaki di sebuah rumah.

    Kapsyen pada video berdurasi 12 saat itu mendakwa kejadian berlaku di sebuah taman perumahan di Sungai Siput Utara.

    Dalam video berkenaan memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar dengan memegang dipercayai parang cuba untuk masuk ke sebuah rumah.

    Bagaimanapun, kehadiran lelaki itu disedari individu dalam rumah berkenaan sebelum bertindak menutup pintu menyebabkan suspek pantas beredar.

  • Polis berjaya berkas peragut bersiri

    Polis berjaya berkas peragut bersiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS semalam berjaya memberkas seorang lelaki yang aktif melakukan ragut di sekitar kawasan Johor Jaya dan Taman Pelangi, Johor Bahru.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian terbaharu suspek meragut beg tangan seorang wanita warga emas yang sedang berjalan kaki di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya.

    Terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa yang berusia 62 tahun.

    “Siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 2 petang, 4 Ogos lalu, suspek yang menaiki motosikal meragut mangsa dari arah belakang semasa wanita itu sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah.

    “Akibat kejadian tersebut mangsa telah mengalami lebam di bahagian bahu sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 3.37 petang semalam, sepasukan anggota dari Cawangan Risikan dan Operasi (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menjejaki suspek.

    Menurutnya, suspek yang berusia 26 tahun berjaya ditahan di sebuah bilik sewa sekitar Taman Molek di Johor Bahru.

    “Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah termasuk dua rekod orang yang dikehendaki,” katanya.

    Pihaknya turut merampas antaranya sebuah motosikal Honda Dash; empat telefon bimbit pelbagai jenama, beg silang warna hitam; dua resit tukaran wang asing; seutas rantai tangan emas dan dua pasang anting-anting emas.

    “Menerusi tangkapan ini kita berjaya menyelesaikan tiga kes ragut tepi jalan yang berlaku sekitar Johor Jaya dan Taman Pelangi,” katanya.

    Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan manakala suspek direman enam hari mulai Jumaat hingga 16 Ogos ini.

  • Polis belum terima notis himpunan Protes Mana Kapal LCS

    Polis belum terima notis himpunan Protes Mana Kapal LCS

    POLIS belum menerima sebarang notis berhubung penganjuran himpunan berhubung isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang akan diadakan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, Ahad ini.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, pihaknya ada menerima maklumat berkaitan himpunan tersebut tetapi polis tidak terima notis dari mana-mana pihak berhubung penganjurannya setakat ini.

    “Sehubungan itu, kita menasihati mana-mana pihak atau orang ramai patuhi peraturan dan undang-undang,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pada Khamis, Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS? dalam kenyataan berkata, protes yang berlangsung pada pukul 2 petang itu akan mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan.

    Menurut kenyataan itu, antara tuntutan yang dibuat ialah Suruhanjaya Siasatan Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein harus mengambil tanggungjawab penuh dalam skandal itu.

  • UniKL catat kadar kebolehpasaran graduan lebih 97 peratus

    UniKL catat kadar kebolehpasaran graduan lebih 97 peratus

    UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) berjaya mencatat kadar kebolehpasaran graduan 97.1 peratus pada 2021 dan 96.1 peratus pada 2020 walaupun situasi ekonomi global mencatatkan pertumbuhan negatif dalam tempoh itu.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UniKL kini berada dalam kelompok 15 universiti terbaik Malaysia mengikut ranking universiti terbaik dunia yang diumumkan oleh Times Higher Education dan QS.

    Mahdzir semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-17 & 18, UniKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara hari ini.

    “Kadar kebolehpasaran graduan kesemua 12 kampus UniKL tersenarai di dalam kedudukan 20 tertinggi dalam kalangan universiti dan kolej swasta di dalam laporan kajian pengesanan graduan (tracer study) yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

    “Tiga buah pusat UniKL bagi teknologi rel, robotik dan satelit pula diiktiraf sebagai TVET Collaboration Hub (TCH) di bawah Majlis TVET Negara manakala UniKL MIIT pula diiktiraf sebagai Premier Digital Tech Institution oleh MDEC,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-17 & 18, UniKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara hari ini.

    Jelas Mahdzir, sebagai pelopor bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional Tinggi (H-TVET) negara, UniKL akan terus mengembangkan program latihan dalam bidang teknologi baharu.

    “Kerajaan akan terus membantu perkembangan TVET yang diterajui oleh UniKL termasuk membuka kampus baru di Perlis dan Pahang dalam bidang Logistik Lestari, Kejuruteraan Air, Teknologi Pertanian dan Teknologi Bangunan selain UniKL juga bercadang membuka sebuah kampus satelit di Sabah,” kata beliau.

    Terkini, tambah Mahdzir, UniKL sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah kampus baharunya di Kuala Lumpur bagi menyokong misi pengantarabangsaan UniKL.

    Misi itu mampu melonjakkan lagi peranan UniKL dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara termasuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke Malaysia.

    Sejak penubuhannya pada 2002, UniKL telah melahirkan sejumlah 73,317 graduan.

    UniKL kata Mahdzir, turut berbangga dengan pencapaian 241 graduannya dari tahun 2016 hingga 2021 yang dapat menembusi pasaran kerja di luar negara.

    Sementara itu, Majlis Konvokesyen Ke-17 & Ke-18 UniKL membabitkan keseluruhan 10,547 graduan iaitu 5,338 graduan tahun 2020 dan 5,209 graduan tahun 2021.

    Ia termasuk 137 pelajar antarabangsa dari 28 buah negara.

    Konvokesyen UniKL tahun ini juga mencatat sejarah apabila seramai 70 graduan sulung program Huffaz Profesional menamatkan pengajian akademik dan hafazan Al-Quran.

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Canselor UniKL dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mencemar duli ke majlis berkenaan.

    Terdahulu, Mahdzir menerima watikah pemasyhuran sebagai Pro Canselor UniKL daripada Al-Sultan Abdullah.

    Beliau turut merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku Canselor UniKL atas lantikan itu.

    “Sesungguhnya perkenan Tuanku Canselor itu datang bersama tanggungjawab yang besar bagi patik untuk memastikan agar UniKL selaku APEX pendidikan TVET milik penuh MARA ini menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi negara terkemuka dunia satu hari nanti”, kata Mahdzir.