MANGSA banjir di Sabah terus meningkat kepada 125 orang daripada 38 keluarga pagi ini berbanding 54 orang daripada 17 keluarga malam tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, semua mangsa banjir ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Kota Belud dan Sipitang.
Katanya, 37 mangsa daripada 12 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol di Sipitang, manakala 88 mangsa lagi ditempatkan di tiga lagi PPS di Kota Belud.
“Tiga PPS di daerah Kota Belud iaitu Dewan Muhibah Kampung Tombol menempatkan 22 mangsa daripada sembilan keluarga, Dewan SRJK Chung Hwa, 30 mangsa daripada lapan keluarga dan Dewan Sk Tamau, 36 mangsa daripada sembilan keluarga,” kata kenyataan itu.
Sebanyak 40 kawasan di Kota Belud dan 13 kawasan di Sipitang terjejas selepas hujan berterusan menyebabkan paras air sungai naik dan melimpah ke kawasan kampung yang berdekatan.
Keadaan cuaca di daerah berkenaan tidak hujan namun semua agensi penyelamat sentiasa bersiap siaga jika berlaku sebarang pemindahan ke PPS. – Bernama
SEORANG warga emas di Kampung Tanjong Siam, Kuala Selangor yang ketika ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bimbang banjir yang melanda kediamannya mengundang kehadiran buaya Sungai Selangor.
Ini kerana kata Hasnah Jalil, 68, rumahnya itu hanya kira-kira 10 meter dari Sungai Selangor yang terkenal dengan habitat buaya.
“Saya takut jika air banjir masuk ke dalam rumah ada buaya dari Sungai Selangor tersesat ikut sekali.
“Biarpun kejadian ini tidak pernah berlaku, tetapi saya bimbang juga,” lapor Sinar Harian ketika dia ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan di sini semalam.
Mengulas lanjut banjir itu, Hasnah berkata, kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku sebaik dia terjaga daripada tidur apabila limpahan air mula memenuhi tempat tidurnya pada pagi semalam.
Menurutnya, kejadian air masuk ke dalam rumah disedari selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur di dalam rumah.
“Sebaik saya buka mata, tiba-tiba badan menggigil kesejukan dan melihat air sudah melimpah ke keseluruhan rumah.
Penduduk bimbang banjir akan menyebabkan buaya mengikut arus banjir dan masuk ke rumah mereka
“Saya sempat mengemas barangan penting dan mengalihkan peti ais dan mesin basuh di atas batu bata untuk mengelakkan kerosakan,” ujarnya.
Menurut Hasnah, air memenuhi rumahnya dengan cepat kerana sebelum ini hanya bahagian dapur digenangi air kelmarin.
Seorang lagi penduduk, Zoyah Majid, 76, berkata, kejadian banjir melimpah ke dalam rumah disedari sebaik dia pulang dari rumah anaknya.
Katanya, kejadian jam 6 pagi itu menyebabkan kediamannya dipenuhi air setinggi 0.2 meter.
“Kelmarin saya menumpang tidur di rumah anak perempuan yang terletak berhampiran, sebaik pulang terkejut mendapati rumah sudah dipenuhi air,” katanya.
Menurutnya, kejadian banjir kali ini disifatkan agak teruk berbanding tahun sebelumnya.
“Air banjir ini pula kotor dipenuhi lumpur dan ini sudah tentu merungsingkan saya hendak mengemas selepas banjir surut,” katanya.
Air banjir ke dalam rumah disedari soerang penduduk selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur
Sementara itu, Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, seramai 35 mangsa daripada 14 Keluarga ditempatkannya di SK Pasangan.
Katanya, PPS itu mula dibuka semalam menempatkan seramai 14 lelaki dan 21 perempuan.
Sehingga kini, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu di SK Rantau Panjang, SK Parit Mahang dan SK Pasangan.
Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kuala Selangor berjumlah 132 mangsa membabitkan seramai 46 keluarga setakat jam 6 petang.
DUA lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru malam kelmarin ditemukan meninggal dunia akibat lemas, pagi ini.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, mayat Ramdan Sulaiman, 50, ditemukan pada pukul 7.29 pagi manakala mayat Amiruddin Abdul Karim, 53, ditemukan pada pukul 8.03 pagi.
Anggota APM dan bomba mengangkat dua mayat pemancing yang ditemukan pagi ini selepas hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru
“Kedua-dua mayat ditemukan penduduk kampung. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 10 pagi,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua mangsa keluar memancing berdekatan jeti berkenaan sebelum hilang dan hanya bot mangsa ditemukan pada malam kelmarin.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya dibantu Pasukan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Johor, APM, polis marin dan polis dalam operasi SAR.
Ketua Bomba Zon 2, Al Hasra Mohamed berkata, penyelaman dilakukan pada 100 kaki radius dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Penduduk kampung menemukan dua mayat pemancing pada pukul 7.29 dan 8.03 pagi
“Kejadian tersebut disedari salah seorang pekerja korek pasir berhampiran lokasi mangsa dipercayai lemas selepas melihat kedua-dua mangsa sedang memancing.
“Selang beberapa ketika, saksi mendengar jeritan meminta bantuan berhampiran bot mangsa dan kemudiannya kedua-dua mangsa hilang dari pandangan,” katanya.
TAKTIK satu sindiket penyeludupan menjadikan sebuah premis sebagai tempat penyimpanan rokok seludup di Jalan Dedap 36, Johor Jaya, Johor Bahru terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan pada pukul 5.45 petang serta menahan seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun.
Beliau memberitahu, lelaki berkenaan merupakan penjaga premis berkenaan yang sudah dijadikan tempat penyimpanan rokok sejak setahun lalu.
“Kita berjaya merampas 1,806 karton rokok seludup atau lari cukai. Turut dirampas sebuah kereta Produa Bezza yang digunakan dalam sindiket tersebut, wang tunai RM330 dan dua buah telefon bimbit.
“Antara rokok seludup yang dirampas 50 karton rokok jenama Canyon Menthol 20 batang; 54 karton rokok Canyon Blast 20 batang; 266 karton rokok Canyon Premium 20 batang; 295 karton rokok RE King 16 batang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seorang lelaki ditahan dan 1,806 karton rokok seludup dirampas dalam satu serbuan dilakukan PGA
Turut dirampas 188 karton rokok RE Bold 16 batang; 278 karton rokok U2 Full Flavour 20 batang; 49 karton rokok M-ONE hijau 20 batang; 98 karton rokok Jenama VSTAR 20 batang dan 88 karton rokok SKY ONE S1 Full Flavour 20 batang.
Katanya, hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah ini.
Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM380,885.
Tangkapan dan rampasan katanya, dibawa ke Ibu Pejabaat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, katanya.
“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Johor Bahru. Orang awam perlu terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban.
“Ini termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya.
MALAYSIA mengambil sikap berkecuali dalam krisis Laut Cina Selatan membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Cina, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau bagaimanapun berkata, Malaysia cuba menyantuni kedua-dua negara itu malah cuba membantu menyelesaikannya dengan sebaik mungkin.
“Ada dua perkara yang harus menjadi perkiraan kita. Yang pertama, kita ini negara yang mengamalkan dasar berkecuali. Kita selalunya negara yang neutral.
“Kedua, bergantung kepada kekerapan sesuatu kuasa besar itu menerjah kawasan kita. Namun demikian kekerapan menerjah itu juga relatif sama ada ia menunjukkan kuasa untuk menguasai ataupun menunjukkan kuasa keberadaannya.
“Jadi, sukar untuk menyatakan siapa yang berbahaya. Tetapi kita santuni dan perhatikan sebaik mungkin,” katanya pada program Bersama Saifuddin bersama-sama Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam program bual bicara yang berlangsung kira-kira sejam berhubung negara manakah yang lebih berbahaya sama ada AS ataupun Cina.
Dalam konteks kestabilan rantau ASEAN pula, Saifuddin berkata, terdapat tiga faktor utama walaupun beliau menyatakan kerisauan dan kegusaran Malaysia terhadap Australia.
Ini kerana, beliau berkata, Malaysia masih lagi mempunyai perjanjian pertahanan antara Australia dan New Zealand.
“Ada waktunya kita mengadakan latihan bersama termasuk dengan kapal-kapal perang mereka. Saya fikir dalam hal ini tentu kita akan kecualikan kapal selam mereka itu.
“Keduanya, dari segi undang-undang antarabangsa iaitu undang-undang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tentang lautan antarabangsa. Mereka boleh lalu berhampiran perairan kita asalkan mereka tidak masuk ke dalam perairan kita.
“Ketiga, kalau mereka (Australia) hadir ke sini, saya yakin AS tentunya akan menghantar anggotanya juga. Kita tak mahu ini berlaku kerana ia boleh mengundang istilah ketenteraan (militarization).
“Bukan bermakna ada engagement tetapi kawasan kita ini akan menjadi kawasan yang banyak dengan kapal-kapal perang lalu sedangkan kita mahu kawasan ini biarlah banyak kapal-kapal perdagangan,” katanya.
SEORANG pesara membuat laporan polis mendakwa kerugian RM16,000 selepas ditipu anak saudaranya bagi melepaskan anaknya yang ditahan polis bagi kesalahan berkaitan dadah, Julai lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 62 tahun mendakwa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki kononnya anggota polis berpangkat ASP pada 6 Julai lepas, berhubung tangkapan anaknya oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.
“Suspek mendakwa boleh membantu melepaskan anaknya, namun perlu berurusan dengan anak saudaranya berhubung prosedur selanjutnya dan wang RM16,000 perlu disediakan bagi tujuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa telah meminta isterinya membuat transaksi pemindahan wang secara dalam talian sebanyak empat kali ke akaun yang dikatakan milik ASP itu antara 17 dan 25 Julai lepas.
Bagaimanapum mangsa hanya menyedari ditipu selepas dihubungi polis pada 31 Julai lepas memaklumkan anaknya akan dihantar ke Simpang Renggam, Johor menyebabkan dia menghubungi anak saudaranya bagi mendapatkan penjelasan dan dipulangkan wang yang telah dibayar.
Namun suspek enggan berbuat demikian sehingga semalam, menyebabkan mangsa membuat laporan di IPD Jerantut.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA
SERAMAI 16 menteri dijangka menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja berkaitan kementerian masing-masing pada persidangan Parlimen hari ini, setelah berakhirnya sesi perbahasan semalam yang berlangsung sejak 14 Sept lepas.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Dalam pada itu, isu kajian semula gaji minimum, kes pelanggaran status makanan dan produk halal serta situasi pekerjaan belia ketika pandemik COVID-19 antara yang bakal dikupas semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Semasa sesi soal jawab lisan itu, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanyakan Menteri Sumber Manusia mengenai tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha dalam kajian semula gaji minimum.
Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan langkah mengatasi dan jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada yang diimport atau keluaran dalam negara.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.- BERNAMA
Sebanyak RM13 juta wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah didakwa dipindahkan ke dalam akaun di luar negara ketika Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah sebelum ini.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, beliau sehingga kini masih lagi menyimpan slip bank berkaitan pemindahan wang tersebut yang didakwa berpangkalan di Kanada.
Bagaimanapun beliau tidak langsung mendedahkan siapa pemilik akaun tersebut dan tujuan ia dipindahkan ke luar negara.
“Saya tak ungkitkan hal lama tetapi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mukhriz sebut mengenai membangkitkan hal lama. Rasanya selama ini saya tak pernah bangkitkan hal beliau.
“Ada hal lama pemindahan wang Menteri Besar Incorporated (MBI) ke satu akaun luar negara di Kanada. Berlaku pada zaman Mukhriz jadi Menteri besar, saya tak pernah sebut pun mengenainya sebelum ini, hari ini baru sebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Mengulas kenyataan Mukhriz dalam Sidang DUN mengenai kehadiran penasihat yang didakwa membantu dirinya membuat keputusan semasa menjadi Menteri Besar, Muhammad Sanusi secara sinis menegaskan selama ini Mukhriz bukanlah dikelilingi oleh penasihat sebaliknya ‘punah sihat’.
“Saya bawa satu cerita saja iaitu apabila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat Exco untuk dibayar satu perbelanjaan yang dibuat oleh penasihat-penasihat Menteri Besar pada masa itu, untuk membekalkan kuih raya. Saya dapati harga beg untuk bekalan itu lebih mahal daripada harga kuih.
“Sebab itu saya katakan, beliau bukan dikelilingi penasihat sebaliknya dikelilingi ‘punah sihat’,” ujarnya.
Sementara itu Mukhriz ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut dalam sidang akhbar bersama ADUN-ADUN pembangkang pada petang ini mendakwa, beliau mengharapkan Menteri Besar dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung dakwaan itu.
“Ini satu dakwaan yang cukup serius dan kita mengharapkan Muhammad Sanusi dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi. Tak bolehlah lontar dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah ‘hit and run’.
“Ini pertama kali saya dengar mengenai dakwaan tersebut. Jadi saya ingin sarankan supaya Muhammad Sanusi buat laporan polis kalau dia betul percaya benda itu berlaku,” katanya.
GAJI asas sebanyak RM2,000 seorang selain tawaran komisen sehingga 20 peratus berdasarkan jumlah carian pemain, itu yang dijanjikan sindiket judi dalam talian terhadap warga tempatan untuk bekerja dengan mereka.
Malah, ketika pekerja-pekerja terbabit merisikokan diri menghubungi pelanggan, dalang sebenar pula hanya bergerak di belakang tabir sehingga sukar untuk dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, maklumat berkenaan dimaklumkan lapan suspek yang ditahan pihaknya berkaitan sindiket judi dalam talian terbabit dalam satu operasi, semalam.
Menurut beliau, empat lelaki dan empat wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun yang kesemuanya warga tempatan ditahan menerusi Op Dadu yang dijalankan di sebuah rumah di Bukit Indah, pada pukul 5.30 petang.
“Kegiatan itu beroperasi selama 24 jam setiap hari dan dibahagikan kepada dua syif di mana segala bayaran dibuat melalui transaksi oleh pelanggan menggunakan 12 akaun bank tempatan dengan jumlah kutipan harian kira-kira RM10,000.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati sindiket perjudian atas talian itu telah beroperasi di rumah tersebut lebih kurang dua bulan dan mensasarkan pelanggan dari negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Sejumlah wang turut dirampas dalam serbuan yang dilakukan oleh polis.
Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai peralatan berkaitan antaranya lapan komputer, 28 telefon bimbit pelbagai jenama, enam helai kertas tercatit cara-cara bekerja dan promosi perjudian, dua kad akses, dua unit router, dua modem wifi, serangkai kunci dan wang tunai RM570.
“Lapan set komputer yang dirampas telah dirujuk ke pakar judi dan terdapat unsur-unsur pertaruhan perjudian dalam talian yang menggunakan beberapa laman sesawang,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 1,048 kompaun bernilai RM2.7 juta hasil pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sejak 1 Jan lepas.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata daripada jumlah itu, Dungun merekodkan kompaun tertinggi iaitu 473 kes diikuti Kemaman (233), Setiu (85), Marang (74), Kuala Terengganu (60), Hulu Terengganu (53), Besut (44) dan Kuala Nerus (26).
“Antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal menjaga jarak fizikal (281 kes), gagal daftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual (200 kes), gagal memakai pelitup muka (151 kes), menaiki kenderaan melebihi had penumpang dibenarkan (109 kes) dan majikan gagal kemas kini rekod pekerja (55 kes),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu hari ini.
Ditanya mengenai pemeriksaan pematuhan SOP sepanjang Terengganu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara sejak 17 Sept lepas hingga semalam, Dr Kasemani berkata sebanyak 24 kompaun dikeluarkan bagi tempoh empat hari itu.
“Jumlah kompaun yang dikeluarkan ialah RM49,500. Daripada 24 kompaun itu, 22 kes adalah kesalahan menaiki kenderaan lebih seorang di kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan masing-masing satu kesalahan gagal daftar menerusi MySejahtera serta ingkar perintah kuarantin,” katanya.