Author: Admin

  • KDN mohon RM10 juta untuk aktiviti pulihkan penagih

    KDN mohon RM10 juta untuk aktiviti pulihkan penagih

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memohon peruntukan khas RM10 juta melalui Belanjawan 2022 bagi merancakkan aktiviti serta usaha mengekalkan kepulihan bekas penagih dadah di seluruh negara bagi tahun hadapan.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu penting bagi membuktikan bahawa usaha pemulihan adalah tidak mustahil dan boleh dicapai.

    Sehubungan itu katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah memperkenalkan inisiatif baharu dalam mengetengahkan individu yang pernah menerima rawatan dan pemulihan di agensi berkenaan.

    “Pada tahun ini, seramai 30 mentor yang mencapai standard kepulihan tersendiri telah dilantik untuk menjadi contoh atau ‘role model’ kepada masyarakat untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

    “Pendekatan ini secara tidak langsung bakal memberi kesedaran dan motivasi kepada individu yang sedang terlibat dengan masalah dadah untuk hadir mendapatkan rawatan secara sukarela di fasiliti disediakan kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 secara maya di Kuala Lumpur, hari ini.

    Simposium itu juga adalah satu daripada usaha KDN melalui AADK untuk menggembleng usaha dan mengiktiraf potensi kesukarelawanan ditunjukkan oleh pemimpin komuniti, NGO, klien AADK dan bekas klien (penagih dan bekas penagih) seramai 1,500 peserta.

    Sehingga 31 Ogos tahun ini, seramai 47,863 orang menerima rawatan dan pemulihan di AADK seluruh negara dan membuktikan perkhidmatan berkenaan tidak terjejas ketika pandemik Covid-19.

    Bahkan, penggunaan teknologi juga dipertingkatkan bagi memastikan penghuni mendapat akses rawatan.

    Hamzah berkata, isu penyalahgunaan dadah perlu ditangani menggunakan pendekatan bersepadu, pelbagai disiplin, saling sokong menyokong dan seimbang di antara pengurangan permintaan dan penawaran.

    Beliau berharap, segala usaha kesukarelawanan dalam membantu pemulihan terus dipelbagaikan dengan menampilkan usaha lebih kreatif dan berkesan.

    Namun, katanya pada masa sama, tahap kefahaman kepada masyarakat juga harus dilakukan secara konsisten bagi memberikan kesedaran bahawa penagih dadah perlu dirawat.

  • Warga emas kerugian lebih RM1 juta ditipu ‘pegawai LHDN’

    Warga emas kerugian lebih RM1 juta ditipu ‘pegawai LHDN’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas kerugian lebih RM1 juta selepas ditipu seorang lelaki yang menyamar sebabgai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kononnya terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram awal bulan ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut semalam iaitu wanita berusia 69 tahun itu menjadi mangsa terbaharu Macau Scam.

    “Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai Pegawai LHDN memaklumkan mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram pada awal September 2021.

    “Panggilan yang dibuat kemudian disambung kepada Mr. Yong yang juga menyamar sebagai polis. Mangsa berasa takut dan mengikut arahan untuk membuka akaun HSBC atas nama mangsa dan memberikan no siri serta kad ATM serta nombor pin HSBC kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, antara 3 hingga 17 September, mangsa telah membuat pemindahan wang daripada akaun OCBC, RHB, CIMB, AM Bank dan Public Bank ke akaun ke akaun HSBC dengan jumlah RM1,032,513.

    Mangsa juga katanya, menyerahkan semua nombor tac kepada suspek dan semalam wanita berkenaan pada baki akaun bank HSBC tersebut dan mendapati semua wang tersebut sudah lesap.

    Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara setahun hingga 10 tahun selain denda dan sebatan.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan peka dengan trend jenayah semasa terutama melibatkan transaksi belian online, pelaburan dan perkenalan dalam talian.

  • KKM belanja RM593 juta untuk peralatan tambahan rawatan Covid-19

    KKM belanja RM593 juta untuk peralatan tambahan rawatan Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan sebanyak RM593 juta untuk memperolehi peralatan perubatan tambahan bagi memastikan pesakit Covid-19 bagi tempoh 2020 dan 2021.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana keadaan ketika ini berada pada tahap kritikal dan perlu mendapatkan rawatan terbaik.

    “Perbelanjaan itu melibatkan peralatan antaranya seperti katil unit rawatan rapi (ICU), mesin ventilator dan silinder oksigen.

    “Ini tidak termasuk sumbangan yang telah kita terima daripada luar negara dan dalam negara melibatkan jumlah sumbangan bernilai RM148 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof (Bersatu-Alor Gajah) berhubung jumlah perbelanjaan yang telah digunakan KKM untuk menangani kes Covid-19.

    Menjawab soalan tambahan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai keperluan menambah tenaga kerja selari dengan peningkatan kapasiti rawatan Covid-19, Khairy menyatakan bahawa KKM telah menubuhkan ‘National Rapid Response Taskforce’ bagi tujuan tersebut.

    Beliau berkata, pasukan khas tersebut boleh diatur gerak kepada mana-mana kawasan atau negeri yang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 dan kapasiti rawatan.

    “Sebagai contoh, di Pulau Pinang kita telah dan sedang atur gerak 223 petugas kesihatan, 57 pegawai perubatan, 36 jururawat dan 62 penolong pegawai perubatan.

    “Di Kedah, saya telah atur gerak 156 petugas kesihatan. Di Sabah juga telah menunjukkan peningkatan kes, jadi telah diatur gerak 102 kakitangan kesihatan.

    Khairy berkata, selain dapat menampung keperluan pekerja kesihatan di kawasan yang merekodkan peningkatan kes, pasukan tersebut juga akan dapat memastikan petugas barisan hadapan di kawasan berkenaan tidak mengalami ‘burnout’ ekoran beban kerja yang berlebihan.

  • Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar pondok bit polis berhampiran Pasar Jelawat, Bachok, pada 11 Sept lepas.

    Tertuduh Mohd Zamri Mohd Zakariyah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, Mohd Zamri yang masih bujang didakwa melakukan khianat dengan api dengan cara membakar pondok bit polis di Jelawat, Bachok pada jam 2.20 pagi, 11 Sept lepas.

    Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Okt depan untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • PGA7 rampas karkas babi hutan bernilai RM50,000

    PGA7 rampas karkas babi hutan bernilai RM50,000

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion ke-7 berjaya merampas sebanyak 2,000 kilogram (kg) karkas babi hutan dianggarkan bernilai RM50,000 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand berdekatan Kampung Degong, Lubok Setol, dekat sini malam tadi.

    Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, sebuah van jenis Econovan dilihat dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota PGA Batalion ke-7 yang sedang menjalankan rondaan bertindak mengekorinya.

    “Sebaik van itu berjaya diberhentikan di hadapan sebuah rumah dan pemeriksaan dilakukan didapati terdapat timbunan karkas babi hutan disyaki cuba diseludup ke Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pemandu van yang juga seorang lelaki berketurunan Siam ditahan setelah gagal menunjukkan sebarang dokumen mengenai barangan yang dibawanya.

    Menurut Azhari kesemua barangan termasuk kenderaan telah disita dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Setol. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sekitar RM58,000.

    Barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidup Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), katanya.

    Dalam perkembangan lain, Azhari berkata pihaknya juga menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang disyaki menjadi ‘tentera semut’ dalam kegiatan penyeludupan beras Siam di Kampung Periuk dekat Tumpat, malam tadi.

    Beliau berkata dalam kejadian itu pasukannya telah terserempak dengan sebuah Proton Iswara berdekatan Kampung Kajang Sebidang sebelum pemandunya memecut ke arah Cabang Empat Tumpa namun keretanya telah terbabas ke dalam parit di tepi jalan sebelum suspek berjaya ditahan.

    “Pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat beras di dalam kereta disyaki diseludup dari Thailand ke Malaysia dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,000 dan barang rampasan diserahkan kepada pihak berkaitan.

    Kesemua barangan rampasan dibawa balik ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, katanya.- BERNAMA

  • Pegawai ATM didakwa terima rasuah RM2,500

    Pegawai ATM didakwa terima rasuah RM2,500

    SEORANG pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Leftenan Kolonel didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2,500 bagi urusan kerja-kerja di Kem Paya Jaras, Sungai Buloh, tahun lalu.

    Tertuduh Shafizan Amin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

    Mengikut pertuduhan, Shafizan yang berjawatan sebagai Penolong Pegawai Memerintah di Rejimen Perhubungan Strategik, Kem Paya Jaras, Sungai Buloh, telah menerima wang berjumlah RM2,500 melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Rosaida Yaacob.

    Wang tersebut diterima secara berperingkat daripada Mohd Hazizy Mohd Nor, iaitu pemilik syarikat Essential Operation Solution bagi kerja-kerja di kem tersebut.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Putra Height, Subang pada 2 Mei hingga 28 Julai 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Rasyihah menetapkan 25 Okt depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam setiap awal bulan serta tidak dibenarkan memperbaharui pasport sehingga kes selesai.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Aliff Shahruzaman dan Tuan Attfina Tuan Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Aidil Arsad dan Mohd Shukri Ahmad Mansor – Bernama

  • Kapal tangki asing ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Kapal tangki asing ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESKIPUN Op Jangkar Haram yang dilakukan secara berterusan menyaksikan penurunan ketara aktiviti kapal dagang berlabuh secara haram di kawasan Tompok Utara yang dahulunya menjadi ‘hotspot’ bagi kapal-kapal dagang asing.

    Namun, masih ada pihak yang ingkar dan berdegil seolah-olah mahu mencabar kedaulatan dan keselamatan negara serta pihak berkuasa yang dipertanggungjawab mengawal perairan tanah air.

    Terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 26 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil di Kota Tinggi, petang semalam.

    Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, kapal berkenaan ditahan pada pukul 3.36 petang.

    “Kapal tangki itu dikendalikan tujuh kru warga Myanmar dan Indonesia berumur antara 22 tahun hingga 59 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kata Nurul Hizam, kapal tangki dan semua kru berkenaan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Beliau berkata, Maritim Johor akan meneruskan penguatkuasaan Op Jangkar Haram dan sentiasa memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negeri Johor sentiasa dipelihara.

  • MITI guna tiga pendekatan cerdaskan ekonomi negara

    MITI guna tiga pendekatan cerdaskan ekonomi negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menggunakan tiga pendekatan utama dalam mencerdaskan ekonomi negara susulan ancaman pandemik Covid-19.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antaranya termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan dijadikan sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik.

    Jelas beliau, ekonomi negara berada pada landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik susulan vaksinasi dalam kalangan dewasa telah mencecah 80 peratus.

    Perkembangan tersesebut katanya, merupakan landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik.

    “Kedua, kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus, serta mesra-perniagaan, atau business-friendly.

    “Ini termasuklah usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata pendekatan ketiga adalah Malaysia akan terus mensasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju, berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

    Ini katanya, akan turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang, dengan menekankan elemen alam sekitar, sosial serta tadbir urus.

  • CAC maya akan dibuka di seluruh negara – Khairy

    CAC maya akan dibuka di seluruh negara – Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN akan menubuhkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya di seluruh negara, dalam masa terdekat.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini berdasarkan pelaksanaan CAC maya di Lembah Klang di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley terbukti berkesan bagi menguruskan kes positif Covid-19 Kategori 1 dan 2.

    Hasil daripada penubuhan CAC maya katanya, kedatangan pesakit di Greater Klang Valley adalah rendah dan sentiasa dalam keadaan terkawal walaupun jumlah kes Covid-19 masih lagi di paras yang tinggi.

    “Susulan kejayaan CAC maya dalam memantau pesakit Kategori 1 dan 2, usaha untuk menubuhkan CAC maya di lain-lain negeri sedang dijalankan bagi menangani peningkatan pesakit COVID-19 di semua negeri,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (PN-Sabak Bernam) yang meminta Kementerian Kesihatan untuk menyatakan bilangan CAC yang beroperasi di seluruh negara serta kapasiti pesakit Covid-19 yang boleh dirawat di pusat tersebut.

    Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memberitahu, setakat ini sebanyak 209 buah CAC ditubuhkan di seluruh negara dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan serta kapasiti pesakit COVID-19.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai kesesuaian lokasi CAC yang terletak berhampiran kawasan perumahan atau masjid seperti Dewan Taman Sri Andalas, Klang, beliau menjelaskan KKM dalam menilai lokasi mengamalkan infection prevention and control.

    Jelasnya, ini bagi memastikan keselamatan setiap pesakit, petugas dan juga kawasan persekitaran agar tidak berlaku sebarang pencemaran yang boleh menyebabkan penularan wabak ini.

    “Dalam kes yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat ini, saya sendiri akan semak, dan sekiranya didapati tidak sesuai seperti yang disebut Yang Berhormat tadi, kita boleh cari lokasi lain yang sesuai,” ujarnya.

  • Warga Bangladesh maut terlibat kemalangan

    Warga Bangladesh maut terlibat kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Bangladesh meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Kilometer 52, Jalan Ipoh – Taiping, Kuala Kangsar, tengah malam tadi.

    Kemalangan pada pukul 12.05 tengah malam itu mengakibatjkan Md. Oasim Uddin, 25, yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit disahkan maut di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda itu dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Padang Rengas.

    Menurutnya, ketika melalui kawasan kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas hingga melanggar batu penghadang jalan.

    “Mangsa terjatuh ke dalam longkang bersama-sama motosikalnya.

    “Dia berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas menerima keputusan ujian calitan Covid-19.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.