Author: Admin

  • Kapal karam:Enam kru MV Ocean Serena selamat

    Kapal karam:Enam kru MV Ocean Serena selamat

    ENAM krew kapal MV Ocean Serene warga Indonesia berjaya diselamatkan oleh sebuah bot milik orang awam setelah kapal yang dinaiki mereka karam di Pelabuhan Klang dekat sini, malam tadi.

    Jabatan Laut Malaysia melalui Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah mengesahkan telah menerima satu laporan kecemasan berkenaan sebuah kapal layar yang telah tenggelam pada 7.30 malam.

    Menurut kenyataan Jabatan Laut Malaysia, siasatan awal mendapati angin kuat telah menolak kapal ke arah kiri kapal berkenaan dan air masuk terlalu laju dari sebelah port melalui lubang di transom (bahagian enjin) kapal.

    “Pam telah digunakan tetapi tidak berupaya untuk mengepam keluar air yang masuk terlalu laju dan kapal terus tilt (condong) ke portside (belah kiri) dan tenggelam di sebahagian kapal,”  menurut kenyataan itu.

    Jabatan Laut Wilayah Tengah diarahkan untuk melakukan pemantauan pada pagi ini untuk mengesan tumpahan minyak di kawasan sekitar dan sebarang pergerakan kapal karam tersebut.

    Jabatan Laut akan melakukan proses penandaan Special Mark Buoy di kawasan berkenaan bagi memastikan masyarakat perkapalan tidak menggunakan laluan tersebut buat masa ini serta satu pasukan penyiasat ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kos terlibat.- BERNAMA

  • Lebih 18 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    Lebih 18 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    SERAMAI 18,964,474 individu atau 81 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Berdasarkan perincian yang dikongsi di portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.3 peratus atau 21,847,551 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Sebanyak 321,342 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 30,860 dos pertama dan 197,994 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 41,247,271 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, sebanyak 487 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi (22 Sept), meningkat berbanding 334 kes kematian dilapor pada Selasa.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 24,565.

    Bagaimanapun, daripada 487 kematian baharu itu, hanya tujuh kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (22 Sept) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak dan angka boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Sebanyak 161 daripada kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). 

    Sejumlah 178 kes kematian direkodkan di Selangor; Sabah (87); Johor (63); Kuala Lumpur (44); Pulau Pinang (36); Kelantan (26); Perak (18); Kedah (14); Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing lima); Terengganu (tiga); Perlis (dua) dan Sarawak (satu), manakala tiada kematian di  Labuan dan Putrajaya.- BERNAMA 

  • Hujan lebat, angin kencang sebabkan pokok tumbang di Perak

    Hujan lebat, angin kencang sebabkan pokok tumbang di Perak

    HUJAN lebat dan angin kencang yang melanda lewat petang hingga malam semalam menyebabkan insiden pokok tumbang di beberapa kawasan di negeri Perak.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai pokok tumbang di beberapa lokasi di Ipoh, Kampar, Seri Manjung, Pantai Remis dan Teluk Intan pada kira-kira pukul 6.30 petang hingga 11 malam.

    “Di Ipoh, pokok tumbang merintangi jalan di Taman Rapat Setia, Balai Polis Buntong, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Jalan Jelapang, Taman Perpaduan dan Persiaran Pulai Baru.

    “Kami turut menerima panggilan pokok tumbang yang menghempap kenderaan di Persiaran Agasia 1, Kampar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata insiden pokok tumbang yang merintangi jalan turut dilaporkan berlaku di Jalan Lumut dan Kampung Cina serta Jalan Teluk Senangin di Seri Manjung dan Pekan Langkap di Teluk Intan.

    Katanya pihak bomba telah menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok yang tumbang dan mengalihkan ke tempat yang selamat.

    “Operasi turut melibatkan pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia, pihak majlis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam,” katanya.- BERNAMA

  • Covid-19: Singapura lapor 1,457 kes baharu, 3 kematian semalam

    Covid-19: Singapura lapor 1,457 kes baharu, 3 kematian semalam

    SINGAPURA melaporkan sejumlah 1,457 kes baharu COVID-19 pada Rabu (22 Sept), dengan 1,277 dalam komuniti, 176 di asrama pekerja migran dan empat kes import.

    Ia merupakan kes harian tertinggi yang dikesan sejak peningkatan kes sebanyak 1,426 pada 20 April 2020.

    Dalam data dikeluarkan lewat malam tadi, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan 1,083 kes kini ditempatkan di hospital dengan 145 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

    Republik itu juga melaporkan tiga kematian, semua membabitkan penduduk tempatan, menjadikan jumlah korban akibat jangkitan COVID-19 seramai 68 orang.

    Satu daripada kes itu melibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun, didapati positif COVID-19 pada 13 September.

    Dia belum menerima suntikan vaksin COVID-19 dan keadaan perubatan tidak diketahui, menurut data berkenaan.

    Sementara itu, sejak 28 hari lalu, Kementerian Kesihatan Singapura menyatakan daripada sejumlah 14,412 individu yang dijangkiti, 97.9 peratus tidak mengalami gejala ringan atau ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus memerlukan rawatan ICU dan 0.08 peratus meninggal dunia.

    Sehingga tengah hari Rabu, jumlah keseluruhan kes sebanyak 81,356 dengan 9,198 kes aktif.

    Setakat 21 September, 82 peratus penduduk menerima dua dos vaksin COVID-19 manakala 84 peratus lagi sekurang-kurangnya satu dos.- BERNAMA

  • Mayat nelayan ditemukan terapung

    Mayat nelayan ditemukan terapung

    MAYAT nelayan yang hilang ketika keluar menangkap ikan kira-kira satu batu nautika dari Jeti Kuala Lukut, dekat sini semalam ditemukan terapung di pesisiran Pantai Bagan Kurnia, Port Dickson pagi ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Hairul Izam Mazelan berkata mayat Yap Fok Swe, 64, yang berpakaian lengkap ditemukan kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi kejadian, oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

    “Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah memulakan pencarian seawal 6.30 pagi tadi dan kemudiannya kami mendapat petunjuk setelah dimaklumkan oleh orang awam ternampak objek terapung di sekitar lokasi berkenaan.

    “Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada badan mangsa dan operasi SAR ditamatkan kira-kira pukul 9.20 pagi. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, Yap telah hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika keluar untuk menangkap ikan, yang mana kehilangannya disedari  seorang nelayan yang menjumpai sebuah bot tiada pemilik berserta peralatan menangkap ikan sahaja.

    Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut melibatkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain komuniti nelayan setempat.

    Dalam pada itu Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi CARILAMAT di perairan Kuala Lukut pada pukul 4.30 petang semalam, melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu bot Petir 91 dan Benteng 04 bagi membantu usaha pencarian.

    “Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730,” katanya.- BERNAMA

  • Hanya 27 peratus graduan Bumiputera dapat kerja tahun lalu

    Hanya 27 peratus graduan Bumiputera dapat kerja tahun lalu

    HANYA kira-kira 73,400 atau 27 peratus graduan Bumiputera dapat memenuhi peluang pekerjaan sektor swasta yang ditawarkan pada tahun 2020 berbanding 103,900 atau 40 peratus pada 2019, menurut Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

    Kajian TERAJU mendapati penurunan peluang pekerjaan kepada graduan Bumiputera berkenaan antaranya berpunca daripada pengurangan peluang pekerjaan di pasaran sebanyak 29.3 peratus bagi kedua-dua tahun berkenaan.

    “Sekiranya dilihat secara teliti, pengurangan peluang pekerjaan disebabkan negara sedang dilanda pandemik COVID-19,” menurut dapatan kajian TERAJU bertajuk ‘Kesan Pandemik Terhadap Peluang Pekerjaan Di Kalangan Graduan Bumiputera’ yang dijalankan menerusi Unit Penyelidikan, Analitik dan Teknologi Maklumat (RAIT) agensi itu.

    Dapatan kajian TERAJU itu diperolehi melalui dua kaedah iaitu, mengenal pasti saiz graduan Bumiputera di IPTA dan IPTS dengan membuat perbandingan antara tahun serta komposisi kaum bagi melihat impak sebenar wabak COVID-19 kepada graduan dihasilkan pada ketika ini.

    Kaedah kedua pula, agensi itu mengadakan kajian dengan meneliti ketidaksamaan dalam peluang pekerjaan dalam tahun sama dan membandingkannya dengan bilangan graduan Bumiputera dihasilkan pada tempoh sama.

    Kajian tersebut menggunakan sumber sekunder melibatkan laporan kaji selidik kadar pengangguran, statistik Bumiputera 2020 dan statistik pekerjaan suku keempat 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia.

    Menurut kajian berkenaan, berdasarkan data dan maklumat graduan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), secara keseluruhannya, mendapati saiz graduan Bumiputera dihasilkan meningkat seramai 259,659 iaitu 84 peratus, diikuti kaum Cina seramai 35,904 (12 peratus) dan kaum India seramai 12,055 (empat peratus) sepanjang 2017 sehingga 2020.

    Kajian TERAJU yang memetik sumber Statistik Graduan Jabatan Statistik Malaysia 2020 pula mendapati jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya dan 70 peratus daripadanya adalah graduan Bumiputera.

    Kajian berkenaan juga mendapati sebahagian besar jumlah graduan menganggur berkenaan adalah terdiri daripada kumpulan B40 dan M40 yang bergantung kepada gaji dan upah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

    “Mengambil kira keadaan ini, graduan institusi pendidikan terutamanya bagi Bumiputera, sangat terdedah kepada kejutan ekonomi negatif seperti pengangguran, disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dan sebagainya. Ini kerana jurang agihan pendapatan Bumiputera adalah besar dan sumber kewangan mereka yang terhad,” menurut kajian itu.

    Menurut TERAJU, berdasarkan kajian khas berkaitan kesan COVID-19 terhadap saiz graduan Bumiputera dan bukan Bumiputera IPTA serta IPTS yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lepas pula, menunjukkan hampir 270,000 graduan Bumiputera dihasilkan iaitu peningkatan hampir 10 peratus berbanding 2018.

    “Ini adalah selari dengan pertumbuhan jumlah graduan di Malaysia iaitu seramai 316,000 orang graduan yang diunjurkan pada 2020, berbanding hanya hampir 300,000 orang graduan pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 5.4 peratus dari 2018,” menurut kajian itu.

    Kajian berkenaan yang memetik sumber Jabatan Perangkaan Malaysia juga mendapati corak penawaran pekerjaan mula menurun secara keseluruhan, bermula dari suku ketiga 2019 sehingga suku keempat 2020.

    “Pewujudan peluang pekerjaan dalam kategori mahir telah menurun secara drastik kepada 3,600 pekerjaan pada suku kedua 2020, berbanding lebih 12,000 pewujudan pekerjaan pada suku sama 2019, iaitu penurunan sebanyak 70 peratus.

    Sehubungan itu, TERAJU telah merangka beberapa inisiatif dalam memperkasakan dan meningkatkan penyertaaan Bumiputera dalam pasaran tenaga kerja mahir, selaras dengan hala tuju Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB2030) yang bakal dilancarkan.

    “Sebagai sebuah agensi penyelaras utama dalam pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, TERAJU menubuhkan Pusat Kecemerlangan Bumiputera (CoE) bagi menyediakan pendidikan dan latihan bermula dari usia awal kanak-kanak sehingga ke peringkat pengajian tinggi, selain program pembangunan profesional lain seperti program celik kewangan, keusahawanan dan kursus pelbagai disiplin untuk Bumiputera,” menurut kajian tersebut.- BERNAMA

  • 69 mangsa banjir di dua PPS di Sabah

    69 mangsa banjir di dua PPS di Sabah

    SERAMAI 69 mangsa banjir daripada 19 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini pagi ini.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memberitahu, 33 mangsa banjir daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Mini Mesapol, Sipitang.

    Menurut kenyataan itu 36 mangsa banjir daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Tamau, Kota Belud.

    “Paras air sungai di Kota Belud meningkat, maka persediaan dilakukan untuk membuka PPS baharu sekiranya diperlukan. Pemantauan sedang dilakukan di kawasan ‘hotspot’ banjir,” menurut kenyataan tersebut.

    Pagi ini terdapat 39 kawasan di Kota Belud dan 10 kawasan di Sipitang masih terjejas akibat banjir, manakala cuaca ketika ini mendung.- BERNAMA

  • Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    ALASAN sakit kaki untuk dibawa ke klinik nyata tidak dapat menutup perbuatan seorang wanita warga Nepal, yang menyembunyikan kelahiran bayinya berusia dua hari yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang di sini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang tersebut, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

    “Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Kata beliau hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 Sept) sekitar 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.

    “Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.

    Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya.- BERNAMA

  • PKPD di satu lokaliti di Perak, Sabah mulai esok dan Jumaat – MKN

    PKPD di satu lokaliti di Perak, Sabah mulai esok dan Jumaat – MKN

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Orang Asli Gangai, di Muallim, Perak mulai esok hingga 6 Okt dan di Kampung Rompon di Tambunan, Sabah mulai 24 Sept hingga 7 Okt.

    Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad menerusi kenyataannya di laman Facebook, berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

    Beliau juga berkata lapan lokaliti PKPD iaitu masing-masing empat di Pahang dan Sabah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, manakala PKPD Taman Samudera di Manjung, Perak ditamatkan hari ini, sehari lebih awal.

    PKPD tamat di Pahang membabitkan Kampung Batu 1 Jalan Mentakab di Temerloh, Felda Keratong 8 (Rompin) dan dua lokaliti di Jerantut iaitu Kampung Orang Asli Sungai Kiol dan Kampung Orang Asli Tekeh serta Felda Sungai Tekam.

    Di Sabah, PKPD tamat melibatkan Kampung Lohan Ulu di Ranau, Kampung Pengelat Kecil (Papar) serta Kampung Ulu dan Kampung Pasir Putih di Putatan.- BERNAMA

  • KPM tidak halang kehadiran pelajar tolak vaksin di sekolah

    KPM tidak halang kehadiran pelajar tolak vaksin di sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan menghalang pelajar yang tidak mengambil vaksin COVID-19 daripada hadir di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan nanti.

    Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pelajar yang menolak vaksin itu tetapi hanya sebilangan kecil kerana ibu bapa yang tidak bersedia untuk membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.

    “Seseorang pelajar itu ada hak (untuk belajar dan datang ke sekolah). Tiada sebab untuk KPM menghalang mereka kembali ke sekolah (tanpa vaksin). Kaunseling akan diberikan khususnya kepada ibu bapa kerana bukan pelajar yang enggan menerima vaksin tetapi ibu bapa yang tolak,” katanya pada sidang media khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bersama Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, di sini hari ini.

    Beliau berkata KPM melalui pejabat pendidikan daerah (PPD) telah mengeluarkan arahan kepada sekolah di seluruh negara supaya pemberian janji temu bagi PICK Remaja dapat dipercepatkan untuk memastikan kejayaannya. 

    Katanya pelbagai kaedah akan diambil KPM untuk memberi penerangan kepada ibu bapa tentang keperluan vaksin supaya mereka bersedia demi keselamatan serta melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan serius COVID-19. 

    “KPM bersedia mengadakan hebahan membantu ibu bapa dan sekolah mencapai matlamat. KPM merancang untuk menghantar pelbagai bahan hebahan untuk membantu ibu bapa menerima maklumat yang betul supaya bersetuju membenarkan anak-anak menerima vaksin,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mah berkata prinsip yang dipegang kementerian itu adalah memastikan seramai mungkin pelajar menerima vaksin COVID-19 menerusi PICK Remaja dalam masa terdekat.

    Beliau berkata prinsip itu adalah seiring dengan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Okt ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. 

    “KPM tidak memilih jurusan mana atau kumpulan mana tetapi lebih kepada pembukaan sekolah khusus Tingkatan 6 atau pelajar yang perlu kembali ke sekolah untuk membuat persediaan peperiksaan,” katanya.- BERNAMA