Author: Admin

  • Pengiktirafan bersama sijil vaksin Malaysia-Singapura mudahkan rentas sempadan

    Pengiktirafan bersama sijil vaksin Malaysia-Singapura mudahkan rentas sempadan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengiktirafan sijil vaksinasi secara bersama-sama antara negara ini dengan Singapura kelak akan memudahkan urusan rentas sempadan antara kedua-dua negara bagi pelbagai tujuan terutamanya soal pekerjaaan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, perbincangan ke arah tersebut akan diadakan antara Malaysia dan Singapura yang memiliki hubungan rapat dalam melaksanakan urusan seharian.

    Kata Muhyiddin, pembukaan sempadan antara Malaysia dan negara republik itu juga berupaya mengukuhkan kestabilan ekonomi ekoran aktiviti eksport dan import yang banyak membabitkan kedua-dua pihak.

    “Antara perkara yang akan kita perhalusi bila dianggap sesuai dan Singapura bersetuju (setelah) vaksinasi sudah sampai ke peringkat lengkap, sijil kita dan sijil Singapura diiktiraf bersama-sama.

    “Ini akan membolehkan pergerakan antara kedua-dua negara dan sempadan lain pun akan dibuka. Semua itu akan diambil kira. Tetapi pastinya bila sampai situasi vaksinasi sudah meningkat, negara sudah menjadi lebih selamat, maka sempadan-sempadan berkenaan akan mula dibuka,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum itu mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sebelum ini juga ada berhubung dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara berkenaan yang turut dipersetujui Hsien Loong.

    Namun, langkah tersebut memerlukan penelitian khusus membabitkan soal keselamatan dan kesihatan.

    “Kita akan teliti daripada data dan sains serta pandangan daripada pakar-pakar termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan serta termasuk juga soal keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    “Dengan keadaan Covid-19 dan vaksinasi di Malaysia dan Singapura yang masih belum selesai mungkin beliau (Hsien Loong) agak berhati-hati,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, perbincangan mengenai sempadan sering diutamakan dalam mana-mana mesyuarat termasuk ketika beliau menjadi Perdana Menteri yang bukan sahaja perlu dibuka kepada pelancong luar tetapi rakyat negara ini yang mahu ke negara lain.

    “(Tetapi) Soal rentas daerah dan negeri pun masih belum dibuka, apatah lagi rentas antarabangsa untuk orang nak keluar negara lain atau pun orang asing yang mahu datang ke Malaysia,” katanya.

  • Keluarga Altantuya dibenarkan dapatkan salinan kenyataan individu disiasat polis

    Keluarga Altantuya dibenarkan dapatkan salinan kenyataan individu disiasat polis

    KELUARGA Altantuya Shaaribuu berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mendapatkan salinan kenyataan yang dirakamkan daripada individu disiasat polis dalam kes pembunuhan model Mongolia itu, untuk digunakan dalam saman sivil mereka.

    Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, kenyataan yang akan diserahkan kepada keluarga Altantuya termasuk kenyataan yang diambil daripada individu sama ada mereka dipanggil sebagai saksi pendakwaan, kenyataan dua bekas anggota polis, Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

    “Kami memerintahkan salinan kenyataan di bawah Seksyen 112 (Kanun Prosedur Jenayah) diberikan kepada perayu (keluarga Altantuya) dalam tempoh dua minggu dari tarikh perintah ini,” katanya.

    Hakim Nor Bee berkata, kenyataan polis yang digunakan dalam perbicaraan kes jenayah itu bukannya dokumen yang dilindungi.

    Beliau berkata mahkamah tidak melihat bahaya mengganggu saksi dalam kes ini kerana kes jenayah Azilah dan Sirul Azhar telah lama diselesaikan. 

    Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Supang Lian dan Hakim Datuk Seri Mariana Yahya yang sebulat suara membenarkan rayuan oleh keluarga Altantuya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk memperoleh kenyataan yang dirakamkan daripada individu disiasat polis dalam kes jenayah itu untuk digunakan dalam saman sivil mereka.

    Bapa dan ibu Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal memfailkan saman RM100 juta memfailkan saman sivil itu terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia pada 4 Jun 2007 untuk menuntut ganti rugi teladan.

    Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka menerima ganti rugi. 

    Dalam keputusan mahkamah yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Nor Bee berkata Seksyen 124 Akta Keterangan 1950 berkaitan kenyataan yang tidak didedahkan, tidak terpakai dalam kes keluarga Altantuya.

    Beliau berkata kenyataan Seksyen 112 itu perlu kerana maklumat yang terkandung dalam kenyataan itu akan membantu keluarga tersebut untuk meneruskan kes mereka bagi membuktikan pembunuhan itu.
     
    Beliau berkata mahkamah harus sedar tentang realiti praktikal bahawa perubahan boleh berlaku sejak itu dan kemungkinan orang yang dirujuk tidak dapat dikesan atau ada yang mungkin telah meninggal dunia, tidak boleh dinafikan

    “Saksi mungkin enggan ditemu bual dan sebahagian lagi mungkin sukar untuk mengingati semula kejadian itu,” kata Hakim Nor Bee.

    Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006 namun beliau telah dibebaskan daripada pertuduhan pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

    Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada pertuduhan namun keputusan itu telah diubah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 susulan rayuan pendakwaan.
    Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili keluarga itu manakala Peguam Kanan Persekutuan Azliza Ali bertindak bagi pihak kerajaan. – Bernama

  • 37,144 remaja sudah terima terima dos pertama, 1,892 dos kedua di Johor

    37,144 remaja sudah terima terima dos pertama, 1,892 dos kedua di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEHINGGA semalam seramai 37,144 orang atau 10.3 peratus remaja berumur bawah 18 tahun di Johor telah menerima vaksinasi dos pertama.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, seramai 1,892 orang pula (0.5 peratus) telah lengkap dos kedua.

    “Bagi populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas pula, seramai 2,545,072 orang (92.5 peratus) telah menerima dos pertama dan 1,988,503 orang (73.3 peratus) telah lengkap menerima dos kedua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak berumur 12-17 tahun (PICK Remaja) di Johor telah bermula pada 20 September lalu.

    Menurutnya, dianggarkan terdapat 359,900 remaja yang berumur 12 hingga 17 tahun di negeri ini dan sehingga kini seramai 304,695 remaja yang berumur 12-17 tahun telah mendaftar di aplikasi MySejahtera.

    Beliau berkata, terdapat tiga kategori dalam pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 remaja iaitu pertama melalui janji temu MySejahtera
    dengan kumpulan sasar adalah pelajar asrama penuh, sekolah pendidikan khas berasrama dan sekolah asrama harian.

    Katanya, tarikh dan lokasi pemberian vaksin akan diberitahu kepada melalui aplikasi MySejahtera dan ibu bapa perlu mendaftar anak dalam MySejahtera sebagai tanggungan atau anak sendiri mendaftar di aplikasi MySejahtera.

    Kategori kedua katanya, menerusi vaksinasi berjadual dengan kumpulan sasar adalah sekolah harian, sekolah pendidikan khas harian,
    sekolah antarabangsa, ibu bapa akan dimaklumkan pihak sekolah jadual vaksinasi sekolah.

    “Ini termasuk mereka perlu mambawa anak mereka untuk vaksinasi mengikut tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan,” katanya.

    Sementara kategori ketiga katanya, secara teruus atau ‘walk-in’ dengan melibatkan kumpulan sasar adalah remaja di institut pengajian awam dan swasta serta remaja yang tidak bersekolah.

    “Remaja ini boleh walk-in ke mana-mana PPV di daerah-daerah yang telah ditetapkan bersama ibu bapa atau penjaga,” katanya.

  • Transgender mungkin dilarang masuk masjid di Wilayah Persekutuan

    Transgender mungkin dilarang masuk masjid di Wilayah Persekutuan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SELEPAS Perlis mengenakan larangan masuk masjid terhadap golongan ‘mukhannath’ atau ‘transgender’, kini kerajaan sedang meneliti tindakan yang sama untuk dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.

    Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, tindakan pihak berkuasa agama di Perlis yang mengenakan larangan tersebut adalah wajar bagi menjaga kesucian masjid.

    Jelasnya, tindakan tersebut juga bagi menghindari kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

    “Saya bercakap dalam konteks Wilayah Persekutuan kerana itu dalam bidang kuasa kita. Negeri lain terpulang kepada pihak berkuasa agama masing-masing. Soal kita hendak galakkan negeri-negeri ikut apa yang dilakukan di Perlis, kita kena tengok kepada keseriusan kes yang berlaku (di negeri-negeri).

    “Bagi saya apa yang dilakukan Perlis itu adalah satu tindakan yang boleh dicontohi kerana kalau golongan ini masuk ke dalam masjid mereka lelaki, kadang-kadang mereka pakai tudung jadi itu sangat tidak sesuai. Kalau orang lelaki masuk ke sebelah Muslimat, jadi itu sudah mengganggu privasi kumpulan wanita. Tetapi kalau mereka hadir (ke masjid) untuk bertaubat itu tidak apalah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Inspirasi Qaseh Kami: Food Bank YaPEIM 3.0 Di Kemaman, di pekarangan Stesen Teksi, Kemaman, hari ini.

    Ahmad Marzuk berkata, bagaimanapun setakat ini, pihaknya belum menerima maklumat atau laporan berkaitan ‘pencerobohan’ golongan transgender di masjid dan pihaknya percaya tindakan larangan yang dilakukan di Perlis itu adalah sebagai satu langkah pencegahan.

    Dilapor baru-baru ini, Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam kenyataan yang dimuatkan dalam Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis menyatakan golongan ‘mukhannath’ atau lebih dikenali dengan panggilan ‘mak nyah’ atau transgender diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.

    Mohd. Asri berkata, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-53/2021 pada 23 dan 24 Jun lepas, golongan ini sengaja menyerupai jantina berbeza dan termasuk dalam golongan fasik.

  • Jangkitan Covid-19 meningkat kepada 14,554 kes hari ini

    Jangkitan Covid-19 meningkat kepada 14,554 kes hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara mencatatkan peningkatan hari ini iaitu sebanyak 14,554 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya memberitahu, perkembangan tersebut menjadikan kumulatif kes di negara kini mencecah 2,171,232 kes.

    Menurutnya, daripada kes jangkitan baharu itu, Sarawak kekal mencatatkan kes tertinggi dalam negara dengan 2,825, diikuti Selangor dengan 2,244 kes dan Johor 1,807.

  • Kurangkan penggunaan penyaman udara elak penularan Covid-19 di sekolah

    Kurangkan penggunaan penyaman udara elak penularan Covid-19 di sekolah

    PIHAK pengurusan sekolah dinasihatkan supaya mengurangkan penggunaan penyaman udara bagi memastikan sistem pengudaraan dan kualiti udara yang baik sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan COVID-19 apabila sesi persekolahan kembali dibuka kelak.

    Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kadar suhu yang dinasihatkan adalah antara 23 hingga 26 darjah Celsius sekiranya penyaman udara masih digunakan di bangunan sekolah.

    “Kita nasihatkan supaya mengurangkan penggunaan penyaman udara dan suhu jangan sejuk sangat (jika guna), yang paling penting adalah pengudaraan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City di sini, hari ini.

    Dr Mah berkata pihaknya sedang melakukan pemantauan bagi memastikan setiap sekolah dan institusi pendidikan mempunyai sistem pengudaraan yang baik bagi mengelakkan penularan COVID-19 sebagai antara persediaan pembukaan semula sesi persekolahan.

    Sementara itu, ditanya sama ada terdapat pelajar sekolah atau ibu bapa yang enggan membenarkan anak-anak menerima vaksin COVID-19, beliau berkata kementerian masih berada di peringkat awal pelaksanaan PICK Remaja untuk membuat penilaian berkenaan.

    “Yang kita nampak pada keseluruhan pelajar dan ibu bapa sangat bersedia dan teruja untuk menerima vaksin.

    “Setahu saya tiada bantahan diterima oleh mereka yang tidak mahu menerima vaksin,” katanya.

    Sehubungan itu, Dr Mah berkata maklumat yang betul dan hebahan berhubung vaksinasi perlu dipergiatkan bagi menggalakkan pelajar dan ibu bapa membawa anak-anak mendapatkan suntikan vaksin demi keselamatan ketika mengikuti pembelajaran di sekolah.

    Pembukaan sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 3 Okt ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

    Rabu lepas, Kementerian Kesihatan memberi penekanan dan panduan kepada orang ramai berhubung kepentingan sistem pengudaraan dan kualiti udara dalaman yang baik bagi membendung penularan COVID-19.

    Terdahulu, seramai 127 pelajar daripada 570 orang di sekolah berkenaan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada program bermula pukul 9 pagi tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud.-BERNAMA

  • Polis siasat penyebar video, mesej lucah seorang pendakwah

    Polis siasat penyebar video, mesej lucah seorang pendakwah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan terhadap penyebar video dan mesej lucah tular menerusi aplikasi Telegram, yang dikaitkan dengan seorang pendakwah terkenal.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

    “PDRM menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Semalam, tular tiga buah video di aplikasi Telegram memaparkan wajah mirip pendakwah berkenaan bersama beberapa tangkap layar yang memaparkan perbualan.

  • Insiden tembakan kedai runcit di AS, 1 maut 12 cedera

    Insiden tembakan kedai runcit di AS, 1 maut 12 cedera

    SEKURANG-kurangnya seorang maut dan 12 yang lain cedera selepas lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah kedai runcit berhampiran Memphis di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

    Penyerang turut maut, kemungkinan suspek menembak diri sendiri, kata Ketua Polis Collierville, Dale Lane pada sidang media. 

    Katanya, polis sedang menunggu peralatan khas untuk melakukan siasatan ke atas kenderaan suspek yang diletakkan di tempat letak kereta Pasaraya Kroger. 

    Laporan awal menyatakan 13 orang dilaporkan cedera dan jumlah mangsa mungkin akan berubah.

     “Kejadian ini mengerikan. Saya telah terlibat selama 34 tahun dan tidak pernah melihat perkara seperti itu,” katanya.- BERNAMA

  • Rakyat Malaysia dipenjara 15 tahun terbabit kumpulan Al-Shabaab

    Rakyat Malaysia dipenjara 15 tahun terbabit kumpulan Al-Shabaab

    RAKYAT Malaysia Ahmad Mustakim Abdul Hamid dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh mahkamah tentera Somalia kerana terbabit dengan aktiviti kumpulan Al-Shabaab.

    Atase Akhbar Kedutaan Somalia di Malaysia Abdimajit M. Osman ketika dihubungi Bernama berkata hukuman itu dibaca oleh Ketua Mahkamah Angkatan Tentera Hassan Ali Nur Shuuto.

    “Namun, di bawah sistem kehakiman Somalia, Ahmad Mustakim berpeluang untuk buat rayuan,” jelas Abdimajit.

    Semalam Bernama melaporkan perbicaraan Mustakim bermula pada 2019 dan dia dilayan dengan baik serta mendapat perbicaraan yang adil mengikut undang-undang Somalia.

    Mustakim dipercayai masuk ke Somalia sekitar 2009 atau 2010.

    “Somalia sudah sekian lama dihimpit penderitaan kerana warga asing yang menyokong Al-Shabaab. Kerajaan kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang menjejakkan kaki ke Somalia untuk menyokong kegiatan keganasan.

    “Bagaimanapun, Somalia tetap mengalu-alukan rakyat Malaysia yang selalu memberikan bantuan. Somalia dan Malaysia mempunyai sejarah hubungan yang erat. Kerajaan Somalia sentiasa berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara,” katanya.

    Abdimajit berkata, Mustakim, 34, rakyat Malaysia pertama yang didakwa membantu Al-Shabaab di Somalia.

    Sementara itu, Agensi Berita Somali (Sonna) melaporkan mahkamah itu turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang lagi warga asing yang ditahan bersama dengan Mustakim.

    “Mustakim membantu kumpulan itu dengan memberikan pertolongan cemas dan mengambil bahagian dalam pertempuran di Mogadishu dan Dhusamareb,” kata agensi itu berdasarkan transkrip terjemahan oleh Kedutaan Somalia di Malaysia.

    Pada Sabtu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata kementerian luar memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap Mustakim.

    Saifuddin berkata pegawai Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan sudah pun berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim sentiasa terjaga.

    “Kementerian luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepada beliau (Mustakim) dengan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya.

    “Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak,” katanya.

    Al-Shabaab, sekutu paling kuat al-Qaeda, terkenal dengan serangan berprofil tinggi seperti serangan 2013 terhadap Westgate Mall di Nairobi, Kenya selain terbabit dengan pembunuhan ahli politik dan pegawai tentera Somalia.

  • COVID-19: Singapura catat kes harian tertinggi 1,504 kes

    COVID-19: Singapura catat kes harian tertinggi 1,504 kes

    SINGAPURA melaporkan sejumlah 1,504 kes baharu COVID-19 pada Khamis (23 September), tertinggi sejak virus itu dikesan tahun lalu.

    Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, daripada jumlah tersebut, 1,218 kes adalah jangkitan tempatan, 273 di asrama pekerja migran, dan 13 kes import.

    Dalam kemas kini data hariannya, kementerian memaklumkan 1,120 pesakit dirawat di hospital dengan 163 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 23 kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

    Republik itu juga melaporkan dua kematian melibatkan wanita warga emas Singapura yang belum divaksin, menjadikan jumlah kematian akibat komplikasi jangkitan COVID-19 bertambah kepada 70 orang.

    Sepanjang 28 hari lalu, menurut kementerian daripada 15,791 individu yang dijangkiti, 97.9 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di ICU, dan 0.1 peratus meninggal dunia.

    Sehingga tengah hari Khamis, jumlah keseluruhan kes adalah 82,860 dengan 10,379 kes aktif.

    Sebanyak 82 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 setakat 22 September, dengan 84 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.- BERNAMA