Author: Admin

  • Garis panduan pemberian dos penggalak, dos ketiga dibangunkan-Khairy

    Garis panduan pemberian dos penggalak, dos ketiga dibangunkan-Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan berkenaan pelaksanaan pemberian dos ketiga dan juga dos penggalak.

    Jelas beliau, perkara tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang akan datang.

    “Di sini saya ingin maklumkan bahawa ada perbezaan antara dos ketiga dengan dos penggalak,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya, Putrajaya, hari ini.

  • KKM terima sumbangan peralatan kesihatan RM9.48 juta

    KKM terima sumbangan peralatan kesihatan RM9.48 juta

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menerima sumbangan peralatan kesihatan berjumlah RM9.48 juta daripada lima syarikat korporat.

    Kumpulan Axiata Sdn Bhd menyumbang RM5 juta bagi pembelian peralatan perubatan dan kelengkapan kesihatan, manakala Yayasan Bursa Malaysia menyumbangkan 310 unit alat penjana oksigen bernilai RM1.99 juta dan 99 Speedmart pula menyumbang 142 unit alat penjana oksigen, katil pesakit serta pelbagai barangan lain berjumlah RM1.88 juta.

    Sementara itu, Sime Darby Plantation menyumbangkan 5,000 unit pulse oximeter dengan nilai sumbangan RM375,000 dan Wang Zheng Berhad dengan sumbangan antaranya 600 karton lampin dewasa bernilai RM224,640.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerima sumbangan berkenaan yang diserahkan oleh wakil syarikat masing-masing dalam Majlis Sumbangan Korporat Keluarga Malaysia di KKM, di Putrajaya, hari ini.

    Khairy dalam ucapan ringkasnya berkata, nilai keseluruhan sumbangan bukan tunai yang diterima KKM sejak Januari 2020 mencecah RM148 juta dengan hampir 70 peratus peralatan diterima adalah peralatan perlindungan diri (PPE).

    “Ketika negara bersedia beralih ke fasa endemik, diharapkan selain PPE, kami akan terima lebih sumbangan bagi pulse oximeter dan kit ujian kendiri Covid-19 kerana walaupun harga siling (kit) ialah RM19.90, ia masih membebankan keluarga B40,” katanya. – Bernama

  • PM beri bayangan rentas negeri dalam beberapa minggu lagi

    PM beri bayangan rentas negeri dalam beberapa minggu lagi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan ‘dalam beberapa minggu lagi.

    Menurut Perdana Menteri, perkembangan itu kerana sehingga 22 September lalu, 81 peratus populasi dewasa dalam negara telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi boleh mencapai kadar 90 peratus.

    Perkembangan itu kata Ismail Sabri, akan memberikan kelonggaran untuk rentas negeri.

    “Insyallah, sabar. Tunggu beberapa minggu lagi saya percaya 90 peratus dapat dicapai dan kelonggaran diberi untuk rentas negeri,” katanya yang menyifatkan pengumuman mengenai kebenaran rentas negeri itu sebagai sesuatu yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

    “Kalau Rabu lepas sudah capai 81 peratus, maknanya sudah tidak lama lagi nak (boleh) rentas negeri. Jadi bolehlah balik ke kampung berjumpa ibu bapa. Saya difahamkan ada yang sudah setahun tidak berpeluang berjumpa ibu bapa,” katanya.

    Beliau berkata demikain ketika berucap melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Rumah Ikram Keluarga Malaysia di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini.

  • KJ gesa PBB, WHO campur tangan isu diskriminasi vaksin

    KJ gesa PBB, WHO campur tangan isu diskriminasi vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) campur tangan dalam isu diskriminasi terhadap jenis vaksin yang digunakan di Malaysia.

    “Sesetengah negara menetapkan bahawa hanya individu yang menerima vaksin tertentu sahaja diberikan pengecualian daripada melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas, menjalani kuarantin setelah tiba di negara berkenaan dan sebagainya.

    “Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana penting untuk kita faham bahawa vaksin melindungi individu daripada risiko mendapat jangkitan yang lebih teruk serta mengurangkan gejala-gejala penyakit,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya, Putrajaya hari ini.

  • JDT masih berminat dapatkan Falcao?

    JDT masih berminat dapatkan Falcao?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus menyebabkan peminat skuad Harimau Selatan tidak senang duduk apabila kembali menimbulkan teka teki berhubung masa depan pemain antarabangsa Colombia, Radamel Falcao.

    Tunku Mahkota Johor itu dalam laman Instagram miliknya hari ini berkongsi sekeping gambar menunjukkan Tunku Ismail sedang mengadakan panggilan video dengan pemain berkenaan.

    Ogos lalu, terdapat khabar angin yang mengatakan JDT berminat untuk mendapatkan pemain handalan dunia itu untuk menyarung jersi biru merah mereka.

    Namun khabar angin itu bagaimanapun dinafikan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest yang mengakui agak sukar untuk membawa masuk Falcao ketika sumber kewangan pasukan masih tidak mengizinkan.

    “JDT tidak berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain ‘marquee’ antarabangsa disebabkan pandemik Covid-19.

    “Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun untuk mendapatkan pemain-pemain sedemikian.

    “Kami perlu lebih berhemah dalam perbelanjaan ketika ini dan memberikan keutamaan kepada infrastruktur yang boleh membawa kebaikan kepada pembangunan,” katanya.

    Terdahulu perkara itu hangat diperkatakan selepas portal sukan Turki, Fotomac dalam Twitter mereka pada 5 Ogos lalu mendedahkan sebuah kelab popular Malaysia telah membuat permohonan untuk mendapatkan Falcao.

    Falcao, 35, yang kini beraksi bersama-sama kelab Turki, Galatasaray pernah menyarung jersi gergasi Eropah seperti Manchester United, Chelsea, Porto dan Atletico Madrid.

    Khabar angin itu turut menyebabkan ada pihak mengedit maklumat peribadi Falcao dalam Wikipedia dengan menulis dia pernah menyarung jersi JDT dari 2013 hingga 2014 dan menjaringkan 107 gol daripada 65 penampilan.

    “Kelab paling popular di Malaysia, Johor meminta Radamel Falcao daripada Galatasaray.

    “Difahamkan, Presiden kelab, Putera Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) secara peribadi mahu membuat pertukaran dan ingin melakukan perpindahan terbesar dalam liga bola sepak Malaysia,” tulis Twitter Fotomac.

  • Penunggang motosikal maut tercampak dari Lebuh raya EDL

    Penunggang motosikal maut tercampak dari Lebuh raya EDL

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut apabila motosikal yang dinaikinya bersama adiknya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 4 Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL), Johor Bahru sebelum tercampak ke laluan bawah lebuh raya itu pagi tadi.

    Dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun itu maut di tempat kejadian manakala adiknya berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan apabila terjatuh di lokasi kemalangan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal itu terbabas sendiri dan tidak melibatkan kenderaan lain.

    Katanya, mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Pasir Gudang selepas menghantar adiknya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

    Adik mangsa bernasib baik kerana hanya jatuh atas jalan dan tidak ikut tercampak ke bawah lebuh raya

    “Mangsa yang difahamkan terbabas dan tercampak ke laluan bawah Lebuh raya EDL mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia.

    “Adiknya pula tidak terjatuh ke bawah laluan tersebut dan hanya mengalami kecederaan ringan di jari sahaja,” katanya dalam ketika dihubungi hari ini.

    Raub berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat manakala adiknya menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • RM52,000 milik warga emas lesap ditipu sindiket pelaburan petroleum

    RM52,000 milik warga emas lesap ditipu sindiket pelaburan petroleum

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pesara lelaki di Butterworth, Pulau Pinang berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM52,000 lesap dipercayai ditipu sindiket yang menawarkan untuk menyertai pelaburan dalam bidang petroleum.

    Mangsa berusia 72 tahun itu mula terjerat dengan sindiket terbabit selepas didatangi dua individu ketika berada di sebuah pasar raya di Bagan Ajam baru-baru ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa ditawarkan oleh dua individu terbabit untuk menyertai pelaburan dalam bidang petroleum kononnya dianjurkan oleh lima syarikat pengeluar minyak dan gas terkemuka di negara ini.

    Kata beliau, mangsa dijanjikan keuntungan tinggi selain turut dipengaruhi individu terbabit yang menunjukkan beberapa video dan gambar kononnya kisah kejayaan pelabur lain yang sudah menyertai pelaburan tersebut.

    Malah jelasnya, mangsa turut diperdaya dengan jaminan peluang untuk mendapat hadiah lumayan berupa kereta dan wang tunai,

    “Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya telah menyerahkan wang sebanyak RM52,000 kepada kedua-dua suspek selepas membuat pengeluaran di sebuah bank di Seberang Jaya.

    “Bagaimanapun, kedua-dua suspek kemudiannya menghilangkan diri selepas mendapat wang daripada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Pulau Perhentian bakal ‘bernafas’ semula

    Pulau Perhentian bakal ‘bernafas’ semula

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    PEMBUKAAN semula gelembung pelancongan di Pulau Perhentian sejak Isnin lalu dijangka mampu menghidupkan kembali sektor pelancongan di Terengganu.

    Ini kerana, penutupan sementara pulau peranginan terkenal itu pada akhir Ogos lalu ekoran berlaku penularan Covid-19 memberi kesan amat mendalam bukan sahaja kepada penggiat industri, tetapi juga penduduk di pulau berkenaan.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab yang juga merupakan Pegawai Daerah Besut, pulau peranginan itu mula dibuka kepada pelancong berkuat kuasa Isnin lalu.

    Katanya, langkah itu dibuat selaras dengan keputusan kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada individu sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan peralihan Terengganu ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Beliau berkata, penggiat industri pelancongan di Pulau Perhentian terutama pengusaha chalet dan pemandu bot sudah bersedia menerima kedatangan pelancong di mana shingga ini lebih 1,508 atau 90 peratus golongan terbabit sudah lengkap divaksin.

    “Malah, pengusaha chalet turut menekankan aspek kebersihan dapur dan penyediaan makanan kepada tetamu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media pada program pemeriksaan premis makanan mengikut norma baharu, di Pulau Perhentian, Besut hari ini.

    Turut hadir ialah Pegawai Kesihatan Daerah Besut, Dr. Hafizuddin Awang.

    Pembukaan semula Pulau Perhentian selaras keputusan kerajaan melonggarkan SOP kepada individu sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan peralihan Terengganu ke fasa tiga PPN.

    Menurut Ahmad Farhan, Jawatankuasa Bencana Daerah Besut bersetuju membenarkan operasi di Jeti Kuala Besut dibuka sepenuhnya Isnin lalu selepas semua penggiat industri pelancongan lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

    Menurut beliau, pembukaan Pulau Perhentian dilakukan selepas semua penggiat industri pelancongan di pulau berkenaan mematuhi SOP Fasa Tiga PPN.

    Akhir Ogos lalu, kerajaan Terengganu terpaksa menutup sementara aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian ekoran berlakunya 75 kes penularan Covid-19.

  • Jenayah terancang: 22 lelaki tidak mengaku anggotai Geng Sakai

    Jenayah terancang: 22 lelaki tidak mengaku anggotai Geng Sakai

    SERAMAI 22 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ di antara Januari 2015 dan Jun 2021.

    Mereka ialah Rosli Sahak (dipercayai ketua kumpulan itu yang digelar Sakai), A Ravindran, A Uthayakumar, S Sathiaseelan, T Kumar, A Kumaresan, N Tanasilan, Thirumal Raj, M Darshan, A Dineswaran, S Mohanraj dan R Nantha Kumar.

    Tertuduh lain ialah S Gobinath, M Ravishankar, M Thinesh, N Tannish, S Sagadevan, Mohamad Faisal Mohamad Sharif, Sukhdave Singh Jesvir Singh, R Logeswaran, R Tannesh dan A Jayaprakash.

    Kesemua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Semua tertuduh yang berusia antara 18 dan 47 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di Flat Sri Selangor, di sini antara Januari 2015 dan Jun 2021 mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Manaff, Nur Ainaa Ridzwan dan Rajdeep Singh Bhupinder Singh.

    Sementara, 17 tertuduh diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan, Datuk T Harpal Singh, Datuk Geethan Ram Vincent, Revin Kumar, Mahajoth Singh, Wan Zaleha Abdul Wahab, Naizatul Zambrina Karizaman, Jay Moy Wei Jiun, Jayarubbiny, P Taneswaran serta K Komaga, manakala lima tertuduh tidak diwakili peguam.

    Hakim Sequerah menetapkan 22 Oktober ini untuk pengurusan kes. – Bernama

  • Bekas banduan dipenjara kali ketiga hina Agong

    Bekas banduan dipenjara kali ketiga hina Agong

    SEORANG bekas banduan yang tidak pernah serik keluar masuk penjara kerana menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di media sosial, dipenjara setahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas kesalahan sama.

    Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharil Mohd Sarif, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes berkenaan hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 Ogos lepas dan akan dipenjara enam bulan lagi, jika gagal membayar denda.

    Tertuduh turut didenda RM1,000, jika gagal bayar dipenjara tiga bulan selepas mahkamah mengguna pakai proviso kes tersebut di bawah Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (di mana setiap kesalahan selepas pensabitan OKS boleh didenda RM1,000).

    Edwin ketika menjatuhkan hukuman berkata OKS telah melampaui batas dan tindakannya menghina Agong, melanggar kebebasan bersuara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    “OKS langsung tidak serik, walaupun mahkamah telah memberi beberapa kali peluang tetap mengulangi kesilapan sama,” kata Edwin.

    Sharil didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap YDPA dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil ‘Sharil bin Mohd Sarif’ pada 7.43 pagi, 20 April 2021.

    Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 1.30 petang, 20 April lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman berbentuk pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap atas alasan dia mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan isterinya sudah meninggal dunia, Jun lepas.

    Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman berat kerana sebelum ini, tertuduh pernah dihukum penjara dua kali atas kesalahan sama.

    “OKS tidak menunjukkan kekesalan walaupun telah dipenjara sebelum ini, kesemua kesalahan adalah sama yang bersifat jelik dan menyakitkan hati.

    “Hukuman-hukuman yang dijatuhkan tidak mendatangkan keinsafan kepada OKS. Mohon hukuman lebih berat supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam,” katanya.

    Sebelum ini, tertuduh pernah dipenjara dua bulan pada 2019 dan 10 bulan pada tahun lalu oleh mahkamah sama atas kesalahan serupa.- BERNAMA