PERUBAHAN ketara Muhammad Mustaqim Ismadi ke arah yang lebih baik disedari ahli keluarganya sejak akhir-akhir ini sebelum pemandu lori syarikat logistik dan penghantaran bungkusan itu maut akibat kemalangan di Jalan Tasik Utara-Larkin, kelmarin.
Ibunya, Maglita Varshay Ibrahim, 49, berkata, perubahan anak sulungnya itu bukan hanya disedari ahli keluarga tetapi penduduk setempat dan rakan-rakan di tempat kerjanya.
Malah, arwah juga pernah berpesan kepada ibunya agar jangan menangisi pemergian orang, tetapi sebaliknya mendoakan mereka setelah kehilangan ibu saudaranya akibat Covid-19, empat bulan lalu.
“Kakak saya meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum ini, ketika saya sedang bersedih, Mustaqim nasihatkan agar jangan menangis sebaliknya sedekah doa.
“Kerana katanya itu adalah perkara yang lebih baik untuk dilakukan berbanding hanya meratapi pemergian orang tersayang,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Mustaqim
Selasa lalu, lori dipandu Muhammad Mustaqim terbabas melanggar pokok sebelum terbakar kerana dipercayai mengelak kon yang berada di atas jalan.
Akibat kemalangan itu, mangsa yang mula berkhidmat dengan syarikat tersebut pada April lalu tersepit dan disahkan rentung setelah kenderaan itu terbakar.
Terdahulu, keluarga mangsa menerima skim Faedah Orang Tanggungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan pencen bulanan RM1,333.50.
Faedah disampaikan Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang dan turut dihadiri Ahli Majlis Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.
Dalam pada itu, Maglita mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba yang bertindak pantas mengeluarkan anaknya daripada kebakaran tersebut.
“Terima kasih kepada anggota bomba kerana tindakan pantas mereka memadamkan api, sekurang-kurangnya mayat tidak terlalu teruk terbakar,” ujarnya.
TINDAKAN seorang pemandu wanita yang dipercayai cuba membelok keretanya untuk pulang ke rumah secara tiba-tiba, menyebabkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki gagal mengelak lalu dirempuhnya dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kampung Relong, petang semalam.
Akibat rempuhan tersebut, mangsa, Che Muhammad Fikri Che Hussin, 21, dari Kampung Kemuning Berchang, disahkan meninggal dunia di hospital akibat cedera parah di kepala dan kaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor, berdasarkan siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Lipis untuk pulang ke rumahnya di Kampung Relong.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu kereta tersebut telah membelok ke kanan jalan secara tiba-tiba menghala ke arah Merapoh untuk pulang ke rumahnya.
“Ekoran itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah sama secara tiba-tiba telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Azli, pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal itu pula cedera parah dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kuala Lipis pada pukul 7 malam tadi.
SEBANYAK 1.8 tan makanan haiwan dari Itali dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth Pulau Pinang petang semalam selepas didapati cuba dibawa masuk tanpa permit import sah.
Produk yang dimuatkan di dalam 1,800 pek seberat masing-masing satu kilogram itu dirampas ketika pemeriksaan rutin anggota jabatan berkenaam di tapak pemeriksaan Gudang Zon Bebas DAD pada pukul 5.40 petang.
Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan mendapati keseluruhan makanan haiwan tersebut yang cuba dibawa masuk menggunakan sebuah kontena tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.
Antara makanan haiwan dari Itali yang dirampas kerana tiada permit import yang sah
“Sehubungan itu, produk makanan haiwan bernilai RM10,557.85 tersebut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, perbuatan mengimport dagangan tanpa permit import Maqis yang sah adalah kesalahan dibawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].
Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), Akta yang sama dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” tambahnya.
‘’Saya nak tanya balik, adakah Muafakat Nasional ini lagi? “Kalau kita…apa ni yang dipanggil netizen bahawa UMNO ini dikhianati..saya fikir elok kalau UMNO terus bertanding cara solo dengan menggunakan panji-panji Barisan Nasional” .
Itulah jawapan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila ditanya dalam satu wawancara dengan sebuah portal semalam berapa jangkaan kerusi dan negeri yang boleh dimenangi jika Barisan Nasional (BN) bertanding bersama Muafakat Nasional.
Kenyataan dikatakan mengejutkan banyak pihak bukan sahaja dalam kalangan pemimpin Pas tetapi juga UMNO, malah ada sumber memberitahu, perkara itu tidak dibincang dalam mesyuarat MT UMNO.
Persoalannya adakah kenyataan Ahmad Zahid itu atas kapasiti peribadi atau sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN? Dan adakah pendirian itu dipersetujui oleh ahli-ahli MT UMNO?
Bagaimanapun apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid mungkin atas kapasiti peribadi dan mungkin tidak terima oleh pemimpin-pemimpin UMNO lain yang tetap mahu mempertahankan Muafakat Nasional. Anehnya Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut pada 14 September lalu melalui akaun telegramnya menyiarkan ucapan tahniah sempena Ulangtahun kedua Muafakat Nasioanal.
Tetapi semalam beliau juga bertanya , ‘’adakah Muafakat Nasional ini lagi’’? Jadi apa sebenarnya berlaku?
Lebih menarik Ahmad Zahid yang sedang berdepan dengan perbicaraan berpuluh-puluh tuduhan rasuah dan salahguna kuasa dengan bangganya menegaskan;
‘’Saya fikir elok kalau UMNO terus bertanding cara solo dengan menggunakan panji-panji Barisan Nasional. Kita fikir elok kerusi free for all. Kalau kita mahu bentuk kerajaan pun selepas parti-parti yang bertanding di seluruh negara dapat keputusan berapa kerusi diperolehi oleh parti dan ketika itu mungkin rundingan boleh dilakukan.’’
Maknanya, sudah ada tekad atau pendirian daripada Ahmad Zahid bahawa UMNO akan bertanding di semua kerusi waima milik Pas sekalipun dan ia turut mewujudkan kekeliruan kerana sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara UMNO dan Pas kini sudah mencapai tahap 70 peratus.
Jelas beliau, kata sepakat antara UMNO dan Pas dipersetujui menerusi siri mesyuarat Muafakat Nasional yang telah diadakan di antara kedua-dua parti itu sebelum ini.
Beliau berkata, menerusi persefahaman itu, formula yang telah dipersetujui sebelum ini masih lagi kekal iaitu mana-mana parti yang telah memenangi sesuatu kerusi akan kekal bertanding di kawasan yang sama pada PRU15.
Kalau begitulah kata Mohamad atau Tok Mat Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang disiarkan oleh Astro Awani pada 3 September lalu, bagaimana pula dengan kenyataan terbaru Ahmad Zahid ini? Adakah UMNO sudah membuat keputusan baru tanpa memaklumkan kepada Pas atau adakah Tok Mat Hasan pun tidak diberitahu oleh Ahmad Zahid?
Ahmad Zahid sepatutnya lebih berani untuk membuat kenyataan rasmi bagi memaklumkan apakah pendirian UMNO dalam soal hubungan dengan Pas melalui Muafakat Nasional. Kalau betul UMNO sudah tidak mahu lagi meneruskan hubungan itu maka buat secara rasmi, bukan hanya berdegar-degar dalam wawancara sahaja.
Muafakat Nasional bukannya ditubuhkan melalui mana-mana wawancara tetapi diisytiharkan secara rasmi melalui majlis menandatangani Piagam Perpaduan Ummah di Dewan Merdeka PWTC pada 14 September 2019.
Justeru Ahmad Zahid perlu lebih matang atau profesional dalam berpolitik melibatkan parti lain. Kenyataan rasmi perlu dikeluarkan melalui MT yang sebelum ini dijadikan landasan oleh Ahmad Zahid untuk menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Tetapi penulis percaya kenyataan Ahmad Zahid bukan pendirian rasmi UMNO, sebelum inipun kita sudah dengar perkataan, ‘’kirim salam kepada Muafakat Nasional’. Bagaimanapun pemimpin-pemimpin UMNO yang mahu bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional serta memperkukuhkan perpaduan ummah dengan merangkul bersama Bersatu perlu bangkit menyatakan pendirian mereka.
UMNO tidak boleh dilihat terlalu angkuh mahu bertanding secara solo dalam PRU-15 dengan keyakinan boleh menang banyak kerusi. Tindakan bersandarkan kepada keputusan PRU-14 yang mana UMNO menang 79 kerusi adalah perkiraan yang salah dan tidak strategik sama sekali kerana senario politik kini amat berbeza.
Bagaimanapun jika Ahmad Zahid begitu yakin UMNO tidak memerlukan Pas, maka Pas pun tidak perlulah terhegeh-hegeh atau ‘’hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ untuk terus mempertahankan Muafakat Nasional. Tambahan pula Pas kini anggota Perikatan Nasional yang turut disertai oleh sebuah lagi parti Melayu iaitu Bersatu.
Pas bukanlah parti kecil yang harus dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ semata-mata mahu bersama Ahmad Zahid dan UMNO. Pas mempunyai kekuatan dan kelebihan sendiri apatah lagi jika bergabung tenaga dengan Bersatu.
Tetapi seperti mana kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, ‘’ tu dia yang kata bukan UMNO (secara rasmi), jadi Pas akan terus dengan agenda jajaran politik perpaduan ummah.’’
Maksudnya Pas akan melaksanakan agenda menyatukan ketiga-tiga parti Melayu dalam PRU-15 bagi mengelakkan perpecahan dan pertembungan yang akan merugikan keseluruhan kuasa politik orang Melayu.
Hakikatnya, kita tidak pasti sejauh manakah usaha Pas akan berjaya tetapi yang pasti UMNO tidak akan menang besar jika bertanding bersendirian!
JANGKITAN Covid-19 membabitkan golongan bawah 18 tahun meningkat lebih 400,000 tahun ini berbanding 12,000 tahun lalu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sehubungan itu katanya, kerajaan mengambil langkah-langkah perlu bagi melindungi kumpulan berkenaan termasuk memulakan suntikan vaksin kepada golongan remaja antara umur 12 hingga 17 tahun.
“Daripada jumlah itu (400,000), 252,569 membabitkan murid sekolah dan 42,831 kes adalah kenak-kanak prasekolah. Malah lebih membimbangkan, sebanyak 62 kes kematian dicatatkan.
“Dalam hal ini, tanggungjawab kita bersama untuk terus memastikan anak-anak kita terhindar daripada Covid-19 dengan memastikan persekitaran yang selamat buat mereka, termasuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan perlindungan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena webinar anjuran Kementerian Kesihatan bertajuk, ‘Hidup Bersama-Sama Virus COVID-19: Kanak-Kanak dan Remaja’ secara dalam talian, hari ini.
Khairy berkata, ketika ini, lebih 30 peratus daripada keseluruhan 2.5 juta sasaran vaksinasi remaja sudah menerima dos pertama mereka.
“Walaupun vaksinasi memberikan perlindungan daripada kesan buruk Covid-19, tetapi ia belum cukup. Pembudayaan amalan normal baharu masih perlu terus dipraktikkan bagi memastikan kita dan anak-anak dapat menjauhkan diri daripada risiko jangkitan.
“Antara langkah yang perlu kita amal kepada anak-anak merangkumi pemakaian pelitup muka sepanjang masa, membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan fizikal.
“Selain itu, terapkan etika batuk dan bersin dengan betul. Tidak hadir ke sekolah jika bergejala atau mempunyai kontak positif. Memastikan pengudaraan yang baik di sekolah. Melaksanakan nyahcemar di sekolah serta melakukan saringan di pintu masuk sekolah,” katanya.
KERAJAAN membelanjakan RM314 juta untuk menguruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat 30 Ogos lalu.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba, perbelanjaan tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM1 bilion yang diperuntukkan bagi program imunisasi negara.
“Perbelanjaan tersebut meliputi kos pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV); pemantapan rangkaian integrasi data dan sistem proses pemberian vaksin; serta meningkatkan jumlah pendaftaran penerima vaksin di setiap kawasan Parlimen.
“Bagi kos pengoperasian, ia meliputi empat perkara iaitu perbelanjaan sewaan dan utiliti, perbelanjaan bagi pembersihan dan sanitasi, perbelanjaan bagi perkakasan dan alatan pakai habis serta perbelanjaan kebajikan petugas PPV.
“Kerajaan telah mempertimbangkan dua perkara penting iaitu saguhati sukarelawan dan anggota keselamatan yang bertugas serta perbelanjaan makan dan minum petugas,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) yang minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan lebih terperinci kos program vaksinasi yang telah dijalankan.
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas daging lembu wagyu bernilai RM35,981 dari Australia di kawasan Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Maqis Selangor menerusi kenyataan memberitahu, daging wagyu seberat 256.70 kilogram (kg) itu dikesan ketika pemeriksaan dijalankan pada jam 12 tengah hari.
Jelas Maqis Selangor, daging wagyu tersebut dirampas kerana tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.
“Kesalahan mengimport dagangan hasilan haiwan tanpa mempunyai permit import merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
“Maqis sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti, kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara kita,” demikian menurut kenyataan itu.
LIMA lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan keseluruhan 15 PPS terdapat di Kedah yang menempatkan 264 mangsa banjir daripada 99 keluarga setakat 8 pagi ini.
Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS itu melibatkan empat di daerah Baling manakala selebihnya di Sik.
“Empat PPS di Baling ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Surau Barakah Tembak B dan Kampung Padang Kupang manakala satu PPS lagi dibuka di SK Sik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata sebanyak 12 PPS beroperasi di Baling keseluruhannya yang menempatkan 235 mangsa daripada 89 keluarga manakala di Sik pula melibatkan 19 mangsa daripada empat keluarga yang ditempatkan di SK Gulau dan SK Sik.
“Jumlah mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 10 orang daripada enam keluarga yang berada di SK Bukit Tampoi,” katanya.
Lapan PPS lain yang masih aktif di Baling ialah SK Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung, Dewan Banggol Derom dan Maktab Mahmud Baling. – Bernama
KENAIKAN jumlah bayaran pencen bagi membantu pesara yang berhadapan masalah ekonomi ekoran COVID-19 perlu kajian yang lebih mendalam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.
Ini menurutnya, memandangkan tidak kira sama ada ketika pandemik atau tidak, setiap pesara kini menerima kenaikan bayaran pencen sebanyak dua peratus setiap tahun sejak 1 Jan 2013.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang mahu tahu sekiranya kerajaan akan menaikkan bayaran pencen bagi golongan B40 selaras kenaikan kos sara hidup dan ramai yang kehilangan sumber pendapatan di kala pandemik ini.
Abd. Latiff berkata, satu kajian kini sedang disiapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membantu pesara yang menerima bayaran pencen di bawah pendapatan garis kemiskinan yang kini ditetapkan pada kadar RM2,208 sebulan bagi menambah baik situasi ekonomi mereka.
“Ini satu perkara sedang difikirkan, JPA dah buat kajian dan akan dibentang kepada perdana menteri sebelum dibuat memorandum Jemaah Menteri,” katanya. – Bernama
SERAMAI 8,269 murid dan pelajar sekolah dijangkiti Covid-19 sepanjang sesi persekolahan bermula 20 Januari hingga 7 Mei lalu.
Perkara itu didedahkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidi menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
“Jumlah berkenaan membabitkan 4,086 murid sekolah rendah dan 4,173 pelajar sekolah menengah.
“Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa membuat perancangan teliti bagi memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya.