Author: Admin

  • ‘Banjir merah’ berpunca dari kilang tekstil

    ‘Banjir merah’ berpunca dari kilang tekstil

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ‘BANJIR merah’ yang menggemparkan penduduk dalam kejadian banjir kilat di Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi, Johor Bahru pagi ini dikenal pasti berpunca daripada pewarna pakaian dari sebuah kilang tekstil berdekatan.

    Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, kilang berkenaan sudah ditutup sejak 20 tahun lalu.

    “Sebaik mendapat aduan penduduk kira-kira jam 9 pagi tadi, sepasukan anggota JAS Johor dihantar ke kampung berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati punca banjir kilat di Kampung Seri Jaya Baru yang berwarna merah itu daripada sebuah kilang tekstil yang terletak kurang satu kilometer dari kampung itu yang tidak beroperasi sejak tahun 2000.

    “Namun hujan lebat sejak awal pagi Khamis menyebabkan dua bungkusan pewarna tekstil yang disimpan di kawasan tidak berbumbung telah pecah sebelum air banjir mengalirkannya ke kawasan kampung,” katanya ditemui ketika meninjau kilang tekstil berkenaan.

    Dalam kejadian pada jam 5 pagi ini, penduduk gempar dengan fenomena banjir merah yang dan itu pertama kali berlaku sebelum tular dalam media sosial.

    Menurut pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas yang memantu keadaan tersebut, air banjir kilat itu naik hingga ke paras satu meter sebelum surut kira-kira jam 8.30 pagi.

    Bomba melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir berwarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

    Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Famey berkata, JAS Johor mengeluarkan Notis Arahan Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya penjaga segera melupuskan baki pewarna tekstil itu dalam tempoh 14 hari.

    Tegasnya, pelupusan akhir perlu dilakukan di Stesen Kualiti Alam, di Bukit Nenas, Negeri Sembilan dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pemilik akan diheret ke mahkamah.

    “Sampel air banjir merah itu juga sudah diuji di mana ia mengandungi kepekatan nilai pH 6 iaitu hampir neutral dengan kesan toksik tidak terlalu tinggi seterusnya tidak berbahaya kepada penduduk,” katanya.

  • Kes bunuh Zulfarhan: nasib 18 penuntut UPNM diputuskan 2 November ini

    Kes bunuh Zulfarhan: nasib 18 penuntut UPNM diputuskan 2 November ini

    NASIB 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain empat tahun lepas, akan diketahui pada 2 November depan.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

    “Selepas mengambil kira kelapangan pihak-pihak, mahkamah menetapkan 2 November ini, pada 10 pagi untuk keputusan,” katanya.

    Kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Hazizah Kassim.

    Terdahulu, Kalmizah berhujah bahawa keterangan pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad, yang merupakan saksi pendakwaan keenam (SP6) mengenai punca kematian Zulfarhan, adalah konsisten dan tidak pernah bercanggah dengan sebab kematian yang lain.

    “SP6 mendapati kematian Zulfarhan adalah kesan luka bakar manakala menerusi laporan mikroskopi yang disediakan ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan yang merupakan saksi pembelaan ke-19 (SD19), mendapati terdapat ‘granulation tissue’ pada paru-paru si mati.

    “Jadi si mati mengalami radang paru-paru di antara 10 hingga 14 hari selepas jangkitan. Oleh itu, jangkitan berlaku sebelum atau pada hari kejadian manakala keterangan saksi pendakwaan ke-31 Dr Mohamad Azaini Ibrahim telah menyatakan ‘granulation tissue’ boleh dikesan pada minggu kedua selepas jangkitan iaitu tujuh hingga 14 hari,” katanya.

    Kalmizah juga berhujah, bekas pegawai perubatan UPNM Dr Harniza Kosnan (SP30) turut menyatakan Zulfarhan tidak pernah mengadu sesak nafas atau sakit jantung.

    Semalam, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili dua tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan Muhammad Azamuddin Mad Sofi berhujah bahawa terdapat percanggahan keterangan antara dua pakar perubatan mengenai punca kematian Zulfarhan.

    Sementara itu, Kalmizah turut berhujah kaedah yang digunakan oleh SP6 dalam menentukan sebab kematian Zulfarhan adalah wajar dan berpatutan.

    “SD19 bersetuju sebagai pakar yang melihat dan memeriksa atau melakukan autopsi ke atas jasad, SP6 yang dapat buat anggaran terdekat tentang peratus kebakaran sebab beliau melihat sendiri jasad itu,” katanya.

    Kalmizah juga berkata pihak pendakwaan menegaskan bahawa keterangan SD19 langsung tidak mematahkan dapatan SP6 seperti mana yang dihujahkan oleh Amer Hamzah.

    “Keterangan SD19 mengenai ujian mikroskopi ke atas Zulfarhan yang mendapati mangsa mempunyai masalah kesihatan antaranya otak berdarah, radang otak dan pernah mengalami sakit jantung, adalah tidak selari kerana Zulfarhan seorang yang aktif dalam aktiviti sukan lasak di UPNM.

    “Ini jelas menunjukkan keterangan SD19 terhadap ujian mikroskopi itu meragukan dan ia adalah satu yang ditokok tambah,” katanya.

    Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi dan Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 dan 5.45 pagi 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Mereka bersama dengan 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

    Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017. – Bernama

  • Parti komponen selesaikan isu pembahagian kerusi PRU-15

    Parti komponen selesaikan isu pembahagian kerusi PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI-PARTI komponen Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN yang diadakan petang tadi dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pembahagian kerusi tersebut melibatkan kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

    “Majlis Tertinggi Parti PN juga telah menetapkan majlis pelancaran rasmi parti PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November ini dan PN Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mesyuarat tersebut turut dihadiri parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas, Star Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.

    Muhyiddin berkata, mesyuarat itu turut membincangkan pelbagai isu melibatkan pentadbiran kerajaan, perancangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), pengurusan pandemik Covid-19, situasi ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-12 dan isu-isu yang berbangkit berkaitan politik semasa.

    Beliau yang juga Pengerusi MPN berkata, Majlis Tertinggi PN juga telah mencapai keputusan secara konsensus mengenai pendirian parti PN berkenaan beberapa isu.

    Katanya, ini melibatkan ketetapan pendirian parti untuk menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

    PN katanya, akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian PN dari masa ke semasa mengenai pelaksanaan MOU berkenaan.

    Saiful Adli Mohd. Arshad

    “Mesyuarat juga membuat keputusan untuk saya sebagai Pengerusi PN bagi menyampaikan pendirian yang telah diambil PN berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” ujarnya.

    Bekas Perdana Menteri berkata, turut dibincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan untuk menyantuni golongan muda selaras dengan pelaksanaan undi 18 tahun dan bersiap sedia dengan penambahan pengundi-pengundi muda dan baharu ini.

    Menurutnya, PN sentiasa menghormati dan komited mendokong hak generasi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini.

    Selain itu katanya, diputuskan juga Saiful Adli Mohd. Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa mulai esok.

    Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pernah beramal sebagai peguam selama 21 tahun sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Muhyiddin ketika Ahli Parlimen Pagoh menjadi Perdana Menteri.

  • Ekonomi Malaysia meningkat dengan lebih banyak negeri beralih fasa seterusnya dalam PPN – Perangkaan

    Ekonomi Malaysia meningkat dengan lebih banyak negeri beralih fasa seterusnya dalam PPN – Perangkaan

    EKONOMI Malaysia semakin meningkat dengan lebih banyak negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

    Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, strategi kesihatan dan langkah ekonomi yang berkesan bersama pengamalan norma baharu sangat penting kepada perniagaan untuk menjadi lebih berdaya tahan terutama dengan bermulanya lebih banyak aktiviti perniagaan dan waktu operasi yang lebih panjang.

    Beliau berkata, kelembapan aktiviti ekonomi utama negara dapat dilihat pada bulan Julai 2021, namun, ramalan ekonomi yang lebih positif dijangka berlaku menjelang akhir 2021.

    “Seterusnya, pemulihan ekonomi bukan sahaja akan kembali rancak pada akhir tahun 2021 tetapi juga akan mencorak masa depan yang lebih cerah bagi Malaysia pada tahun-tahun akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini bersempena dengan penerbitan terkini Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR).

    Mohd Uzir menyatakan indikator ekonomi terpilih mencatatkan peningkatan sederhana tahun ke tahun pada bulan Julai 2021 berikutan negara beralih ke fasa pertama PPN pada 15 Jun 2021.

    “Perdagangan Malaysia kekal dalam momentum positif pada bulan Julai 2021, walaupun pada kadar yang lebih perlahan 13.0 peratus. Eksport meningkat 5.0 peratus manakala import melonjak 24.0 peratus, menyebabkan kemerosotan dalam lebihan dagangan sebanyak 45.8 peratus.

    “Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 5.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya setelah mencatatkan pertumbuhan positif selama lapan bulan berturut-turut terutamanya disumbangkan oleh kejatuhan 6.5 peratus dalam indeks pembuatan,” kata beliau.

    Mohd Uzir menambah di sektor perkhidmatan, trajektori pertumbuhan terus menurun berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan di seluruh negara dengan nilai jualan perdagangan borong dan peruncitan jatuh 14.7 peratus kepada RM92.7 bilion pada Julai 2021.

    Daripada segi harga, Indeks Harga Pengguna meningkat 2.2 peratus terutamanya disumbangkan oleh kumpulan pengangkutan, kata beliau.

    “Indeks Harga Pengeluar tempatan pada bulan Julai 2021 meningkat 11.7 peratus didorong oleh lonjakan dalam indeks perlombongan berikutan kenaikan harga komoditi gas asli dan minyak mentah,” tambahnya.

    Mohd Uzir memaklumkan prestasi ekonomi negara yang tidak setara menunjukkan Malaysia masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

    “Indeks Pelopor (IP) merosot 4.0 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai 2021 untuk mencatatkan 105.0 mata, manakala berasaskan bulanan, IP menyusut 0.6 peratus.

    “Trend penurunan juga dicerminkan dalam kadar pertumbuhan IP terlicin sejak Mac 2021yang menjangkakan ketidakpastian terhadap prospek ekonomi,” kata beliau. – Bernama

  • Keputusan rayuan anak Mat Sabu sabitan kes dadah 27 Oktober ini

    Keputusan rayuan anak Mat Sabu sabitan kes dadah 27 Oktober ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 27 Oktober untuk keputusan rayuan anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana penyalahgunaan dadah.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 33, dan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah.

    Terdahulu, Nasar berhujah, dalam kes itu pihak polis hanya mengambil satu sampel urin anak guamnya dan proses pengambilan sampel tersebut tidak mengikut peraturan serta terdapat percanggahan antara keterangan saksi pendakwaan berhubung sampel itu.

    “Selain itu, terdapat kesilapan pada ekshibit botol sampel air kencing itu dan kepincangan dalam rantaian penguasaan sampel tersebut selain sampel disimpan terlalu lama sebelum diuji di makmal,” katanya.

    Izalina berhujah, prosedur pengambilan sebotol sampel urin ke atas perayu  (Ahmad Saiful Islam) adalah memadai dan teratur mengikut undang-undang.

    “Isu sampel urin dicemari tidak pernah dibangkitkan oleh pihak pembelaan kepada mana-mana saksi pendakwaan dan tiada pada bila-bila masa perayu membuat laporan polis yang mengatakan dia dianiaya berikutan proses pengambilan sampel urin yang konon tidak teratur.

    “Oleh itu, Majistret (Mohamad Aizat Abdul Rahim) tidak tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu dan tiada faktor menyebabkan Mahkamah Tinggi perlu ubah dapatan Majistret.

    “Pihak kami memohon rayuan perayu ditolak dan hukuman ke atasnya dikekalkan,” katanya.

    Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini, pada jam 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

    Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun sama yang mensabitkannya atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara lapan bulan.

    Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. – Bernama

  • Kanak-kanak 3 tahun kes positif pertama pelancong di Langkawi

    Kanak-kanak 3 tahun kes positif pertama pelancong di Langkawi

    SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi individu pertama disahkan positif Covid-19, membabitkan pelancong yang berkunjung ke Langkawi, selepas dibuka bagi projek rintis gelembung pelancongan, bermula 16 September lalu.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu bersama ibu dan bapanya tiba di Langkawi sekitar jam 7.30 malam, 24 September lalu.

    Mereka berkunjung ke Langkawi menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

    Saringan RTK-Antigen menggunakan air liur daripada ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit sebelum berlepas ke Langkawi adalah negatif.

    Kedua-dua mereka juga disahkan menerima vaksinasi lengkap, selain tidak dijangkiti atau menjadi kontak rapat kepada individu yang dijangkiti Covid-19 manakala kanak-kanak itu juga tidak mengalami sebarang gejala.

    Bagaimanapun, beliau memaklumkan kanak-kanak itu mula mengalami demam pada Sabtu dan dibawa mendapatkan rawatan pada Ahad sebelum disahkan positif Covid-19.

    Tambah Dr. Othman, siasatan lanjut mendapati, tiga orang saudara yang juga penduduk tempatan Langkawi telah menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak terbabit selain ibu dan ayahnya.

    Kelima-lima kontak rapat itu telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan hasil saringan mendapati kesemua mereka negatif dan diberikan arahan kuarantin selama 10 hari.

    Tambahnya, hasil siasatan juga mendapati terdapat kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak itu berlaku sebelum keluarganya melancong ke Pulau Langkawi.

    Setakat itu, kanak-kanak terbabit mengalami gejala ringan dan diletak di bawah pemantauan pasukan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Langkawi.

    JKN Kedah serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi juga akan terus memantau perkembangan kes jangkitan itu dan akan memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilakukan secara berterusan.

    Sehingga 30 September 2021, hanya satu kes positif dilaporkan membabitkan pelancong ke Langkawi dan tiada penularan dalam kalangan ahli keluarga atau penduduk tempatan berlaku.

  • Terus istiqamah menjuarai perpaduan

    Terus istiqamah menjuarai perpaduan

    Oleh DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

    Penyatuan umat atas nama Islam adalah cita-cita PAS. Kekuatan Islam di era pembinaan negara Islam Madinah di zaman Rasul (saw) dibina di atas kekuatan perpaduan ummah antara Aus dan Khazraj yang digabungkan dengan gelaran Ansar dengan Muhajirin daripada Mekah.

    Membina perpaduan ini penuh ranjau dan duri. Syaitan-syaitan pengadu domba berkeliaran keliling kelalang, bergayut di bawah jubah dan baju kebangsaan membisikkan agenda perpecahan.

    Kita semua sayangkan perpaduan umat ini kerana ia merupakan kunci kejayaan membina negara ini berasaskan panduan al-Quran dan al-Sunnah.

    Menghancurkan perpaduan sangat mudah. Ia tidak memerlukan kecerdikan. Namun, membinanya memerlukan kesungguhan, usaha, daya dan upaya yang besar serta pengorbanan jiwa dan perasaan.

    Para pendakwah perpaduan adalah doktor yang sedang merawat penyakit hati umat yang sedang berpecah. Bersabarlah dengan kerenah pesakit.

    Baca : Jika Zahid tidak mahu, Pas pun tak payahlah terhegeh-hegeh!

    Usah terpedaya dengan bisikan bahawa kita sudah kuat tidak memerlukan rakan untuk saling memperkuatkan. Ketamakan selalu menjadi punca kerugian besar penuh penyesalan di hari mendatang.

    Marilah kita terus bersabar menjuarai usaha perpaduan yang wajib pada syarak dan bukannya sunat ini.

    • Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali adalah Setiausaha Majlis Syura Pas
  • Geng Nicky: 14 individu dilepaskan tanpa dibebaskan

    Geng Nicky: 14 individu dilepaskan tanpa dibebaskan

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini melepas tanpa membebaskan 14 individu termasuk empat warganegara China serta dua adik kepada ahli perniagaan yang masih diburu, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee daripada tuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’.

    Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky adalah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon, manakala tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue, yang berusia awal 20-an hingga 56 tahun.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada media bahawa Hakim Datuk Abd Halim Aman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon agar kesemua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan kerana pendakwaan berhasrat untuk meneruskan pertuduhan pada masa akan datang.

    Beliau berkata, hakim itu memutuskan berdasarkan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa mendakwa, tidak mendakwa dan menarik semula pendakwaan adalah berkait dengan kuasa pihak pendakwa raya.

    Muhamad Iskandar berkata, siasatan awal yang dijalankan pendakwaan tidak lengkap dan pihak peguam juga telah menghantar representasi berhubung pertuduhan itu kepada Jabatan Peguam Negara.

    “Peguam Negara telah meneliti representasi tersebut dan bersetuju untuk menarik balik kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu.

    Media tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah sepanjang prosiding kes itu berlangsung.

    Peguam Datuk Rajpal Singh memohon agar kesemua anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan itu memandangkan mereka telah ditangkap antara 18 hingga 21 Mac lepas dan ditahan selama 21 hari mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

    Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 29 Mac 2021 mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Rakyat akan nilai prestasi menteri:PM

    Rakyat akan nilai prestasi menteri:PM

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli jemaah menteri diarahkan untuk mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 kepada rakyat

    Menurut Perdana Menteri, ini bertujuan bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

    Beliau berkata, kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi tersebut untuk setiap ahli jemaah menteri sebagai keutamaan tertinggi bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

    Jelas Ismail Sabri, pada 24 dan 29 September lalu, beliau telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 ahli jemaah menteri untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan.

    “Prestasi setiap ahli jemaah menteri akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu penilaian prestasi kementerian dan jabatan, penilaian kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif serta penilaian persepsi awam terhadap ahli jemaah menteri dan kementerian dan jabatan di bawah tanggungjawab mereka.

    “Ini adalah selaras dengan keputusan yang dibuat pada 10 September lalu agar ahli jemaah menteri membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi masing-masing bagi 100 hari pertama pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Ujar beliau, pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam teras utama iaitu menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial.

    Selain itu, mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia serta memperkasa penyampaian perkhidmatan.

    Ismail Sabri menambah, Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai penyelaras bersama bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh ahli jemaah menteri dapat dijayakan dengan cemerlang.

  • Najib arah supaya tidak masuk isu sensitif babitkan Jho Low dalam laporan audit – Saksi

    Najib arah supaya tidak masuk isu sensitif babitkan Jho Low dalam laporan audit – Saksi

    BEKAS Ketua Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri itu mengarahkannya supaya tidak memasukkan isu sensitif membabitkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agar ia tidak dijadikan ‘isu’ oleh pembangkang.

    Tan Sri Shukry Mohd. Salleh, 67, berkata, arahan itu dikeluarkan ketika beliau berjumpa Najib di pejabatnya, dua hari selepas mesyuarat membabitkan laporan audit diadakan di pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa, pada 24 Feb 2016.

    “Pada 26 Feb 2016, saya telah berjumpa dengan Najib di pejabatnya dan Najib mengarahkan saya lebih kurang begini, ‘Shukry, you cakap dekat audit supaya isu-isu sensitif dan tak relevan termasuklah Jho Low dalam 1MDB tak dimasukkan dalam laporan. Nanti perkara ini dapat dekat pembangkang, boleh dijadikan isu’,” katanya.

    Shukry yang telah bersara, berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.

    Menurut saksi pendakwaan ke-11 itu, beliau kemudiannya menghubungi Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, yang ketika itu bekas Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara (JAN) dan menyampaikan arahan Najib.
     
    Shukry berkata, pada 23 Feb 2016, beliau bersama Tan Sri Ambrin Buang, yang ketika itu Ketua Audit Negara telah berjumpa dengan Ali di pejabatnya dan semasa perjumpaan itu, mereka dimaklumkan oleh Ali bahawa satu mesyuarat akan diadakan pada 24 Feb 2016 dan telah menjemput wakil-wakil daripada JAN, 1MDB, Perbendaharaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “Dalam perjumpaan itu, saya telah memaklumkan kepada Tan Sri Ali dan Tan Sri Ambrin bahawa isu 1MDB telah menjadi satu krisis yang perlu ditangani dengan segera. Apa yang saya maksudkan dengan ‘krisis yang perlu ditangani dengan segera’ ialah isu 1MDB telah menjadi tumpuan semua pihak di dalam dan di luar negara.

    “Sebelum berjumpa dengan Tan Sri Ambrin, saya dan Tan Sri Ali ada berjumpa dengan Arul Kanda secara berasingan yang Arul Kanda telah menerangkan kepada Tan Sri Ali berkaitan isu-isu kewangan 1MDB,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli.

    Shukry yang menamatkan kontrak sebagai Ketua Setiausaha Sulit Najib pada 30 Sept 2016 berkata beliau telah menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ali di pejabatnya pada 24 Feb 2016 dan kehadirannya ke mesyuarat itu telah mendapat persetujuan daripada Najib.

    “Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Arul Kanda, wakil JAN iaitu Ambrin dan Saadatul Nafisah, wakil Perbendaharaan iaitu Datuk Seri Mohmad Isa Hussain dan Asri Hamidin@ Hamidon, wakil AGC Datuk Dzulkifli Ahmad dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Ali, Datuk Norazman Ayob.

    “Dalam mesyuarat itu, KSN (Ali) telah memaklumkan bahawa tujuan mesyuarat diadakan untuk menyelaras beberapa perkara yang Najib tidak berpuas hati yang terdapat dalam laporan audit 1MDB,” katanya dan menambah mesyuarat itu  turut membincangkan mengenai dua versi berbeza penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2014.

    Shukry berkata beliau ada menyatakan bahawa perkara itu boleh mendatangkan impak kepada keyakinan pihak luar terhadap negara sekiranya sesebuah syarikat besar di bawah kerajaan seperti 1MDB boleh dimanipulasi, ia boleh memberi implikasi kepada sentimen pelaburan.

    “Dalam mesyuarat itu, KSN telah mengarahkan Mohmad Isa membuat laporan polis berkenaan dua versi berbeza penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2014 supaya siasatan dapat dilaksanakan dan hasil daripada mesyuarat itu, Tan Sri Ambrin bersetuju untuk mengeluarkan perkara tersebut daripada Laporan Pengauditan 1MDB,” katanya.

    Menurut Shukry, beliau turut membangkitkan isu berkenaan penangguhan terbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN)  dan Najib juga  tidak memaklumkan kepada Jemaah Menteri berkenaan penangguhan tersebut semasa Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM).

    IMTN adalah membabitkan Terengganu Investment Authority (TIA). TIA dinamakan sebagai 1MDB pada 2009.

    Saksi itu juga berkata ayat yang digunakan dalam laporan audit itu menunjukkan seolah-olah Najib sedang menyembunyikan sesuatu dan pada ketika itu, beliau hanya melontarkan persoalan sama ada Najib berkewajipan mengikut undang-undang dan peraturan untuk memaklumkan kepada MJM berkenaan hal tersebut.
     
    “Mesyuarat bersetuju untuk menggugurkan perkara itu setelah mendapat pandangan perundangan daripada wakil AGC, Dzulkifli,” katanya.

    Sementara itu, ketika disoal Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sama ada saksi berkenaan mengetahui kaitan antara Najib dan 1MDB, Shukry menjawab: Saya hanya tahu beliau (Najib) sebagai pengerusi.

    Selepas saksi itu selesai membacakan pernyataan saksi, rakaman audio mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB pada 24 Feb 2016, berdurasi dua jam 45 minit itu diperdengarkan semula di mahkamah dan Shukry mengesahkan hadir pada mesyuarat berkenaan berdasarkan rakaman audio itu dan  suara dalam rakaman audio itu adalah miliknya.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 20 Okt ini. – Bernama