Author: Admin

  • PN tak sokong Ahmad jadi Timbalan Speaker walau dibebas mahkamah

    PN tak sokong Ahmad jadi Timbalan Speaker walau dibebas mahkamah

    ENAM parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak menyokong rancangan UMNO mencalonkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat walaupun ahli Parlimen Pontian itu dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram baru-baru ini, lapor MalaysiaNow.

    PN juga turut membantah cadangan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Speaker ketiga bagi menempatkan seorang ahli Parlimen daripada pembangkang.

    Keputusan itu dicapai ketika mesyuarat kepimpinan tertinggi gabungan tersebut yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

    Seorang sumber yang mengetahui tentang mesyuarat malam tadi berkata, keputusan untuk tidak menyokong Ahmad adalah sesuai dengan prinsip PN untuk tidak akan menyokong mana-mana pemimpin yang terpalit kes jenayah untuk memegang jawatan kanan dalam kerajaan.

    “Hakikatnya, Ahmad Maslan dibebaskan kerana dia bayar kompaun,” kata sumber itu.

    Ahmad, yang merupakan salah seorang penyokong kuat usaha bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menggulingkan kerajaan pimpinan PN pada Ogos lalu membayar kompaun bernilai RM1.1 juta yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana agensi anti rasuah itu berkata ia adalah satu bentuk pemulangan aset.

    Berikutan pembayaran kompaun tersebut, pihak pendakwaan menarik semula dua pertuduhan termasuk pengubahan wang haram kerana tidak mengisytiharkan dana yang diterimanya, dan memberikan pernyataan palsu kepada SPRM.

    SPRM menamakan Ahmad sebagai salah seorang dari 80 entiti dan individu yang telah menerima wang berkaitan 1MDB.

    Ahmad juga merupakan salah seorang sekutu Najib yang dalam kumpulan yang digelar sebagai ‘kluster mahkamah’ kerana berdepan pertuduhan rasuah dan jenayah.

    Susulan peletakan jawatan oleh Muhyiddin pada Ogos lalu, beliau memberikan sokongan PN kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikan beliau sebagai perdana menteri secara bersyarat antara lain menyatakan keanggotaan Kabinet tidak boleh dilantik daripada mereka yang menghadapi pertuduhan jenayah di mahkamah.

    BACA JUGA : Ahmad Maslan bebas…tapi peluang jadi Timbalan Speaker tetap ‘gelap’?

    Sumber itu berkata, walaupun pendirian PN untuk tidak menyokong Ahmad mungkin tidak memberi kesan dalam pelantikan jawatan Timbalan Speaker, ia bagaimanapun ‘sejajar dengan semangat prinsip tiada kluster mahkamah’.

    Salah satu dari dua jawatan Timbalan Speaker kini tidak terisi sejak peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said daripada UMNO yang juga merupakan salah seorag ahli Parlimen lain yang menjadi sekutu Najib dalam menjatuhkan kerajaan diketuai Muhyiddin.

    Mengikut ketetapan semasa, kekosongan itu akan diisi oleh seorang ahli Parlimen kerajaan, walaupun ahli Parlimen pembangkang dijangka akan menyokong ahli Parlimen Teluk Intan dari DAP, Nga Kor Ming yang sedang mengintai untuk dapat kembali memegang jawatan yang pernah disandangnya sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan.

    Bulan lalu, Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jawatan Timbalan Speaker ketiga boleh dibuat bagi mengisi seorang ahli Parlimen pembangkang.

    Pengumuman itu mencetuskan spekulasi Ahmad akan dipilih ke jawatan tersebut di mana UMNO dijangka akan mendapat sokongan semua ahli Parlimen kerajaan.

  • ‘Perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktu’ – KM Melaka

    ‘Perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktu’ – KM Melaka

    KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menganggap spekulasi kononnya bakal berlaku perubahan pada corak pimpinan di negeri itu ketika ini, hanya perkara biasa dalam dunia politik.

    Katanya, tiada yang akan kekal dalam landskap politik negara yang mana perubahan pasti akan berlaku samada cepat atau lambat.

    “Maaf, saya enggan ulas mengenai desas-desus perubahaan kerajaan Negeri ketika ini.

    “Bagi saya, ini perkara biasa dalam dunia politik, perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktunya nanti,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani, hari ini

    Terdahulu, media melaporkan, spekulasi kini bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.

    Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan difahamkan, keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD).

    Empat wakil rakyat yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

    Untuk rekod kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.

    Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.

  • Polis kepung kawasan, tahan 20 individu terlibat rusuhan depan tokong

    Polis kepung kawasan, tahan 20 individu terlibat rusuhan depan tokong

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan 20 individu termasuk enam wanita semalam dan kelmarin dipercayai terlibat rusuhan depan tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, pihaknya menahan semua suspek terbabit rusuhan itu, susulan penahanan individu berusia antara 18 hingga 84 tahun berkenaan.

    “Ini menjadikan keseluruhan tangkapan kepada 24 orang selepas empat lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan pada hari kejadian dan direman dua hari berakhir semalam.

    “Pada jam 1.30 pagi semalam, kita mengepung kawasan kejadian untuk membuat tangkapan. Pihak tokong menyerah diri dan menyerahkan surat permohonan maaf kepada polis. Berikutan itu, kita menahan 12 lelaki dan enam wanita.

    “Kita juga menahan dua lelaki pada jam 8.30 malam kelmarin bagi membantu siasatan. Daripada semua tahanan hari ini dan semalam, dua sudah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor usia.

    “Permohonan reman dibuat ke atas baki 18 suspek dan hanya 10 direman sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, kertas siasatan yang lengkap sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 148, 186 dan 353 Kanun Keseksaan.

    Katanya, turut dicadangkan pertuduhan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, berikutan suspek melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di tempat awam.

    “Polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian itu, susulan dakwaan satu video tular dalam media sosial.

    “Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran serta menggugat ketenteraman awam,” katanya.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, kira-kira 30 individu dikatakan membantah tindakan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur mahu mewujudkan laluan ke kawasan pembinaan sebuah sekolah berhampiran tokong terbabit.

    Muhammad Idzam dipetik berkata, satu operasi dijalankan PTG Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang, bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah dan bukan meroboh binaan.

    Dalam operasi itu, pasukan dari IPD Cheras hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi.

    Semasa operasi dijalankan, terdapat sekumpulan lelaki dan wanita membawa kayu dan besi membantah tindakan itu.

    Kumpulan ini menghalang dan merosakkan jentolak, selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

  • Agong terima menghadap panglima angkatan tentera UK

    Agong terima menghadap panglima angkatan tentera UK

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom (UK), Jeneral Sir Nicholas Patrick Carter, di London, kelmarin.

    Istana Negara menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Nicholas berkongsi pengalaman masing-masing sebagai Pegawai Kadet di Royal Military Academy Sandhurst, UK dalam pertemuan selama 45 minit itu.

    Al-Sultan Abdullah pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi itu dari 1978 hingga 1979.

    Selain itu, Seri Paduka dan Nicholas turut menyentuh hubungan dua hala pertahanan di antara Malaysia dan UK, serta peningkatan kerjasama berterusan di antara kedua-dua negara dalam aspek latihan dan pertahanan.

    “Antara isu-isu semasa lain yang disentuh pada sesi menghadap termasuk pandemik COVID-19, kemanusiaan, industri pertahanan, keselamatan serantau dan perkembangan terkini di Afghanistan,” menurut perkongsian itu.

    Perkongsian itu juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan dan menzahirkan hasrat Malaysia menganugerahkan Pingat Panglima Gagah Angkatan Tentera kepada Nicholas.

    Penganugerahan yang akan dikendalikan Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat bagi menghargai peranan Nicholas yang dijadual bersara pada Disember depan, dalam meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang pertahanan.

    Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Zakri Jaafar, Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia Charles Hay, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Penasihat Pertahanan Brigadier Jeneral Safwan @ Asri Ismail dan Ketua Staf kepada Panglima Angkatan Tentera UK, Laksamana Anthony Rimington.

    Semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menghadiri majlis perjumpaan semula bersama rakan sepasukan semasa di Royal Military Academy Sandhurst di London.

    Pada majlis itu, Seri Paduka meluangkan masa menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbas kenangan manis masing-masing semasa berkhidmat sebagai pegawai kadet di akademi berkenaan, lebih 40 tahun lalu. – Bernama

  • Erwan bukan lagi Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya semasa masuk UMNO

    Erwan bukan lagi Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya semasa masuk UMNO

    Bersatu Putrajaya menafikan Erwan Mohd. Tahir masih memegang jawatan ketua bahagian itu semasa mengumumkan keluar parti untuk kembali ke pangkuan UMNO hari ini.

    Dalam kenyataan, Bersatu Putrajaya berkata, Erwan meletakkan jawatan dengan disaksikan AJK bahagian dan ketua cawangan pada 10 Okt 2020 selepas tewas dalam pemilihan bagi berebut jawatan naib presiden.

    “Sepanjang tempoh kekosongan jawatan tersebut, Timbalan Ketua Bahagian, Fathul Azam Hashim telah memangku sekali gus menyandang jawatan Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya,” menurut kenyataan itu, lapor portal Free Malaysia Today (FMT).

    Katanya, Bersatu Putrajaya tidak terkesan dengan tindakan Erwan kerana parti itu kini semakin mendapat sambutan keahlian daripada warga Putrajaya.

    “Bersatu Putrajaya juga berjaya menubuhkan sembilan cawangan baharu dengan keahlian sebanyak 1,030 ahli dan giat menyantuni penduduk Putrajaya dengan pelbagai program dan bantuan,” katanya.

    Terdahulu, Erwan mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta dan kembali menyertai UMNO.

    Katanya, keputusan itu diambil selepas melihat bahawa hanya UMNO berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi semasa bermulanya pandemik Covid-19.

  • Kerjasama KeTSA-TNB pacu peralihan sumber tenaga

    Kerjasama KeTSA-TNB pacu peralihan sumber tenaga

    KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedia bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memacu peralihan sumber tenaga di Malaysia.

    Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, komitmen itu tepat pada masanya berikutan TNB sedang dalam rundingan dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memuktamadkan cadangan Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

    “Cadangan ini untuk dilaksanakan mulai tahun depan. Saya amat bangga dan cukup berpuas hati dengan penerangan serta penjelasan ke hadapan (way forward) yang telah disampaikan kepada saya.

    “Kita boleh menilai betapa besarnya sumbangan industri tenaga ini kepada kehidupan rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan kerjanya yang pertama di Ibu Pejabat TNB di Bangsar.

    Tempoh tiga tahun RP3 dijadualkan bermula pada 1 Januari 2022 susulan tempoh RP2 dilanjutkan setahun sehingga 31 Disember ini berikutan pandemik Covid-19.

    KeTSA sedia bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memacu peralihan sumber tenaga di Malaysia

    Pelaksanaan RP3 dijangka membolehkan TNB mengukuhkan peranan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk dari aspek kajian tarif dan pelaburan modal bagi tempoh tiga tahun akan datang, seiring untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

    Dalam pada itu, Takiyuddin turut menyifatkan TNB sebagai jantung negara dalam industri tenaga dengan memberi jaminan untuk bersama-sama dengan TNB mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan kehendak industri, selain menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

    “Justeru, saya akan sentiasa berusaha untuk memastikan keseimbangan ini. Saya akan bersama-sama dengan kepimpinan TNB mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan antara kedua-dua tanggungjawab ini,” katanya.

    Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB adalah antara agensi yang menggerakkan kemajuan negara, malah berpotensi menjadi pelopor kepada pembangunan ekonomi baharu negara.

    Sepanjang pandemik, beliau berkata, TNB telah membantu kerajaan dengan pemberian diskaun bil elektrik berjumlah RM313 juta untuk tahun 2020 dan 2021 kepada rakyat, selain bantuan menerusi pelbagai inisiatif lain seperti program Bakul Prihatin Negara bernilai RM2 juta.

  • PRU-15: Bersatu sedia tanding 4 penjuru termasuk lawan UMNO

    PRU-15: Bersatu sedia tanding 4 penjuru termasuk lawan UMNO

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia melawan UMNO sekiranya parti itu tidak mahu bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, sebelum itu PN akan melakukan perbincangan dengan UMNO untuk mempelawa parti itu bergabung dalam PRU-15.

    Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, pelawaan itu adalah bagi memastikan semua parti Melayu dapat bergabung dan kepimpinan Melayu dapat terus dikekalkan sekiranya PN memang PRU-15.

    “UMNO tidak pernah ada dalam PN. PN ditubuhkan dengan penaja awal iaitu Bersatu, Pas dan parti-parti kecil lain. UMNO tidak pernah ada dalam PN, jadi kita sarankan kerjasama untuk gabungan parti yang berasaskan kepimpinan dan perjuangan Melayu.

    “Ini untuk kita hadapi PRU dan menang dengan lebih besar. Ini bagi melestarikan kepimpinan Melayu itu sendiri, kalau kita berpecah, PN, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bersama-sama, nanti tiada parti yang majoriti untuk bentuk kerajaan pada PRU-15.

    “Jadi kena ada gabungan tetapi terpulang (kepada UMNO mahu sertai gabungan PN dalam PRU-15),” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Memorandum persefahaman (MoU) antara Syarikat Sersol Energy Sdn Bhd, Aeroleum Sdn Bhd dan Silicon Designs (M) Sdn Bhd di Menara MSC Cyberport, Johor Bahru, hari ini.

    Mohd Redzuan (dua kiri) menyaksikan penyerahan dokumen selepas majlis MoU antara Syarikat Sersol Energy Sdn Bhd, Aeroleum Sdn Bhd dan Silicon Designs (M) Sdn Bhd di Menara MSC Cyberport, Johor Bahru, hari ini

    Mohd. Redzuan mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN semalam yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan berlangsung tanpa kehadiran wakil UMNO.

    Dalam mesyuarat tersebut, parti-parti komponen PN telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15 melibatkan kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

    Mesyuarat tersebut dihadiri parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas, Star Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.

    Mengenai MPT Bersatu yang melantik Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu pertama parti itu, beliau berkata, itu merupakan satu perubahan dalam BERSATU yang akan menjadi parti berbilang kaum.

    “Persaingan kita selepas ini mungkin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ‘multi racial’. Ada juga kebaikannya orang-orang bukan Melayu mungkin tertarik sertai Bersatu jika mereka rasa PKR tidak boleh memimpin mereka,” katanya.

  • 33 mati akibat keracunan metanol – Dr. Noor Hisham

    33 mati akibat keracunan metanol – Dr. Noor Hisham

    Sebanyak 33 kematian daripada 55 kes keracunan metanol dilaporkan bagi tempoh 9 hingga 30 September lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

    Menurut beliau, daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 18 kes atau 55 peratus melibatkan warganegara Malaysia.

    “Sementara 15 kes lagi membabitkan warga asing iaitu Myanmar (tujuh), India (lima) dan Nepal (tiga).

    “Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 25 kes keracunan metanol di Selangor, Perak (13), Pulau Pinang (enam), Pahang (lima), Kuala Lumpur (empat), Johor (satu) dan Negeri Sembilan (satu),” katanya, hari ini.

  • Mampukah kerajaan UMNO Melaka bertahan?

    Mampukah kerajaan UMNO Melaka bertahan?

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEDUDUKAN kerajaan negeri Melaka yang kini diterajui UMNO menimbulkan tanda tanya selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada parti itu dikatakan akan menarik sokongan.

    Bagaimanapun, difahamkan ‘gerakan’ berkenaan tidak boleh diteruskan buat masa ini berikutan beberapa halangan tertentu termasuk tentangan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) sendiri sekiranya mereka dapat membentuk kerajaan baharu.

    Daripada empat nama yang disebut-sebut, dua daripada mereka merupakan ADUN UMNO.

    Akhbar Sin Chew melaporkan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron antara yang kuat menyokong kerjasama dengan pembangkang.

    Pemimpin lain yang turut disebut bersama ADUN Sungai Udang itu ialah, ADUN Pantai Kundor dari UMNO, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad serta ADUN Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Namun, Norhizam yang mewakili kerusi Pangkalan Batu menafikan dakwaan tersebut ketika dihubungi Astro AWANI petang ini.

    “Setakat 4.35 petang ini tidak ada apa-apa pun yang bergoyang, semuanya masih berjalan seperti biasa.

    “Ada yang kata saya nak masuk sana sini, apa punya cakap itu? Semua boleh cakap. Biarlah orang bercakap, terpulanglah mulut masing-masing.

    “Semua nampak saya dah bergaduh dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, takkan saya nak bergaduh lagi ? Saya selalu turun padang, mungkin mereka sakit hati nampak saya buat kerja dengan tenang sekarang ni,” katanya.

    Pada masa ini, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mempunyai 17 kerusi DUN, manakala pembangkang pula 11. Jika empat ADUN tersebut beralih arah, ia bermakna PH akan mempunyai majoriti 15 kerusi untuk kembali memerintah.

    Sebelum ini, PH yang memerintah Melaka sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terpaksa melepaskan tampuk kepimpinan selepas empat ADUN termasuk dari Bersatu iaitu Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyokong UMNO.

    Seorang lagi yang mengikut jejak mereka ketika itu ialah Noor Effandi sebelum Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka yang disandang ketika itu membuat pengumuman memberi sokongan kepada gabungan kerajaan negeri baru.

    Bagaimanapun, Norhizam kekal menjadi ADUN Bebas sehingga kini, manakala Muhammad Jailani yang sebelum itu berada dalam PKR menyertai UMNO pada Januari lalu.

    Dalam pada itu, difahamkan terdapat usaha pihak tertentu yang memohon untuk bertemu dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, namun tiada maklumat lanjut diperolehi setakat ini.

  • 2,000 peluang pekerjaan melalui projek tanaman lada hitam di Terengganu

    2,000 peluang pekerjaan melalui projek tanaman lada hitam di Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN Terengganu menyasarkan 2,000 peluang pekerjaan baharu bakal wujud dengan penyertaan syarikat antarabangsa,MC Cormick yang bersetuju melabur sebanyak RM320 juta bagi mengusahakan projek tanaman lada hitam secara komersial tidak lama lagi.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim projek mega tersebut akan dibangunkan di kawasan Rhu Tapai, Setiu.

    Menurut beliau, bagi menjayakan projek itu, kerajaan negeri telah meluluskan tanah seluas 600 hektar untuk dijadikan ladang disamping mendirikan sebuah kilang pemprosesan tanaman lada hitam.

    “Apabila projek ini berjaya direalisasikan kelak, kita yakin kawasan Rhu Tapai bakal bertukar menjadi sebagai ‘Pekan Lada Hitam’,” katanya kepada media di Kuala Terengganu hari ini.

    Dr Azman memberitahu, selain itu projek itu juga merupakan sebagai percubaan pertama diusahakan di atas tanah beris di negara ini.

    Menurut beliau, kelulusan tanah diberikan bagi projek itu setelah ia melalui tempoh percubaan melalui kaedah ‘Proof Of Concept (POC) di mana ia terbukti boleh ditanam di atas tanah jenis beris.

    “Projek ini akan melibatkan komuniti setempat, bukan setakat kita ingin meraikan pelabur, tetapi apa yang penting ialah pertukaran teknologi dibawa syarikat tersebut dapat dikongsi bersama rakyat, sekaligus sosioekonomi masyarakat setempat boleh dioptimumkan,” ujar beliau.

    Berdasarkan perancangan awal ujarnya, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat berkenaan dengan kerajaan negeri sepatutnya diadakan lada bulan ini, namun disebabkan situasi pandemik Covid-19 kemungkinan ia mengalami sedikit kelewatan.

    Beliau memberitahu, Mc Cormick merupakan sebuah syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Amerika Syarikat dan beroperasi mebihi 20 buah negara.