Author: Admin

  • PDRM kaji menyeluruh isu anggota polis asnaf

    PDRM kaji menyeluruh isu anggota polis asnaf

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan kajian secara menyeluruh berhubung isu anggota polis asnaf khususnya membabitkan anggota polis yang bergaji kecil.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, akan mencari kaedah terbaik untuk menjaga kebajikan anggota polis yang dibelunggu keberhutangan tinggi ini.

    “Anggota asnaf selalunya terlibat dengan keberhutangan tinggi. Sebagai contoh, anak hendak sambung belajar atau ada musibah menimpa diri, mereka akan berhutang.

    “Jadi, bila berhutang, gaji mereka akan jadi kecil dan sebab itu kita kena lihat daripada segi kebajikan mereka. Tugas polis ini mempunyai kuasa dan untuk itu kita tak mahu mereka ini melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

    “Jika untuk pesara polis kita ada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP), kita akan tengok dari wang kebajikan yang lain (untuk membantu anggota asnaf,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Mazlan berkata, PDRM sedang mendapatkan jumlah sebenar berapa ramai anggota polis yang berdepan dengan isu tersebut.

    “Kita kena perhalusi kerana ada yang berhutang tidak sepatutnya seperti membeli kereta besar. Hasil dapatan kajian itu, kita dapat beri pada yang benar-benar memerlukan,” katanya.

    Pada program tersebut, seramai 20 pesara polis di negeri ini menerima sumbangan asnaf pesara PDRM bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

    Mazlan memberitahu, bantuan secara one-off itu merangkumi bantuan pengurusan jenazah sebanyak RM1,500, bantuan pergerakan (maksimum RM1,000), bantuan perubatan (maksimum RM5,000), bantuan pendidikan (RM3,000) dan bantuan bencana alam (maksimum RM10,000).

    Sejak Januari hingga Mei lalu, seramai 887 penerima mendapat manfaat bantuan sumbangan TAWP berjumlah RM1.59 juta.

  • PPV AstraZeneca ditutup, janji temu disusun semula

    PPV AstraZeneca ditutup, janji temu disusun semula

    INDIVIDU yang terlepas pemberian vaksin dos kedua AstraZeneca bakal dijadualkan semula menerusi aplikasi MySejahtera, selepas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang mengendalikan pengagihan vaksin itu ditutup, mulai esok.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam satu kenyataan memberitahu, semua PPV AstraZeneca di Lembah Klang akan ditutup mulai esok.

    “Janji temu untuk individu yang terlepas dos kedua akan dijadualkan semula melalui MySejahtera. #LindungDiriLindungSemua,” katanya dalam laman Twitter, hari ini.

    JKJAV sebelum ini berkata, penerima vaksin AstraZeneca di Lembah Klang yang terlepas janji temu dos kedua dibenarkan ‘walk-in’ ke PPV sama ketika dos pertama dan perlu diambil sebelum 4 September.

    Pada 24 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut memaklumkan sela masa dos kedua vaksin AstraZeneca akan dipendekkan dari sembilan minggu kepada enam minggu bermula 1 Oktober ini.

  • Pergolakan politik rencat pemulihan pelancongan Melaka

    Pergolakan politik rencat pemulihan pelancongan Melaka

    PERGOLAKAN politik di Melaka ketika ini selepas wujud dakwaan kerajaan negeri akan bertukar tangan kepada Pakatan Harapan (PH) hanya akan merencatkan proses pemulihan sektor pelancongan.

    Menerut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, perkembangan itu bukan hanya merugikan kerajaan negeri dan rakyat malah turut menimbulkan keraguan kepada pelabur.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, kerajaan ketika ini sedang pulihkan ekonomi selain menjaga kebajikan dan kesihatan mereka serta kepentingan keupayaan rakyat untuk menjana semula ekonomi.

    “Jadi apabila berlaku cubaan yang lebih kepada kepentingan peribadi individu tertentu ini bukan sahaja merugikan rakyat dan negeri, malah menimbulkan keraguan kepada pelabur dan sebagainya.

    “Tetapi apa yang hendak saya nyatakan, percaya dan yakinlah, kerajaan Melaka stabil,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Muhammad Jailani pada masa sama tidak menafikan sememangnya wujud gerakan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

    Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah itu berkata, bagaimanapun itu bukan sesuatu yang baharu dan cubaan tersebut tidak pernah membuahkan hasil kerana tiada matlamat yang jelas.

    “Kita mempunyai bukti-bukti tertentu ada percubaan untuk merosakkan keharmonian kerajaan negeri, tetapi percubaan macam ini bukan suatu isu yang baharu, malah daripada terbentuknya gabungan wakil rakyat negeri Melaka ini, sejak Mac tahun lalu lagi.

    “Mereka cuma boleh mencuba tetapi saya nampak cubaan itu tidak berasas. Ia lebih kepada kepentingan individu tertentu, tiada matlamat yang jelas kerana kerajan sedia ada menjalankan tugas dengan baik. Jadi tidak ada alasan untuk mengubah sebuah kerajaan yang bagus,” tegasnya.

    Kemelut politik Melaka mula hangat selepas wujud dakwaan sekurang-kurangnya empat ADUN kerajaan akan ‘melompat’ menyertai PH dan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).

  • Jumlah positif Covid-19 hari ini catat 9,066 kes

    Jumlah positif Covid-19 hari ini catat 9,066 kes

    MALAYSIA mencatatkan 9,066 kes baharu positif Covid-19 hari ini, menurun berbanding 10,915 semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 2,277,565 kes.

    Jelasnya, lima negeri catat kes tertinggi iaitu Sarawak (1,418) diikuti Selangor (1,000), Johor (981), Kelantan (796) dan Sabah (767).

  • ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob keluar Warisan

    ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob keluar Warisan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob difahamkan keluar meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan).

    Menurut pegawai medianya, Mazlan Sanoh, Yusof yang juga Ketua Penerangan Warisan mengambil keputusan itu dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan.

    Mazlan berkata, beliau dijangka akan mengumumkan secara rasmi pada minggu hadapan mengenai perkara itu.

    “Ya, tadi (keluar parti). Minggu hadapan beliau akan umum,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.

    Menurut Mazlan lagi, Yusof mengambil keputusan itu demi rakyat dan mahu membantu rakyat di kawasannya.

    “Datuk mahu bantu orang di kawasannya saja. Jadi, baik beliau jadi bebas dan sokong kerajaan yang ada.

    “Sekurang-kurangnya beliau boleh bersuara,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, Yusof mewakili Warisan berjaya menewaskan lima calon lain dengan jumlah undi sebanyak 5,415.

    Beliau yang juga Ketua Bahagian Warisan Sipitang adalah antara pemimpin terawal dalam parti itu.

  • Takwim sesi persekolahan 2022 tetap bermula Mac-Radzi

    Takwim sesi persekolahan 2022 tetap bermula Mac-Radzi

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SESI penggal persekolahan 2022 masih ditetapkan bermula pada Mac tahun depan, tegas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

    Malah menurut Radzi, ketetapan dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melanjutkan sesi persekolahan 2021 sehingga Januari dan Februari tahun depan adalah berdasarkan perbincangan dan penelitian secara mendalam.

    Katanya, perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak termasuk guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa negeri, pengetua dan juga guru besar.

    Selain itu katanya, perbincangan turut melibatkan pakar dan persatuan perguruan bagi memastikan ketetapan dibuat mengambil kira semua aspek khususnya dalam memastikan murid-murid telah bersedia sebelum mereka naik ke kelas berikutnya.

    “Insya Allah, kita akan teruskan ketetapan ini kerana kita yakin ia dapat memberi ruang yang cukup kepada anak-anak untuk diasah di samping memastikan mereka juga mampu menguasai tahap minimum yang diperlukan sebelum naik ke kelas berikutnya,” ujarnya.

    Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas meninjau sesi persekolahan bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun, hari ini.

    Sebelum itu, Radzi turut melakukan tinjauan di beberapa sekolah di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang.

  • PRU-15: Faizal kerja kuat tumpaskan Farhash

    PRU-15: Faizal kerja kuat tumpaskan Farhash

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui perlu bekerja lebih kuat bagi menghadapi Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut bekas Menteri Besar Perak itu, ini kerana Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador bukancalang-calang orang.

    “Saya perlu bekerja lebih kuat lagi sebab orang yang nak bertanding dengan saya ini bukan calang-calang orang, yang saya kira tahap boleh jadi Perdana Menteri.

    “Jadi tentunya saya kena kerja lebih kuat untuk memastikan saya terpilih sekali lagi di Parlimen Tambun ini (kekalkan kerusi Tambun),” katanya kepada pemberita ketika menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Norhayati Abdul Rahim di Manjoi, Ipoh, hari ini.

    Norhayati, 39, yang juga ibu tunggal kepada empat anak kematian suami sekitar tiga bulan lalu.

    Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, ketika masih berjawatan dan sedang memikul tanggungjawab, beliau berikrar untuk terus menggandakan kerja.

    Bahkan, beliau juga berharap akan terus menabur bakti pada masyarakat pada masa depan.

    Selain Tambun, Ahmad Faizal juga berharap dapat berkhidmat lebih baik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang memerlukan lebih banyak pembangunan.

    Pada 25 September lalu, Farhash Wafa Salvador menegaskan beliau mungkin akan bertanding di mana sahaja Ahmad Faizal bertanding kerana Timbalan Presiden Bersatu itu dilihat sebagai calon ‘heavyweight’.

  • Sesi persekolah bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan, Langkawi

    Sesi persekolah bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan, Langkawi

    SESI persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah hari ini, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan Covid-19.

    Di Terengganu yang berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Langkawi di bawah gelembung pelancongan dengan mengikut ketetapan Fasa 4 PPN, pembukaan sekolah di kedua-dua lokasi itu melibatkan masing-masing 35,438 dan 2,159 pelajar dan murid.

    Ini termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), murid berkeperluan khas (MBK) atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid prasekolah.

    Sementara di Kelantan yang berada di Fasa 2 PPN, hanya calon STPM semester dua, murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid PPKI yang akan hadir ke sekolah.

    Esok pula, sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula di Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan dengan kehadiran pelajar mengikut Fasa PPN negeri masing-masing.

    Dalam perkembangan lain, pelajar di kelas dan tingkatan tertentu di Johor hanya dibenarkan kembali ke sekolah secara bersemuka pada 10 Oktober ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, tarikh tersebut berdasarkan tempoh selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa, di mana Johor beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 24 September lalu.

    Menurutnya, timbul kekeliruan apabila terdapat sesetengah ibu bapa murid dan pelajar di negeri ini menghubungi sekolah masing-masing bagi mendapatkan penjelasan.

  • 87.2 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    87.2 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan, sebanyak 20,418,495 individu atau 87.2 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah selesai menjalani suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Berdasarkan data KKM menerusi portal COVIDNOW, kira-kira 2.8 peratus lagi untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa.

    “Sebanyak 94.3 peratus atau 22,070,545 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala tiga peratus atau 92,949 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah selesai divaksinasi.

    “Sejumlah 211,517 dos telah diberikan semalam dengan 89,695 melibatkan dos pertama manakala 121,822 dos kedua, menjadikan jumlah pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,145,505 dos, ” menurut data itu, hari ini.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, 109 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan 33 daripada jumlah itu membabitkan kematian dilaporkan berlaku di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,565.

  • Belajar hidup ikut acuan endemik – KJ

    Belajar hidup ikut acuan endemik – KJ

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, rangkaian aktiviti harian sebelum pandemik Covid-19 boleh dilaksanakan menerusi pendekatan berbeza, selari peralihan ke fasa endemik menjelang hujung bulan ini.

    Ini kerana, katanya kesihatan tubuh badan bukan sekadar tertumpu kepada aspek fizikal, sebaliknya turut merangkumi mental dan rohani.

    Sehubungan itu, penerapan gaya hidup sihat dengan melakukan rangkaian aktiviti seperti sebelum pandemik mesti terus diamalkan, meskipun masyarakat terpaksa hidup bersama virus Covid-19 dalam tempoh panjang.

    Penganjuran walkaton secara maya ini sangat tepat dan kena pada waktunya, malah memberi gambaran aktiviti yang pernah dilakukan dalam keadaan biasa sebelum pandemik melanda masih boleh dilaksanakan menerusi pendekatan sedikit berbeza.

    “Ini juga yang diharapkan kerajaan apabila kita melangkah ke fasa endemik kelak iaitu menerapkan kehidupan seharian dengan norma baharu,” katanya pada ucaptama pelancaran Walkathon Amal 4, secara maya, hari ini.

    Memasuki tempoh lebih dua tahun, Khairy berkata, penekanan kementerian dan petugas barisan hadapan untuk membendung serta merangka pelan mitigasi Covid-19 tidak bermakna kes kesihatan lain dipinggirkan.

    Menyedari kepentingan itu, katanya, beberapa pendekatan strategik dibuat demi memastikan perkhidmatan kesihatan bagi kes bukan Covid-19 untuk manfaat masyarakat terus beroperasi seperti biasa.

    “Justeru, antara langkah kita lakukan ialah memanjangkan waktu operasi klinik pakar dan dewan bedah, mobilisasi pakar kementerian serta sektor swasta, selain usaha penyumberluaran.

    “Dalam mendepani tekanan keperluan perkhidmatan yang sangat tinggi, kementerian sangat mengalu-alukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta, dalam memainkan beberapa peranan utama.

    “Ini merangkumi sudut advokasi dan galakkan kepada masyarakat untuk menerapkan gaya hidup sihat, tanpa mengira anda seorang survivor (bekas penghidap kanser) atau tidak,” katanya.