Author: Admin

  • Wisma Putra terus perkasa hubungan diplomasi

    Wisma Putra terus perkasa hubungan diplomasi

    KEMENTERIAN Luar (Wisma Putra) akan terus memperkasakan hubungan diplomasi serta bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi memperjuangkan diplomasi kesihatan, kesaksamaan dalam pemerolehan vaksin serta merancakkan semula ekonomi pasca pandemik, kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

    Menerusi satu kenyataan pada hari ini sempena 30 hari pertama berkhidmat di kementerian, beliau berkata, Wisma Putra juga akan meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk pencalonan Malaysia ke Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 2022-2024.

    Dalam menjayakan misi ‘kabinet berorientasikan hasil’ dalam tempoh 100 hari pertama seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Saifuddin berkata, beberapa inisiatif telah dilaksanakan dalam tempoh 30 hari.

    Ini termasuk menyiapkan draf Kerangka Dasar Luar yang memberi tumpuan kepada isu-isu serta cabaran semasa di peringkat antarabangsa.

    “Sebaik kerangka itu dimuktamadkan, seterusnya ia akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen dalam masa terdekat,” katanya.

    Saifuddin berkata, untuk meningkatkan dasar luar Malaysia, kementerian turut menubuhkan Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri yang dianggotai 17 ahli daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil kerajaan, ahli korporat serta pemimpin masyarakat.

    “Majlis ini telah bersidang sebanyak dua kali. Wisma Putra juga telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Dewan bagi menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Hal Ehwal Antarabangsa di Parlimen,” katanya.

    Saifuddin berkata, hubungan bilateral serta multilateral turut diperkukuh melalui perbincangan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Menteri-Menteri Luar Australia, Brunei, China, Indonesia, Qatar, Singapura, Thailand, Turki, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta perjumpaan bersama semua duta negara-negara ASEAN, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, dan semua negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

    “Menterjemahkan visi Perdana Menteri dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung PBB ke-76 pada 25 September 2021 yang bertema ‘Keluarga Dunia’ dalam menyeru masyarakat antarabangsa untuk merapatkan jurang antara negara serta bekerjasama dengan lebih erat dalam fasa pasca pandemik Covid-19,” katanya.

    Beliau berkata, Wisma Putra turut mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam Diplomasi Kesihatan bagi memerangi pandemik Covid-19.

    “Ini dibuktikan daripada sumbangan peralatan perubatan oleh Malaysia kepada Indonesia serta satu juta lagi sumbangan dos vaksin Sinovac dari China yang bakal diterima tidak lama lagi.

    “Malaysia turut menghargai sumbangan vaksin dari negara-negara lain yang telah diberikan sebelum ini,” katanya.

    Saifuddin berkata, kementerian turut mengutamakan kebajikan rakyat Afghanistan di tengah-tengah krisis yang berterusan.

    Seorang Penasihat Khas berkaitan Hal Ehwal Afghanistan telah dilantik untuk memastikan Malaysia terus memberikan perhatian mengenai bantuan kemanusiaan kepada rakyat di negara itu.

    “Bagi menggerakkan misi kemanusiaan di Afghanistan, Malaysia bakal menyumbang sejumlah AS$100,000 melalui PBB. Ini membuktikan komitmen Malaysia dalam memastikan keamanan dan kestabilan di Asia Barat, khususnya Afghanistan,” tambah beliau.

    Beliau juga telah merasmikan Persidangan Kuala Lumpur mengenai Afghanistan pada 26 September 2021 yang membincangkan mengenai situasi semasa, misi kemanusiaan serta hala tuju pendamaian di negara berkenaan. – Bernama

  • Kampung Pasir Kelang Kelantan kena PKPD lusa

    Kampung Pasir Kelang Kelantan kena PKPD lusa

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan sebahagian Kampung Pasir Kelang di Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini hingga 19 Oktober ini.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, tindakan tersebut diambil selepas meneliti penilaian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.

    Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

    “PKPD turut dilanjutkan di kawasan Ladang dan Kilang Sawit RMDC Sdn Bhd, di Bukit Koman, Mukim Gali, Pahang bermula dari Rabu ini hingga 19 Oktober

    “Pada masa sama, penamatan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah dan Pahang manakala PKPD di Kampung Garib, Matunggong di Kudat, Sabah yang bermula pada 22 September lalu, ditamatkan esok, seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, begitu juga PKPD di Kampung Dusun Pak Senam di Mukim Ulu Jelai, Lipis Pahang yang bermula 8 Septemebr lalu yang ditamatkan mengikut jadual, esok.

    Tambahnya, PKPD di tiga Rancangan FELDA di Bera, Pahang iaitu FELDA Rentam, FELDA Tementi dan FELDA Sebertak yang bermula pada 29 September juga ditamatkan esok, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 12 Oktober ini.

  • Maqis Pulau Pinang tahan lebih RM20 juta gandum Australia

    Maqis Pulau Pinang tahan lebih RM20 juta gandum Australia

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk lebih 14,118 tan gandum Australian Standard White dan Australian Premium White dari Australia di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth kelmarin.

    Dagangan pertanian bernilai lebih RM20 juta itu disita hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis Pulau Pinang di Pelabuhan Kargo Pukal DAD.

    Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati sebuah kapal kargo pukal yang memuatkan sebanyak 14,118,340 kilogram (kg) gandum itu ditahan kerana telah mengemukakan maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis yang sah.

    “Nilai keseluruhan dagangan yang dianggarkan RM20,484,211.00 tersebut telah ditahan oleh pihak Maqis untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, pengimportan dengan mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat dan mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    Lebih RM20 juta gandum disita hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa Maqis Pulau Pinang di Pelabuhan Kargo Pukal DAD

    Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Maqis mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

  • 149 kes positif di pintu masuk Langkawi – Dr. Noor Hisham

    149 kes positif di pintu masuk Langkawi – Dr. Noor Hisham

    SEBANYAK 149 kes positif Covid-19 dikesan dalam saringan di pintu masuk udara dan laut untuk ke Pulau Langkawi.

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, seramai 186 individu merupakan kontak rapat kepada kes positif berkenaan.

    “Mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Ivermectin tidak berdaftar dirampas di Melaka

    Ivermectin tidak berdaftar dirampas di Melaka

    JABATAN Kesihatan Negeri Melaka melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas produk Ivermectin yang tidak berdaftar yang dianggarkan bernilai RM8,240 dalam tujuh serbuan sehingga 10 Sept lepas.

    Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan itu melibatkan premis klinik, farmasi, penjualan secara  dalam talian dan pemantauan akan dijalankan berterusan terhadap pengiklanan serta penjualan produk tidak berdaftar seperti Ivermectin.

    “Sehingga kini tiada produk Ivermectin yang diluluskan pendaftarannya untuk kegunaan manusia atau untuk rawatan dan pencegahan COVID-19.

    “Penjualan produk tidak berdaftar dengan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) adalah satu pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Justeru, beliau menasihatkan orang awam agar tidak terpedaya dengan penjualan Ivermectin sebagai rawatan atau pencegahan COVID-19 kerana penggunaannya tanpa pemantauan anggota profesional kesihatan boleh mendatangkan risiko kesihatan diri.

    Beliau berkata pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut manakala status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my atau menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722.

    Orang awam juga disarankan melaporkan sebarang penjualan Ivermectin di laman e-dagang atau media sosial kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, supaya tindakan sewajarnya dapat dikenakan bagi membanteras penjualan produk Ivermectin tidak berdaftar di pasaran, katanya.

  • Abai bayi hingga cacat kekal: Pengasuh dipenjara setahun, denda RM10,000

    Abai bayi hingga cacat kekal: Pengasuh dipenjara setahun, denda RM10,000

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 ke atas seorang pengasuh yang mengabaikan seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga menyebabkan mangsa patah tulang belakang dan lumpuh separuh badan.

    Hakim Mahyon Talib menjatuhi hukuman itu selepas Azlina Lizawati Ahmad Tarmizi, 37, menukar pengakuannya kepada bersalah semasa sebutan kes hari ini.

    Mahkamah yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai hari ini turut mengarahkan wanita itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda selain mengenakan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu bon berkelakuan baik tiga tahun dengan cagaran RM5,000 dan khidmat masyarakat selama 180 jam. 

    Azlina didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Desa Tun Hussein Onn, Jalan Jelatek, Wangsa Maju antara 7 dan 10 pagi 23 Julai 2020 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shahieza Md Hazaid memohon hukuman berat dan meminta mahkamah mengambil kira kecederaan serius yang dialami sehingga menyebabkan mangsa cacat seumur hidup.

    “Tertuduh juga tidak amanah dan tidak bertanggungjawab selain merupakan pengasuh di rumah yang tidak berdaftar dengan JKM. Dia juga tidak mempunyai sebarang sijil atau kelayakan bagi pendidikan awal kanak-kanak. 

    “Peningkatan kes-kes penderaan, pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak oleh pengasuh di Malaysia jelas menunjukkan hukuman berat perlu diberikan sebagai pengajaran buat tertuduh dan masyarakat,” katanya.

    Peguam Raihanah Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili Azlina Lizawati, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mengaku bersalah di peringkat awal kes dan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

    “Anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih kecil dan paling bongsu berusia lima bulan. Dia juga telah insaf kerana sebelum ini direman selama 14 hari ketika siasatan,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, mangsa dihantar ke rumah pengasuh pada 7 pagi dalam keadaan sihat namun pada 10 pagi, dia diambil oleh bapanya setelah tertuduh memaklumkan bahawa bayi itu tidak berhenti menangis.

    Bapanya kemudian membawa bayi itu ke klinik kerana dia kelihatan teramat sakit dan klinik tersebut mengarahkan mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan sinar-X.

    Siasatan pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan patah tulang belakang serta urat saraf dan laporan perubatan menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan kekal dengan mangsa tidak boleh menggerakkan badannya.

    Akibat kejadian itu, mangsa kini adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya berikutan kecacatan kekal yang dialami.

  • Pengawal keselamatan hilang semasa bertugas di ladang

    Pengawal keselamatan hilang semasa bertugas di ladang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengawal keselamatan hilang semasa bertugas dalam sebuah ladang di Kampung Ulu Remis, Layang Layang, Simpang Renggam, dekat sini malam tadi.

    Kehilangan Shahrizuan Pairon yang berusia 23 tahun disedari rakan setugasnya selepas tidak pulang ke pusat kawalan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, mangsa disedari hilang pada pukul 7 malam tadi.

    Susulan itu kata Mohd. Fauzi, rakan setugas memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan ladang sebelum operasi mencarinya dilakukan.

    Gerakan mencari mangsa dilakukan pihak biomba dengan dibantu polis dan penduduk setempat

    Beliau berkata, pihaknya dihubungi pada pukul 8.45 pagi ini untuk bantuan menjejaki mangsa sebelum sembilan anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Pihak bomba turut dibantu 82 orang daripada pelbagai agensi seperti polis, polis bantuan serta penduduk tempatan.

    “Sehingga kini operasi mencari masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

  • 11 bangkai penyu hijau ditemui dilapah di Pulau Bum-Bum

    11 bangkai penyu hijau ditemui dilapah di Pulau Bum-Bum

    BANGKAI 11 ekor penyu hijau yang telah dilapah ditemukan di Kampung Amboh-Amboh, Pulau Bum-Bum dekat Semporna, Sabah, Jumaat lepas.

    Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan bangkai haiwan dilindungi itu ditemukan pada 9.41 pagi dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) oleh tiga kakitangan JHL Sabah dan lima anggota Tiger Platun Pasukan Gerakan Am (PGA).

    “Pada 2 Oktober (Sabtu), operasi serbuan di kawasan ‘panas’ itu (Kampung Amboh-Amboh) sekali lagi dijalankan untuk menangkap penjenayah yang disyaki. Namun, tiada suspek dapat ditangkap dan operasi mengesan penjenayah terbabit masih dijalankan.

    “Di samping itu, pasukan OBK turut merampas dua karung putih yang disyaki berisi daging penyu, 11 keping plastron (bahagian bawah tempurung penyu), sebatang cangkuk (hook), dapur gas, kuali, pisau, kapak dan batu asah di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

    Menurut JHL Sabah, pada 6 Julai lepas, pasukan OBK telah berjaya menangkap seorang pelaku bersama 12 keping plastron, 39 keping sisik marginal (bahagian atas tempurung penyu) dan 4.8 kg lemak penyu.

    Menurut kenyataan itu pelaku tersebut telah dihadapkan ke mahkamah dan dihukum empat tahun penjara serta denda RM150,000.

    Jenayah hidupan liar melibatkan penyu laut yang berlaku di Semporna biasanya dilakukan masyarakat Bajau Laut, atau dikenali sebagai Pala’u, yang tidak mempunyai kad pengenalan, menurut kenyataan itu.

    “Ini menyebabkan kesukaran untuk menahan mereka yang bertanggungjawab kerana komuniti itu menggunakan perahu kecil yang mudah mendarat di pulau,”  menurut kenyataan itu.

    Justeru, JHL Sabah memohon kerjasama penduduk setempat agar melaporkan sebarang aktiviti pemburuan penyu atau mempunyai maklumat mengenai aktiviti haram itu agar jenayah hidupan laut di perairan daerah Semporna dapat dibanteras.– Bernama

  • Lowry ikat kontrak lanjutan dua tahun bersama JDT

    Lowry ikat kontrak lanjutan dua tahun bersama JDT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERJALANAN karier Shane Lowry yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak Mei lalu akan diteruskan selepas pemain kelahiran Australia itu menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun depan bersama-sama Juara Liga Super itu.

    Lowry, 31, yang menyertainya JDT secara percuma berjaya membuktikan kemampuan sebagai tonggak pertahanan tengah yang ampuh apabila membantu Harimau Selatan menjuarai Liga Super buat kali kelapan musim ini.

    Beliau merasa sangat bertuah untuk kekal bersama JDT dan bertekad untuk melakar lebih banyak kejayaan bersama pasukan termasuk Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini.

    “Ketika JDT menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat saya, saya tidak berfikir dua kali kerana ia adalah sebuah pasukan bola sepak yang cukup lengkap dan istimewa.

    “Lebih-lebihnya pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sangat profesional dalam menguruskan pasukan pada tahap yang tinggi.

    “Saya gembira dapat menyambung kontrak untuk terus bersama JDT dan berhasrat untuk membina masa depan di sini. Ini juga membuktikan kerja keras saya selama ini bersama pasukan membuahkan hasil,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama kelab sekali gus memperbaharui kontrak enam bulan yang hampir tamat di Ibu Pejabat JDT, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

    Lowry menyertai JDT secara percuma pada Mei lalu dari kelab terdahulunya, Al-Ahly dan merupakan watak penting buat pasukan ketika bertanding dalam kejohanan Liga Juara-juara Asia (ACL) yang lalu.

    Dalam pada itu, pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, Lowry yang bagus daripada aspek teknikal dan taktikal itu adalah pelengkap buat pasukan JDT yang membantu memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan.

    “Dia bukan sahaja pemain yang hebat, malah fizikal dan mentalitinya amat bagus. Jadi, kami amat memerlukan pemain seperti ini di dalam pasukan dan sayang untuk dilepaskan.

    “Bagi saya, ini adalah pilihan yang baik oleh pihak pengurusan dengan membawanya ke kelab ini.

    Ketika kami memerlukan khidmatnya dalam ACL, dia berupaya menjalankan tugas dengan baik, Sebagai ketua jurulatih, saya gembira dengan keputusan ini,” katanya.

  • Hotel ditutup sementara, lebih 50 pekerja dijangkiti Covid-19

    Hotel ditutup sementara, lebih 50 pekerja dijangkiti Covid-19

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Lebih 50 pekerja sebuah hotel terkenal di Langkawi didapati positif Covid-19 mengakibatkan lokasi penginapan tersebut terpaksa ditutup buat sementara waktu ketika ini.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo, penularan penyakit itu mempunyai kaitan dengan Kluster Dah Nibung yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Oktober lalu.

    “Kluster ini dikategorikan sebagai kluster tempat kerja. Sehingga hari ini seramai 249 orang telah disaring dengan 59 didapati positif, 192 negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan.

    “Sehingga hari ini, kluster ini hanya melibatkan pekerja tempatan dan kontak rapat ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.

    Tambahnya, siasatan awal mendapati penularan jangkita disyaki bermula dari komuniti sebelum merebak ke tempat kerja.

    “Semua kontak rapat telah dikenal pasti, dilakukan ujian saringan dan diberi arahan pengawasan di rumah (HSO) selama 10 hari.

    “Sehingga kini penularan adalah terkawal dan didapati tiada pelancong yang dijangkiti virus berkenaan,” katanya.