Author: Admin

  • Buat apa nak PRN…kalau Zahid kata ”tak mengapa hilang kerajaan negeri”

    Buat apa nak PRN…kalau Zahid kata ”tak mengapa hilang kerajaan negeri”

    DALAM reaksi tumbangnya kerajaan UMNO di Melaka,Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata;

    ’’Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri dikuasai parti saya. Tapi tunggulah… saya fikir elok diadakan pilihan raya negeri supaya DUN Melaka dibubarkan. Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk pilih mana kerajaan terbaik mentadbir negeri dan negara kita, insha-Allah.’’

    Kalau benarlah Ahmad Zahid kata tidak mengapa hilang kerajaan negeri, kenapa hendak menyusahkan rakyat apabila mahu DUN dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan? Kenapakah rakyat yang baru mahu bernafas semula selepas diancam pandemik Covid-19 harus diseret dalam pertelingkahan politik yang berpunca daripada krisis dalam UMNO?

    Sepatutnya Ahmad Zahid ‘merelakan sahaja’ kerajaan negeri Melaka diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) tanpa perlu ada PRN. Lagipun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pun dah tak lama. Tidakkah Ahmad Zahid memikirkan kesusahan rakyat?

    Sampai bila UMNO mahu menyusahkan rakyat dan menghuru-harakan politik negara dengan agenda politik pemimpin-pemimpinnya.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid mengepalai 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Kerajaan PN tumbang di peringkat pusat, sekarang Kerajaan UMNO di Melaka pula tumbang disebabkan angkara ADUN UMNO sendiri.

    Betul ada empat ADUN yang bertindak di Melaka tetapi yang menjadi perhatian dua daripada UMNO, macam mana mereka boleh tergamak menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti mereka sendiri?

    Jawapannya mudah, mereka mencontohi tindakan pemimpin pusat yang menjadikan majoriti tipis sebagai ‘senjata’ untuk menyingkirkan kerajaan biarpun mereka yang bersama-sama membentuk kerajaan.

    Kalaulah tindakan dua UMNO itu dianggap tidak wajar ketika Melaka baru memasuki Fasa Ke-3 Pelan Pemulihan Negara, apa yang Ahmad Zahid lakukan dengan 14 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin lebih teruk.

    Mereka melakukan ‘huru-hara’ politik itu ketika Muhyiddin bersama ahli-ahli Parlimen UMNO dalam Kabinet sedang bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19.

    Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan ketika itu, tetapi Ahmad Zahid mencanangkan slogan ‘kerajaan gagal’. Tetapi sekarang ternyata apa yang dilakukan Muhyiddin telah menampakkan hasil.

    Selain itu konflik Melaka juga seperti mana kata beberapa penganalisis politik menampakkan bagaimana UMNO di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid kini semakin berantakan.  Ahmad Zahid semakin tidak mampu mengawal situasi dalaman parti itu.

    Jika sebelum ini berlaku pertembungan antara ‘kluster menteri’ dengan ‘kluster majlis tertinggi’ sekarang di peringkat negeri pula wujud apa yang dipanggil ‘dua singa atas satu gunung’ . Kalau Ahmad Zahid benar-benar mempunyai cengkaman dalam UMNO sudah pasti kerajaan UMNO di Melaka tidak akan tumbang.

    Walaupun dua ADUN UMNO itu amat memahami akibat yang mereka akan terima tetapi mereka sudah nekad untuk sanggup bersekongkol dengan PH bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baharu. Mereka tidak peduli pun apa Ahmad Zahid mahu buat.

    Tambahan pula, kalau mahu bercakap soal bersekongkol ini, rasanya dua ADUN tersebut jauh ‘lebih baik’ daripada Ahmad Zahid kerana mereka melakukan secara terbuka berbanding Ahmad Zahid yang didakwa mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri secara senyap-senyap dan terbongkar rakaman audio mirip suara beliau.

    Tetapi adakah kedua-dua isu dibincangkan oleh MKT? Adakah Ahmad Zahid dikenakan apa-apa tindakan kerana dianggap melanggar dasar parti? Tidak ada! Sebaliknya keahlian dua ADUN itu dalam UMNO gugur secara automatik kerana mengadakan sidang akhbar dengan pemimpin PH.

    Oleh itu tidak perlulah Ahmad Zahid menyusahkan rakyat Melaka apabila mahu DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN. Tanyalah sesiapapun, bacalah reaksi rakyat dalam media sosial apabila Kerajaan UMNO tumbang di Melaka semalam, semuanya memberi reaksi negatif, mereka sudah bosan dan muak dengan kerenah politik yang dicetuskan oleh UMNO.

    Sepatutnya Ahmad Zahid berasa malu kerana ketika beliau berdegar-degar bercakap bahawa ramai merisik mahu kembali ke dalam UMNO, sebaliknya yang berlaku ADUN UMNO sendiri menjatuhkan Kerajaan parti itu. Kalau begitu keadaannya, adakah apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid tersebut satu kenyataan atau sekadar ‘ mimpi indah pada siang hari’?

    Cukuplah janganlah menyusahkan rakyat. Cukuplah Kerajaan Pusat bergolak kerana kerenah UMNO, tak kanlah ia hendak dibiarkan berlaku di negeri-negeri pula. Ahmad Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO Melaka perlu berjiwa besar merelakan bahawa dari segi bilangan kerusi PH ada majoriti. Biarlah PH memerintah sehingga PRU-15.

    Lepas itu UMNO rampaslah kembali, bukankah Ahmad Zahid begitu yakin UMNO akan bangkit dan mahu menjadi dominan dalam pilihan raya tersebut. Jadi bersabarlah, janganlah menyusahkan rakyat dengan percaturan politik yang tidak habis-habis oleh UMNO. Rakyat dah muak!

  • 88 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    88 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW memaklumkan, seramai 20,603,249 individu atau 88 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

    KKM memberitahu, angka tersebut setakat semalam dan perkembangan terbaharu itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa kini hanya tinggal kira-kira 2.2 peratus.

    “Sebanyak 94.4 peratus atau 22,098,764 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    “Setakat semalam juga, sebanyak 114,124 atau 3.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

    “Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 221,812 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 126,433 dos pertama dan 95,379 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,573, 891 dos,” demikian menurut data tersebut.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, dua kes kematian harian akibat Covid-19 dilaporkan pada Isnin dengan kedua-duanya membabitkan kematian di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,759.

  • Bot karam: pembantu tekong masih tidak ditemui

    Bot karam: pembantu tekong masih tidak ditemui

    SELEPAS empat hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pembantu tekong bot yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Satang, Kuching, Sarawak, Sabtu lalu, masih menemui jalan buntu.

    Setakat pagi ini, pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak, Laksamana Pertama, Zin Azman Md. Yunus berkata, operasi hari ketiga semalam mendapat bantuan aset udara daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) polis.

    Mereka melakukan pencarian melalui udara di sekitar perairan Pulau Satang.

    “Keadaan cuaca sedikit berangin dengan kelajuan antara 20 dan 30 kilometer sejam, dengan laut berombak setinggi 1 hingga 1.5 meter,” katanya, menurut laporan Bernama.

    Operasi SAR terbabit turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.

    Menurut Zin, keluasan pencarian semalam merangkumi 795.31 batu nautika serta beberapa bot pancing komuniti maritim sekitar turut melakukan pencarian dengan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat adalah seramai 80 orang.

    Dalam kejadian Sabtu lalu, sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang.

    Sembilan daripada mereka sudah ditemui selepas diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar sekitar 1 pagi (Ahad).

  • Belanjawan 2022: MPOB, MPOC mahu peruntukan lebih besar

    Belanjawan 2022: MPOB, MPOC mahu peruntukan lebih besar

    MAJLIS Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memerlukan lebih banyak peruntukan bagi industri kelapa sawit dalam meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk komoditi itu dan pengeluaran lebih banyak produk hiliran.

    Pengarah Bahagian Sains, Alam Sekitar dan Kemampanan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Ruslan Abdullah berkata, Malaysia menghasilkan sekitar 20 juta tan metrik minyak sawit setiap tahun, ia menghasilkan pendapatan sekitar RM70 bilion untuk Malaysia tetapi peruntukan untuk industri berkenaan sangat kecil.

    “Tidak sampai satu peratus pun. Ia tidak adil selepas apa yang dilakukan oleh kami, jangan bercakap mengenai pelaburan tanaman lain seperti durian atau buluh. Minyak sawit menghasilkan keuntungan yang tinggi.

    “Namun, kami hanya berurusan dengan komoditi sekarang, keuntungan sebenar adalah daripada industri hiliran,” katanya.

    Ruslan berkata, apabila melihat syarikat disenarai di Fortune 500, kebanyakan daripada mereka sebenarnya bergantung pada komoditi, bagi Malaysia melakukannya, ia memerlukan lebih banyak dana.

    Beliau juga menekankan bahawa negara ini memiliki institusi R&D terbaik di dunia dalam perkara berkaitan keperluan minyak sawit.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, industri minyak sawit adalah salah satu penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia dan industri ini memberi input kepada pelbagai produk hiliran bernilai tambah tinggi dan menyumbang kepada pendapatan eksport negara.

    “Bagaimanapun, kami masih menghadapi kekurangan tenaga kerja, kami berharap kerajaan dapat mengatasi masalah ini dan berharap akan wujud inisiatif atau program yang membantu mempercepatkan mekanisme dan automasi di sektor kelapa sawit untuk mengurangi kebergantungan sektor perladangan terhadap tenaga kerja dan membantu meningkatkan produktiviti,” katanya.

    Beliau berkata, bertahun-tahun MPOB melakukan R&D, termasuk cara inovatif untuk menuai dan memproses buah kelapa sawit serta meningkatkan mekanisme, pertanian dan automasi yang tepat.

    “Ia telah membangunkan lebih daripada 40 jenis mesin dan peralatan mekanisme untuk penggunaan operasi perladangan termasuk alat penuaian kelapa sawit serta mencari cara untuk meningkatkan prestasi hasil.

    “Bagi usaha kemampanan kami dalam industri ini, kami mengharapkan kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk membiayai pekebun kecil untuk mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan perbelanjaan lain yang berkaitan dengan MSPO seperti yuran pensijilan, latihan yang berkaitan dengan MSPO serta peralatan pelindung diri,” katanya.

    Ahmad Parveez ketika bercakap mengenai peningkatan dalam permintaan minyak sawit memberitahu kerajaan sewajarnya memberikan peruntukan untuk meningkatkan pelaksanaan program biodiesel bagi sektor pengangkutan dan perindustrian.

    Tahun lalu, sektor industri perladangan dan komoditi menyumbang sekitar 12 peratus atau hampir RM100 bilion kepada pendapatan negara, yang mana, RM70 bilion datang daripada industri kelapa sawit.

    Semasa pembentangan Belanjawan 2021, kementerian berkaitan hanya menerima peruntukan RM729.39 juta untuk semua komoditi yang merangkumi minyak sawit, getah, koko dan kenaf.

    Persatuan Minyak Sawit Malaysia telah menekankan bahawa kerajaan perlu membenarkan industri ini untuk mengambil 32,000 pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja semasa.

    Ramai pekerja asing meninggalkan Malaysia untuk pulang sekitar waktu perintah kawalan pergerakan 1.0, yang berlaku pada Mac 2020.

    Sebilangan besar pekerja ini tidak mahu kembali ke Malaysia atau menghadapi masalah untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan bagi bekerja semula dan ini mengakibatkan kekurangan pekerja yang agak serius dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perladangan.

    Hasil minyak sawit telah dipengaruhi secara negatif oleh kekurangan pekerja ini sehingga menyebabkan penurunan output KDNK sektor pertanian pada 2020 walaupun harga minyak sawit mentah meningkat.

    “Pemulihan dalam situasi kekurangan tenaga kerja juga akan diterjemahkan kepada pendapatan cukai yang lebih tinggi bagi kerajaan, berdasarkan lonjakan dalam pengeluaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nageeb Wahab.

    Beliau juga mencadangkan harga ambang yang lebih tinggi pada RM3,500 satu tan untuk cukai keuntungan luar biasa (WPT) minyak sawit mentah (MSM) berbanding RM2,500 tan sekarang ini yang dikenakan kepada pekebun.

    Sekarang ini, syarikat di Semenanjung dikenakan WPT sebanyak 15 peratus setelah harga MSM mencapai RM2,500 setan atau lebih tinggi, sementara syarikat yang berpusat di Sabah dan Sarawak dikenakan WPT berjumlah 7.5 peratus selepas harga MSM mencecah RM3,000 setan atau lebih tinggi.

    Belanjawan 2022 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2021. – Bernama

  • Ismail Sabri kurang pengalaman berbanding Muhyiddin – Dr Mahathir

    Ismail Sabri kurang pengalaman berbanding Muhyiddin – Dr Mahathir

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kurang pengalaman dan ilmu untuk memimpin negara berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah dua kali menduduki jawatan tertinggi negara itu.

    Pemimpin negara yang pernah memegang jawatan nombor satu negara paling lama itu berkata, Muhyiddin lebih berpengalaman berbanding Ismail kerana pernah menjawat jawatan di pelbagai kementerian, termasuk timbalan perdana menteri sebelum dipecat pada 2015.

    “Muhyiddin mungkin ada pengalaman, tapi Ismail Sabri baru kali ini jadi perdana menteri.

    “Dia biasa jadi menteri jadi ‘experience’ kurang, pengalaman kurang dan ilmu juga kuranglah dibandingkan dengan orang yang sudah biasa jadi Perdana Menteri, yang dah lengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahunan, ‘performance’ mereka lebih baik,” kata ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini.

    Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 21 Ogos, selepas Muhyiddin hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

    Perdana Menteri kelapan itu terpaksa berundur selepas kumpulan kluster mahkamah yang diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik sokongan terhadapnya.

    Sebelum menjadi perdana menteri, Ismail adalah Timbalan Perdana Menteri selama kurang dua bulan, dan menteri kanan kluster keselamatan merangkap menteri pertahanan selama setahun lima bulan dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin.

    Sementara Muhyiddin sebelum menjadi Perdana Menteri pernah bertugas di pelbagai kementerian termasuk kementerian dalam negeri, kementerian pendidikan, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri, kementerian pertanian dan banyak lagi.

    Muhyiddin juga pernah menjadi menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995.

    Mahathir dan Muhyiddin bersama-sama menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2016 sebagai penentangan terhadap UMNO yang dipimpin oleh Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.

    Bersatu bekerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. 

  • Op Jangkar Hitam: 2 kapal asing berlabuh tanpa kebenaran

    Op Jangkar Hitam: 2 kapal asing berlabuh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan dua kapal tangki asing dalam dua operasi di Tanjung Lompat dan Tanjung Siang, Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu ditahan menerusi Op Jangkar Haram selepas kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

    “Kapal tangki pertama yang berdaftar di Hong Kong ditahan pukul 10.45 pagi pada kedudukan 9.3 batu nautika timur Tanjung Lompat. Kapal ini dikendalikan 17 kru warga China dan Myanmar berumur antara 24 hingga 51 tahun.

    “Sementara kapal tangki kedua pula berdaftar di Thailand ditahan pada pukul 11.44 pagi pada kedudukan 20.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang yang dikendalikan 16 kru warga Thailand berumur antara 26 hingga 57 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kapal tangki kedua pula berdaftar di Thailand ditahan pada pukul 11.44 pagi pada kedudukan 20.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang, Kota Tinggi

    Beliau berkata, kesemua kru dari dua kapal berkenaan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, sebarang kecemasan atau aduan kesalahan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07-2199404) atau talian MERS 999.

  • Facebook rugi RM29.22 bilion akibat gangguan 6 jam

    Facebook rugi RM29.22 bilion akibat gangguan 6 jam

    KETUA Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mengesahkan syarikat itu kerugian RM29.22 bilion selepas tiga platform media sosial milik mereka mengalami gangguan selama lebih enam jam, semalam.

    Sejak tengah malam tadi, platform Facebook, Instagram dan WhatsApp yang dimiliki oleh syarikat Facebook dilaporkan mengalami masalah untuk diakses secara serentak di seluruh dunia.

    Masalah yang disangka hanya berlaku dalam tempoh yang singkat ini dilihat telah berlarutan sehingga hampir enam jam sekali gus menjadi gangguan paling lama pernah berlaku dalam sejarah Facebook.

    Akibat masalah itu, Mark Zuckerberg yang juga pemegang saham terbesar syarikat beliau dilaporkan terpaksa menanggung rugi sebanyak AS$7 bilion (RM29.22 bilion) selepas saham syarikat Facebook turun sekitar lima peratus.

    Bahkan, kedudukannya dalam senarai manusia terkaya dunia juga turun ke tempat keenam berikutan insiden yang berlaku pada platform yang digunakan ramai ini.

    Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga pada tahun ini platform Facebook mengalami masalah gagal untuk diakses oleh pengguna seluruh dunia.

    Perkhidmatan media sosial Facebook, WhatsApp dan Instagram kembali pulih selepas mengalami gangguan selama hampir enam, sejak malam tadi.

    Ketiga-tiga perkhidmatan yang dimiliki Facebook itu tidak dapat diakses melalui web atau aplikasi telefon pintar.

    Downdetector, yang mengesan masalah itu, berkata itu adalah kegagalan sistem terbesar pernah berlaku dengan 10.6 juta laporan masalah dilaporkan di seluruh dunia.

    Kali terakhir Facebook mengalami gangguan pada tahun 2019.

    Ketika itu, Facebook dan aplikasinya yang lain tidak dapat diakses di seluruh dunia dalam tempoh lebih 14 jam.

  • Misteri pengawal keselamatan hilang di ladang terjawab

    Misteri pengawal keselamatan hilang di ladang terjawab

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MISTERI kehilangan seorang pengawal keselamatan yang hilang semasa bertugas dalam sebuah ladang di Kampung Ulu Remis, Layang Layang, Simpang Renggam, Kluang, kelmarin terjawab apabila ditemukan malam tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, Shahrizuan Pairon, 23, ditemukan dalam keadaan selamat pada pukul 11.24 malam.

    “Mangsa telah dijumpai oleh anggota polis dalam keadaan lemah dengan jarak lokasi dijumpai 10 kilometer iaitu di kawasan berdekatan Stesen Keretapi Renggam.

    “Mangsa kemudian menaiki ambulan Klinik Kesihatan Layang-Layang untuk dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kejadian pukul 7 petang kelmarin, mangsa hilang semasa bertugas di ladang tersebut dan kehilangannya disedari rakan setugas sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

    Mohd. Fauzi berkata, operasi SAR itu disertai sembilan anggota BBP Renggam selain dibantu 82 orang dari pelbagai agensi seperti polis, polis bantuan serta penduduk setempat.

    “Bomba bertindak membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota membuat pencarian seluas kawasan 150 ekar dengan dibantu oleh agensi lain.

    “Pencarian dibahagikan kepada lima kumpulan. Operasi pengesanan mangsa turut dibantu anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
    Operasi SAR tamat pada pukul 12.10 tengah malam,” katanya.

    Sementara itu, bapa saudara mangsa, Adanan Baharudin, 61, bersyukur kerana anak saudaranya itu selamat dijumpai oleh bapanya sendiri, Pairon Baharudin 56, ketika melalui jalan berkenaan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang itu.

    “Adik saya dan keluarga termasuk isteri dan anaknya menaiki kereta dan motosikal menuju ke lokasi anak mereka hilang dan setibanya di jalan berkenaan yang bersebelahan rel kereta api, dia seakan terperasan kelibat seseorang di tepi jalan.

    “Hatinya terdetik untuk berpatah balik dan memang betul anaknya sedang terbaring dan apabila ditanya apa yang berlaku, Shahrizuan terpinga-pinga dan mengatakan sepanjang dia hilang, pandangannya gelap seperti waktu malam.

    “Dia turut mengingati pada waktu kejadian kelmarin ada sebuah lori cuba melarikan diri di pintu pagar dan dia mengejarnya tetapi sampai di satu simpang, lori berkenaan hilang dan dia cuba berpatah balik ke tempat kerjanya semula, tetapi tidak nampak jalan keluar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dia mendakwa, anak saudaranya itu sebelum hilang terserempak pencuri dalam kejadian kecurian kelapa sawit di ladang Ulu Remis Sime Darby Layang-Layang itu pada petang kelmarin.

    Difahamkan sebelum hilang, mangsa sempat melaporkan kes kecurian baki buah tandan segar yang berada dalam tong pada pukul 7.22 petang kelmarin kepada kumpulan kerjanya menerusi WhatsApp.

    Adanan berkata, dua rakan sekerjanya iaitu Sarjan Fairul Md. Saud dan Lans Koperal Mohd. Khairi Adha Yahya bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat itu.

  • Parlimen: Penggulungan RMK12 bermula hari ini

    Parlimen: Penggulungan RMK12 bermula hari ini

    HARI ini bermula sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat oleh kementerian-kementerian selepas rancangan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025 itu dibahaskan di Parlimen.

    Sebanyak 106 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu.

    Antara isu dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen dalam perbahasan selama empat hari bermula 28 September itu adalah kesihatan, vaksin Covid-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pasca-Covid-19 dan pengurusan bekalan air negara.

    Berdasarkan takwim Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas 2021 di portal Parlimen sesi penggulungan oleh kementerian dijadual berlangsung hingga Khamis.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat persidangan hari ini dimulakan dengan sesi Waktu Pertanyaan Menteri melihatkan soalan untuk Perdana Menteri berkaitan sekuriti tenaga (energy security) di negara ini ketika berlaku krisis tenaga global dan hala tuju untuk meningkatkan sekuriti tenaga negara.

    Dua lagi soalan untuk sesi berkenaan adalah untuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai adakah kementerian bercadang menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA (Online Travel Agent) dan Menteri Perpaduan Negara berkaitan sejauh mana Tabika Perpaduan memainkan peranan dalam memupuk nilai-nilai perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

    Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula, Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan setakat manakah tahap kebolehpasaran graduan semasa pandemik Covid-19 dan langkah bagi menyediakan graduan yang berdaya saing di pasaran pekerjaan.

    Turut ditanya adalah soalan mengenai keberkesanan modul sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang diajukan oleh Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) kepada Menteri Kanan Pendidikan.

    Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini. – Bernama

  • MBJB rangka pelan komprehensif atasi banjir kilat

    MBJB rangka pelan komprehensif atasi banjir kilat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sudah merangka pelan komprehensif untuk menyelesaikan masalah banjir kilat sekitar Bandaraya Johor Bahru yang berlaku pada 30 September lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan MBJB, pelan itu melibatkan dalam perancangan jangka masa pendek, sederhana dan masa panjang.

    Pihaknya sudah mengenal pasti 24 lokasi ‘hot spot’ banjir kilat tersebut dan daripada jumlah itu iaitu 18 lokasi di bawah seliaan MBJB manakala enam lagi di bawah seliaan agensi kerajaan lain.

    “Pelan jangka pendek melibatkan pembersihan di lokasi terlibat seperti di dalam longkang, parit serta saliran air utama selain membersihkan sisa runtuhan struktur dan tembok batu.

    “Pelan jangka sederhana adalah MBJB telah memulakan proses penyediaan dokumen sebut harga dan tender untuk pelaksanaan kerja penggalian mendapan serta pembersihan dasar parit dan saliran utama dalam kawasan MBJB,” jelas kenyataan itu.

    Pada 30 September lalu, 1,600 penduduk di kawasan sekitar daerah ini dilanda banjir kilat antaranya kawasan Sungai Chat, Kampung Md. Amin, Kampung Pasir, Kempas Lurah, Kempas Permatang, Kampung Ubi, Jalan Tiong Larkin Jaya, Larkin Idaman, Taman Majidee.

    Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman meninjau lokasi hot spot banjir kilat di sekitar Bandaraya Johor Bahru, hari ini

    Susulan itu pada hari yang sama, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan kajian segera di kawasan kerap berlaku banjir di negeri ini untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

    MBJB memberitahu, pelan jangka masa panjang pula melibatkan kajian bagi memastikan kejadian banjir di kawasan hot spot tidak berulang melalui pembinaan struktur kolam takungan dan sistem pam di beberapa lokasi.

    Menurut MBJB lagi, satu penyelesaian bersepadu antara pihaknya dengan agensi kerajaan dan pemaju lain perlu diselaras untuk menyelesaikan isu berkaitan parit dan saliran dalam kawasan MBJB.

    “Selain itu, sistem tebatan banjir juga perlu dibangunkan untuk mengelakkan kejadian banjir daripada berulang,” jelas MBJB.

    “MBJB turut meminta kerjasama warga bandar raya untuk menjaga kebersihan alam dengan tidak membuang sampah dan mana-mana sisa domestik dalam atau berhampiran saliran utama,” tambah kenyataan itu.